Tuesday, January 24, 2012

Bertemankan semua..


“Seorang saja ke ustaz?”
“Biasanya ramai, mana yang lain?”

Antara sapaan adik-adik pelajar dan kenalan bagi insan ini ketika berada di kedai makan bagi menyaksikan siaran perlawanan bola sepak. Kebiasaan insan ini berada di kedai-kedai makan bagi menonton siaran perlawanan bola sepak untuk melepaskan rasa bosan apabila tiada apa yang ingin dilakukan dalam kelapangan waktu serta bagi mengisi rasa sunyi tanpa teman-teman di sisi. Ya, biasanya sering sendirian sahaja pergi menyaksikannya jika tidak mengajak atau diajak sahabat-sahabat untuk menyaksikannya bersama mereka. Adakalanya akan bertemu secara tidak langsung dengan kenalan-kenalan di tempat-tempat berkenaan.

Begitulah insan ini. Terasa malas untuk menyusahkan sahabat-sahabat kerana insan ini sering tidak disusahkan mereka. Juga tidak mahu menganggu sahabat-sahabat kerana insan ini sering tidak diganggu mereka. Ya, buat apalah insan ini rasa memerlukan untuk berada bersama mereka jika insan ini sering tidak diperlukan bagi mereka. Biarpun insan ini sendirian, namun biasanya akan tetap ditemani mereka yang ada di sekeliling insan ini. Ya, mungkin mereka adik-adik pelajar insan ini, saudara mara atau kenalan di perjalanan ini. Ianya sudah cukup bagi insan ini menghiburkan kesepian rasa. Adakalanya berasa senang bertemankan semua orang yang ada daripada terfokus dalam ukhuwah semeja. Mungkin sepanjang ketidak bersamaan dalam ukhuwah ini cukup banyak mengajar insan ini agar tidak mengharapkan apa-apa daripada sahabat-sahabat insan ini. Itulah yang kukuh tertanam di hati insan ini saat ini.

Memang tidak dinafikan, seringkali ada pentingnya ukhuwah semeja ini. Saling berbincang dan saling berbual-bual. Memesrakan lagi ikatan yang terbina ini. Namun, tidaklah salah jika sekali-sekala kita bertemankan semua yang ada. Ya, dengan siapa sahaja di sekeliling kita. Biarpun kita tidak mengenali dan tidak pula dikenali, tapi suasana begitulah yang sering mewujudkan perpaduan dan kesatuan ummat. Bukankah kita diciptakan untuk saling berkenal-kenalan antara satu sama lain?. Jadi, di mana ada keselesaan dan kemahuan, kita boleh merealisasikannya. Bertemankan semua, menjadikan skop suasana ukhuwah kita semakin meluas. Tidak hanya tertumpu pada ukhuwah semeja yang melibatkan hanya kita dan sahabat-sahabat kita.

Biarpun kadang-kadang melihat ada juga sahabat-sahabat insan ini berkumpul sesama mereka di meja-meja ukhuwah. Namun insan ini sering memilih untuk tidak bersama mereka. Ya, buat apalah insan ini untuk terlajak jika tidak diajak. Insan ini tidak mahu menjadi insan yang tidak diundang yang mengganggu keadaan di meja ukhuwah sahabat-sahabat insan ini. Mungkin insan ini tidak diperlukan dalam suasana ketika itu. Biarkanlah mereka sesama mereka kerana mungkin banyak cerita yang mereka ingin kongsikan sesama mereka tanpa kehadiran insan ini. Jadi, tidak perlulah insan ini mengganggu situasi di meja ukhuwah sahabat-sahabat insan ini kerana insan ini bimbang kehadiran insan ini sebagai penganggu suasana mereka.

Maafkan insan ini seandainya sahabat-sahabat terasa jika insan ini menolak apabila diajak selepas sahabat-sahabat menyedari kewujudan dan keberadaan insan ini. Bukan tidak mahu bersama mengeratkan ukhuwah, tetapi insan ini kadang-kadang sedang ditemani adik-adik pelajar insan ini atau pun kenalan-kenalan lain. Terasa tidak manis pula sekiranya insan ini meninggalkan meja ukhuwah bersama mereka setelah sekian waktu dengan mereka. Juga keberadaan jarak yang tidak menyenangkan bagi insan ini bagi melihat siaran perlawanan tersebut kerana hasrat insan ini ke tempat itu adalah bagi menonton siaran perlawanan bola sepak dan ukhuwah pada ketika itu tetap berjalan seiring dengan hasrat biarpun bukan dengan sahabat-sahabat insan ini pada masa itu.

Bertemankan semua, mampu menyubur ukhuwah yang amat bermakna!!!

Thursday, January 19, 2012

Harga ayat-ayat power..


“Tolong buat ayat yang best2 sikit..”
“Acu send ayat yang macam ni.. macam ni.. & macam ni..”

Antara tinta-tinta yang meminta bantuan insan ini daripada seorang sahabat suatu ketika. Meminta direka ayat-ayat penuh makna. Dari minda insan yang kerdil ini. Entah di mana bestnya ayat-ayat dari insan ini. Mungkin ianya sudah sebati dengan jiwanya. Kerana insan ini sering menghantar ayat-ayat dan kata-kata yang mengusik perasaan bertinta di ruang teknologi bukan sahaja kepadanya tetapi juga kepada teman-teman yang lain jika ada kesempatan waktu.

Harapan yang tidak mungkin disia-siakan insan ini. Biarpun ayat-ayat permintaannya itu bukanlah sesuatu yang penting bagi insan ini tetapi insan ini sedaya upaya tidak mahu menghampakan permintaannya. Dengan kudrat minda anugerah Allah s.w.t ini, insan ini cuba memenuhi permintaannya. Mencipta ayat-ayat yang sesuai dengan permintaannya. Sekadar termampu dari insan ini. Sebagai tanda menghargai ukhuwah dengannya.

Bukan mudah memikirkannya. Perlu mencari matlamat terlebih dahulu. Perlu fokus dan sepenuh rasa menciptanya. Minda perlu bergerak seiring alunannya. Hati berbisik tangan mencatit segalanya. Buatlah dari hati untuk terus sampai ke hati. Menusuk sukma, menjentik rasa. Menilai betapa bernilainya harga ayat-ayat power. Begitulah hendaknya sabar menduga rasa. Sekalipun manis bicara belum tentu bermakna. Jika hati tidak hadir memahaminya serta tidak sedalam mungkin meneroka maknanya.

Macam-macam sahabat insan ini. Tapi mujurlah dimintanya kudrat minda. Rasa lega dapat membantunya biarpun sedikit cuma. Sekadar mencatit barisan kalimah-kalimah bertinta bermain lenggok bahasa. Tersusun mengikut alunan rima. Terpahat jutaan makna dalam deretan ayat-ayat yang setiapnya mempunyai erti dalam kamus bahasa. Keindahannya pada insan berjiwa sastera, pasti akan mampu menilai makna.

Hidup ini sebuah perkongsian..



“Berkongsilah untuk kita sama-sama merasa..”
“Hargailah kelebihan dan hormatilah kelemahan sesama kita..”

Berkongsi kelebihan yang ada. Semua itu anugerah yang dikurnia Allah s.w.t. bukan untuk dibangga tapi untuk dinikmati bersama. Menghayati kepuasan rasa. Hidup ini sebuah perkongsian. Kita berkongsi dalam pelbagai aspek kehidupan. Ya, kita tidak mampu hidup tanpa perkongsian daripada makhluk yang lain. Manusia memerlukan sesuatu manfaat daripada manusia yang lain. Juga manfaat dari binatang, tumbuh-tumbuhan dan sebagainya. Justeru, ia menunjukkan betapa lemahnya manusia yang sering bergantung pada makhluk ciptaan yang lain dan ingatlah sebaik-baik tempat bergantung adalah kebergantungan kita kepada Allah s.w.t.

Juga meraikan dan menghormati kelemahan dan kekurangan yang wujud. Agar ianya tidak dipandang sebelah mata. Sebaliknya terus bersama memperbaikinya. Jangan dibiarkannya terus sepi dari sebarang usaha untuk mengatasinya. Begitulah kita dalam berukhuwah, jangan terlalu taksub dengan kelebihan yang ada. Juga jangan pula meremehkan kelemahan teman-teman kita. Hakikatnya, kita sendiri masih banyak kelemahan diri. Justeru, jangan bangga diri dengan kelebihan yang ada. Kelebihan itu adalah satu anugerah untuk dikongsi bersama dan kelemahan itu adalah satu muhasabah untuk diatasi bersama. Biar apa pun kelebihan dan kelemahan itu membuktikan bahawa kita adalah makhluk Allah s.w.t yang tidak sempurna.

