Friday, September 5, 2014

Di sebalik teguran itu..


Lumrah dalam sesebuah perhubungan, adakalanya kita ditegur dan dinasihati. Adakalanya kita yang menegur dan menasihati. Itulah hubungan kesalingan yang perlu wujud dalam sesebuah ikatan. Tidak kiralah apa jua status hubungan itu sama ada merangkumi hubungan kekeluargaan, persaudaraan, persahabatan, suami isteri, masyarakat dan sebagainya.

Fahamilah dan ketahuilah bahawa setiap teguran atau nasihat bukan bererti orang yang ditegur dan dinasihati itu melakukan kesalahan mahupun dosa tetapi ianya mungkin sebuah peringatan kepada kita yang sering lalai dan alpa.

Justeru, ayat-ayat al-Quran sendiri mengandungi teguran dan nasihat. Bukan bererti ayat-ayat jenis teguran dan nasihat hanya ditujukan kepada mereka yang melakukan kesalahan tetapi ianya adalah teguran dan nasihat kepada semua tidak kiralah kepada mereka yang soleh ataupun sebaliknya.

Jelasnya, teguran kepada yang mereka yang melakukan kesalahan bagi menegah mereka dari terus melakukan kesalahan yang sama dan mengajak mereka supaya cepat-cepat menyesali perbuatan yang tidak baik itu manakala teguran kepada orang yang soleh bertujuan agar mereka tidak sesekali terjerumus ke dalam kesalahan seperti yang dilakukan oleh mereka yang bersalah walau sekalipun mereka tidak melakukan kesalahan tersebut. Ianya seolah-olah menjadi peringatan dan penghalang kepada kita dari melakukan perkara-perkara yang salah.

Tidak dinafikan bahawa kita mempunyai alasan terhadap tindakan-tindakan kita. Justeru, teguran atau nasihat adalah untuk diterima sekalipun kita berada di pihak yang benar. Bukannya meminta kita berhujah membuktikan kebenaran. Lantas, setiap teguran itu perlu difahami, direnung dan difikir dengan sebaik-baiknya dan sedalam-dalamnya bukannya dengan terburu-buru sehingga kita mudah dipengaruhi dan dikuasai emosi.

Jadi bersangka baiklah dengan mereka yang menegur dan menasihati kita. Jangan melihat kepada orang yang menegur dan menasihati kita tetapi sebaliknya lihatlah kepada intipati teguran dan nasihat mereka itu. Jika ada kebaikan untuk diri kita, kenapa tidak kita berlapang dada menerima teguran dan nasihat itu dengan tanpa sebarang alasan untuk mempertahankan sebarang pendirian sehingga kadangkala boleh mengeruhkan keadaan.


Bersyukurlah kepada Allah jika masih ada lagi mereka yang sudi menegur dan menasihati kita kerana kita sebenarnya memiliki banyak kelemahan dan kekurangan. Terkadang kita tidak mampu melihat kelemahan dan kekurangan kita sehinggalah ada mereka yang sudi menegur dan menasihati kita.

Biarpun kadangkala kita merasakan segala tindakan yang dibuat adalah benar tetapi pada pandangan orang lain ianya adalah sebaliknya. Meskipun tindakan yang dibuat itu benar tetapi mungkin ianya tidak ataupun kurang sesuai dilakukan dalam sesetengah keadaan. Justeru, teguran dan nasihat inilah yang sedikit sebanyak membantu kita supaya lebih berhati-hati dan berwaspada dalam tindakan kita selepas itu.

Kita mungkin akan terus hanyut dengan tindakan kita yang dirasakan benar sehingga menjadi kebiasaan dalam diri kita jika tanpa teguran dan nasihat. Sekurang-kurangnya teguran yang pertama itu membuatkan kita berfikir sejenak seterusnya mempertimbangkannya untuk kebaikan diri kita dan kebaikan bersama.


Hari ini, kita berada di pentas rangkaian global dan talian terbuka. Janganlah pula kita merasakan bahawa kita akan terselamat dari fitnah yang rata-ratanya semakin berleluasa. Jadi, berhati-hatilah dalam tindakan kita terutamanya di aliran massa yang kadang-kadang bisa mengundang fitnah tanpa sedar disebabkan sikap keterbukaan kita yang keterlaluan di pentas massa.

Benar jika kita mengatakan bahawa mulut manusia mana mampu ditutup dari berkata-kata yang tidak elok kepada kita tetapi sedarlah bahawa kita juga mempunyai pilihan yang lebih baik dan lebih selamat. Bukankah kita diajar dan diseru untuk memilih yang terbaik? Jadi, semuanya terpulanglah kepada kita untuk membuat keputusan. Justeru, teguran dan nasihat itu hanyalah benteng yang mencegah sesuatu yang lebih buruk daripada ianya berlaku. Disebabkan kuasa memilih berada di tangan kita, maka pilihlah yang terbaik untuk diri kita.

Jika sememangnya kita memilih untuk bebas berada di pentas fitnah terbuka, janganlah pula kita sewenang-wenangnya menyalahkan mereka yang menuding jari kepada kita dalam setiap tindak-tanduk kita. Seharusnya kita sedar bahawa kita sebenarnya adalah pencetusnya! Kerana kita dari awal lagi merelakannya meskipun kita tidak bermaksud sedemikian.

Berhati-hatilah dan berwaspadalah sentiasa dalam tindakan kita dalam hidup ini. Cari, fikir, dan buatlah pilihan yang terbaik. Kita dianugerahkan akal untuk berfikir dan hati untuk memahami. Jadi fikirlah semasak-masaknya dan fahamilah sebaik-baiknya.


Catatan ini sekadar perkongsian kepada kita semua agar kita lebih berhati-hati dalam perhubungan kita terutamanya di pentas talian terbuka. Kita yang sering lalai dan leka sememangnya akan rasa terkejut dan sedikit terkilan dengan teguran pertama. Ketahuilah bahawa di sebalik setiap teguran pertama, kedua dan ke seterusnya itu, sepastinya mempunyai hikmah yang tidak mampu kita ungkap dengan kata-kata. Kita sememangnya manusia dan ketahuilah bahawa kita sering lupa kerana itulah fitrah kita. Jadi, kita layak ditegur meskipun dari kanak-kanak yang belum mengerti apa-apa!.

Teguran yang pertama, mengetuk beduk hati yang sering leka, mencetus fikir yang lebih mulia!

No comments:

Post a Comment