Sunday, October 18, 2015

Semangat sedikit pudar, minat masih segar..


Setelah sekian lama menyepi, hati terasa ingin menulis kembali. Berbulan-bulan lamanya tidak menitipkan sesuatu di laman Tinta Ukhuwah ini. Entahlah, semangat untuk menulis seakan sedikit pudar biarpun hakikatnya minat itu masih lagi segar.

Mungkin ada yang menanti bingkisan terbaru daripada insan ini. Alhamdulillah masih lagi diberi kekuatan untuk menulis. Ada dua yang terkini sebelum post ini, setelah sekian lama menghilangkan diri. Bukan bermakna insan ini lari tetapi terasa sedikit tawar hati.

Insan ini tidak kisah pun jika tulisan ini tidak ditatap mata. Jauh sekali mengharap untuk dimengerti makna. Biarlah tulisan ini tersimpan kerana ianya mungkin untuk tatapan sendiri di suatu ketika nanti. Sekadar ingin berkongsi, walaupun tidak memberi apa-apa erti.

Maaf jika tulisan-tulisan insan ini sebelum ini dan selepas ini ada yang melukakan hati kerana insan ini hanyalah insan biasa di muka bumi ini. Kesilapan itu mungkin hadir daripada kelemahan diri yang tidak sempurna ini. Walau apa pun yang terjadi, tulisan-tulisan di laman ini adalah hasil keringat minda insan ini mengatur susunan kata menjadi ayat-ayat dengan gaya bahasa yang tersendiri. Insya-Allah.

Jika terasa terketuk beduk hati, anggaplah ianya perkara biasa yang kita sering alami. Jikalau terasa dengan kata-kata, mungkin kita pernah makan nangka, tidak hairanlah jika terkena getahnya. Mungkin juga kita pernah makan cili, tidak hairanlah jika terasa pedasnya. Jadi, bagi insan ini, apa yang baik, kita ambillah sebagai pedoman manakala apa yang tidak baik, jadikanlah ianya sebagai sempadan.


Malas bukan satu alasan tapi satu bentuk halangan yang merugikan. Ya, malas tidak memberi apa-apa manfaat dalam meneruskan kehidupan. Kita perlu bangkit dari lena yang panjang untuk menjadikan hidup ini lebih bermakna. Jangan jadi seperti Pak Belalang yang hanya asyik tidur tidak kira malam mahupun siang hatta melupakan tugasnya mencari nafkah untuk anaknya yang tersayang sehingga sanggup minum ‘kopi’ yang diperbuat dari ketulan dan debuan arang. Meskipun ianya sebuah cerita rekaan namun mesejnya tetap menusuk perasaan dan sesuai diambil pengajaran.

Benar, kita punya tanggungjawab yang perlu kita pikul selama kita bergelar insan. Kita adalah hamba kepada tuhan yang perlu menunaikan hak dan kewajipan. Justeru, rasa malas jangan dijadikan budaya dalam diri kita kerana ia boleh membantutkan potensi sebenar yang ada dalam diri yang seharusnya sentiasa digilap sehingga berkerdipan dan bergemerlapan.

Walaupun tulisan  kali ini kelihatan jauh dari topik asalnya, namun tetap membawa nilai kesedaran jika kita berusaha membuat penilaian untuk dijadikan pengajaran. Bacalah dari sudut pandang kebenaran bukannya dari sudut penghinaan. Kebenaran seringkali bersembunyi di sebalik kejahilan namun pasti akan terserlah bila adanya kekuatan. Kekuatan itulah yang perlu dicari, digali dan dibina sehingga ia benar-benar kelihatan meskipun di hujung perjuangan.

Tangan yang menulis, pena yang mencatat, manakala tinta pula yang mencorak aksara huruf sehingga mampu dibaca dan difahami oleh benak fikiran. Begitulah harga sebuah penulisan yang bertujuan untuk menghidupkan pemikiran disamping memberi peringatan agar kita kembali mencari kekuatan. Semoga dengan kekuatan yang ada akan menampakkan kebenaran yang seringkali bersembunyi ekoran kerana gelapnya kejahilan yang menguasai diri setiap insan.