Jangan hampakan permintaan teman-temanmu..



“Nasihati aku, sahabatku..”
“Mohon doakan aku jua sahabatku..”

Setakat kudrat yang ada. Dari selautan ilmu ditimba. Juga dari simpanan khazanah harta. Jika dirimu mampu menghulurkannya. Maka berilah mengikut kemampuanmu. Biarpun hanya untaian doa dalam pengabdianmu dimintanya. Jangan hampakan permintaan teman-temanmu. Jika ada cebisan nasihat yang ditagihnya. Maka berikanlah biarpun sekadar kata-kata biasa. Yang mungkin biasa didengarnya dari ilmuan yang lain. Tetapi belum pernah diterimanya dalam versi kita. Kerana jika kita membiarkannya, pasti dia akan terus hanyut dalam badai dunia. Jangan sampai syaitan melompat gembira dengan alasan yang sering kita berikan melalui kata-kata: “Aku tidak layak!”, “Aku belum layak!” dan seumpamanya.

Soalnya sampai bila? Sampai ilmu penuh di dada. Itulah jawapan yang senantiasa diimpi. Entah bila realitinya akan terjadi. Hakikat ilmu yang begitu luas. Semakin kita mempelajarinya, semakin banyak yang kita belum mengetahuinya. Ya, belum puas menimbanya sehingga kita merasakan kita belum layak apabila diminta biarpun hanya secebis nasihat sebagai peringatan. Menunggu saat itu, pasti kemungkaran telah pun berlaku. Sedangkan kita mampu memberikannya ketika kita berkata: “Aku tidak layak!”, “Aku belum layak!” atau seumpamanya biarpun sedikit cuma.



Agama itu nasihat. Itu yang kita pelajari. Setiap kita layak memberi nasihat selagi mana ianya tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Tidak kira apa jua pangkat kita. Bahkan seorang adik layak menasihati abangnya, seorang sahabat layak menasihati sahabatnya, hamba kepada majikannya, dan rakyat kepada pemerintahnya. Ya, berkata benar walaupun ianya pahit. Kebenaran mesti ditegakkan biarpun nyawa perlu dipertaruhkan. Hanya untaian kata-kata nasihat yang mampu kita ungkapkan, selebihnya kita serahkan kepada Allah s.w.t kerana urusan hidayah itu adalah milik-Nya.

Bagi yang menerima nasihat. Lihatlah pada ungkapan kata-kata nasihat itu. Jangan dilihat pada orang yang menuturkan nasihat itu. Selagi mana nasihat itu baik untuk kita dan menepati ajaran agama, maka terimalah nasihat itu dengan hati yang terbuka. Jangan sesekali meremehkan nasihat yang diberikan biarpun kita mengetahui siapa gerangan yang memberi nasihat. Fokuskan kepada nasihat bukannya kepada pemberi nasihat. Itulah bukti kita berlapang dada menerima nasihat mahupun teguran. Agar kita tidak ego atau “pongoh” ketika berdepan dengan situasi begini. Akuilah bahawa kita juga mempunyai kelemahan yang memerlukan teguran serta nasihat untuk memperbaikinya. Ambillah nasihat tersebut sebagai peringatan kepada kita bagi menilai kembali setiap sudut dalam diri kita. Ya, jangan kita bersikap ukur baju di badan sendiri!!! Jangan pula hanya pandai menilai kelemahan orang lain sedangkan kita lupa menilai kelemahan diri sendiri.

Saling menasihati dan saling menegur adalah amalan yang amat digalakkan dalam ajaran agama Islam. Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang melihat kemungkaran berlaku di kalangan kamu, maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya (kuasa dan kudrat yang ada), sekiranya dia tidak mampu maka hendaklah dia mengubahnya dengan lisannya (teguran dan nasihat) dan jika dia tidak mampu juga maka hendaklah dia membencinya dengan hatinya. Dan demikian itu, adalah selemah-lemah iman.

 
Itulah tanggungjawab kita. Menegur dan menasihati sesama kita. Ianya merupakan satu cabang dakwah yang amat dituntut oleh agama kita bagi membanteras segala kemungkaran yang berlaku. Justeru, berilah nasihat-nasihat yang baik agar ianya mampu mempengaruhi jiwa manusia agar senantiasa mematuhi peraturan dan syariat yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t biarpun ianya adalah hanya sekadar kata-kata yang biasa didengar kerana lumrah manusia yang sering lupa. Maka dengan adanya nasihat dan teguran, pasti ia akan mengingatkan kembali dan menggerakkan jiwa yang sedang nyenyak terlena dalam belaian nikmat sementara dunia.

Dalam ketidak bersamaan ini, jangan pernah meninggalkan terus ukhuwah ini. Doakanlah kebaikan buat sahabat-sahabat kita. Hanya itu tanda ingatan yang masih tersisa yang menjadi bukti kesetiaan kita kepada ikatan ukhuwah sesama kita. Ya, ketidak bersamaan bukanlah pemutus sebuah ikatan kerana ingatan dan doa yang akan terus menjadi penghubung antara kita dan sahabat-sahabat kita. Justeru, dalam kejauhan kita, hadiahkanlah doa-doa berharga buat sahabat-sahabat kita sebagai tanda penghargaan kita kepada mereka.

Kuasa kata-kata, ia mampu mempengaruhi jiwa, agar tersedar daripada enaknya lena!!!

Tuesday, January 17, 2012

Luahkanlah Hasrat Hatimu..



“Beritahu hasrat hatimu kepadanya. Dia berhak untuk mengetahui.”
“Berilah masa kepadanya, jangan memaksanya untuk menerima hasrat hatimu itu.”

Catatan bertinta di ruang teknologi kepada seorang teman di perjalanan. Dia meminta pandangan dan nasihat daripada insan ini berkenaan hasrat hatinya terhadap seseorang. Bukan mudah untuk memberi pandangan dan nasihat pada situasi ini. Tetapi insan ini tidak mungkin menghampakan permintaannya kerana ianya sekadar pandangan dari sudut kefahaman insan ini terhadap situasinya ketika itu. Dengan harapan agar ianya dapat membantu menenangkan hatinya menghadapi sebarang tekanan yang sedang dan akan melanda dirinya. Juga peringatan bagi insan ini dalam menghadapi situasi sepertinya.

Untuk lebih merasakan ketenangan, luahkanlah hasrat hatimu itu kepadanya. Kemudian berdoa dan serahkanlah hasrat hatimu itu kepada Allah s.w.t. Panjatkanlah doa mengharap perkenan-Nya. Ya, bukan mudah menyatakan hasrat hati kepada seseorang. Ia memerlukan keberanian diri dan kekuatan hati kita. Seringkali timbul perasaan bimbang di hati kita. Ya, kita bimbang ianya ditolak dan jika itu berlaku ianya pasti memalukan diri kita. Tetapi bagaimana dirinya itu akan mengetahui hasrat hati kita seandainya kita tidak meluahkannya? Jika tidak melalui kata-kata sekali pun, nyatakanlah dengan kalimah bertinta atau melalui pertolongan orang lain bagi menyampaikan hasrat hati kita. Agar dia mengetahui perkara yang sebenar.

Jangan hanya bersuara dengan redup pandangan mata. Juga bukan hanya dengan tingkah laku kita. Kerana belum tentu dirinya mengerti hasrat di hati kita. Tuturkanlah sesuatu walaupun ianya hanya pada catatan warkah atau melalui wakil sebagai pengganti diri. Pasti ianya lebih difahami dan dimengerti. Bukannya dengan hanya mendiamkan diri menanti dengan penuh harapan agar ianya menjadi realiti. Ianya tidak semudah itu!

Berilah masa kepadanya. Jangan memaksa untuk diterima dan jangan pula terus mendesak minta jawapan darinya. Dia berhak menerima atau pun sebaliknya. Paksaan bukanlah cara terbaik untuk memiliki. Biarlah dia yang membuat keputusan tanpa sebarang paksaan. Biarpun dirinya tidak membalas apa-apa. Anggaplah dia sedang memikirkannya. Biarpun bagi tempoh yang amat lama. Barangkali dia sedang menilai siapa diri kita. Mana kita tahu!

