Monday, August 31, 2009

52 Tahun: Menghayati Kemerdekaan


Tanggal 31 ogos tiba lagi. Dan pastinya ia ditunggu-tunggu oleh rakyat Malaysia. Kerana pada tanggal ini, Tanah Melayu mencapai kemerdekaan. Hari ini, sudah 52 tahun negara Malaysia meraikan ulangtahun kemerdekaan. Detik bersejarah apabila laungan Merdeka! berkumandang menggegar alam Malaysia.


Betulkah kita telah merdeka???


Pada mata kasar umumnya masyarakat kita mengatakan kita telah merdeka. Namun hakikatnya kita merdeka atas paksi nama merdeka sahaja. Bukan merdeka secara menyeluruh. Kita masih dibelenggu dengan pelbagai perjanjian dengan pihak British. Kita sebenarnya masih mengikut telunjuk dan arahan penjajah.


Diri ini berfikiran begitu kerana hakikatnya yang kita lihat sepanjang tempoh kemerdekaan ini. Kita masih terkongkong dengan peraturan ciptaan Barat. Kerana merdeka ini hanya pada kertas sahaja. Jika melanggar perjanjian semestinya kita pasti akan kembali terjajah.


Apakah erti kemerdekaan???


Pada diri ini mungkin erti kemerdekaan adalah negara kita sudah tiada peperangan menentang penjajah. Mengapa diri ini berpendapat begitu? Kerana kita tidak dinamakan merdeka sekiranya kita berada dalam situasi peperangan yang melibatkan pihak Barat. Jika masih berlaku kita belum merdeka. Begitulah rasanya.


Mungkin sahabat-sahabat mempunyai pandangan sendiri tentang kemerdekaan ini. Itu terpulanglah kepada sahabat-sahabat tentang pengertian kemerdekaan. Kerana pasti masing-masing mempunyai idea dan pandangan sendiri.


Menghayati erti kemerdekaan...


Bukan bererti diri ini tidak menghargai kemerdekaan yang dilalui selama ini tapi apabila direnung kembali kita sebenarnya masih terjajah. Terjajah dari sudut politik, ekonomi, perundangan dan banyak lagi. Boleh dikatakan sebahagian besar kita masih terjajah.


Pahlawan yang memperjuangkan kemerdekaan sepastinya mereka adalah wira negara. Mereka sanggup mengorbankan jiwa dan raga demi tanah air tercinta untuk mengusir penjajah keluar dari tanah air ini. Pengorbanan mereka sepastinya dikenang sampai bila-bila.



Situasi hari ini...


Apalah erti kemerdekaan jika situasi politik hari ini semakin membimbangkan dan tidak stabil. Kekacauan politik di negeri Perak contohnya menunjukkan bahawa Malaysia masih tidak matang dalam berpolitik. Tidak matang!!! Beginilah akibatnya apabila manusia gila pada kuasa untuk menjadi pemimpin sedangkan tanggungjawab dan amanah diabaikan.


Senangnya kita jika kembali merujuk kepada sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w apabila terpilih sebagai calon pemimpin atau khalifah, mereka lebih suka menarik diri bukannya menawarkan diri untuk berkuasa kerana mereka faham akan amanah yang mereka akan pikul dan ianya akan dipersoalkan oleh Allah s.w.t di akhirat kelak.


Berbeza dengan pemimpin hari ini yang tidak segan silu menawarkan diri untuk menjadi pemimpin malah sanggup merebut kuasa dengan cara yang kotor seperti orang yang tidak bertamadun dan tidak matang.


Apalah erti kemerdekaan jika kita melihat kepada keterbukaan Malaysia terhadap warga asing yang menetap di negara ini, adakah Malaysia akan kembali dijajah??? Kebanjiran warga asing semestinya mengundang kebimbangan oleh masyarakat pada hari ini kerana banyak jenayah yang melibatkan warga asing. Kebimbangan akan berlakunya huru-hara yang melibatkan warga asing ini.


Lupakah kita bahawa penjajahan yang berlaku di Tanah Melayu suatu ketika dulu juga asalnya daripada orang asing??? Dan hari ini jika ianya berterusan dan tidak dibendung, mungkinkah akan berulang sejarah masa lampau. Wallaua’lam..


Walau sejauhmana pun kita melangkah dalam kemerdekaan ini, namun kita bukanlah merdeka daripada pengabdian diri kepada Allah s.w.t. Kita tetap hamba-Nya yang mesti patuh segala perintah-Nya. Sesungguhnya Allah s.w.t telah mengaturkan satu sistem hidup yang terbaik berlandaskan al-Quran dan al-Sunnah. Maka manusialah yang berhak memilih sama ada mengikut peraturan Allah ataupun peraturan manusia. Yang pastinya, peraturan Allah adalah yang terbaik!!!


Salam Merdeka Buat Semua Umat Islam!!! Moga di bulan Ramadhan yang mulia ini, kita dapat memerdekakan diri kita dari belenggu dosa dan noda serta merdeka daripada nafsu durjana. Sesungguhnya merdeka yang sebenar adalah bebas daripada azab Allah s.w.t di akhirat kelak.. Mudah-mudahan kita berjaya!!! Insya-Allah...



No comments:

Post a Comment