Saturday, March 31, 2012

Bingkisan sang musafir di Kepulauan Borneo..



Melewati sebulan di bumi kenyalang ini, pelbagai pengalaman dilalui. Cerita suka dan dukanya. Namun keceriaan tetap menghiasi kehidupan di sini. Apa khabar sahabat-sahabat semua? Mudah-mudahan sahabat semua sihat wal ‘afiat. Sudah lama tidak menulis bingkisan sebegini. Hari ini tajuknya, bingkisan sang musafir di Kepulauan Borneo memandangkan insan ini sedang menikmati permusafiran di perantauan ini. Bulan Februari yang lalu telah membuka lembaran baru dalam hidup ini, bukan disebabkan insan ini dilahirkan dalam bulan tersebut tetapi kerana insan ini diberi peluang dan dipilih oleh Allah s.w.t untuk bernafas di bumi kenyalang ini yang kaya dengan keindahan flora dan faunanya.


Ya, tiada siapa menduga. Di sini pilihan terbaik yang dianugerahkan oleh Allah s.w.t untuk insan ini. Di tanah yang pasti tidak diimpikan oleh kebanyakan kita. Tetapi insan ini berserah diri biarpun di mana sahaja kaki ini memijak demi satu usaha mendidik anak bangsa. Seperti yang insan ini katakan sebelum ini, banyak pengalaman baru yang dilalui di sini. Ya, suasana yang cukup berbeza. Dari sudut ketentuan takdir-Nya yang begitu hebat dan tidak terduga, hinggalah pelbagai perubahan pada kehidupan insan ini.

Berada di sini banyak mengajar erti kesabaran dan ketabahan. Juga mengajar erti ukhuwah bagi insan ini. Bukan mudah berada di tempat asing bagi diri kita. Jauh dari keluarga. Jika mahu pulang ke halaman bonda pun pasti akan terfikir banyak kali lantaran kos ulang-alik yang tinggi dan ianya pasti berbeza dengan kosnya di Semenanjung. Namun begitu, sudah menjadi kebiasaan bagi insan ini berada jauh dari kampung halaman. Tiada apa yang hendak dirisaukan untuk berada di Kepulauan Borneo ini. Di sini, ukhuwah berputik dan jalinannya dapat dipereratkan. Ramai rakyat semenanjung di sini. Merekalah keluarga di sini. Saling membantu bila diperlukan kerana masing-masing mengerti hakikat diri dan ukhuwah di tanah asing ini.

Alhamdulillah.. Bersyukur kerana dipermudahkan lagi oleh Allah s.w.t. Terus bertukar IPG ke Kota Samarahan di Kuching. Biarpun jaraknya seakan-akan dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur. Namun itulah yang lebih mudah bagi insan ini berbanding pada asalnya terpaksa berkejaran dari Sibu ke Kota Bharu. Ya, dapatlah menjimatkan kos perjalanan ulang-alik insan ini setiap kali tibanya musim cuti persekolahan.


Seronok mengajar di sini lantaran bilangan pelajar yang tidak ramai. Biarpun pelbagai karenah mereka banyak menguji kesabaran dan ketabahan diri ini. Biasalah bermain dengan kanak-kanak ribena ini memerlukan ketabahan dan kecekalan dalam diri. Namun yang seronoknya, di sini boleh cubit-cubitan, rotan-rotanan dan pukul-pukulan. Bukan berniat untuk menyakitkan tapi untuk mendidik menjadi insan yang berakhlak mulia yang mampu membeza baik dan buruk.

Seringkali sinis kedengaran. “Mengajar budak-budak, tidak berkembang ilmu.” Pada insan ini tidak begitu. Mengajar budak-budak juga, ilmu juga mampu dipertingkatkan. Malahan ianya bukan terletak pada tahap pengajaran kita tetapi ianya terletak pada kesungguhan kita dalam menuntut ilmu. Jadi, walau di mana pun kita, seharusnya kita yang memilih sama ada untuk terus belajar atau kita hanya ingin berkerja semata-mata.

