Wednesday, November 30, 2011

Dari respon sebuah catatan..



Salam, sihat ko loni?
Wi ayat nie lalu dio, segho kito..

Begitulah antara lembaran mesej yang singgah di ruangan message FB insan ini selepas post Mencari nilai ukhuwah.. disiarkan di laman blog Tinta Ukhuwah baru-baru ini. Jutaan terima kasih dan penghargaan kerana sudi meluangkan masa seketika membaca catatan di laman ini. Alhamdulillah, masih ada insan yang sudi berkunjung dan mengikuti perkembangan blog Tinta Ukhuwah ini. Sekadar coretan biasa, sepanjang pemerhatian insan ini terhadap hubungan ukhuwah sejak akhir-akhir ini. Di sebalik itu, rupa-rupanya masih ada hati yang mengerti dan memahami serta menghargai kewujudan laman blog ini.

Hingga ke saat ini, insan ini melihat, memerhati dan menilai perkembangan ukhuwah ini dari semasa ke semasa. Mendengar dan memerhati setiap kali saat berbicara dengan teman-teman. Mendengar dan meneliti luahan sahabat-sahabat terhadap ukhuwah ini. Seakan ada yang tidak kena’ antara sesama kita selepas tidak lagi berada sebumbung dalam perjuangan ini sama ada kita sedari atau pun sebaliknya.

Terlebih dahulu insan ini memohon kemaafan jika ada yang terasa. Kerana sememangnya ada yang terasa. Juga jika sepatutnya, tulisan seperti itu tidak perlu wujud. Ketahuilah tulisan itu tidak ditujukan secara khusus kepada sesiapa pun dalam kalangan kita sebaliknya berbentuk umum semata-mata. Jadi sesiapa pun layak membaca dan menilainya termasuk insan ini biarpun hanya sekadar melepaskan batuk ditangga. Insan ini tidak pernah memaksa, sebaliknya hanya berkongsi sesama kita. Jika ada yang ingin membacanya, silakan. Jika tidak mahu, abaikan sahaja. Malah jika tidak berminat singgah ke laman Tinta Ukhuwah ini pun tidak mengapa. Tidak ada kepentingan bersifat peribadi dari insan ini.

Di sebalik tulisan dan catatan..


“Rajin la menulis. Sapo nok baco ?”
“Goni pun nok tulis ko?”

Itulah sering bersarang di hati dan minda kita. Kadang-kadang ianya singgah juga di fikiran insan ini. Ianya sering menjadi penghalang untuk meneruskan idea penulisan untuk di‘post’kan di laman ini. Pematah semangat sungguh ayat-ayat ini!!! Bukan mudah untuk menulis sesuatu untuk di‘post’kan bagi tatapan umum. Insan ini mengakuinya, kerana sepanjang menulis di laman blog ini ianya bukan sesuatu perkara yang mudah. Perlu sabar dan kuat semangat jika mahu menyiapkan sesuatu tulisan. Biarpun ianya tidak bernilai pada kaca mata orang lain, tetapi bagi insan ini ianya amat bernilai kerana berjaya mengatasi halangan yang sering wujud.

Menulis tentang ukhuwah, pastinya bukan perkara yang mudah kerana boleh menimbulkan pelbagai persepsi sama ada positif atau pun negatif. Mungkin akan ada dalam kalangan teman-teman yang kurang senang dan tidak bersetuju terhadap sesuatu tulisan. Itu adalah perkara biasa bagi insan ini. Bukan bermaksud merendah dan meremehkan ukhuwah ini dalam tatapan umum, kerana insan ini sedia maklum lumrah berukhuwah. Sekadar untuk kita sama-sama meneliti dan menilai situasi ukhuwah kita. Jika hanya mengetahui lumrahnya, percayalah lumrah itu bukan sekadar ketentuan semata-mata, tetapi ianya berubah mengikut komitmen dan peranan setiap insan dalam sesebuah ukhuwah. Ada sebab dan musababnya. Dan kita adalah sebab dan musabab terhadap ukhuwah kita.

Bagi insan ini, apa pun persepsi terhadap tulisan dan diri ini, akan menerimanya seadanya. Tiada apa yang boleh mengubah pendirian terhadap kenyataan yang telah dan akan dicatat dalam laman blog ini. Insan ini juga terbuka menerima apa-apa pandangan daripada teman-teman terhadap tulisan mahupun terhadap diri insan yang kerdil ini dan sedia menerima sebarang perkongsian dari sahabat-sahabat semuanya.

Insan ini harus kuat. Sekalipun tiada sesiapa yang ingin membaca tulisan di laman ini. Insan ini akan terus menulis. Teringat kepada pesanan dan nasihat seorang sahabat kepada insan ini. Biarpun apa yang kita buat hari ini tidak dihargai, teruskanlah perjuangan itu dengan penuh keikhlasan dan keyakinan. Insya-Allah, mudah-mudahan diberkati. Kita jangan melihat nilainya hari ini, kerana mungkin ia bernilai suatu hari nanti.”

Mengingatkan kata-kata itu, memberi semangat untuk meneruskan perjuangan ini. Menulis selagi dan sekadar termampu. Bukan penghargaan yang dicari tetapi kepuasan terhadap minat yang wujud dalam diri. Bagi insan ini, menulis memberi kepuasan dan nikmat yang tersendiri. Melapangkan hati dan menenangkan jiwa. Selain itu, ianya terus mengasah minda dan menambah ilmu pengetahuan. Biarpun ia hanya sekadar tulisan biasa. Tetapi ianya cukup bermakna untuk diri ini. Berkongsi dengan sesiapa sahaja. Walaupun tidak semua memberi manfaat tetapi pasti ada biarpun cuma sedikit. Teringat kata-kata yang telah diungkapkan oleh Imam Syafie: Jika tidak boleh buat semua, jangan tinggal semua.

Di sebalik pertanyaan dan persoalan..


 “Guano awe tu loni?”
Awe tu ado sini ko?

Kerap kali persoalan ini timbul menanyakan keadaan dan keberadaan teman-teman kepada insan ini. Bagaikan diri ini mengetahui semua perkara yang melibatkan perihal teman-teman kebelakangan ini. Insan ini hanya mampu memberi jawapan sekadar yang diketahui. Selebihnya jujur insan ini katakan, ana tidak tahu! Mengapa perkara ini boleh terjadi? Bagai ada garis pemisah antara kita sesama kita. Kenapa tidak terus bertanya kepada empunya diri sedangkan banyak cara untuk berhubung? Adakah semakin maju teknologi, semakin susah untuk kita berhubung sesama kita?

Ketahuilah, insan bukan ditugaskan untuk mengeratkan kembali ukhuwah ini selepas perpisahan terjadi. Bukan!!! Sedikit pun laman blog ini bukan semata-mata hanya untuk ukhuwah ini. Diri ini hanya seorang sahabat sebagaimana insan lain dalam meniti ukhuwah ini. Usaha insan ini amat sedikit jika kerana laman ini berbanding peranan teman-teman kepada insan ini selama pertemuan dan ukhuwah ini. Seandainya ukhuwah ini masih ada dan masih akrab, Alhamdulillah. Tetapi jika sebaliknya, insan ini redha dan pasrah. Mungkin itulah kehendak kita semua terhadap ukhuwah ini kerana semuanya bergantung kepada diri kita sendiri. Seperti yang insan ini tegaskan sebelum ini, kita sendiri yang memberi nilai kepada ukhuwah kita.

Menilai keadaan ini, sudah dapat dilihat situasi ukhuwah kita hari ini. Seakan semakin renggang. Tidak lagi seakrab dulu. Hinggakan khabar teman-teman sendiri diketahui daripada orang lain. Biarkanlah mungkin tidak mengapa kerana itu pilihan kita masing-masing. Mungkin situasi kini serta jarak dan masa membataskan segala-galanya untuk memberi komitmen terhadap ukhuwah kita. Mungkin itulah alasan yang sering kukuh dalam hati dan minda kita.

Di sebalik luahan dan keluhan..


Kawe tok leh ‘gi’ nga dia tu
Time nok kito, cari la kito nie, time dok gak, senyap deep

Antara luahan dan keluhan yang sering kedengaran kini. Bukan untuk mengata atau menduga, tetapi ianya perlu diperkata untuk muhasabah bersama. Rasailah kerenggangan ukhuwah yang terjadi ketika ini. Ini adalah realiti, bukannya fantasi mahupun ilusi. Bukan untuk menyalahkan sesiapa, sekadar melihat kembali ke dalam diri kita. Apa yang sedang kita lakukan untuk ukhuwah kita.

