Saturday, August 22, 2009

Ramadhan al-Mubarak: Bulan Mendidik Jiwa

Ramadhan tiba lagi selepas setahun meninggalkan kita. Hari ini, umat Islam seluruh dunia mula berpuasa sebagai menyahut seruan dan perintah Allah s.w.t supaya berpuasa di bulan Ramadhan. Puasa di bulan Ramadhan merupakan satu kewajipan yang difardhukan kepada seluruh umat Islam sebagaimana firman Allah s.w.t dalam surah al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud:


“Wahai orang-orang yang beriman! kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.”


Bulan Ramadhan merupakan bulan yang mulia dan satu bulan yang dipenuhi dengan keberkatan yang mana pada bulan ini akan digandakan pahala orang yang berbuat kebaikan dengan hati yang ikhlas dan mengharapkan keampunan dan keredhaan daripada Allah s.w.t. Pada malam harinya pula dijanjikan satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan sebagaimana firman Allah s.w.t dalam surah al-Qadr yang bermaksud:


Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada malam Lailatul-Qadar, Dan apa jalannya Engkau dapat mengetahui apa Dia kebesaran malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril Dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa Segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun Yang berikut); Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!


Allah s.w.t menyediakan kepada umat Muhammad s.a.w satu bulan yang penuh keberkatan dan menjanjikan ganjaran pahala yang berlipat kali ganda untuk diraih oleh kita umat akhir zaman. Justeru itu, di samping kita diwajibkan berpuasa, kita juga digalakkan memperbanyakkan amalan-amalan soleh seperti bersedekah, berzikir, bertadarus, mengerjakan solat sunat dan banyak lagi.


Kedatangan bulan Ramadhan amat dinanti-nantikan oleh setiap orang mukmin kerana bulan yang mulia ini adalah bulan yang terbaik untuk mendidik dan mentarbiah jiwa bagi mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. Hal ini juga kita dapat melihat masjid-masjid dan surau-surau akan dipenuhi oleh semua lapisan masyarakat yang beragama Islam tanpa mengira usia muda mahupun tua untuk sama-sama turun menunaikan solat sunat terawih yang hanya ada pada malam-malam bulan Ramadhan dan tidak ada pada bulan-bulan Islam yang lain.


Begitu indah Ramadhan mendidik jiwa manusia kerana pada bulan ini semua iblis laknatullah dibelenggu oleh Allah s.w.t. Hanya yang ada pada manusia adalah hawa nafsu semata-mata dan setiap manusia itulah berhak memilih sama ada untuk berbuat kebaikan atau kejahatan dengan tanpa paksaan dan gangguan iblis laknatullah. Jadi, Ramadhan mendidik kita supaya melawan hawa nafsu bukannya dari aspek makan dan minum sahaja tetapi juga turut mendidik kita dari sudut akhlak kita. Sesungguhnya mereka yang masih melakukan kejahatan pada bulan ini adalah mereka yang terpedaya dengan pujukan hawa nafsu dan golongan ini adalah termasuk dalam golongan orang-orang yang rugi dan lalai.


Ramadhan juga mendidik kita supaya bersyukur dengan segala apa yang dianugerahkan kepada kita. Bulan ini juga mengajar kita erti lapar dan dahaga yang dirasai oleh golongan fakir miskin selama ini. Selain itu, bulan ini juga mentarbiah jiwa kita supaya tidak membazir dan tidak terlalu bakhil untuk memberi sedekah kepada golongan yang memerlukan. Kita juga dididik dengan kesabaran dan ketabahan dalam menahan hawa nafsu daripada melakukan perkara-perkara yang ditegah oleh Allah s.w.t pada bulan Ramadhan terutamanya ketika sedang berpuasa.


Justeru itu, marilah kita bersama-sama mempertingakatkan amalan-amalan kebaikan dan meninggalkan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah s.w.t agar kita mendapat keredhaan Allah s.w.t serta memperoleh keampunan daripada-Nya. Marilah kita sama-sama menghayati bulan Ramadhan ini dengan mengerjakan amalan yang baik dengan penuh keikhlasan mudah-mudahan kita tergolong dalam golongan yang mendapat pengampunan daripada Allah s.w.t di atas segala dosa-dosa yang telah kita lakukan sepertimana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:


“Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan ihtisaab (kesedaran dan keinsafan serta ketaqwaan) akan diampunkan baginya segala dosa yang telah lalu.”


Oleh itu, marilah kita memperbanyakkan doa kita kepada Allah s.w.t agar segala amalan yang kita kerjakan diterima oleh-Nya dan Allah s.w.t memberkati kita di dunia dan di akhirat kelak, insya-Allah…


P/S: Ana mengucapkan Selamat menyambut bulan Ramadhan al-Mubarak dan Selamat Berpuasa kepada sahabat-sahabat khususnya dan kepada seluruh umat Islam amnya. Mudah-mudahan Ramadhan kali ini adalah Ramadhan yang terbaik bagi diri kita kerana kita belum pasti dapat menemui Ramadhan pada tahun-tahun yang akan datang. Justeru itu, ana berpesan kepada diri ana sendiri dan berpesan kepada sahabat-sahabat sekalian agar dapar mengambil kesempatan pada bulan yang mulia ini untuk mempertingkatkan kualiti amalan kita serta dapat mempertingkatkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah s.w.t…



No comments:

Post a Comment