Mengajar budak-budak mengenal Alif, Ba, Ta dan ABC, usah dipandang remeh. Percayalah, bukan mudah untuk mengajar mereka dalam tahap mengenal dan mengeja bahkan untuk menulis huruf-huruf tersebut. Seringkali orang berbangga dengan pencapaian peringkat menengah mahupun universiti namun ketahuilah asalnya mereka dilahirkan dari bimbingan guru yang mengenalkan mereka huruf-huruf aksara dan ejaan secara berperingkat sehinggalah mereka mampu mengeja, membaca dan menulis.


Berada di kepulauan Daro, Sibu banyak memberi pengalaman baru. Perjalanan menaiki “Boyew Ekspress” selama lebih kurang 2 jam dari jeti Sibu untuk sampai ke Kepulauan Daro. Alhamdulillah.. Mujurlah rumah sewa dekat dengan pekan kecil. Malahan pula, dapat menyewa di Kampung Baru bersama sahabat seperjuangan Mohd Husnee Awang adalah satu keajaiban dalam takdir Ilahi buat insan ini. Mana tidaknya, seluas tanah di bumi kenyalang ini, kami disatukan di Kepulauan Daro. Jarak dari rumah sewa ke sekolah lebih kurang 15 hingga 20 minit perjalanan menaiki motorsikal. Jalannya tidaklah sesibuk di kebanyakan tempat di Semenanjung. Jalanan yang begitu tenang, segar dan nyaman. Keadaan jalan yang sedikit beralun mungkin disebabkan ianya sering digunakan oleh lori-lori pemunggah kelapa sawit.


Pengalaman menjengah hidup ini. Antaranya terpaksa merasai pengalaman naik lori yang sarat dengan muatan kelapa sawit suatu hari tatkala tayar motorsikal pancit semasa pulang dari mengajar di sekolah. Terpaksalah menumpang lori tersebut untuk tiba ke rumah sewa. Pengalaman yang menduka cita juga tercatit dalam hari-hari kehidupan insan ini di sini. Salah satunya adalah, terjatuh daripada motorsikal kerana keadaan jalan yang tidak begitu baik. Mujurlah tiada apa-apa yang teruk berlaku. Cuma luka-luka kecil sahaja di tapak tangan dan lutut. Nasib baik keadaan tar yang basah kerana hujan pada pagi itu mengurangkan kesan-kesan luka pada diri ini.


Krisis air bersih juga menguji ketabahan hati. Seringkali bekalan air paip sukar didapati di sini. Persediaan mental dan fizikal menghadapi segala kemungkinan perlulah sentiasa ada bagi mengelakkan masalah yang lebih besar berlaku. Ya, ini adalah ujian-Nya yang sedikit cuma. Mengajar kami menghargai setitis air. Sebotol air mineral untuk membasahi tubuh badan dan berwuduk sudah mencukupi dalam kadarnya saat berada dalam krisis bekalan air. Menggunakan spray untuk membasahi tubuh badan dan berwuduk. Itulah rutin kami di sini menghadapi saat-saat getir ketiadaan bekalan air bersih. Kebiasaannya akan menumpang mandi di rumah teman-teman di sini yang mempunyai bekalan air. Ya, begitulah suasana ukhuwah di sini.

Semasa orang lain sedang bergembira untuk bercuti di halaman bonda. Insan ini pula akan bermusafir ke Kota Samarahan, Kuching untuk menghadiri interaksi di sana mengikut jadual yang ditetapkan. Buat pertama kali pada cuti penggal pertama persekolahan bulan Mac, insan ini menaiki bas dari Sibu ke Kuching. Perjalanan yang jauh mengambil masa 7 jam untuk sampai ke maktab Kota Samarahan. Jadual yang padat dari pagi hingga ke lewat petang. Selepas ini, mungkin akan mengikuti jalan laut ataupun jalan udara pula. Bergantung kepada keputusan bersama teman-teman seperjalanan di sini.