Ada kekusutan yang diluahkan. Ketidak selesaan dan ketidak sefahaman terhadap teman-teman. Tidak sejalan dan tidak sebulu. Entah di mana puncanya. Carilah kebenaran bukannya kemenangan jika wujud kekhilafan. Berlapang dadalah dan jangan berkeras hati. Seperti apa yang telah ana sebutkan dalam post Rindu kemesraan itu.. sebelum ini. Belajarlah untuk lebih berlapang dada serta meraikan dan menghormati pandangan sesama kita jika ada khilaf pandangan. Sedangkan khilaf pendapat itu rahmat. Mengapa kita tidak mahu menerima rahmat itu, hanya kerana sikap ego yang bersarang dalam diri kita? Tujuan kita belajar bukan untuk kita menunjukkan kehebatan ataupun kepakaran kita dalam apa-apa bidang yang kita ceburi, tapi untuk kita mencari kebenaran dan memburu keredhaan Allah s.w.t.

Untuk apa kita berkeras hati dan bersikap ego terhadap pandangan peribadi kita biarpun berdasarkan hujah daripada sumber yang kuat sehingga mengeruhkan dan mengelakkan diri daripada ukhuwah sesama kita? Adakah itu yang kita cari? Kemegahan, kemenangan, ketinggian ilmu, kepakaran dan sebagainya sehingga membuang ukhuwah kita jauh ke tepi. Jika itu, selidik kembali hati kita, ada sesuatu yang tidak kena. Ikutlah resmi padi, semakin berisi semakin tunduk ke bumi. Jangan jadi seperti lalang, semakin tinggi semakin megah berdiri. Ikut rasa, binasa. Ikut hati, mati. Ikutlah iman, pasti aman.

Mungkin sebenarnya ia tidak perlu diluahkan kepada sesiapa. Kita sedia tahu, kita tidak pernah kisah. Biarpun hanya masa memerlukan, kita diperlukan dalam ukhuwah ini. Sekurang-kurangnya ada yang masih mengigati dan memerlukan kita. Tetapi benarkah begitu sejarah ukhuwah kita selama ini? Di saat kesempitan ukhuwah dicari, di saat kelapangan ukhuwah dibiar sepi seperti ianya tidak penting untuk wujud dalam hidup ini.

Tepuk dada, tanya diri kita. Masing-masing lebih mengetahui dan memahaminya. Bukan apa kita terima dari ukhuwah, tapi apa kita beri untuk ukhuwah. Memberi untuk saling menerima. Berkongsi untuk saling menghargai. Mungkin itulah yang terbaik untuk mengeratkan ukhuwah. Mewujudkan kembali kemesraan yang kian pudar ini.

Di sebalik perubahan dan harapan..


Mengapa sikapnya berubah? Tidak seperti dulu..
Indahnya jika kemesraannya seperti dulu..

Perubahan adalah perkara lumrah dalam kehidupan. Seperti kita, teman-teman juga layak berubah. Kita berubah dengan cara kita masing-masing. Perubahan yang mungkin menjadi pendirian kita. Ketetapan hati dan fokus kita terhadap sesuatu perkara akan berubah mengikut keperluan dan keselesaan kita. Jadi, perubahan menjadi lumrah bagi setiap manusia.

Begitu juga dengan perubahan sikap yang kadang-kadang menyebabkan perubahan suasana dan perasaan kita dalam berukhuwah. Perubahan mungkin disebabkan oleh hilangnya rasa kemanisan dalam berukhuwah. Berasa tawarnya ukhuwah yang terjalin kini biarpun suatu ketika pernah menampakkan kemesraannya dan merasai kemanisannya. Mengharap kemesraan yang dulu menjelma kembali. Begitulah kita bila merasai kehilangan. Renunglah kembali diri kita, adakah kita menghargai kemesraan dan kemanisan yang pernah hadir suatu ketika dulu? Atau adakah kita hanya bersikap habis madu sepah dibuang?

Jangan hanya menilai orang lain sedangkan kita tidak pula menilai diri kita. Jika kemesraan itu hilang dalam ukhuwah itu, tanyalah diri kita, perlukah kita sendiri membawa kemesraan yang ada dalam diri kita ke dalam ukhuwah itu? Jika ya, teruslah membawanya. Jika tidak, berusahalah membawanya. Atau kita sekadar hanya ingin merasai daripada yang lain tanpa memberinya? Jika ya, silap kita. Jika tidak, mulakanlah memberi. Insya-Allah, akan kita merasai kemesraan dan kemanisan itu nanti.

Mampukah kita???
Melihat kesuraman ini. Memandang keserasian yang kian hilang. Memerhati keretakan dalam perhubungan, cukup perit seandainya dinilai kembali. Kemesraan dicipta bagai terputus hanya kerana alasan tidak lagi bersama-sama mengharungi perjuangan. Jika ukhuwah ini hanya wujud ketika bersama, sesungguhnya ukhuwah ini hanya seperti trademark bagi iklan biskut chipsmore, kejap ada kejap tiada. Yang pastinya, lebih banyak tiada daripada ada!!!.

Adakah kita hanya memerhati keadaan yang berlaku kini? Adakah kita akan melarikan diri dari ukhuwah ini? Membiarkan kesuraman terus merajai ukhuwah ini disebabkan sikap tidak pedulisme kita. Menyemai benih-benih racun dalam taman ukhuwah kita. Racun yang sedikit demi sedikit akan terus mengersangkan taman ukhuwah ini. Akhirnya tandus dan sepi meninggalkan semua kenangan sepanjang ikatan ukhuwah ini.

Mampukah kita mengubahnya kembali? Kembali membina kemesraan itu. Biarpun tidak serancak suatu ketika dulu. Namun pastikan taman ukhuwah ini terus subur. Ketika bersama, subur dengan kemesraan dan kasih sayang, ketika berjauhan, subur dengan ingatan dan perhubungan. Agar tanah ukhuwah yang tandus dan gersang kini, akan gembur dan subur lagi dengan keindahan bunga cinta dan kemanisan kasih mesra dalam menghasilkan benih penghargaan dalam ikatan ukhuwah kita.

Agar taman ukhuwah terus subur, marilah terus berukhuwah biarpun telah terpisah!!!

Monday, November 28, 2011

Menempuhi gerbang perkahwinan...

Selamat Pengantin Baru!!!
Barakallah lakuma wa baraka ‘alaikuma wa jama’a bainakuma fil khoir
Ucapan dan doa mengiringi perjalanan dan perjuangan sahabat yang sedang melangkah ke fasa baru kehidupan iaitu kehidupan berumah tangga. Tahniah diucapkan kepada Eyie dan pasangannya, Sue yang telah disatukan dengan ikatan yang sah sebagai suami dan isteri. Semoga pernikahan ini diberkati oleh Allah s.w.t dan semoga berbahagia hingga ke akhir hayat dan meneruskan delegasi umat yang soleh dan solehah.
Post kali ini bukan untuk menceritakan majlis walimah sahabat kita tetapi bagi merakamkan ucapan tahniah kepada kedua pasangan pengantin dan tanda kesyukuran kita meraikan hari yang bahagia bagi sahabat kita. Mudah-mudah dengan keberadaan kita bersama meraikannya akan lebih membahagiakan kedua-dua pasangan mempelai yang baru menempuhi gerbang perkahwinan.
Alhamdulillah, semakin ramai sahabat kita yang telah mendirikan rumah tangga. Begitulah perubahan yang berlaku saban hari. Jodoh pertemuan itu ketentuan Allah s.w.t. Teruslah berusaha dan bersabar dalam usaha mendapatkannya. Panjatkan doa kepada-Nya agar dikurniakan pasangan hidup yang baik agamanya, berasal dari keturunan yang baik dan memiliki kecantikan yang mampu menenangkan jiwa kita serta mempunyai harta yang baik lagi berkat sebagaimana ciri-ciri pasangan yang telah diperkatakan oleh Nabi Muhammad s.a.w melalui sabdanya: “Dinikahi seseorang wanita itu kerana empat perkara; hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka pilihlah yang beragama, nescaya kamu akan beroleh keuntungan.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Bersatu dua jiwa..
Juga tidak dilupakan ucapan tahniah dan doa kepada sahabat seperjuangan kita Jijie dan pasangannya Madihah, yang telah melangsungkan perkahwinan di bumi Mesir sana pada hari raya Aidilfitri yang lalu. Jauh berkelana, bersatu jua akhirnya nun jauh di bumi anbiya’. Biarpun tidak berkesempatan meraikannya bersama-sama, namun doa kami akan terus mengiringi perjalanan dan perjuangan kalian. Akhirnya bersatu dua jiwa. Tahniah!!! Semoga Allah memberkati pernikahan kalian dan semoga berbahagia hingga ke akhirnya. Teruslah mencipta syurga dalam rumah tangga dengan ketulusan cinta kepada-Nya.
Firman Allah s.w.t dalam surah al-Rum ayat 21 yang bermaksud: “Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri supaya kamu cenderung dan berasa tenteram kepadanya dan dijadikan-Nya antara kamu rasa kasih sayang dan rahmah.” Begitulah lumrahnya hidup ini, setiap manusia mengimpikan pasangan hidup masing-masing. Lelaki inginkan wanita dan begitulah sebaliknya. Saling memerlukan antara satu sama yang lain  bagi memenuhi tuntutan zahir dan batin.
Itulah realitinya, daripada satu menjadi dua dan seterusnya berkembang menjadi sebuah keluarga yang lebih besar. Agar ummah terus berkembang, berkahwinlah jika berkemampuan kerana Rasulullah s.a.w sendiri berbangga mempunyai umat yang ramai. Agar perhubungan yang halal antara lelaki dan perempuan tidak dimulakan dengan yang haram seperti kebanyakan manusia pada zaman ini. Berhati-hatilah kita dalam pergaulan dengan insan yang bukan muhrim kepada kita. Jagalah batasan adab dan pergaulan seperti yang telah digariskan dalam syariat Islam.
Agar cinta sampai ke syurga, sulamilah ianya dengan iman dan taqwa!!!