Serahkan semuanya kepada Allah s.w.t..


“Serahkan harapanmu kepada Allah s.w.t..”
“Sabar dan redha dengan ketentuan-Nya dan jangan berputus asa..”

Sabar dan redha. Serahkanlah semua harapan kita kepada Allah s.w.t yang Maha Pencipta. Dia pemilik segalanya. Perbanyakkanlah berdoa mengharap dari-Nya. Dialah sebaik-baik penyempurna harapan hamba-Nya. Mudah-mudahan dimakbulkan-Nya akan hasrat dan harapan hati kita dengan syarat kita ikhlas dengannya. Apa yang penting kita telah meluahkan hasrat hati kita kepadanya. Terpulanglah kepadanya untuk menerima atau menolaknya. Ya, bukan mudah meluahkannya. Ditempis perasaan malu itu dan perlu dikuatkan emosi serta hati kita bagi menghadapi pelbagai kemungkinan. Apa pun keputusannya jangan kita berputus asa. Biarpun perlu menanti keputusan yang tidak kunjung tiba. Apa yang penting, kita telah berusaha meluahkan hasrat hati kita. Walau sebesar mana pun harapan dan hasrat hati kita, kita jangan memaksa dan mendesaknya. Dia juga manusia, miliki hati dan perasaan yang perlu kita hormati.

Setelah itu, jalani kehidupan ini seperti biasa. Seperti tiada berlaku apa-apa antara diri kita dan dirinya. Jangan malu dan jangan pula segan padanya. Dia juga insan biasa dan dia juga pasti akan melalui situasi begini. Jika kita benar-benar tulus untuk memilikinya, teruslah menjadi temannya biarpun tiada ikatan yang bermakna dan biarpun status antara kita dengannya tidak berubah. Ingatlah status itu hanyalah sekadar istilah nama untuk lebih melahirkan rasa akrab dan erat. Bukannya bukti kejujuran dan ketulusan kita. Kerana bukti itu ada pada peranan kita kepadanya. Biarpun sekadar teman biasa dan bukannya teman istimewa atau apa-apa sahaja status yang kita hasratkan. Yang penting kita tetap bersaudara dengannya. Ya, bersaudara dalam kesatuan akidah. Itu sudah cukup indah! Dan hasrat kita itu tidak lain hanyalah cuma untuk lebih mengindahkannya. Untuk lebih rapat, lebih erat dan lebih akrab! Justeru, jagalah adab pergaulan kita dengannya berlandaskan syariat Allah s.w.t.

Jangan berputus asa. Jika kita tahu betapa indahnya “keikhlasan dirinya” dalam menerima hasrat hati kita, pasti kita tidak akan memaksanya. Keikhlasan itu amat penting dalam perhubungan sesebuah ikatan walaupun apa jua status ikatan itu. Tanpa keikhlasan, kejujuran dan ketulusan hati sudah pasti hubungan yang dibina tidak bererti. Paksaan dan desakan hanya akan menawarkan suasana sesebuah ikatan. Pasti akan timbul pelbagai masalah nanti. Biarlah dirinya menerima kita seadanya kerana hanya dengan itu yang mampu memberi kebahagiaan dalam perhubungan. Catatan ini bukan untuk menggalakkan apa jua status perhubungan tetapi hanya sekadar pandangan dari insan yang kerdil ini sahaja.

Luahkanlah hasrat terpendam untuk difahami, agar jiwa beroleh ketenangan hati!!!

Saturday, January 14, 2012

Di sebalik kelembutan hati..



“Anta ni suka sangat bergurau mesra dengan budak-budak..”
“Ana lihat anta layan budak-budak tu macam adik-adik sendiri..”

Insan ini tersenyum mendengar kenyataan ini suatu ketika. Jauh di sudut hati insan ini mengatakan ia sebenarnya adalah satu kebiasaan dalam diri. Sebaliknya ia adalah satu situasi yang dibentuk dan dididik dalam diri ini bagi melahirkan kemesraan sesama insan. Alhamdulillah.. Allah s.w.t mengurniakan sekeping hati yang penuh kelembutan di sebalik ketegasan yang tetap wujud dalam diri ini. Itulah hati yang subur dengan rasa kasih dan sayang bagi menghiasi sesebuah ikatan dalam kehidupan ini. Di sebalik kelembutan hati itulah yang sering mengindahkan suasana dalam berukhuwah dengan segala rasa cinta, kasih sayang, bertimbang rasa dan prihatin terhadap ukhuwah yang dibina. Ya, indahnya hidup ini kerana ianya adalah sebuah perkongsian. Berkongsi bererti kita perlu memberi dan menginfaqkan apa yang kita miliki sama ada harta benda, ilmu, perasaan hati dan sebagainya kepada sesama makhluk-Nya. Saling memberi dan saling menerima. Barulah kita akan menikmati keindahan dalam hidup ini.

Bukan mudah jika kita tidak mendidik hati kita untuk bermesra dengan budak-budak seperti adik-adik kita. Biasanya perbezaan umur pasti akan menjarakkan hubungan kita dengan budak-budak yang jauh lebih muda usianya daripada kita. Lebih-lebih lagi jika mereka yang tidak mengenali kita atau mengenali kita sedikit sahaja. Juga jika antara kita dengan mereka tiada pertalian darah dan kita tidak pula dikenali oleh mereka sejak mereka kecil lagi. Kadang-kadang kita yang lebih dewasa ini pun adakalanya berasa rimas dengan budak-budak. Ya, mereka dengan dunia mereka sendiri. Kita juga pasti pernah melaluinya saat itu suatu ketika dulu. Mereka ada rakan-rakan mereka sendiri. Mana mungkin mereka mudah mendekati kita yang lebih dewasa. Begitulah juga dengan kita. Ada dunia kita sendiri.

Namun ianya bukan alasan untuk terus menjarakkan hubungan. Sebaliknya kita perlu melahirkan kemesraan dengan mereka. Kita yang lebih dewasa perlu menunjukkan rasa kasih sayang kita kepada mereka agar mereka tidak takut dan tidak malu untuk mendekati kita. Kita juga manusia seperti mereka. Tiada sebab untuk ditakuti dan dimalukan oleh mereka. Cuma jarak umur yang membezakan kita dengan mereka yang mungkin melahirkan perasaan itu. Jadi, apabila kita menunjukkan kemesraan kita kepada mereka, insya-Allah mereka akan lebih menghormati kita dan merasa senang di samping kita.

Untuk melahirkan kemesraan dengan budak-budak atau ‘adik-adik’, gunalah bahasa yang setaraf dengan mereka dari sudut membahasakan diri kita dan diri mereka. Jangan menggunakan bahasa seperti bahasa kita dengan teman-teman sebaya kita. Tidak praktikal untuk melahirkan kemesraan. Justeru, gunalah bahasa-bahasa yang sesuai dalam berkomunikasi dengan mereka. Panggillah nama mereka dengan panggilan yang manja. Berlembutlah ketika bergurau senda dengan mereka. Cubalah pelbagai pendekatan untuk melahirkan kemesraan dalam hubungan kita dengan mereka. Kita pasti mempunyai cara tersendiri untuk memikat hati dan perasaan mereka.

Jika mampu membelai mereka, maka belailah mereka. Zahirkan kasih sayang kita melalui tindakan kita. Sesekali jika mampu memeluk mereka, maka peluklah mereka. Berikan perhatian bila berbicara dengan mereka. Dengarlah percakapan mereka dengan sebaiknya. Tumpu dan lihatlah kepada wajah mereka. Ukirlah senyuman penuh mesra. Sesekali kita perlu memainkan memek muka dengan mereka. Agar mereka merasa terhibur dan merasa tenang bersama kita. Tunjukkan kepada mereka yang kita seorang yang mudah didekati dan raikanlah mereka seperti adik-adik kita sendiri. Kita perlu berada dalam dunia mereka seketika bagi melayan karenah mereka agar mereka rasa ‘bersama’ dengan kehadiran kita.

Hargailah adik-adikmu..


“Bertuahnya kamu miliki adik-adik yang comel. Jurus pula tu..”
“Mesti seronok ada adik-adik tempat kita mencurahkan kasih sayang kita..” 