Buat masa ini, satu kem telah diikuti insan ini di sekolah. Ya, Kem Jati Diri Pelajar namanya. Selama 3 hari 2 malam berkampung dan berprogram di sekolah. Pelbagai pengalaman yang pasti mencipta nostalgia dalam hidup insan ini bersama adik-adik pelajar di sini. Berada di bumi Sarawak, dapatlah belajar bahasa Melanau. Biarpun tidak banyak tapi insya-Allah dalam tempoh kurniaan Allah s.w.t ini, insan ini akan cuba mempelajarinya setakat yang termampu.

Redha ketentuan-Nya, menikmati hidup yang lebih tenang dan bahagia!!!

Sunday, March 18, 2012

Saturday, March 17, 2012

Bertuahnya diri bila dirindui..



Miss u
Kau tak rindu kat aku ke?

Antara SMS ringkas bertinta di skrin telefon bimbit insan ini. Dari seorang teman di perjalanan. Ada insan yang sedang merindui insan ini. Bukan seorang ‘kekasih’. Sekadar seorang teman. Bertuah rasanya diri bila dirindui. Bererti insan ini masih diingati. Biarpun datangnya dari seorang teman. Ya, dari luahan sekeping hati. Bertinta di ruang teknologi.

SMS begitu bukan untuk dimaki, dihina mahupun dicela. Tetapi ia perlu dibalas dengan sebaik balasannya. Kerana dia memberi yang baik. Seharusnya dijawab dengan baik. Bukan dengan celaan dan penghinaan. Juga bukan membisu tanpa jawapan. Biarpun ianya hanya sepatah kata. Ia tetap amat bernilai. Nilai ukhuwah di dalamnya. Ada hati yang sarat merindu. Rindu yang mencengkam batin. Lumrahnya begitu. Ada jiwa yang sedang mengingati. Ingatan yang menganggu emosi. Justeru, kita masih di hatinya. Biarpun tidak bersama. Jauh jarak yang memisahkan hatta sukar bertemu muka dan bertentang mata semula.

Ya Allah.. Ampunilah hamba-Mu ini. Mungkin insan ini terlalu lama menyepi. Membiar teman terusik rindu. Pasti sesak dadanya. Menahan kerinduan itu. Insan ini mengerti. Pahit menahannya sendiri. Hingga dizahirkannya perasaan itu. Dalam sepatah kata yang bertinta di ruang teknologi. Ringkas. Namun padat dengan maknanya. Terasa bersalah dan malu padanya. Kenapa dia terpaksa mengungkapnya?. Relanya insan ini membiarkan sepi merajai ikatan ini sehingga menyeksa batinnya. Rindu.”

Rindu.. Ya, hati ini tidak menafikannya. Rindu pada teman-teman. Banyak kenangan yang terpahat di hati. Banyak terhutang budi kepada mereka. Terlalu banyak peranan mereka dalam membantu perjalanan dan perjuangan ini. Sukarnya untuk bersua kembali sejak perpisahan terjadi. Jika ada pun perhubungan berlaku mungkin hanya sekadar di sebalik tabir lambakan ruang teknologi terkini. Itu tetap tidak sama. Tidak mungkin seindah realiti bertentang mata.

Jangan mudah menghina..


Sayang kamu
Rindu kamu

Beginilah antara SMS dari teman yang mencurah rasa. Mungkin jelik bunyinya. Mungkin rasa jijik membacanya. Mungkin biasa sahaja. Kerana ianya dari insan bernama teman. Benar bukan?. Namun jika ia realitinya. Beruntungnya kita. Bertuahnya kita. Ada teman yang menyayangi dan merindui kita. Bukan mudah meluahkan rasa, menuturkan sayang dan melafazkan rindu pada insan bernama teman. Kerana persepsi pemikiran kita berbeza. Betapa sinis dan sensitifnya kita mentafsir ayat-ayat ini. Sedangkan kita??? Berani menuturkannya? Pernah melafazkannya? Err… kenapa??? Malu.. Jijik.. Tak penting.. Benarkah???