Monday, November 21, 2011

Masam manis ukhuwah ini...




Laman Tinta Ukhuwah kali ini cuba membawa kembali sebahagian kisah ukhuwah ini. Kisah yang masih segar di ingatan insan ini. Mungkin sebagai catatan biasa bagi menghiasi laman tinta ukhuwah ini atau mungkin ianya bermakna bagi yang pernah melaluinya. Sejujurnya, sepanjang tempoh mengenali ukhuwah ini, banyak ceritanya, tetapi bukan semua yang ingin dicoret dalam catatan ini. Sekadar apa yang ingin ditulis mengikut gerak hati insan yang maha kerdil ini.
Masam manis ukhuwah ini.. Itulah tajuk post kali ini. Puas memikirkannya. Akhirnya itulah yang mungkin sesuai untuk menggambarkannya. Warna-warni dalam berukhuwah, meniti manisnya ikatan atas dasar ukhuwah fillah.
Masihkah kita ingat??? Inilah persoalan yang paling sesuai sebagai muqaddimahnya. Episod ukhuwah ini tanda keakraban dan kemesraan kita. Atas jalinan persahabatan yang kita bina di alam remaja. Mudah-mudahan ianya berkekalan selama-lamanya.
Di sini bermula..



Meheliah.. Di sini bermula ukhuwah kita. Kita bertemu, bertegur sapa. Saling berkenalan sesama kita membina ikatan persahabatan. Di sini juga medan perjuangan kita. Menimba ilmu memburu kejayaan dan mencipta kenangan. Asam garam kehidupan kita terukir disini.
Di sini terkandung pelbagai kisah ukhuwah ini. Tujuh tahun berkongsi cerita susah dan senang di bumi bersejarah Meheliah. Keakraban, kemesraan, kesatuan dan kesetiaan mewarnai ukhuwah kita. Kisah kenakalan budak-budak sekolah yang sarat dengan kisah pemberontakan jiwa. Episod masam manis dengan warga pendidiknya. Babak di kantin sekolah dengan menu-menu kegemaran yang menjadi asal usul gelaran dalam kalangan kita. Cerita zaman kegemilangan nasyid dan kadet bomba sekolah. Diari study group, Qiamullail, gerai sewaktu ceramah dan pasaria sekolah terpahat indah. Semuanya memberi makna tersendiri kepada ukhuwah ini.



Di sini juga perpisahan kita setelah tujuh tahun bersama. Berkenalan, bersahabat, dan kemudian berpisah. Itulah lumrah kehidupan. Berpisah membawa haluan perjuangan hidup masing-masing. Membawa episod ukhuwah kita untuk dikenang sehingga ke saat ini.
Kejutan dalam berukhuwah..



Masih ingatkah kita? Satu kejutan buat sahabat kita. Ianya melakar memori tersendiri buat ukhuwah ini. Kejutan sambutan hari kelahiran buat sahabat kita Abe Rooney As-As suatu ketika dulu. Biarpun sambutan secara ringkas diadakan di sebuah bilik darjah bangunan Abu Bakar As-Siddiq SMU (A) Meheliah Geting, namun ianya memberi makna yang tersendiri buat ukhuwah ini umumnya dan buat empunya diri khususnya.
Aktiviti yang dirancang tanpa pengetahuannya. Alhamdulillah, ianya berjaya direalisasikan dengan kesepakatan dan kesatuan ukhuwah kita biarpun dalam suasana penuh kesederhanaan pada lewat petang itu. Manisnya ukhuwah itu bila dikenang kembali. Kejutan penuh makna itulah mewarnai persahabatan kita. Sambutan di luar jangkaan itu membenih kemesraan dan penghargaan.
Tiada siapa menduga, tiada siapa menyangka, ada usaha yang dibuat ke arah itu. Sekali imbas, ianya seakan satu idea yang tidak pernah terlintas sebelum itu oleh kebanyakan kita. Itulah aktiviti yang belum pernah dibuat sepanjang ukhuwah kita sebelum ini, berjaya dilaksanakan dengan kerjasama sesama kita. Begitulah indahnya ukhuwah kita yang sarat dengan memori yang tercipta.
Sekadar lakonan semata-mata..



Masih segar di ingatan, lakonan bersahaja bersama sahabat-sahabat pada zaman yang penuh kenakalan dahulu. Biarpun waktu itu, sibuk dengan peperiksaan STAM, namun masih sempat merakam cerita lawak pendek. Pastinya cerita sembahyang mayat. Penuh dengan lawak jenaka. Di ketuai Mat Yie Tibek dengan barisan pelakon-pelakon terkenal di kalangan kita sepanjang sejarah ukhuwah kita. Satu rakaman yang menjadi bahan jenaka ketika itu. Biarlah hanya kita yang mengetahuinya. Jika rakaman itu masih tersimpan, usahlah disebarkan bimbang menimbulkan fitnah dan keaiban. Sekadar lakonan semata-mata. Tiada kena mengena dengan yang hidup mahupun yang telah mati. Cukup hanya kita!
Bertukar!!!” Bertukar menjadi cerek air. Lakonan Mat Yie dan Bie. Rakaman bersahaja yang menggelikan hati saat itu. Macam-macam karenah sahabat yang sukar dilupakan. Menghiburkan suasana dan menghilangkan stress belajar. Seperti mahu pecah perut mengilai, ketawa dengan aksi-aksi mereka lewat tengah malam itu. Menjadi kenangan meniti perjalanan. Antara babak lakonan yang masih segar di ingatan semasa berkampung di Dewan Islah Bahasa Arab semasa dalam perjuangan peperiksaan STAM 2006 di Meheliah.
Itu belum lagi rakaman mem‘buli’ Ayih yang hanya mampu meminta tolong oleh Jijie dan teman-teman. Usik-mengusik, sakat-menyakat adalah kebiasaan yang wujud dalam ukhuwah ini. Gurauan bersahaja daripada teman-teman kepada sahabat yang sering menjadi sasaran. Begitulah Ayih yang sering dijadikan sasaran sebagai “mangsa buli” dalam kalangan sahabat hingga ke hari ini. Hanya gurauan semata-mata saat bersama. Tidak ada niat menyakitkan hati. Jika terasa, maafkan kami!!!
Kenangan pahit jadi teladan..