Teruslah bersama kebenaran sehingga ke hujung perjuangan!

Monday, October 5, 2015

Jaga ibadat, rezeki berkat..


“Duit tak pernah cukup..”
“Tidak tahu laa ke mana duit itu digunakan..”

Begitulah keluhan seorang teman. Selalu merasakan kesempitan wang. Sedangkan setiap hari adanya wang masuk. Keuntungan dari perniagaan barangkali. Justeru, ke mana menghilangnya duit tersebut?. Entah. Yang pasti, saku sentiasa kering.

Jika dikira setiap hari, tidak pernah rugi. Masih ada biarpun sekelumit rezeki. Tapi bila dihitung dan dikira kembali, kenapa tidak berbaki untuk dijadikan simpanan untuk kemudian hari? Malah terpaksa berhutang lagi dan lagi. Jelas nampak buntu. Serabut mengenangkan nasib diri. Namun hidup mesti diteruskan tanpa beralasan lagi. Usaha perlu ditingkatkan bagi mengatasi kemelut yang sering terjadi.

Biasalah hutang masih berbaki. Setiap bulan mesti dibayar ganti sebanyak mana yang dipersetujui sebelum ini. Ya, sebelum dapat berdikari perlu bantuan kewangan untuk mengisi. Lantas pinjaman perlu dibuat sebelum kualiti kerja dapat dipertingkat. Itu perkara biasa pada permulaan, sebelum menempa kejayaan.

Hitung punya hitung, kenapa masih belum mencukupi? Ternyata cukup-cukup untuk belanja sendiri serta buat pusingan modal kembali. Belum sempat juga untuk dibuat simpanan peribadi. Ya. tidak kaya-kaya lagi. Namun itulah rezeki. Sebanyak mana yang diberi, kita nikmati dan perlu kita syukuri.

Ini soal hati. Apakah kita mengerti erti kekayaan yang hakiki? Benar, ianya kekayaan hati. Hati rasa mencukupi dengan rezeki yang Allah beri. Jika kaya itu pada banyak harta, mengapa ramai dalam kalangan orang kaya masih tidak berasa cukup dengan hartanya yang ada?. Sedangkan ramai orang yang miskin tetap berasa cukup dengan rezeki yang diterima walaupun ianya tidak seberapa. Syukur dan redha. Ya, ia soal hati kita memahami erti kaya yang sebenarnya.


“Jagalah hak Allah, insya-Allah Dia akan menjaga hak kita.”
“Ini bukan soal untung atau rugi, ini soal keberkatan dalam rezeki”

Muhasabah kembali diri kita. Selama kita berkerja, bagaimanakah kita menjaga hak Allah dalam diri kita. Ya, soal ibadah kita seperti solat, zakat, puasa dan sebagainya, adakah ia terjaga? Atau kita sering melaksanakan di hujung masa? Jika begitu, sebenarnya kita lebih mengutamakan keuntungan dunia semata-mata sehingga sanggup meletakkan tangggungjawab sebagai hamba di tempat kedua. Jaga ibadat, rezeki berkat. Insya-Allah.

Benar, ia bukan sekadar soal untung atau rugi, tapi ianya soal berkatnya rezeki. Kita lebih takut rugi berbanding memburu keberkatan rezeki. Dengan keberkatan, kita akan mampu menguruskan kewangan kita dengan lebih baik. Benar, kehendak hati terlalu banyak, tetapi kitalah yang perlu memilih dengan bijak. Seringkali kenapa kita gagal mengutamakan yang lebih penting? Salah satunya kerana hilang berkat. Nafsu kita tidak akan tenang selagi kehendaknya tidak dapat.

Seringkali, itu yang berlaku. Itulah realiti. Sepatutnya rezeki yang terlebih itu untuk kegunaan pada perkara atau masa yang lebih penting tetapi kerana tertutupnya pintu hati, maka sebaliknya pula yang terjadi. Kita dikalahkan oleh kehendak hati hingga tidak memenangkan keperluan diri.