Cebisan kata-kata insan ini buat seorang sahabat suatu ketika. Mungkin biasa bagi dirinya kerana memiliki adik-adik untuk bermain, bergurau dan bermanja. Tapi bagi insan ini, sepastinya lebih merasakan kekurangan yang wujud tanpa adik-adik bagi mencurah perasaan kasih sayang dan bermanja dengan mereka. Biarpun memiliki seorang adik perempuan namun ianya tetap tidak sama kerana ada batasan-batasan tertentu dalam gurauan bersamanya. Maklumlah sifat wanita, tidak sama dengan lelaki. Lagi pun pula jarak umur dengannya terlalu rapat.

Bukan tidak mensyukuri dan tidak menghargai pemberian-Nya tetapi hati ini tetap merasakan seperti adanya kekurangan dalam hidup ini apabila melihat kemesraan orang lain yang begitu akrab bersama adik-adik mereka. Cemburu!. Tidak salah cemburu yang hanya ada rasa cinta bukannya kerana benci atau cemburu secara membabi buta. Insan ini memang merasai kekurangan yang ada, namun insan ini tetap redha pada ketentuan-Nya. Ya, bertuahlah mereka yang dianugerahkan semua itu. Memiliki adik-adik yang dijadikan tempat bermesra dan bermanja serta dapat dijadikan sebagai teman dalam kehidupan sebuah keluarga. Justeru, hargailah adik-adikmu. Merekalah permata-permata hati anugerah Ilahi buatmu. Hadir mereka sudah pasti membahagiakan dan menceriakan suasana dalam keluargamu. Hargailah mereka!!!.

Mungkin itulah antara sebab insan ini amat senang bergaul dengan ‘adik-adik’ bagi insan ini. Ya, sebagai tempat bermanja dan mencurahkan perasaan kasih sayang dalam diri ini. Alhamdulillah.. Syukur kepada Allah s.w.t yang tetap menghadirkan ‘adik-adik’ yang sudi bergaul mesra dengan insan ini. Permata-permata hati, tempat insan ini tumpang bermanja dengan mereka seperti adik-adik sendiri. Berkongsi keindahan rasa dalam ikatan ukhuwah ini.  Juga bersyukur kerana Allah s.w.t mengurniakan insan ini adik-beradik yang lain. Sekurang-kurangnya insan ini dapat merasai nikmat memiliki abang dan kakak serta seorang adik perempuan juga. Jauh berbeza dengan anak tunggal. Ya, pasti mereka lebih sepi hidup tanpa kehadiran insan lain dalam keluarga dengan hanya memiliki ayah dan ibu sahaja. Entah bagaimana rasanya jika dipilih Allah s.w.t berada pada situasi begitu. Sedangkan yang ada, rasanya belum mencukupi, inikan pula yang tiada. Justeru, dalam kelebihan yang ada, prihatinlah pada yang tiada. Syukur kepada-Nya.

Biarpun tidak ramai tetapi tetap ada. Merekalah ‘adik-adik’ bagi insan ini. Insan ini menghargai kehadiran mereka. Biarpun tidak selalu bersama mereka dan tidak pula berjumpa sebagai satu keluarga tetapi ianya sudah cukup bagi insan ini untuk merasai sedikit apa yang dirasakan insan-insan lain yang memiliki permata-permata hati ini. Begitulah indahnya Allah s.w.t. mengatur kehidupan ini dalam perhubungan sesama manusia. Yang ada disyukuri, yang hadir dihargai dan yang tiada boleh dikongsi. Sebab ikatan persaudaraan itu tidak menghalang perhubungan sesama insan biarpun berbeza darah keturunan, umur dan darjat kerana tetap bersatu dalam akidah keimanan kepada Allah s.w.t. Justeru, Islam amat mementingkan aspek muamalat sesama manusia dalam berkongsi perasaan cinta, dan kasih sayang. Ia juga menjadi prasyarat bagi memiliki iman yang sempurna.

Istilah “angkat” melahirkan rasa akrab dan erat..


“Dia adik angkat ana..”
“Temankan ana ke rumah keluarga angkat ana..”

Seringkali ia pernah singgah di ruang pendengaran insan ini dari teman-teman . Salahkah untuk memiliki seseorang dengan istilah ‘angkat’? Bergantung pada diri kita. Selagi mana kita tidak melanggar batasan syariat dalam pergaulan selagi itu ianya diharuskan. Sebaliknya jika kita melanggar batasan syariat, maka ianya diharamkan. Jika kita sering mengikuti program-program kemasyarakatan yang melibatkan keluarga angkat, kita akan menjalinkan hubungan dengan semua ahli dalam keluarga angkat kita. Bahkan juga saudara-mara dan jiran tetangga mereka. Di situ, terjalinnya ukhuwah sesama insan. Ya, begitulah istilah keluarga angkat yang sering kita dengar. Ianya istilah untuk melahirkan rasa akrab dan erat. Di situlah wujudnya istilah adik angkat, abang angkat, kakak angkat, ibu angkat dan ayah angkat.

Istilah ‘angkat’ seakan sebati dan sinonim dalam kehidupan masyarakat kita terutamanya bagi golongan mahasiswa. Namun di dalamnya tetap ada batasan yang perlu dijaga dan dipelihara terutamanya batasan aurat dan pergaulan dengan mereka yang bukan muhrim dengan kita. Ianya perlu dipelihara dan dikawal agar tidak menimbulkan fitnah dan mendatangkan dosa. Istilah ‘angkat’ tidak menghalalkan pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan yang bukan muhrim. Justeru, berhati-hatilah dengan istilah-istilah ‘angkat’ kerana dibimbangi diri kita akan bergelumang dengan dosa dan noda jika kita tidak menjaga hukum-hakam syariat dalam aspek pergaulan kita dengan mereka. Jika kita memerlukannya bagi melahirkan keakraban dan kemesraan serta mencurahkan perasaan kasih sayang kita kepada mereka, sebaik-baiknya pilihlah mereka yang sejantina atau semuhrim dengan kita agar batasan aurat mudah dipelihara dan dijaga.

Kita pasti mempunyai persepsi kita masing-masing berkenaan istilah ‘angkat’ ini. Ada yang menyenanginya dan ada pula yang meremehkannya. Jika kita melihat dalam sejarah Islam, Nabi Muhammad s.a.w sendiri memiliki seorang anak angkat iaitu Zaid bin Harithah. Jadi, hubungan anak ‘angkat’ ini akan merangkumi pelbagai istilah ‘angkat’ yang lain kerana ianya sudah tentu melibatkan satu keluarga. Baginda s.a.w amat menyayangi Zaid bin Harithah. Keakraban dan kemesraan antara Rasulullah s.a.w dengan anak angkatnya itu menyebabkan golongan masyarakat pada ketika itu memanggil dan menggelarkan Zaid dengan gelaran Zaid Bin Muhammad. Namun, ianya dilarang dan ditegah oleh Allah s.w.t melalui firman-Nya di dalam al-Quran yang menyuruh agar manusia memanggil anak-anak angkat dengan dinasabkan kepada bapa kandungnya. Ya, istilah saudara ‘angkat’ bukanlah bererti sama seperti adik-beradik kandung kita dan mereka tidak boleh mewarisi harta pusaka tetapi istilah ‘angkat’ itu akan lebih melahirkan rasa akrab dan erat. Justeru, dalam Islam sendiri mempunyai contoh yang jelas dan terbaik berkenaan istilah ‘angkat’, jadi sangkaan atau persepsi yang meremehkannya atau menafikannya adalah salah dan tidak benar sama sekali sebaliknya ia adalah diharuskan bagi meraikan perasaan cinta dan kasih sayang yang wujud dalam hati manusia. Begitu terperincinya Islam meraikan perasaan dan jiwa kita. Subhanallah!!! Alhamdulillah!!! Allahu Akbar!!!

Justeru, beruntunglah mereka yang memiliki saudara ‘angkat’ tidak kiralah apa jua istilah statusnya kerana ianya mampu mengeratkan hubungan silaturrahim sesama manusia di samping dapat menyebarkan rasa kasih dan sayang sesama insan. Ya, mereka mampu merasai kasih sayang daripada saudara ‘angkat’ mereka dan mereka juga boleh berkongsi perasaan kasih sayang mereka dengan saudara ‘angkat’ mereka. Bukankah Islam itu agama yang mengajak kepada persaudaraan dan menganjurkan perdamaian serta menuntut untuk saling berkasih sayang? Justeru, istilah ‘angkat’ antara yang mampu melahirkan bibit-bibit kemesraan dalam jalinan muamalat sesama manusia dengan berlandaskan syariat bagi mewujudkan suasana aman dan damai dalam kehidupan manusia.