Sekali imbas pahit terasa. Dua kali imbas nak tergelak pun ada. Apa ke halnya? Nak bakar pondok ke?!!! Itulah kenangan aktiviti bakar ayam di pondok kediaman Jai dan Pang yang tidak menjadi. Terpaksa aktiviti itu berpindah ke Pantai Geting. Biarpun dalam dilema, namun aktiviti itu berjaya juga diadakan biarpun keadaan masih hangat ketika itu. Sehangat bara api yang membakar ayam sehingga dapat dinikmati rasanya.
Melewati secara ringkas plot kisah pahit memori ini pasti mencuit hati. Apa tidaknya, sampai menjadi isu yang hangat, bual cerita ukhuwah kita. Seperti biasa, kata sepakat diambil mengadakan BBQ di pondok tersebut. Malam itu juga berserta dengan azam dan impian untuk menonton bola sepak sehingga dengan penuh semangat sahabat-sahabat berusaha membawa TV ke pondok tersebut. Sedang sebahagian teman-teman tengah syok menyalakan bara api manakala sebahagian yang lain sedang khusyuk membaiki siaran televisyen sambil dengan cerita bolanya, sekali Abe Ba datang. Masing-masing tersentak. Apa lagi, di rampasnya TV itu, dan dilarangnya kami bakar ayam di kawasan pondok itu. Adoiii terkena malam tu!!! Kena syarah!!! Terpaksalah berpindah lokasi meneruskan aktiviti bakar ayam ke Pantai Geting dan impian menonton bola sepak sebelum itu, hanya tinggal impian.
Mengingati kisah ini, sepastinya menjadi teladan pada semua. Jangan buat sesuatu sesuka hati di tempat orang. Lebih-lebih lagi di tempat larangan. Kadang-kadang sikap ikut suka hati yang tidak kena pada tempatnya inilah mengakibatkan insiden seperti itu terjadi. Namun itulah antara kenangan pahit yang menjadi memori yang melucukan dalam ukhuwah ini. Mengingatinya mencuit perasaan. Antara kekesalan dan kelucuan. Mewarnai ukhuwah kita.
Perkhemahan ukhuwah kita..



Masihkah kita ingat? Perkhemahan ukhuwah kita di Pantai Sri Tujuh. Di lokasi bersejarah buat kita. Mengadakan aktiviti BBQ bersama teman-teman lama. Kita bergotong-royong membina khemah untuk bermalam di situ. Semalaman di sana, banyak cerita indah di dalamnya. Biarpun cuaca tidak begitu baik pada malam itu namun ianya tidak mematahkan semangat kita. Bila menatap kembali potret kenangan yang masih ada dalam simpanan, pasti menggelikan hati. Wajah-wajah comel zaman awal remaja pasti akan membuatkan kita ketawa sendiri.
Dalam keadaan hujan lebat dan kegelapan malam itu, kita bersatu meneruskan aktiviti BBQ kita. Kepanasan bara api menghangatkan diri kita saat itu. Seingat ana, bukan mudah menyalakan bara api dalam keadaan basah. Hanya yang ada lighter dan arang. Berusaha kita menghidupkannya dengan pelbagai cara. Cerita di awal pagi sebelum menjelang subuh, kita terpaksa membasuh ayam yang sedikit berbau kerana terlupa dicampurkan ke dalam hawas sedia ada. Kesejukan air terpaksa diredah sahabat-sahabat untuk membersihkannya. Dalam kegelapan malam itu, hanya berbekalkan bantuan cahaya lampu suluh kita menyambung usaha membakar ayam sampai ke pagi. Tidur pada malam itu tidak seenak tidur di rumah kerana kesejukan dan berperang dengan nyamuk.
Itulah lokasi penuh bersejarah dalam ukhuwah kita. Lokasi aktiviti-aktiviti BBQ kita. Tempat pemberontakan kita menumbangkan pokok rhu. Tempat kita berlumba lari dan bermain bola. Semuanya terangkum di situ. Kenangan manis kita bersama saat itu dalam membina ukhuwah persahabatan ini.
Juga pernah kita mengadakan BBQ di tepi pantai sana. Kita bermalam beralaskan tikar di situ. Mujurlah cuaca hari itu sangat elok. Kita boleh bermalam dengan tenang biarpun dalam kesejukan angin pantai di malam hari. Inilah antara kisah ukhuwah kita. Kita bersatu hati menjayakan setiap aktiviti yang dirancang. Kita mencipta suasana ukhuwah yang begitu manis untuk dikenang sepanjang perjalanan.
Menjelajah membina ukhuwah..



Jauh kita menjelajah membina ukhuwah. Merentas masa, melewati usia hingga melintas sempadan negeri. Bukan di Meheliah sahaja ukhuwah kita. Jauhnya membelah jalanan. Sepastinya, ekspedisi kembara ukhuwah ke Lata Tembakah menjadi ingatan yang akan terus terpahat di hati. Bersuka ria, mandi-manda, dan berBBQ sambil menikmati keindahan alam semula jadi ciptaan Allah s.w.t.
Jika sebelum ini kerap kali kita memilih lokasi yang hampir dengan kita, tapi sekali sekala kita membawa ukhuwah melancong sedikit jauh. Memberi suasana dan pengalaman yang berbeza kepada kita. Itulah ukhuwah kita. Tidak habis dengan pelbagai episod dan cerita untuk diperkata. Manisnya ukhuwah yang terbina biarpun seketika bersama.



Menjadi kebiasaan, menyewa dua buah kereta sewa untuk ke sana. Kita bersepakat dari segi kewangan dan persiapan dalam menjayakan ekspedisi kembara kita. Perjalanan kita dirancang arah tujuannya terlebih dahulu. Jauh perjalanan, luas pemandangan, serta banyak pengalaman. Ekspedisi kembara ukhuwah ke Lata Tembakah turut mewarnai ukhuwah kita.
Masih bersambung episod ini..



Hingga saat ini, episod ukhuwah kita terus bersambung biarpun tidak serancak dulu. Pelbagai aktiviti terus diadakan bagi mengeratkan lagi ukhuwah kita. Biarpun dalam kesibukan masa terhadap komitmen hidup masing-masing, namun ia masih mampu direalisasikan dengan kesepakatan kita bersama.
Aktiviti ringkas seperti berkumpul di hari raya, perlawanan futsal, perjumpaan di kedai kopi, dan BBQ terus diadakan bagi mengembalikan keakraban ukhuwah kita. Itulah aktiviti bersama kita hingga ke hari ini. Alhamdulillah… Masih bersambung episod itu.
Dengan kesepakatan dan kesatuan kita dalam berukhuwah, kita masih boleh menjayakan aktiviti-aktiviti masa lapang kita bersama. Tidak mustahil dengan kesepakatan dan kesatuan yang ditunjukkan ini, suatu hari nanti kita mampu mengadakan aktiviti yang lebih menarik seperti menganjurkan Hari Keluarga buat ukhuwah kita. Insya-Allah..
Kita pernah bersama mewarnainya…



Memori itu, menjadi bukti kita pernah bersama mewarnainya. Kita menghiasi ukhuwah ini dengan pelbagai corak dan ragam. Kenangan pahit manis perjalanan sepanjang ukhuwah kita. Darinya wujud kemesraan, penghargaan, gelak tawa, serta suka duka dalam ukhuwah ini. Indahnya kerana kesatuan kita dalam mengharunginya serta gelagat dan karenah kita yang pelbagai mencorak warna-warni persahabatan.
Begitulah sebahagian ingatan episod ukhuwah kita. Masam manis perjuangan kita. Biarpun masih banyak lagi yang menjadi kenangan kita bersama tetapi inilah antara kisah yang jelas membuktikan keakraban ukhuwah kita. Kita menciptanya dengan penuh keindahan dan kenangan. Menikmati setiap detik waktu bersama dalam menghargai persahabatan ini.
Episod itu kenangan kita hari ini, teruslah mencipta episod indah ukhuwah kita dalam kesempatan masa yang ada agar kemanisan ukhuwah akan terus kita rasai. Dalam pertemuan, ada kisah tercipta, ada cerita terjadi. Bukti kita pernah bersama mengharunginya!!!



Hargailah sebuah pertemuan kerana di situ bermulanya kenangan..
Perpisahan datang mencipta kerinduan..
Hanya cebisan kenangan yang mempertahankan ingatan..
Kerana adanya kemanisan di sebalik sebuah pertemuan..

Salam ukhuwah, salam mahabbah!!!

Friday, November 18, 2011

Rindu kemesraan itu...