Jagalah hak Allah, insya-Allah Dia akan menjaga hak kita. Ya, menjaga seluruh urusan kehidupan kita selama mana kita yakin bahawa urusan rezeki itu milik-Nya. Jangan terlalu mengejar angka keuntungan sehingga melengahkan perintah tuhan, tetapi burulah keberkatan dengan penuh keyakinan bahawa Dialah yang mengatur segala keperluan. Untung dan rugi yang sering terbayang-bayang mengajak kita untuk bergantung sepenuh harapan kepada Tuhan. Burulah keberkatan!

Rezeki akan berkat bila kita tidak abaikan ibadat!

Saturday, October 3, 2015

Kembali bertaut ukhuwah kita..


Tahun 2015, berkesempatan untuk pulang ke kampung halaman dengan lebih kerap pada kali ini. Tahun keempat di bumi kenyalang. Terasa sekejap sahaja. Menimba pengalaman di sini sebelum pulang berbakti ke tanah semenanjung. Insya-Allah tidak lama lagi. Mungkin.

Baru kembali dari halaman bonda minggu lepas. Pulang sempena cuti Hari Raya Aidil Adha setelah tiga tahun beraya di tempat orang. Alhamdulillah, berkesempatan menunaikan ibadah korban pada tahun ini setelah sekian lama bercita-cita untuk melaksanakannya.

Kepulangan kali ini cukup bermakna. Walaupun tidak bertemu ashab seperjuangan, namun dapat berpeluang bersama adik-adik pelajar Meheliah dalam aktiviti riadah dan ziarah. Lama tidak bersama mereka lantaran masing-masing jauh berkelana menuntut ilmu di Universiti al-Azhar, Mesir. Ya, sejak dua tahun yang lalu. Alhamdulillah, kembali bertaut ukhuwah kita.



Kebetulan tahun ini mereka pulang bercuti, dapatlah bersama mereka di gelanggang riadah. Begitulah rutin sebagaimana sebelum ini. Ya, sebelum mereka pergi menuntut ilmu ke sana. Sering bersama-sama dalam aktiviti sukan. Terima kasih atas ajakan untuk saling mengeratkan ukhuwah sesama kita. Maklumlah, seringkali kepulangan sekadar untuk menjenguk keluarga dan kaum kerabat di kampung. Jarang benar ada aktiviti bersama sahabat-sahabat seperjuangan. Sekurang-kurangnya dapat mengisi waktu terluang dengan aktiviti yang berfaedah.

Justeru, kepulangan pada cuti Hari Raya Korban kali ini merupakan kali terakhir dapat bersama-sama adik-adik pelajar sebelum mereka kembali bermusafir jauh ke Timur Tengah untuk menyambung urusan pengajian mereka. Maaf, kerana tidak mempunyai ruang waktu yang banyak untuk bersama-sama kerana insan ini jauh bertugas di kepulauan Borneo ini.

Hanya waktu cuti sahaja dapat pulang ke kampung halaman. Selebihnya perlu mencari rezeki di negeri orang. Mendidik anak-anak generasi ibu pertiwi. Sungguh, insan ini sedaya upaya merebut peluang yang ada untuk bersama-sama adik-adik pelajar yang pulang dari jauh kerana selepas ini entah bila pula mereka akan kembali ke tanah air. Bertahun-tahun lagi pula barulah dapat bersua kembali. Insya-Allah.



Terlalu banyak kenangan bersama telah tercipta meskipun lewat pertemuan ukhuwah ini bertaut dengan mereka. Terima kasih kerana tidak jemu mengajak insan ini untuk aktiviti bersama. Justeru, insan ini semampunya akan cuba untuk terus menghargai ukhuwah yang cukup indah ini.

Benar, ukhuwah tidak mengenal usia. Tidak berkira jauh mahupun dekat. Selama mana kita beriman pada Allah Yang Maha Esa, selama itulah kita bersaudara. Sungguh, Islam mengutamakan ukhuwah sesama manusia.