Coretan ini bukanlah untuk menggalakkan istilah ‘angkat’ kerana kita mengetahui bahawa ianya sekadar diharuskan dalam Islam dengan syarat-syarat tertentu dan bukannya ia digalakkan tetapi hanya ingin mengajak kita merenung nilai ukhuwah yang begitu indah di sebalik istilah ‘angkat’ ini. Nilai kasih sayang dan nilai keimanan yang wujud dalam ukhuwah ‘angkat’ mampu melahirkan ketenangan dan kedamaian dalam kehidupan ini terutamanya bagi mereka yang memerlukannya.

Sebarkanlah kasih sayangmu dalam berukhuwah, agar hidup terasa tenang dan indah!

Thursday, January 12, 2012

Bahasa jiwa kita..



“Jiwang laa ayat dalam blog mung nie, berbunga-bunga..”
“Belum baca lagi.. Panjang sangat.. Tak sempat laa.. Nanti nak baca slow2..”

Tergelak kecil mendengar kata-kata ini dari teman-teman suatu ketika. Ya, insan ini mengakui bahawa coretan di laman ini adakala bahasanya berbunga-bunga. Tetapi tidak semua. Sengaja begitu. Menulisnya dengan cara ala-ala sastera sedikit. Maklumlah insan ini asalnya dari aliran sastera untuk sekian lamanya. Sekadar mengaplikasi penggunaan bahasa yang dirasa begitu indah diatur setiap bait dalam kalimah bertinta. Puitis penanya mengganti suara dan bicara yang adakalanya tidak secantik coretannya seperti di laman ini. Mungkin itulah bezanya laman ini daripada laman-laman yang pernah dilayari oleh teman-teman sebelum ini.

Bahasa jiwa kita. Ya, bertahun insan ini di aliran sastera, banyak mengajar kaedah bermain bahasa. Sudah sebati rasanya dengan jiwa ini. Tidak pasti pula bagaimana dengan teman-teman? Sepastinya kita tetap ada perbezaan biarpun di aliran yang sama. Justeru, itulah kemampuan yang ada. Bukankah ianya satu anugerah yang perlu dihargai dan disyukuri? Insan ini lebih seronok bermain lenggok bahasa. Lebih teratur dan memiliki kepelbagaian makna. Alunannya adakalanya mencuit rasa dan menghibur jiwa insan ini. Tidak tahu pula, apakah kefahaman teman-teman dengan bahasa-bahasa yang dikatakan berbunga-bunga itu? Terpulanglah kepada teman-teman.

Insan ini bukannya sepakar ahli sasterawan. Rasanya ayat-ayat yang dikatakan berbunga-bunga itu pasti masih kaku di mata mereka. Keras macam kayu layaknya!. Justeru, masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki kerana masih banyak yang belum dipelajari dan perlu betul-betul difahami. Penulisan insan ini sekadar menghiasi laman ini, berkongsi sebahagian daripada cerita-cerita sepanjang perjalanan hidup dan ukhuwah insan ini di samping sedikit sebanyak perkara-perkara yang pernah dibaca dan dipelajari daripada ilmuan-ilmuan yang lain. Cuma ianya diolah mengikut cara insan ini yang tersendiri.

Masih banyak kekurangan yang insan ini rasakan sepanjang menulis di laman ini. Masih banyak juga kelemahan dari sudut pengisiannya dari insan ini. Justeru, jika selama ini ada yang terasa kekurangan dan kelemahan itu, maafkanlah insan ini kerana insan ini sedang belajar menulis untuk berkongsi dan akan terus belajar lagi. Menulis, mencatat, mencoret dan berkarya. Mudah-mudahan ianya dapat memberikan manfaat kepada semua biarpun cuma sedikit. Itulah sekadar yang termampu dari insan ini dengan kecetekan ilmu yang dimiliki ini. Anggaplah ianya satu perkongsian daripada insan ini biarpun tidak mampu mengubah apa-apa.

Ya, insan ini menulis mengikut rasa. Jika perlu panjang maka panjanglah coretannya. Dalam usaha mengisi kekosongan waktu yang ada untuk dimanfaatkan penggunaannya oleh insan ini. Mengajak insan ini berfikir, merenung dan menggunakan kudrat minda ini bagi mencatat sesuatu yang dirasakan perlu oleh insan ini. Terkadang mengajar insan ini erti susah payah seorang penulis bagi menyiapkan sesuatu penulisannya. Di situlah bernilai dan berharganya satu usaha yang mengajak manusia berfikir, merenung dan memerhati untuk mencari kebenaran.

Meluangkan masa seketika untuk membaca penulisan-penulisan ada baiknya dari asyik berkepit di laman muka buku, berbual-bual kosong tanpa sebarang pengisian ilmu yang mampu meningkatkan kefahaman tentang sesuatu perkara. Jauh daripada fitnah-memfitnah, kata-mengata, keji-mengeji dan umpat-mengumpat sesama rakan-rakan maya yang kadang-kadang tanpa disedari mampu menghadiahkan dosa dan noda. Jadi, berhati-hatilah dalam pergaulan sosial di laman muka buku yang sering menjerat dan memenjara hati kita dalam kelekaan dan kelalaian semata-mata.

Apa yang penting? Ukhuwah..

“Rela mari berkumpul nie.. Yang penting, ukhuwah..”
“Kita kalau pasal ukhuwah gak, tidak berkira la mano..”

Ayat-ayat yang kedengaran akhir-akhir ini dalam ikatan ini. Fenomena baru dibibir sahabat insan ini. Penangan Tinta Ukhuwah agaknya. Haha.. Macam-macam sahabat insan ini. Ya, pentingnya memahami ukhuwah untuk menghargai ukhuwah. Apa yang penting? Ukhuwah.. Seakan-akan wonder pets pula jadinya. Sesekali rasa hendak tergelak pun ada. Macam-macam gelagat dan karenah sahabat insan ini. Namun itulah yang mewarnai suasana dalam ikatan persahabatan ini. Biarkanlah jika itu yang dirasakannya. Mungkin begitulah yang diharapkannya.

Sesekali diajak berkumpul bagi mengeratkan ikatan ukhuwah ini setelah sekian lama tidak berkumpul secara beramai-ramai lantaran sibuk dengan komitmen hidup masing-masing. Ya, duduk semeja beramai-ramai dapat me‘refresh’ kembali ikatan yang adakalanya semakin pudar sinarannya ini. Kembali bertemu mata dan bersua muka sesama kita sambil berkongsi pelbagai cerita kisah semasa. Sesekali mengimbau memori zaman sekolah yang penuh nostalgia terindah pasti mencuit sanubari. Ya, terlalu banyak kisah yang tidak mungkin dilupakan kita semua. Sebahagiannya telah pun insan ini coretkan di laman Tinta Ukhuwah ini dalam lembaran post-post yang lalu. Jika belum mengikutinya, kembalilah membaca entri-entri sebelum ini yang terpapar di ruangan teknologi maklumat ini.

Luangkan masa untuk ukhuwah ini seketika. Kerana mustahil kita dapat bersama kembali untuk satu jangka masa yang agak lama. Justeru, hargailah ruang waktu yang ada dalam pertemuan yang singkat sebegini untuk berkongsi cerita dan menyemai kembali kemesraan yang pernah wujud suatu ketika sebelum perpisahan menjelang tiba. Ya, usaha mengumpulkan semula sahabat-sahabat untuk selamanya ini perlu terus diwujudkan bagi melahirkan keakraban sesama kita biarpun cuma seketika. Hadirkanlah diri kita ke lokasi pertemuan ukhuwah ini apabila diajak bersama-sama bagi bersua muka. Tiada apa untuk disegani dan dimalukan kerana kita semua adalah sama sahaja. Apa yang penting, hati kita ikhlas untuk terus berukhuwah.

Pertemuan mesra ukhuwah, me‘refresh’ kembali ikatan mesra yang pernah melakar sejarah!!!

Wednesday, January 11, 2012

DARI SAHABAT UNTUK SAHABAT


Aku mengukir kalam bertinta..
Di laman ini aku bercerita..
Tinta ukhuwah melakar bicara..
Tentang kisah aku dan kisah kita..

Aku tidak mampu memberi harta..
Juga  khazanah yang berharga..
Dari hati yang tidak pernah lupa..
Menghargai ukhuwah berkongsi rasa..