Suatu ketika jiwa insan ini terusik bila melihat gurau senda adik-adik pelajar sesama mereka. Mereka mencipta kenangan mereka. Membina ukhuwah persahabatan. Melihat mereka seperti ana sedang melaluinya kembali kerana di tanah Meheliah itulah memori telah dicipta. Ana hanya mampu tersenyum melihat gelagat mereka. Igauan nostalgia subur kembali di hati ini. Menyemarakkan kembali episod masa silam bersama teman-teman seperjuangan.
Hari-hari di Meheliah, menggamit selautan memori. Setiap ruangnya menyimpan nostalgia tersendiri buat insan ini. Pertemuan, persahabatan dan perpisahan. Itulah kisah zaman remaja yang sarat dengan cerita. Kisah kenakalan dan pemberontakan jiwa. Episod kegagalan dan kejayaan. Saat itu, insan ini sendirian tanpa sahabat seperjuangan. Ketiadaan mereka amat dirasai. Rindu kemesraan itu. Wujudnya mewarnai dan menceriakan ukhuwah ini. Itulah persahabatan, anugerah daripada Allah s.w.t.
Kebiasaan dalam berukhuwah..
Bila adik-adik pelajar bersama ana, pasti ada yang merangkul bahu dan memeluk tubuh ini. Ana tidak pernah mengelak sebaliknya membiarkan sahaja mereka berbuat begitu. Mungkin ana sudah biasa dengan keadaan ini. Biarpun mereka pelajar, tetapi mereka juga teman buat ana. Bagi ana, mereka seperti adik-adik ana. Adik-adik Meheliah!!!
Mungkin telah menjadi kebiasaan insan ini dalam berukhuwah, merangkul bahu dan memeluk tubuh sahabat-sahabat saat bersama. Ana menghargai kehadiran mereka dalam hidup ini dan menghargai pertemuan ini. Eratnya ukhuwah bukan hanya pada lamanya tempoh persahabatan, tetapi juga pada ingatan, cinta, kasih dan sayang, ketulusan, kejujuran dan juga kesetiaan.
Begitu juga dengan adik-adik, ana juga sering menggauli mereka begitu dalam mencipta kemesraan bersama. Tanda penghargaan juga kasih dan sayang dari insan ini buat mereka di perjalanan. Dengan mereka, ukhuwah terbina. Tanpa mereka, tiadalah ukhuwah ini. Sungguh, ana menghargai pertemuan ini!!!
Gurau senda penyubur ukhuwah..
Mencipta kemesraan bersama teman-teman sesuatu yang indah. Caranya berbeza bagi setiap insan. Begitulah dalam persahabatan. Tidak lengkap tanpa adanya kemesraan antara satu sama lain. Kemesraan yang terjalin menunjukkan keindahan dalam berukhuwah. Bagaimana kita mewujudkan suasana mesra dan ceria dalam persahabatan kita terpulanglah kepada kita. Kita pasti lebih mengerti jiwa masing-masing.
“Aku suka bergurau denganmu..”, luahan kata seorang sahabat ketika sedang bergurau senda bersama-sama suatu ketika dulu. Terngiang kata-kata itu, masih segar di ingatan biarpun masa terus berlalu. Bagai sesuatu menyentuh jantung hati ini mendengar luahan katanya. Ianya seperti membelai perasaan ini.
“Kenapa?..”, ana cuba menduga. Mencari kepastian di mana ke‘suka’annya pada gurauan diri ini yang mungkin menambat hati dan perasaannya. Entah di mana istimewa cara insan ini di mata hatinya itu selama meniti ukhuwah ini.
“Ye la, kamu tidak bergurau kasar-kasar, tetapi bestlaa..”, lebih kurang begitulah jawapannya. Walaupun ana kurang mengerti apa yang sebenarnya dimaksudkannya saat itu. Ana hanya mampu tersenyum mendengar jawapannya. Biarpun masih tercari-cari maksudnya.
Ooo.. Mari nak bergurau lagi gak..”, balas ana sambil mencubit manja pipi sahabat ana itu. Kami tersenyum sesama kami. Ada gelak kecil yang wujud. Indah sungguh ukhuwah itu bila teringat kembali. Bagai semalam baru terjadi. Gurau senda membuahkan keriangan malahan lebih daripada itu. Penyubur ukhuwah kita bersama.
Begitulah dalam berukhuwah. Saling memainkan peranan dan saling menghargai dalam mewujudkan kemesraan bagi mengeratkan ikatan ukhuwah. Di samping mencipta kenangan yang menjadi ingatan terhadap ikatan ukhuwah. Saling memberi untuk saling menerima. Luahan  penuh kejujuran dan ketulusan, mencuit hati sanubari insan ini. Menjadikannya ingatan yang masih segar hingga ke saat ini.
Dalam ketegasan ada kelembutan..
Meniti ukhuwah ini pasti tidak terasa manisnya jika tiada gurau senda. Darinya lahirlah gelak ketawa. Sepi berubah riang gembira. Dengannya juga diri terasa dekat dengan sahabat-sahabat. Terasa eratnya ukhuwah mengiringi perjuangan di medan ilmu. Mereka seperti saudara sendiri bagi diri ini. Tidak boleh dikasari tetapi mesti dikasihi dan dihargai.
Biarpun ketegasan wujud ketika berukhuwah, pastikan dalam ketegasan ada kelembutan.  Catatan ini sebagai peringatan sesama kita. Bergaullah dengan teman-teman dengan cara sebaiknya kerana mereka adalah sebahagian daripada hidup kita. Sesungguhnya, hidup kita pasti sepi tanpa kehadiran sahabat di sisi. Merekalah tempat berkongsi keriangan dan kedukaan. Sahabat sepermainan di celahan  perjuangan.
Berlembut hatilah dalam berukhuwah. Kerana ia mengundang banyak kebaikan. Kebaikan inilah yang mewarnai sesebuah ikatan. Dengan berlembut hati, kita akan mudah berlapang dada. Jika wujud kekhilafan pandangan, kita akan menghormati pandangan sesama kita. Kita akan lebih berlapang dada dengan pandangan mereka biarpun berbeza dengan pandangan kita. Dengan itu akan mewujudkan keharmonian dan mampu mengelakkan berlakunya perkelahian.
Renunglah kisah Imam Malik dan Imam Syafie ketika menghadapi situasi ini. Mereka saling menghormati pandangan sesama mereka. Suatu ketika saat Imam Malik menjadi imam sembahyang subuh, beliau membaca doa qunut kerana menghormati mazhab Imam Syafie yang menjadi makmumnya ketika itu biarpun menurut mazhabnya, beliau tidak membaca doa qunut. Keesokannya, Imam Syafie pula yang menjadi imam solat subuh. Beliau tidak membaca doa qunut kerana menghormati mazhab Imam Malik yang menjadi makmumnya ketika itu. Begitulah teladan bagi kita dalam menghadapi perbezaan pandangan dalam berukhuwah. Saling menghormati dan tidak mementingkan diri.
Daripada Aisyah r.ha, Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesungguhnya sikap lemah lembut itu tidak berada pada sesuatu melainkan dia akan menghiasinya (dengan kebaikan). Sebaliknya, tidaklah sifat itu dicabut daripada sesuatu melainkan ia akan membuatnya menjadi buruk.” (Riwayat Muslim). Indahnya sifat lemah lembut ini kerana padanya terhimpun segala kebaikan sebagaimana dalam satu lagi hadis baginda s.a.w yang bermaksud: “Sesiapa yang diberikan sifat lemah lembut nescaya dia akan memperoleh kebaikan dalam semua hal.” (Riwayat Muslim). Sifat lemah lembut ini adalah anugerah rahmat daripada Allah s.w.t buat hamba-Nya melalui firman-Nya dalam surah Ali ‘Imran ayat 159 yang bermaksud: “Maka disebabkan rahmat daripada Allah s.w.t kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka akan menjauhkan diri dari sekelilingmu.”
Dengan berlembut hati, kita lebih mudah disenangi dan didekati. Sekiranya kita berkeras hati mungkin akan ada yang membenci dan menghindari. Justeru, insafi diri kita. Sejauh mana sikap kita dalam berukhuwah. Agar kita mampu mengubahnya menjadi lebih baik.
Terus berbicara dan bersedia mendengar..
Lazimnya bagi insan ini, saat sahabat-sahabat rancak berbicara, insan ini lebih suka mendiamkan diri. Mungkin tiada apa yang ingin diperkatakan. Sekadar mencelah sekali sekala. Insan ini lebih suka mendengar, menilai dan memerhati. Terus bersikap positif. Kadang-kadang ianya juga penting daripada sekadar hanya berbicara.