Jangan dibalas SMS teman-temanmu dengan penghinaan. Ingatlah, sepatah kata yang menyakitkan bisa merobek segala keindahan rasa. Layakkah penghinaan untuknya? Atas alasan apa?. Renunglah kembali. Siapa anda tanpanya? Jangan ditambah beban perasaannya. Raikanlah perasaannya sepertimana dia meraikan anda. Sedangkan dia teman anda. Adilkah anda kepadanya jika penghinaan yang anda lemparkan?. Atau adilkah jika anda hanya membisu tanpa membalasnya?. Sekurang-kurangnya khabarkanlah sesuatu agar terubat sedikit kerinduan itu. Dia berhak merindui dan menyayangi anda. Kerana anda adalah temannya.

Ah.. Kekasihku lebih bermakna dan lebih penting. Hanya kekasihku yang layak mengungkapnya. Kalau kekasihku baru aku layan. Lebih penting untuk difahami. Lebih utama dibelai perasaannya. Dipujuk dan dirayu. Ku rela berkorban untuknya. Apa hal dengan dia ni? Buang tabiat ke apa?Begitulah sering deras hati kita membeza dan mempertahankan alasan kita. Penuh sinis dan prejudis. Berbeza layanan kita. Pada insan bernama teman. Namun kita silap membezakan. Beza yang teramat ketara.

Bezanya, teman kita ‘halal’ untuk berhubung dengan kita. Sedangkan kekasih itu ‘haram’ berhubung dengan kita. Kita sering memandang sebelah mata perhubungan yang halal tetapi meng‘agung’kan perhubungan yang haram. Selagi tiada ikatan yang sah, selagi itu hukumnya tidak berubah. Kenapa tidak diraikan mereka sebagaimana mereka meraikan kita? Begitulah keadaannya bila kebenaran sering di‘kemudian’kan sedangkan kebatilan sering di‘utama’kan. Sering ego mengikut hawa nafsu sehingga dengan berani memilih neraka daripada memilih syurga. Ya, mungkin kerana ego, hati mungkin menidakkannya, tapi dari segi perbuatan seolah-olah mengiyakannya.

Justeru, jangan mudah menghina pemberian teman-temanmu. Raikanlah mereka. Kerana bukan semua teman yang akan meraikan kita. Beruntunglah kita bila kita diraikan. Bererti kita masih lagi di hati. Kita masih diingati. Sebagaimana kita sering sukar meraikan seseorang teman, begitu juga halnya seorang teman, bukan mudah baginya untuk meraikan kita. Ingatlah jika suatu hari nanti, dia tidak lagi meraikan kita, pasti kita akan merindui keraiannya seperti suatu ketika. Dari lemah tutur katanya, dari manja gurauannya, dari lembut layanannya dan dari kejujuran hatinya. Jadi, alangkah ruginya kita jika kita tidak menghargai keraiannya terhadap diri kita pada saat ini dan betapa bakhilnya kita jika kita buat-buat tidak mampu untuk meraikannya kembali. Kerana itulah bukti bahawa kita telah hilang ke‘peduli’an rasa kepada teman kita sendiri.

Pemurah atau bakhilkah kita?

“Siapa kita untuk tidak memberi?”
“Siapa kita untuk mencaci dan mengeji?”

Allah s.w.t itu adalah pemilik mutlak segala macam perasaan. Cinta, kasih, sayang dan rindu hatta perasaan benci dan dendam sekali pun. Sekiranya Allah s.w.t begitu pemurah dengan sifat cinta, kasih, sayang dan rindu-Nya kepada makhluk-Nya, siapalah kita ini untuk bersifat bakhil menyimpan sifat “ketuhanan” ini daripada dikongsi sesama makhluk. Sedangkan Allah s.w.t pula begitu bakhil dengan sifat benci dan dendam-Nya tatkala hamba-Nya melakukan maksiat kepada-Nya, siapalah kita ini untuk bersifat begitu ego me‘murah’kan sifat “ketuhanan” ini untuk dilemparkan kepada makhluknya.

Salahkah untuk menyayangi dan disayangi? Siapakah yang suka membenci dan dibenci? Rasanya orang yang telah Mati Hatinya sahaja akan menjawab ‘Ya’ dan ‘Aku’ bagi persoalan tersebut. Sebenarnya ianya adalah kerana sikap mereka yang menyempitkan skop istilah “Cinta, Kasih, Sayang dan Rindu” untuk siapa dengan istilah ‘Hanya’. Jika kita meluaskannya kepada sesiapa sahaja, pasti kita akan menerima seadanya.