Aku menulis curahan minda..
Menyimpan ceritera dalam coretan..
Sepenuh hati dan sepenuh rasa..
Buat tatapan jiwa yang setia..

Coretanku di catatan kaku..
Mewarnai laman ukhuwah ini..
Rasa cinta dan rasa rindu..
Bertinta sepi tiada peduli..

Biarkanlah jika tidak bermakna..
Tersimpan utuh dalam ruangannya..
Rasa hati tidak pernah memaksa..
Biarkan masa menentukan segala..

Aku pasti akan pergi jua..
Meninggalkan segala memori kita..
Saat itu seandainya kalian masih ada..
Inilah catatan yang masih bersuara..

Nukilan biasa merakam rasa..
Dari sahabat untuk sahabatnya..
Di sini aku ingin berkata..
Aku menyayangi kalian semua..

Dari Sahabat Untuk Sahabat
10 Januari 2012
12.45 P.M

Friday, January 6, 2012

Kenangan semalam..



“…Mungkin satu hari nanti kita akan menangis kerana rindukan zaman persekolahan yang sangat indah…”

Sebahagian daripada coretan yang singgah di skrin teknologi insan ini. Dari adik pelajar insan ini suatu ketika. Dia cuba mengimbau kenangan zaman persekolahan dan remaja. Zaman yang pastinya penuh nostalgia bersama sahabat seperjuangan. Mana tidaknya, bertahun lamanya bersama seperti satu keluarga. Guru-guru seperti ayah dan ibu manakala pelajar-pelajar pula seperti adik-beradik yang memiliki pelbagai karenah dan ragam, mewarnai suasana titian ukhuwah dengan begitu indah.

Di rumah sebesar sekolah. Di bilik sebesar bilik darjah. Di situlah kita bersama mencipta kenangan semalam. Kita disatukan untuk berkenalan antara satu sama lain. Menimba pelbagai khazanah ilmu dan nasihat dari warga pendidiknya. Di situlah tersemainya benih-benih kemesraan, bibit-bibit kasih dan sayang, juga tersimpulnya ukhuwah yang erat sesama kita. Kita mencipta kenangan pada saat itu, dengan pelbagai warna dan ragam. Menghiasi sebuah persahabatan. Ya, kenangan semalam tidak mungkin dilupakan setiap insan yang pernah melaluinya saat tidak lagi bersama-sama mengharungi perjuangan di bawah satu bumbung yang sama selepas perpisahan terjadi.


Memori yang pasti akan datang mengusik saban ketika. Indahnya suasana ketika itu. Suasana dalam bilik darjah pasti menggamit perasaan. Kenangan bersama sahabat-sahabat seperjuangan yang tercinta. Juga kenangan bersama warga pendidik kita yang tulus menabur jasa. Setiap ruang di sekolah pasti menyimpan seribu macam cerita penuh nostalgia. Sama ada yang manis mahupun yang pahit. Ya, kita belajar bersama-sama di dalam sebuah bilik darjah, study group together, memori di kantin sekolah, kenangan di musalla, nostalgia di bilik gerakan dan maktabah sekolah dengan pelbagai aktiviti bersama yang pasti mencuit sanubari bila dikenang kembali. Hati pasti terusik rindu bila terkenangkan saat-saat itu.

Berukhuwah untuk selama-lamanya..


..Zaman ana telah berlalu adikku. Bukan untuk ditangisi tetapi untuk terus diisi..

Antara sebahagian cebisan nasihat ana garapkan bagi membalas kalimah bertinta adik pelajar tersebut. Ya, isilah ukhuwah itu sampai bila-bila. Biarpun kita sibuk dengan komitmen masing-masing, tetapi kita jangan pernah lupa tugas dan peranan kita untuk ukhuwah yang telah dibina sekian lama. Teruslah menghargai ukhuwah tersebut biarpun dalam suasana yang berbeza dan teruslah berusaha untuk bersatu jika ada kesempatan waktu. Berukhuwahlah untuk selama-lamanya.

Lumrah pertemuan pasti akan disusuli perpisahan. Ya, biarlah perpisahan itu hanya berlaku atas dasar lumrahnya. Jangan pula perpisahan berlaku selama-lamanya dengan sebab kita yang menoktahkannya. Ukhuwah itu di hati. Jika hati menghargai ukhuwah, pasti kita akan terus berperanan untuk ukhuwah kita. Biarpun jauh terpisah, berkelana mengikut ketentuan-Nya, namun jangan pernah meninggalkan ukhuwah yang pernah dibina bersama-sama. Sebarkan salam ukhuwahmu berpanjangan. Sebarkan cinta persahabatanmu berterusan. Agar ukhuwah yang terpisah pada lumrahnya, tetap bersatu pada hakikatnya. Ya, bersatu untuk terus kekal di hati kita.


Buktikanlah pada sahabat-sahabatmu bahawa kamu benar-benar sahabat mereka. Sahabat yang tidak pernah meninggalkan persahabatannya walau apa pun yang berlaku. Sahabat yang akan terus meraikan persahabatannya walau di mana pun dirinya berada. Biarpun siapa kita hari ini, jangan kita ‘menarik diri’ dari persahabatan yang terbina. Tidak wajar kita mengenepikan persahabatan yang telah kita bina bersama suatu ketika hanya kerana kita menemui persahabatan yang mana sedang kita jalinkan saat ini. Ingatlah, tanpa persahabatan yang lalu itu tidak mungkin kita menjadi siapa kita pada hari ini. Mereka juga pernah berperanan kepada kita walaupun hanya seketika bersama. Mereka tetap berjasa!!!

Bersahabat kerana Allah, itulah ukhuwah terindah!!!

Tuesday, January 3, 2012

Permainan Mesra Ukhuwah..


Jom main futsal malam ni!!!
Demo ejas la. Nanti oyak blako ko hok mano ado.”

Futsal. Ya, inilah permainan yang terus hidup dalam ukhuwah kita hingga ke saat ini. Seringkali apabila ada kelapangan masa, kita akan berkumpul untuk beriadah sesama kita. Lokasinya di gelanggang futsal berhampiran Tanah Perkuburan Neting atau di gelanggang futsal pantai di Pantai Sri Tujuh. Permainan yang berjaya menyatukan kita kembali dalam medan ukhuwah ini. Sekadar bersuka-suka dalam sukan yang menyihatkan badan ini.

Ya, kita berkongsi kewangan bagi membayar harga sewa gelanggangnya. Sekitar (RM 4.00) hingga (RM 5.00) seorang bukanlah sesuatu yang membebankan kita. Demi ukhuwah ini, kita tidak perlu berkira dalam perkongsian. Masing-masing akan diberi peluang untuk bermain bagi menunjukkan skill yang ada. Biarpun ada dalam kalangan kita sekadar mengikut sahaja. Ya, demi meraikan ukhuwah ini. Kita sering bertukar-tukar pemain jika ada yang ingin berehat kerana keletihan. Satu jam sebenarnya sudah cukup memenatkan. Bermandi peluh dalam permainan mesra ukhuwah ini.

Begitulah kita merangka pertemuan ukhuwah ini. Di medan futsal kita bersama memerah tenaga. Bermain dalam suasana penuh persahabatan. Mengeratkan ikatan silaturrahim sesama kita. Setelah sekian lama tidak bersua. Lantaran sibuk dengan komitmen masing-masing. Ya, kita bertebaran di medan perjuangan kita. Namun kita kembali bersatu di gelanggang futsal biarpun dalam tempoh masa yang amat singkat. Begitulah indahnya ukhuwah kita, terus ada aktiviti yang membolehkan kita bersama walaupun hanya seketika.

Permainan dan gurauan dalam kenangan..

Mengimbau kembali sejarah ukhuwah ini. Banyak aktiviti ‘bermain dan bergurau’ yang sering dimainkan bersama-sama. Ya, masih lagi dalam ingatan selain futsal atau bola sepak, kita juga sering bermain badminton bersama-sama. Semestinya bertempat di gelanggang dalam dewan Kompleks Penggawa Daerah Pengkalan Kubur. Bermain bersama-sama secara solo dan berkumpulan. Itulah permainan yang kita sering adakan suatu ketika dulu. Antara permainan mesra ukhuwah kita yang masih segar di ingatan. Penat bermain sepastinya kita akan menikmati Air Nisan yang di kedai milik keluarga Zamri Abdullah. Sepastinya akan menyegarkan kembali tenaga yang hilang setelah penat berlawan.