Belajarlah menjadi sahabat yang bukan sahaja pandai berbicara tetapi sedia mendengar. Jangan pula hanya berbicara tetapi kurang mendengar. Juga jangan hanya mendengar tapi berbicaralah walaupun tidak serancak yang lain. Agar kita tidak ketinggalan dan rasa bersama sentiasa. Biar kita juga wujud dalam suasana ketika itu. Hargailah ruang waktu bersama-sama, kerana bukan mudah untuk berkumpul kembali setelah perpisahan terjadi.
Bersabarlah dalam bersahabat..
Dalam meniti ukhuwah, ada juga masanya kita ditegur, dimarahi dan dijadikan tempat melepaskan rasa ketidakpuasan hati oleh sahabat-sahabat kita. Mungkin disebabkan oleh tindakan yang kita lakukan atau mungkin juga tidak. Kesabaran amat penting agar kita tidak mudah melenting. Bertenanglah menghadapinya. Dengan ketenangan akan dipermudahkan jalan. Melaluinya akan timbul kesedaran dalam menyelami kebenaran.
Di saat api marak membakar jangan disirami dengan minyak. Carilah air agar dapat memadamkan api yang sedang marak itu. Belajarlah menerima teguran dan belajarlah mengawal emosi. Kerana bukan kemenangan yang kita cari tetapi kebenaran. Dalam bersahabat tiada istilah menang dan kalah. Jika kita merasakan kita beroleh kemenangan, kita sebenarnya telah menempuhi kegagalan!!!
Dari Abu Hurairah r.a. bahawasanya ada seorang lelaki yang berkata kepada Nabi s.a.w.: “Berikanlah wasiat padaku!” Nabi s.a.w. menjawab: “Janganlah engkau marah.” Orang itu mengulang-ulangi lagi permintaan wasiatnya sampai beberapa kali, tetapi baginda s.a.w. tetap menjawab: “Janganlah engkau marah.” (Riwayat Muslim)
Marah itu mudah, sabar itu indah. Bersabarlah dalam menghadapi situasi sebegini. Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesungguhnya kesabaran itu ialah pada hentaman (pukulan) pertama.” (Muttafaq ‘alaih). Sebaik-baik sabar adalah pada situasi pertama saat menerima sesuatu dugaan. Justeru, bersabarlah. Jangan cepat melatah. Jika kita benar, kita tidak perlu terlalu emosi. Tenangkan diri selamatkan situasi. Kuncinya adalah sabar!!!
Memang tidak dinafikan dalam bersahabat banyak dugaannya. Bersabarlah dengan karenah sahabat-sahabat kita. Seperti kita, mereka juga ada kelemahan dan kekurangan. Usah dipandang kekurangan itu, percayalah kebaikan dan kelebihan mereka tetap ada. Hargailah semua itu. Kekurangan dan kelebihan itulah yang banyak mewarnai ikatan ukhuwah bersama. Tanpanya mungkin ukhuwah itu tawar tiada manisnya, layu tiada mekarnya. Jangan berbangga dengan kelebihan yang ada pada kita, tetapi pandang dan hitunglah kekurangan dan kelemahan yang kita miliki. Dengan itu, kita mampu mengubahnya menjadi lebih baik.
Carilah kemanisan iman di sebalik ukhuwah..
Setiap insan mencipta kemesraan dengan cara masing-masing. Kemesraan itu membuktikan erat sesebuah ikatan. Begitulah persahabatan ini. Indahnya kerana bersulam kemesraan. Dibajai dengan kejujuran dan disirami dengan kasih sayang.
Teruslah mencipta kemesraan dalam berukhuwah agar kemanisannya dapat dinikmati bersama. Hargailah ukhuwah yang terbina kerana ianya adalah anugerah. Kerana Allah kita bertemu, kerana-Nya kita berpisah. Pertemuan dan perpisahan, Di celahnya ada ukhuwah, ada memori tercipta. Terangkum sebuah perjalanan hidup yang dibina bersama-sama. Asam garam perjuangan, suka duka kehidupan, dan lebih penting lagi, darinya akan dicapai kemanisan iman.
Dari Anas bin Malik r.a, Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud: “Ada tiga perkara yang jika tiga perkara itu ada pada diri seseorang, maka dia akan merasai kemanisan iman; sesiapa yang cinta-Nya kepada Allah dan Rasul lebih daripada cintanya kepada yang lain; sesiapa yang cintanya kepada orang lain hanya kerana Allah; dan dia benci untuk kembali (kepada kekufuran) selepas Allah menyelamatkannya dai kekufuran seperti bencinya jika dicampakkan ke dalam api neraka.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Memiliki perasaan cinta itu mudah tetapi untuk menzahirkannya pada bentuk tindakan dan ucapan tidak semudah memilikinya. Lumrahnya bagi mereka yang bercinta, akan sedaya upaya memikat hati dan menambat perasaan pasangannya dengan ayat-ayat cinta. Namun dalam berukhuwah, ianya sesuatu yang seakan sukar direalisasikan kerana mungkin ianya sesuatu yang dianggap di luar norma kehidupan. Mengatakan ucapan cinta, kasih dan sayang seakan hanya khusus buat si pujaan hati. Jika selain itu, seakan ianya kejelikan dalam pandangan mata dan perasaan hati hingga dibalas penghinaan dan cacian. Mereka lupa bahawa apa yang mereka terima itu sesuatu yang indah, mengapa sanggup mereka membalasnya dengan sesuatu yang keji? Bukankah tindakan itu sama ‘seperti kera mendapat bunga’?.
Sekiranya ungkapan cinta ini satu kesalahan, maka selayaknya mereka yang mengungkapnya menerima penghinaan. Lantas, layakkah penghinaan itu jika mengungkapkannya adalah satu tuntutan dan digalakkan dalam Islam?. Renungilah sebuah hadis bagaimana indahnya ungkapan cinta dalam konteks berukhuwah. Cinta terhadap persaudaraan kerana Allah s.w.t. Dari Abu Karimah iaitu al-Miqdad - di sebahagian naskhah disebut al-Miqdam- bin Ma'dikariba r.a. dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Jikalau seseorang itu mencintai saudaranya, maka hendaklah memberitahukan pada saudaranya itu bahawa ia mencintainya." (Riwayat Abu Daud dan Tirmidzi dan Tirmidzi mengatakan bahawa ini adalah Hadis hasan shahih).
Bukankah mencintai itu indah dan meluahkannya menjadi lebih indah?. Ia boleh menghilangkan rasa gelisah yang bersarang di lubuk hati serta mampu membawa kepada suasana saling mencintai. Bukankah begitu realitinya saat mengungkap kata cinta kepada si permata hati? Jika begitu, samalah juga dalam berukhuwah. Melahirkan rasa cinta bukan sekadar melalui tindakan tetapi juga perlu diluahkan dengan kata-kata agar kedua-dua pihak memahami dan merasai keindahan, kemanisan dan kemesraan dalam jalinan ukhuwah.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan Imam Abu Daud dengan isnad shahih, Dari Anas r.a. bahawasanya ada seorang lelaki yang berada di sisi Nabi s.a.w., lalu ada seorang lelaki lain berjalan melaluinya, lalu orang yang hampir dengan baginda berkata: “Ya Rasulullah, sesungguhnya saya mencintai orang ini.” Nabi s.a.w. bertanya: “Adakah engkau sudah memberitahukan padanya tentang itu?” Ia menjawab: "Tidak, belum saya beritahukan." Nabi s.a.w. bersabda: “Beritahukanlah padanya.” Orang yang bersama beliau s.a.w. lalu menyusul orang yang melaluinya tadi, lalu berkata: “Sesungguhnya saya mencintaimu.” Orang itu lalu menjawab: “Engkau juga dicintai oleh Allah yang kerana Allah itulah engkau mencintai aku.”
Subhanallah!!! Begitu indah ukhuwah berteraskan keimanan dan ketaqwaan. Di saat lupa ada yang mengingatkan, di saat gembira dikongsi keriangan, di saat lemah didorong kekuatan, di saat sedih dihiburkan perasaan, di saat sakit diberi perhatian, dan di saat tersalah ditunjuk kebenaran. Yang menjadikannya terlebih indah kerana melaluinya kita akan dicintai oleh Allah s.w.t.
Rindukah kita…
Rindukah kita kemesraan itu??? Tanyalah iman di hati, maniskah ukhuwah kita??? Jika belum terasa manisnya, di mana puncanya??? Silap siapa??? Jangan menunding jari kepada sahabat kita jika diri kita juga adalah sahabat mereka. Justeru, muhasabah diri kita, jangan dinilai apa yang telah atau sedang kita terima dari ukhuwah kita tetapi renunglah apa yang telah atau sedang kita berikan kepada ukhuwah kita.
Agar ukhuwah semakin indah, marilah kita sama-sama menyebar mahabbah, mudah-mudahan terasa halawah!!!                                                                                            