“Tidak sempurna iman seseorang daripada kamu sehinggalah dia mengasihi saudaranya apa yang dia suka untuk dirinya.”

Begitulah mafhum sabda junjungan baginda Nabi Muhammad s.a.w. Untuk mencapai kesempurnaan iman, kita mesti saling mengasihi sesama saudara kita sebagaimana kita mengasihi diri kita sendiri.


Berkasih sayang sesama saudara, semoga iman semakin sempurna!

Monday, January 19, 2015

Berukhuwah sememangnya indah..


Hari ini, insan ini masih berada di bumi Sarawak untuk tahun yang keempat. Alhamdulillah kerana masih diberi kesempatan untuk terus berkhidmat di kepulauan Borneo ini. Ketika kebanyakan teman yang pernah bersama-sama melalui perjuangan di sini telah berangkat pulang ke tanah semenanjung, insan ini masih lagi berada di sini untuk terus menabur bakti kepada generasi ibu pertiwi.

Meskipun saban hari kelihatan semakin sepi dari gelak tawa teman-teman terdahulu, namun perjuangan mesti diteruskan demi anak bangsa. Segala kenangan bersama teman-teman akan tersimpan utuh di pentas sanubari insan ini. Insan ini mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada teman-teman yang banyak membantu dari awal keberadaan insan ini di negeri asing ini. Sungguh, berukhuwah sememangnya indah!

Jauh dari keluarga, sanak saudara dan sahabat-sahabat di kampung halaman merentas Laut Cina Selatan pastinya menggamit kerinduan yang kadangkala singgah mengusik lubuk hati insan ini. Siapa sangka, pejam celik pejam celik sudah hampir tiga tahun berada di sini. Terasa sekejap sahaja. Mungkin kerana insan ini tidak terlalu memikirkan untuk pulang berkhidmat di semenanjung lagi buat masa ini menyebabkan insan ini mampu menyerap tekanan perasaan yang sering melanda kebanyakan teman-teman yang lain.

Insya-Allah suatu hari nanti insan ini akan ditukarkan kembali ke semenanjung. Biarlah buat masa ini berada di sini untuk menimba sebanyak mungkin pengalaman berada di tempat orang. Masa akan menjawab segala-galanya. Kita hanya merancang, Allah sebaik-baik perancangan.

Memori cuti hujung tahun..



Di kesempatan ini, insan ini ingin mengucapkan tahniah buat sahabat seperjuangan yang telah menamatkan zaman bujang pada cuti akhir tahun yang lalu. Tahniah buat saudara Ahmad Saifullah Bin Nawi dan isteri. Tidak dilupa juga ucapan tahniah buat saudara Muhammad Syibly Bin Hussin dan isteri atas mahligai yang dibina. Mudah-mudahan diberkati oleh Allah s.w.t dan berbahagia hingga ke syurga-Nya nanti.



Ya, cuti hujung tahun 2014 yang lalu berkesempatan meraikan hubungan ukhuwah bersama-sama ashab seperjuangan. Biarpun suasana tidak seperti dulu, namun tetap cukup bermakna dalam mengisi diari ukhuwah pada cuti hujung tahun yang lalu. Berkesempatan bersama-sama dengan ashab seperjuangan dalam beberapa aktiviti yang dirancang bersama. Sepastinya permainan futsal dan badminton menjadi pilihan warga tinta ukhuwah.

Selain itu, majlis menjamu selera juga turut diadakan. Walaupun tidak ramai yang dapat hadir ke majlis tersebut namun ianya tetap membuktikan bahawa persahabatan yang terbina sejak di bangku sekolah masih lagi utuh walaupun ramai dalam kalangan warga tinta ukhuwah yang telah berumah tangga. Namun ianya bukannya alasan untuk tidak bersama-sama dalam aktiviti-aktiviti yang dirancang.

Terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan aktiviti ukhuwah sepanjang cuti akhir tahun yang lalu. Mudah-mudahan, kita dapat menganjurkannya lagi pada masa yang akan datang. Insya-Allah..

Benar sekali, berukhuwah sememangnya indah!