Masih lagi segar di ingatan insan ini, satu permainan yang istimewa yang dikenali dengan nama permainan “Balok” dalam kalangan kita. Permainan ini dimainkan di Pondok kediaman Affan dan Jai suatu ketika dulu. Bermain permainan ini pasti berlarutan hingga ke awal pagi. Ya, bermalam di pondok sahabat kita bagi mengulang kaji pelajaran. Biasalah kita sering banyak bermain-main bagi menghiburkan suasana dan menghilangkan stress. Permainan yang menguji kemampuan kita menghabiskan kepingan-kepingan bertanda titik-titik berwarna yang dibahagikan secara mengikut giliran. Siapa yang dapat menghabis kepingan-kepingan itu dulu, dialah pemenangnya. Biasanya orang yang tewas akan menjadi pengacuh bagi perlawanan seterusnya. Seronok kita bermain waktu itu. Riuh rendah dengan gelak ketawa sesama kita. Antara permainan mesra ukhuwah yang pasti dirindui bila diimbas kembali.

Macam-macam cerita permainan mesra ukhuwah ini. Jika di dalam kelas, kita bermain “Dam dan Catur” di atas meja yang dilakar khas, adakalanya kita bermain “Diri & Duduk” yang pasti riuh menyebutnya ketika berdiri atau duduk berserta isyarat tangannya, jika ada siapa terlupa menyebutnya pasti akan menerima padahnya. Sakit!!!. Ada juga masanya kita bermain “Bola” yang direka sendiri, kita bermain “Mekong kapur dan pemadam papan hitam” serta “Sumpit air batu”, atau kita bergurau sedikit kasar menutup kepala teman-teman dengan beg sekolah lalu mengetuk kepala mereka. Itulah kisah ‘bermain dan bergurau’ kita semasa masih berada di bangku sekolah. Kisah kenakalan dan pemberontakan jiwa kita sebagai budak remaja. Sepastinya yang masih segar di ingatan, kita bermain “Mekong Pasir” di kelas bangunan kayu yang kini sudah tiada di Meheliah. Serang menyerang berlaku antara kelas bersebelahan. Habis bertaburan pasir di atas meja dan di dalam kelas. Suasana menjadi huru-hara umpama medan peperangan.

Seringkali juga kita “berdikir, dan bernasyid” sambil mengendang meja yang pasti menggamat suasana. Biasalah bila bersama geng-geng nasyid sekolah. Suara Shahrizat antaranya pasti bergema syahdu menghiasi halwa pendengaran kita. Bisingnya kita ketika itu sehingga memeningkan kepala warga pendidik kita. Adakalanya kita “berzanji, selawat, azan dan bertarannum” bersama-sama. Mengisi kerohanian kita. Itulah antara cerita ‘bermain’ di sebalik kisah ukhuwah kita yang penuh nostalgia. Permainan-permainan inilah antara yang sering mewarnai hari-hari kita di sekolah tercinta. Menjadi memori yang semestinya manis untuk dikenang sehingga ke hari ini.

Lokasi ulang kaji bersama..

Dalam bermain dan bergurau, kita tidak lupa tanggungjawab kita sebagai pelajar. Ya, kita sering mengulang kaji pelajaran bersama-sama. Banyak lokasi yang bersejarah yang menjadi saksi. Di dalam kelas-kelas, di pondok sahabat-sahabat kita, di dewan Islah Bahasa Arab, dan di Balaisoh bersebelahan rumah Azizi. Kita sering bermalam di lokasi-lokasi ini terutamanya ketika tarikh peperiksaan semakin hampir. Kita pasti lebih kerap bersama-sama bagi mengulang kaji pelajaran kita dengan lebih bersungguh-sungguh.

Ya, kita berbincang. Saling membantu sesama kita. Saling memberi tunjuk ajar dalam memilih kaedah penyelesaian terbaik terutamanya bagi subjek Matematik. Ya, subjek yang paling diminati oleh kebanyakan kita. Kita mengkaji soalan-soalan peperiksaan yang lepas. Kita menghafaz isi-isi penting pelajaran. Saling berbincang dan mencari jawapan. Begitulah kisah study group kita. Siang malam kita bersama. Ya, sekolah itu seperti rumah kedua bagi kita. Siang malam kita di situ. Kiranya para guru sudah sebati dengan cara study group kita. Meheliah seperti hidup setiap masa dengan budaya ilmu. Kita pasti berbangga kerana kita antara generasi yang gemilang yang pernah dilahirkan Meheliah. Dari aspek kecemerlangan akademik, kita sepastinya antara batch yang sering dibanggakan pihak sekolah ketika itu.

Kepahitan dalam memburu manis kejayaan..

Sejarah pengajian kita membuktikan keteguhan kita. Seringkali kita tidak ada guru bagi mata pelajaran tertentu kerana gurunya yang sering berpindah-randah. Keterlewatan guru yang menggantikan kekosongan itu tidak sedikit pun mencalar prestasi kita. Suatu ketika, seingat ana, kita diserang dengan isu (S.A.R). Ramai guru yang bertukar sekolah. Kita juga turut terkesan dan tersempit dalam situasi ketika itu. Ya, kita menempuhi tahun-tahun sukar di Meheliah. Menelan setiap kepahitan dalam memburu manis kejayaan. Ianya tidak pernah mematahkan semangat kita untuk membuktikan bahawa kita adalah yang terbaik. Kejayaan demi kejayaan kita perolehi. Tidak salah kiranya jika kita mengatakan bahawa batch kita adalah batch yang banyak memecah rekod demi rekod pencapaian akademik di Meheliah. Itulah sejarah pengajian kita. Kejayaan dan kecemerlangan itulah yang kita tinggalkan untuk diikuti dan disambung oleh generasi selepas kita. Ianya pasti membanggakan ukhuwah bagi batch kita!!!

Seringkali tidak lupa kita membantu warga pendidik jika diminta dan diperlukan. Ya, membantu kerja-kerja mengindahkan suasana sekolah. Membina infrastruktur dan kemudahan di sekolah. Kita berganding bahu bersama warga guru suatu ketika dulu. Amat terasa keakraban kita dengan warga pendidik Meheliah. Kita sentiasa berkerjasama apabila tenaga kita diperlukan. Memang banyak sumbangan yang telah kita berikan. Ya, dalam usaha kita mencari keberkatan di sebalik setiap amalan dan pengajian kita. Itulah peranan kita sebagai pelajar bukan sahaja dalam akademik kita saling membantu sesama kita, tetapi juga dalam lain-lain urusan yang berkaitan. Begitulah kita menjaga hubungan kita dengan warga pendidik Meheliah. Sepastinya ia adalah memori yang amat berharga.

Sejarah ukhuwah kita, tersimpan kenangan yang teramat indah!!!

Monday, January 2, 2012

Menu ukhuwah kita..



Nok  pekena sup belut mana kita ni?
Sekali sekala, makan besar sikit..

Mencari arah lokasi persinggahan bagi menjamu selera. Kadang-kadang di restoren Pantai Sri Tujuh, di deretan kedai Pantai Geting, di restoren Kubang Batang atau di mana sahaja yang menyediakan hidangan ukhuwah ini. Kebiasaannya bagi memenuhi keinginan kerana sudah lama tidak menjamahnya beramai-ramai. Yang menjadikan menu ini special di hati ini, adalah di sebaliknya, tersimpan memori tersendiri dan ianya sarat dengan nilai ukhuwah sesama kami. Sekali-sekala berkumpul menikmati juadah istimewa ini sambil berbual mesra.

Begitulah kisah menarik ukhuwah ini. Ada menu ukhuwahnya yang tersendiri. Sup belut, paprik belut, belut goreng, sayur kailan ikan masin dan telur dadar. Ianya menjadi menu pilihan ukhuwah yang sering dipesan di meja makan hingga ke hari ini. Menikmati keenakan menu pilihan ini di lokasi-lokasi pilihan kami. Pantang di mana sahaja kedengaran tersohor menyediakan menu pilihan ini, pasti kami akan ke sana mencubanya.

Begitulah uniknya ukhuwah ini, hinggakan mempunyai menu istimewanya tersendiri yang sering menjadi pilihan bersama apabila ingin makan sedikit istimewa. Menjadi kebiasaan ukhuwah ini apabila sesekali berada di meja makan memesan menu ini. Bagaikan ianya telah sebati dengan ukhuwah ini sejak zaman persekolahan lagi.