Monday, November 14, 2011

Mencari nilai ukhuwah...



Salam, apa khabar?
Salam, duk mano loni?
Salam, duk buat gapo loni?

Begitulah antara sapaan SMS yang kian hilang di skrin telefon bimbit hari ini. Satu ungkapan yang biasa bagi sesiapa sahaja namun dalam berukhuwah ianya adalah sesuatu yang luar biasa. Lebih-lebih lagi jika datangnya dari teman-teman. Kalau tidak percaya, periksalah telefon bimbit saat ini. Adakah sapaan ini singgah di skrin telefon bimbit kita pada hari ini, minggu ini, bulan ini atau tahun ini??? Kerana lazimnya setiap kita memilikinya dan sentiasa bersamanya.

“Ah, zamei loni apa barang mesej2, FB kan ada?”
“Malas la nak mesej, wat rugi kredit saja..”
“Takde masa.. Nak buat apa?”
“Bukan tak ingat.. Doa sokmo..”
“Ada aku kisah!!!”

Kisahnya adalah ukhuwah ini. Mungkin ini yang terbit di benak fikiran kita saat ini. Hebatnya kemajuan teknologi masa kini. Bangga!. Mahalnya nilai 1 sen, 10 sen berbanding nilai ukhuwah ini. Kesibukan menjadi alasan tidak berukhuwah. Merasa cukup dengan doa tanpa usaha mengeratkannya. Hilangnya nilai kepedulian terhadap ukhuwah yang terbina sekian lama. Mungkin itulah harga ukhuwah hari ini.

FB kan ada..

Ya, FB memang ada. Malah bukan sahaja FB, twitter pun ada. Kembali kita melihat FB kita. Carilah ruangan message atau chat antara kita dan teman kita. Mungkin di situlah keadaan paling private di ruangan FB kita antara kita dengan teman kita. Yang lain, kebanyakannya boleh dikatakan umum belaka.

Berapa banyakkah yang terkandung dalam ruangan itu. Mungkin banyak dan mungkin tidak. Bergantung kepada sebanyak mana nilai ke“private”an hubungan kita bersama sahabat kita. Yang banyaknya semestinya di ruangan komen Wall ataupun komen gambar. Benarkah itu?

Renunglah kembali. Bukan tiada kebaikannya ber“FB”, tetapi dalam diam tanpa kita sedari atau sememangnya kita sedar ada keburukannya. Apabila semuanya terdedah ianya menjadi punah malah akan terdedah segala keaiban teman-teman sama ada disedari atau tidak. Rasulullah s.a.w bersabda: “ Sesiapa yang menutup keaiban saudaranya, maka Allah akan menutup keaibannya di akhirat.” (Riwayat Ibnu Majah). Tidak salah berukhuwah tetapi jagalah batas-batasnya agar tidak terdedah keaiban yang boleh mengeruhkan ukhuwah. Di FB, siapa pun boleh jadi teman kita sama ada kita kenal ataupun tidak. Tekan sahaja butang add friend atau approve request friend, pasti akan ada teman baru. Semudah itu ukhuwah boleh dijalinkan. Hanya di hujung jari.

Adakah nilai ukhuwah itu hanya sekadar di hujung jari? Tidak! Semestinya tidak. Kita sendiri pasti tahu jawapannya. Kenapa dan mengapa?, kita ada jawapannya. Adakah semua list friend itu sahabat kita?. Ya, Itu mungkin sahabat kita dan sahabat maya kita. Usahlah berbangga dengan banyak bilangannya tetapi lihatlah berapa ramai sebenarnya sahabat.

Apa yang ditakrifkan sebagai sahabat?. Kembali kita kepada ilmu hadis bagaimana menentukan siapa yang bergelar sahabat Rasulullah s.a.w, tabi’in atau tabi’ tabi’in. Sahabat adalah mereka yang hidup sezaman dengan kita, pernah berjumpa dengan kita dan seakidah dengan kita. Itulah sahabat. Renunglah kisah Uwais al-Qarni biarpun hidup sezaman dengan Rasulullah s.a.w dan seakidah tetapi beliau tidak pernah berjumpa dengan Rasulullah s.a.w, maka beliau disebut sebagai golongan tabi’in. Maka di sini tiga komponen yang penting iaitu sezaman, pertemuan dan seakidah atau seagama.

Nilai ukhuwah itu, semestinya akan bernilai dengan panjang tempoh masa dan pertemuan. Kerana di situlah kita saling berkenalan. Memahami rentak peribadi sahabat kita. Di situlah juga kita mencipta kenangan. Mencipta sebuah persahabatan. Sejauh mana eratnya ukhuwah kita, kerana tempoh masa kita bersama serta sejauh mana kita menilai dan menghargai ukhuwah kita. Biarpun perpisahan itu lumrahnya tetapi nilainya adalah siapa kita, peranan kita serta komitmen kita terhadap ukhuwah kita. Jadi, di mana kita untuk itu?

Buat habis kredit saja…

Begitulah mahalnya nilai kewangan dalam hidup kita sehingga untuk berukhuwah pun berkira. Lihatlah kembali nilai ukhuwah kita. Tanpa sahabat, siapa kita hari ini. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Seseorang itu mengikut agama (cara hidup) sahabatnya, maka hendaklah setiap daripada kamu terlebih dahulu memerhatikan siapa yang dipilih sebagai sahabatmu.” (Riwayat Abu Daud, al-Tirmizi dan al-Baihaqi). Begitulah besarnya pengaruh seseorang sahabat dalam kehidupan kita. Nilainya, mereka membentuk peribadi kita.

Jika dengan sahabat berkira, dengan kekasih biasa. Nilai kewangan di sini jelas pula berbeza. Rela berhabis puluhan ringgit malah beratus ringgit untuk pujaan hati yang belum pasti menjadi milik peribadi. Bercinta dengan orang lain, bertunang dengan orang lain dan berkahwin dengan orang lain. Itulah yang sering terjadi. Wang habis melabur, akhirnya cinta terkubur.

Percayalah, situasi ini tidak berlaku dalam ukhuwah persahabatan. Kerana sahabat itu telah menjadi milik kita. Kita memiliki sahabat dan kita dimiliki sahabat kita. Itulah realitinya. Teruslah berhubung walau hanya sekadar sapaan biasa. Biarpun bukan selalu tetapi lebih baik dari tidak berhubung langsung.

Bunga tidak akan mekar jika tidak disirami. Pokok tidak akan berbuah jika tidak dibajai. Begitulah juga ukhuwah ini. Jika masing-masing mementingkan diri, ukhuwah akan terus layu dan lesu. Tanpa berhubung tiadalah khabar yang datang. Jika sakit tidak terubat luka, jika sedih tidak terhibur ria, jika lemah tidak terdorong gagah.

Takde masa.. Nak buat apa?

Bukankah tiada masa ertinya mati?. Inilah realitinya. Kesibukan kita terhadap kehidupan dunia sama ada dalam urusan pengajian, pekerjaan dan urusan-urusan lain sering menjadi alasan dalam berukhuwah. Itulah yang sering terjadi dalam berukhuwah. Setiap orang dikurniakan 24 jam sehari. Sama sahaja. Tidak lebih dan tidak pula kurang. Dua puluh empat jam sibuk, betulkah? Entah ke mana masa itu hilang, boleh tiada untuk ukhuwah. Itulah yang peliknya. Berukhuwah tidak semestinya memerlukan berjam-jam dan bukannya selalu. Tidak! Tidak sama sekali! Cukuplah seketika dan sekali sekala, bertanya khabar dan mengetahui perkembangan semasa teman-teman.

Untuk apa? Untuk mewujudkan kemesraan dan rasa kasih sayang sesama kita. Kerana tanda kasih sayang itu adalah ingatan. Bukankah orang yang mencintai kekasihnya akan mengingati kekasihnya? Dengan ingatan itu akan wujudnya perasaan rindu. Begitulah ukhuwah ini, jika kita mencintai ukhuwah ini sewajarnya kita berkasih sayang dan saling berhubung. Jangan mencari kemesraan dan kasih sayang dalam ukhuwah kita tetapi bawalah kemesraan dan kasih sayang itu ke dalam ukhuwah kita.

Penting ke? Jika ukhuwah itu tidak penting maka ianya tidak penting. Tapi jika ukhuwah itu penting maka ianya penting. inilah antara cara bagi mengeratkan ikatan ukhuwah. Terus berhubung jika ada kelapangan waktu. Kerana ukhuwah ini tidak terbatas oleh jarak dan masa. Biar tiada apa-apa urusan sekalipun. Berukhuwah itu bukan hanya bertemu mata tetapi ianya lebih daripada itu biarpun sekadar bertanya khabar. Perhubungan itu tetap perlu dalam berukhuwah. Agar kemanisan ukhuwah itu terus dirasai.