Raikan ukhuwah, sebarkan mawaddah, agar beroleh rahmah!!!

Tuesday, March 6, 2012

Nasihat dari sahabat di perantauan..


“Setelah sekian lama aku berada di bumi yang asing.. Bumi yang penuh barokah.. Bumi yang menjadi tempat persinggahan para anbia', para aulia', para ulama' dari salafuna soleh dan kholafuna hakim.. Ku jumpa akan satu jalanan (thoriq), yang mana jalanan itu sama dengan jalanan para ulama' kita di Nusantara (Fatoni, Malaysia dan Indonesia). Ia tidak jauh dari jalanan salafuna soleh kerana di bumi ini (Mesir) amat menitik beratkan 3 ilmu yang usul iaitu Tauhid (Ilmu Kalam), Fiqh dan Tasauf... Dan ketiga-tiga ilmu ini sama bawakan dan jalanannya dengan Tanah Jawi kita dan begitu juga Tanah Suci Mekah dalam sudut sama jalannya dan di bumi para habaib atau para ahlu bait Rasulullah (Yaman)... Thuruq-thuruq kesemua tempat itu adalah sama.. Jadi aku nasihatkan kepada teman-teman dan sahabat-sahabatku agar janganlah salah pilih jalanan yang menjadi panduan hidup setiap hari.. Di Mesir para ulama' sangat mengambil berat tentang tauhid di setiap masjid yang ada pengajian tentang ilmu tauhid.. Kalau dilihat betul-betul ia tidak terasing dari tempat kita Malaysia, yang pada setiap malam dan setiap masjid atau surau mengadakan pengajian itu.. Jadi jangan berasa tersalah dalam mengambil langkah dengan bawakan para ulama' dan ahli ilmu yang mengajar di masjid..”

Secebis nasihat dari sahabat di perantauan. Jauh di bumi anbiya’ sana. Meminta insan ini post nasihat ini di laman tinta ukhuwah ini sebagai sebuah perkongsian. Insan ini bukanlah mengerti maksud asalnya menulis coretan nasihat ini. Mungkin sahabat kita itu lebih mengerti. Pada insan ini, sebarang perkongsian daripada sahabat-sahabat adalah dialu-alukan bagi mengisi laman tinta ukhuwah ini. Ya, sebagai wadah untuk kita semua berkongsi cerita bersama di laman ini.

Tiada apa yang dapat insan ini bantu. Sekadar menyampaikan amanat dan hasrat sahabat kita. Ada maksud sebenarnya di sebalik cebisan nasihat ini. Namun huraiannya, masih diperlukan dan diperjelaskan. Insan ini memohon maaf jika tidak mampu menghuraikannya secara terperinci kerana masih tercari-cari maksud sebenarnya. Mungkin atas dasar kurangnya ilmu untuk memahami sudut kefahaman orang lain. Hakikatnya, insan ini hanya manusia biasa yang masih banyak perlu belajar lagi daripada insan lain.

Inilah sebuah perkongsian yang diminta sahabat insan ini menyiarkannya di laman blog Tinta Ukhuwah ini. Siapalah insan ini untuk menghampakan harapan sahabat-sahabat insan ini. Sekadar termampu membantu merealisasikan hasrat sahabat-sahabat insan ini. Jauh nasihat ini datang menjenguk laman ini, bagaikan terisi mutiara ilmu dari cebisan nasihat sahabat insan ini yang sedang berjuang di medan ilmu, menimba mutiara berharga daripada para ulama’ di Kota Piramid sana. Terima kasih diucapkan kerana sudi berkongsi sesuatu untuk dimuatkan di laman ukhuwah ini biarpun ianya ringkas tetapi ia tetap padat dengan mesej-mesej berguna untuk kita semua. Mudah-mudahan Allah s.w.t memberkati dirimu dan kita semua dalam perjalanan kita mencari keredhaan-Nya dalam kehidupan yang sementara ini.

Jauh merantau dan menggembara bagi menimba khazanah berharga, mudah-mudahan tersingkap hikmahnya!!!