Menu dulu-dulu..


Sup kepok so Kak Lah..”
Mak cik, acu ambik tibek sebutir, karipap sebutir..
Bubuh palo kepok etek, Mak cik..”

Pesanan makanan yang masih terngiang-ngiang di ingatan insan ini. Pastinya teringat akan menu-menu kegemaran teman-teman di kantin Meheliah. Menu-menu yang sering menjadi pilihan kami di kantin sekolah. Pasti riuh rendah dengan gelagat teman-teman, berebut-rebut memesan menu tersebut suatu ketika dulu sambil mengusik pekerja-pekerja kantin yang sabar melayan karenah dan gelagat kami di kantin sekolah.

Zaman persekolahan yang penuh nostalgia. Menu-menu inilah mewarnai hari-hari kami di kantin sekolah tercinta. Mengingatkannya kini pasti mengusik rindu di hati. Sudah lama tidak menjamah juadah istimewa yang dihidang di sana. Juadah yang menyimpan pelbagai kisah ukhuwah ini semasa masih bersama di medan ilmu suatu ketika dahulu. Juadah yang menjadi gelaran di hujung nama seorang teman. Panggilan yang masih kekal hingga ke hari ini di kalangan teman-teman. Pasti ianya akan kekal sampai bila-bila.

Menu mesra ukhuwah, memutik rasa halawah, mencetus nikmat mahabbah!!!

Sunday, January 1, 2012

Apa tugas dan perananmu teman?



Bertahun meniti ukhuwah ini. Kita mewarnainya dengan pelbagai ragam dan karenah kita. Hakikatnya perpisahan terjadi jua. Ada yang setia dan ada yang lupa pada ukhuwah ini. Ada yang menghargai dan ada yang hanya biasa-biasa dengan ukhuwah ini. Memandang dengan sebelah mata tanpa pengertian dan tanpa makna. Mungkin hanya setakat itu maksud ukhuwah dalam dirinya. Setakat bila hanya berada di depan mata. Tidak ambil tahu dan tidak pernah kisah apa tugas dan peranan sebenar dirinya dalam ukhuwah yang terjalin.

Menjadi pendengar setia. Itulah tugas dan peranan sebagai seorang teman buat sahabatnya. Mendengar luahan sahabat-sahabat. Ada ketika menjadi amanah yang tersimpan. Atas dasar kepercayaan dan kejujuran. Ada ketika menjadi tempat mengadu rasa hati yang sarat menahan bebanan rasa. Diluah sepenuh rasa melepaskan derita yang terpendam di jiwa.

Dengan siapa lagi jika tidak dengan sahabatnya. Berkongsi rasa meluah bicara. Mungkin kerana selesa dan terbiasa. Keakraban yang mungkin terasa. Kepercayaan mengatasi keberatan rasa. Menanggung rahsia hati nun jauh terpendam di dasarnya. Membuka bicara dan menutur kata. Melepaskan segala kekusutan yang ada. Agar diperhati dan wujud prihatin.

Terkadang menjadi penasihat. Itulah tugas dan peranan seorang teman buat sahabatnya. Agar teman terus gagah melawan rasa. Walaupun pahit menusuk sukma. Jika masih ada manisnya, pasti akan terasa jua akhirnya. Kerana begitu besar kuasa kata-kata. Mampu mendorong kekuatan rasa. Saat lemah menguasai hatinya. Hadir mengubati rasa. Juga mampu mempengaruhi jiwa.

Dari siapa lagi jika bukan dari sahabatnya. Sepatah kata menguatkan jiwa. Sepatah bicara menegur alpa. Biarpun tidak pernah diminta. Ungkapan kata membuah ceria. Luahan bicara menggamit mesra. Tanda ingatan setia persahabatannya. Mungkin pada lembaran hari yang kian dilupa. Hadirnya pasti amat bermakna. Menjentik rasa mengubah suasana.

Jadilah sahabat yang bersahabat..

Betapa ramai menjadi sahabat hanya pada fitrah nama. Istilah yang terbiasa diguna pakai dalam kamus-kamus bahasa. Jadilah sahabat yang bersahabat. Dalam apa jua situasi dan keadaannya. Bukan hanya di depan sahabatnya tetapi ketika di sisinya tiada. Bersahabat menjadikan kita lebih terasa dekat dan hampir dengan sahabat. Bukan pada istilah nama semata-mata. Sebaliknya merangkumi jiwa dan raga. Berkongsi rasa percaya dan cinta.

Sahabat yang bersahabat tidak akan pernah meninggalkan persahabatannya. Saat berdekatan mahupun berjauhan. Tidak putus perhubungannya. Sekali pun hanya dalam tadahan doa buat sahabatnya. Tidak pernah melupakan peranannya sebagai seorang sahabat. Terus menemani perjalanan dan perjuangan sahabatnya. Biarpun tidak bersama pada hakikatnya.

Sahabat yang bersahabat akan terus menghargai persahabatannya. Akan terus setia dalam perhubungan biar apa pun yang berlaku. Rela menelan kepahitan demi persahabatannya. Sedaya upaya berusaha membahagiakan dan mengembirakan hati sahabatnya. Terus berusaha menceriakan persahabatannya. Mengerti akan peranannya sebagai teman kepada sahabatnya. Terus berkorban mempertahankan persahabatannya. Biarpun pengorbanan itu langsung tidak dipeduli. Hanya sekadar dipandang dengan mata bukan dengan mata hati oleh sahabatnya.

Sahabat yang bersahabat seringkali memiliki telepati rasa. Ianya anugerah yang amat berharga. Sering terasa resah bila ada yang tidak kena pada sahabatnya. Sering terasa gelisah bila mengetahui perkhabaran hiba. Tidak senang duduk jika sekadar membiarkannya. Membuatkannya prihatin dan rasa bersama sentiasa. Saat suka dan duka dikongsi bersama. Kesakitan dan kesedihan ditanggung bersama. Telepati rasa yang terkadang tepat meneka rasa terpendam hanya dengan melihat luaran sahabatnya.

Sukarnya memiliki sahabat sejati..

Sahabat sejati yang sentiasa mengingatkan kita kepada Ilahi. Sahabat yang tidak pernah jemu menjadi sahabat kita. Sahabat yang sentiasa menasihati ketika kita tersilap langkah. Sahabat yang membimbing ke arah kebenaran. Sahabat yang sentiasa mengingatkan kita jika kita terleka dan alpa. Sahabat yang cinta kepada sahabatnya kerana Allah s.w.t. Bukan hanya pada bicaranya tetapi juga pada pembuktian peranannya. Sahabat yang menghargai kita semasa berada di sisi dan terus menghargai biarpun kita tiada di sisinya. Sahabat yang setia menjaga amanah dan menyimpan rahsia kita dan juga sahabat yang sentiasa menjaga dan membela maruah kita.

Sukarnya memiliki sahabat sejati. Sahabat yang sering diimpikan oleh kita. Begitu indah madah Imam As-Syafie berkenaan sahabat sejati: “Aku mencintai sahabatku dengan segenap jiwaku, sahabat yang baik ialah yang seiring denganku dan menjaga nama baikku ketika aku hidup atau selepas mati, ku hulurkan tangan kepada sahabatku kerana aku akan merasa senang, semakin ramai sahabat aku semakin percaya diri, aku selalu berharap akan mendapat sahabat sejati yang tidak luntur dalam suka atau duka, jika aku dapat aku ingin setia padanya.

Tiada salah mencari dan mengharap untuk beroleh sahabat sejati. Sahabat yang mengerti dan memahami tuntutan berukhuwah atas dasar keimanan. Saling berkasih sayang kerana Allah. Dalam mencari kesempurnaan iman yang tersimpan di sebalik ukhuwah Islam. Ya, beruntunglah sesiapa yang memiliki sahabat sejati. Sahabat yang sentiasa mendekatkan diri kita kepada Allah s.w.t. Dalam tutur bicaranya, dalam amal perbuatannya, dalam gurau sendanya, dalam lembut kemesraannya dan dalam butir nasihatnya yang sentiasa mendorong kita mengingati Allah s.w.t dan menyuntik semangat dalam meningkatkan keimanan dalam amalan seharian.

Indahnya memiliki sahabat sejati yang tidak jemu mengajak kita ke syurgawi!!!