Hingga saat ini, berapa kali kita menghubungi teman-teman kita secara peribadi? Bukannya melalui FB yang terlalu umum. Hanya antara kita dan teman kita itu. Kita sering menunggu orang menghubungi kita terlebih dahulu tetapi adakah ketikanya kita dahulu yang menghubunginya. Bukankah orang yang memulakan itu lebih baik dari yang menyahutnya. Bukankah orang yang memberi itu lebih baik daripada orang yang menerima?.

Apakah yang kita akan rasa jika sahabat kita bertanya khabar kita? Percayalah apa yang kita rasa mungkin sama apa yang mereka rasa saat mereka menerima pertanyaan khabar daripada kita. Masih ada lagi persahabatan dan ingatan. Itulah keindahan berhubung dalam berukhuwah tetapi sering kita melupakannya dan menganggapnya perkara biasa. Dalam kitab al-Saghir, Rasululah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang menemui saudaranya yang Muslim dengan menampakkan perkara yang disukainya kerana ingin membahagiakannya, maka Allah akan memberikan kebahagiaan kepadanya pada hari kiamat.” (Riwayat al-Tabarani).

Bukan tak ingat.. Doa sokmo..

Indah bunyinya memujuk hati. Sesiapa pun boleh berdoa. Tidak perlu dibayar. Hanya meminta pada Allah Yang Maha Pemurah. Apa yang kita minta? Selalunya terlalu umum.. Pernahkah kita mendoakan mereka secara khusus? Bagaimana kita mendoakan mereka jika kita tidak tahu keadaan mereka sebenarnya.

Ingatan tulus ikhlas melalui iringan doa kita kepada sahabat kita walaupun kita tidak bersama-sama mereka. Nabi Muhammad s.a.w bersabda: “ Sesiapa yang mendoakan saudaranya pada saat dia tidak bersama-samanya, maka malaikat yang diamanahkan untuk menjaga dan mengawasinya berkata: ‘ Semoga Allah mengabulkan dan bagimu semoga mendapat yang sama dengannya.’” (Riwayat Muslim). Subhanallah!!! Begitu besar ganjarannya di sisi Allah s.w.t. Hanya dengan iringan doa dan ingatan tulus ikhlas. Tapi cukupkah hanya sekadar doa untuk melahirkan kemanisan berukhuwah?

Berukhuwahlah dengan rasa kasih dan sayang, kejujuran dan keikhlasan. Bukan setakat berdoa, tetapi berhubunglah bagi mewarnai ikatan ini. Ukhuwah ini ada pasang surutnya. Ada sinar dan sirnanya. Justeru, eratkan kembali ukhuwah jika terasa kendurnya. Utuhkan kembali persahabatan jika terasa goyahnya. Berilah kerana memberi itu indah dalam berukhuwah. Dengan memberi akan wujud kasih dan sayang. Rasulullah s.a.w bersabda: “Kalian harus memberi hadiah, maka kalian saling mencintai.” (Riwayat al-Bukhari).

Ada aku kisah!!!

Inilah sikap yang tidak patut wujud dalam ukhuwah. Budaya ‘aku tidak pedulisme’ inilah yang banyak mengeruhkan ikatan. Melunturkan kemesraan dan menghilangkan kemanisan sesebuah ikatan. Tidak peduli akan ukhuwah yang terjalin ibarat mencedok air dalam tempayan dan tidak mengisinya kembali. Begitulah kita, jika tidak peduli akan ukhuwah ini pasti akan hilang keindahan ikatan ini.

Inilah sikap ‘aku tidak pedulisme’. Sikap ‘aku adalah aku’, ‘kamu adalah kamu’ adalah racun yang mematikan ukhuwah. Tidak peduli samalah tidak menghargai ukhuwah yang dibina. Jika kehadiran teman baru meng‘asing’kan ukhuwah yang telah terbina. Tidak mustahil teman baru itu akan menerima nasib yang sama suatu ketika nanti kerana setiap pertemuan itu ada perpisahan.

Saat ini, pedulikah kita pada ukhuwah kita? Atau kita tenggelam dalam sikap ‘aku tidak pedulisme’. Kita pasti ada jawapannya. Semuanya bergantung kepada sikap dan pendirian kita terhadap ukhuwah kita. Jika ukhuwah kita bermakna untuk kita pasti kita akan peduli dan terus cakna akan ukhuwah kita biarpun di mana kita berada ketika ini.

Saat ini mungkin sahabat kita sedang bersedih. Saat ini mungkin sahabat kita lemah tidak berdaya. Saat ini mungkin sahabat kita sedang sakit. Tahukah kita keadaan mereka jika kita bersikap aku tidak pedulisme. Tentunya kita tidak tahu kerana kita tidak pernah ambil tahu dan kita tidak mahu ambil tahu. Sikap ‘ada aku kisah’ inilah yang menyebabkan kita semakin jauh dengan sahabat kita. Adakah bermakna lagi ukhuwah jika begitu keadaannya?

Jika kita peduli, kita akan tahu apa yang sedang berlaku. Justeru, jika mereka sedang bersedih, sekurang-kurangnya kita hadir menghiburkannya. Jadilah sahabat yang sentiasa bersama saat menempuh suka dan duka. Biarpun tidak bersama di sisi, tetapi tetap bersama di hati. Membina ukhuwah itu mudah, tetapi mewarnai dan menghargai ukhuwah tidak semudah itu. Tanpa peranan dan komitmen tidak mungkin dapat merasai kemanisan berukhuwah.

Jika mereka sedang lemah, kita yang perlu mendorong kekuatan dengan kata-kata semangat. Usah dipandang remeh ucapan dan kata-kata yang mampu mendorong jiwa agar lebih gagah dan tabah di saat jiwa kita lemah tiada bersemangat. Saidina Umar a-Khattab r.a berkata: “Jangan kamu membuat sangkaan terhadap satu kalimah yang keluar daripada seorang saudara mukminmu kecuali kebaikan selagi kamu masih ada cara untuk meletakkannya di tempat yang baik.” Adakah kita akan mengungkapkannya jika kita bersikap ‘aku tidak pedulisme’?

Jika mereka sedang sakit, mungkin kita akan rasa bersama. Akan wujud kebimbangan dan kerisauan terhadap sahabat kita yang mendorong kita mendoakan kesihatannya dan menziarahinya. Rasulullah s.a.w bersabda: “Perbandingan kaum Mukmin pada berkasih sayang, beremosi dan berbelas ihsan sesama mereka, adalah seperti satu batang tubuh. Apabila mengadu (sakit) mana-mana bahagian tubuh itu, nescaya akan terkesanlah ia kepada seluruh tubuh dengan berjaga malam tiada upaya tidur lagi demam.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Mencari nilai ukhuwah..

Masih bernilai lagikah ukhuwah kita? Ikatan yang kita bina merentas masa. Asam garam ditelan, pahit manis dirasa. Gurau senda, kasih mesra kita zahirnya suatu ketika. Kini mengapa diam seribu bahasa, sepi tanpa bicara? Adakah perpisahan menjadi noktah semuanya? Adakah jarak dan masa membataskan segalanya? Adakah kehadiran ukhuwah yang baru membuatkan kita membiarkan ukhuwah yang lama?

Sahabat..
Teman..
Kawan..
Saeng..
Rakan..
Taulan..

Begitulah istilah dalam berukhuwah. Bukan mudah mencari nilai ukhuwah. Tidak semudah mencipta ukhuwah. Tanpa komitmen, ingatan dan peranan ukhuwah hanya dilihat pada nama. Istilah yang meniti di bibir. Bukan sekadar itu membuatkan ukhuwah itu bernilai. Nilai ukhuwah itu adalah penghargaan kita terhadap ukhuwah yang dibina. Dengan menghargai ukhuwah, kita akan terus menjadi sahabat yang setia, teman yang peduli, kawan yang prihatin, saeng yang cakna, rakan yang teguh, serta taulan yang erat.

Renunglah kembali diri kita. Lihatlah kembali ukhuwah kita. Masih eratkah ukhuwah kita? Rindukah kita kepada ukhuwah kita? Sayangkah kita kepada ukhuwah kita? Masih wujudkah perhubungan antara kita dengan sahabat kita secara peribadi?. Sayang, cinta, rindu dan ingatan.. Buktikannya dengan perhubungan.

Carilah nilai ukhuwah itu dalam diri kita dan bawalah ke dalam ukhuwah kita. Kita pasti menemuinya kerana kita sendiri yang mengetahui komitmen dan peranan kita sebagai sahabat, teman, kawan, saeng, rakan dan taulan. Kita sendiri yang mengetahui sejauh mana penghargaan kita terhadap ukhuwah kita. Kita sendiri yang menentukan nilai ukhuwah kita!!!

Terus berukhuwah menikmati mahabbah!!!