Friday, August 14, 2009

Tanggal 14 Ogos 2009: Selamat Ulangtahun Sahabatku!!!

Tiada apa yang aku ingin katakan pada post kali ini. Sejenak mengimbau kenangan lalu. Tanggal 14 Ogos tidak pernah aku lupakan. Teringat aku pada tanggal ini beberapa tahun yang lalu. Satu kejutan buat sahabat yang setia. Sesekali membuat kejutan kadang-kala menyeronokkan hati ini. Membuat sahabat gembira menerima sesuatu yang tidak dia jangkakan membuat hati ini terasa riang gembira. Geli hati juga melihat gelagatnya pada hari berikutnya.



Waktu itu, aku hanya tersenyum melihatnya gembira. Mana tidaknya, dalam diam aku memberi kepadanya hadiah sempena hari ulangtahun kelahirannya bersama dengan sekeping nota sebagai pengganti diri. Aku masukkan ke dalam begnya saat dia keluar dari kelas pada waktu rehat. Seingat aku hari itu kelas tambahan. Hari itu aku sengaja diam seribu bahasa. Tiada ucapan selamat hari lahir buatnya. Membiarkan dia tertanya-tanya bahawa sahabatnya ini melupakan hari ulangtahunnya kerana sebelum itu dia telah memberikan kepadaku hadiah bersempena ulangtahun kelahiranku. Maka bagi membalas pemberiannya itu sebagai tanda penghargaan, maka tercetuslah idea kejutan tersebut.


Keesokan harinya kelihatan dia menunggu aku di sekolah. Setibanya aku di sekolah dia terus mendapatkan aku. Dia menceritakan kepadaku saat dia membuka begnya untuk memasukkan buku-buku mengikut jadual harian persekolahan. Dia terkejut melihat bungkusan hadiah di dalam begnya. Walaupun tidak seberapa harganya namun cukuplah sekadar membuatkannya gembira. Puas rasa hatiku melihat keceriaannya pada hari itu. Sesekali bersama biarlah menghargai persahabatan ini, biarpun dengan apa cara sekalipun. Kerana tanpa sahabat siapalah diri ini. Mungkin tidak singgah di puncak jaya. Tidak akan pernah merasai nikmat kejayaan.



Hari ini, tanggal 14 Ogos tiba lagi. Biarpun tidak sama lagi seperti ketika bersama dulu, namun ingatan ini tidak pernah lupa pada sahabat setia. Sahabat yang banyak mengajarku erti ketabahan, kesabaran, kekuatan dan kasih sayang. Jurang pengajian tidak pernah membuatkan diri ini lupa padanya. Kerana dia sahabat yang setia. Sahabat kebanggaanku. Sahabat yang tidak pernah lupa saat aku di tempat orang. Sahabat yang tidak pernah sepi khabarnya. Sahabat tempat aku mengadu suka duka perjalanan. Kerana dia sahabat yang memahami. Sahabat yang mengerti.



Dalam kesibukan hari-hari bergelar mahasiswa ini, biarlah ada sedikit waktu untukku mengucapkan ”Selamat Hari Lahir Buatmu Sahabatku”. Biarlah kali ini di ruangan ini membuktikan segalanya. Sahabatmu ini tidak pernah melupakan segala jasa dan pengorbananmu tatkala diri masih mencari kekuatan. Dalam kesepian teman-teman yang lain. Biarpun berjauhan tidak pernah kau lupa. Tidak sunyi skrin telefon bimbit ini dari mesej-mesejmu. Bertanya khabar dan menceritakan perkembanganmu. Aku kagum padamu sahabatku. Berbeza dirimu dengan teman-teman yang lain. Meskipun dekat namun hakikatnya terasa bagai jauh sekali. Kerana aku menilai sahabat-sahabatku. Aku mengerti dengan kesibukan waktu. Tetapi mungkin mereka lupa, aku juga mahasiswa.


Ikhlas aku katakan, aku tidak menginginkan apa-apa dari sahabat-sahabatku. Cukuplah hati ini tenang melihat semuanya berjaya. Namun untuk berbangga dengan kejayaan itu, mungkin terlalu jauh jika beginilah realiti sahabat-sahabatku. Biarlah aku bangga dan kagum denganmu. Bertuah rasanya diri ini memiliki sahabat sepertimu. Biarpun dirimu sekadar sahaja namun tetap menghargai persahabatan ini.



Di kesempatan ini, aku ingin mengucapkan ”Selamat Hari Lahir Sahabatku Nasrullah @ Adik Yo!!!”. Semoga hidupmu diberkati oleh Allah s.w.t. dan semoga kau berjaya dalam bidang pengajianmu. Berjuanglah hingga ke akhirnya. Aku tetap menemani perjuanganmu dan akan terus menyokongmu serta sentiasa mendoakan kebaikan, keselamatan dan kejayaan buatmu. Bersabarlah di atas segala kesempitan yang melanda perjalanan hidupmu. Percayalah bahawa Allah s.w.t itu Maha Adil. Hanya Dia yang Maha Mengetahui semua urusan hidup makhluk-Nya. Jadi, usahlah berputus-asa sahabatku, mudah-mudahan kejayaan menjadi milikmu…







***Sahabatmu***

14 Ogos 2009

12.15 A.M.

No comments:

Post a Comment