Friday, February 12, 2016

Bila hati rasa ingin menulis lagi..


Bila hati rasa ingin menulis lagi, insan ini akan menulis. Maaflah kerana tidak mampu istiqomah dalam penulisan di laman Tinta Ukhuwah ini. Justeru, insan ini kagum pada mereka yang mampu beristiqomah dalam menyebarkan buah fikiran dalam bentuk seni penulisan ini.

Benar, bukan mudah untuk menulis tanpa mujahadah dalam diri. Seringkali hasrat untuk menulis dihalangi dengan pelbagai alasan-alasan yang sering membantut. Ya, kesempatan waktu juga sering menjadi alasan meskipun ianya bukanlah alasan yang konkrit.

Bertemankan buku mampu mencerna pemikiran yang luas. Buku adalah hasil cetusan pemikiran para penulis dari pelbagai perspektif dan pandangan. Membaca buku adalah sajian terbaik untuk mengembangkan potensi minda dalam meningkatkan kemampuan diri dalam memahami sesuatu perkara dan mampu menambahkan perbendaharaan kata kepada kita.

Jadi, bacalah buku atau karya penulisan yang mampu memberi manfaat kepada kita. Sejujurnya, bukan mudah untuk menghasilkan sesuatu tulisan yang baik. Hanya mereka yang istiqomah sahaja mampu menghasilkannya. Tanpa rasa jemu dalam diri dan tanpa rasa berputus asa.

Sememangnya di laman Tinta Ukhuwah inilah, insan ini cuba belajar membuahkan hasil pemikiran, pandangan dan nukilan untuk tatapan mereka yang sudi berkunjung ke laman yang serba kekurangan ini. Selain page Facebook insan ini, yang dipenuhi karya-karya peribadi dalam bentuk penuh seni dan puitis temanya. Semoga insan ini terus dikurniakan bakat yang indah ini untuk manfaat kepada kita semua. Amin. Insya-Allah.



Berbalik pada tulisan pada post kali ini, insan ini sebenarnya tidak tahu apa yang ingin dicatatkan pada kali ini. Sekadar menaip keyboard laptop insan ini bagi mengisi ruang post di laman Tinta Ukhuwah ini. Lama sudah rasanya insan ini tidak menulis sesuatu sebagai tatapan buat semua pengunjung yang sudi singgah di blog ini dan juga sebagai kenang-kenangan buat insan ini untuk suatu hari nanti.

Rindu untuk kembali menulis seperti suatu ketika dahulu tetap ada dalam jiwa insan ini. Namun untuk merealisasikannya bukanlah sesuatu yang mudah. Mungkin insan ini sebenarnya yang banyak memberi alasan untuk menjadikannya seperti yang diimpi. Biasalah, insan ini hanya menulis, meluahkan bicara yang terbuku di hati, menceritakan segenap memori yang pernah terjadi yang masih diingati, memberi pandangan mahupun nasihat buat diri, teman dan sesiapa sahaja yang bergelar insan dan semestinya demi sebuah dakwah pada jalan kebenaran.

Biarpun hasil yang mampu dititipkan tidak banyak, walaupun laman tinta ini tidak masyhur, namun insan ini tidak akan jemu berbicara walaupun hanya mata insan ini yang tidak jemu membacanya. Percayalah, di sinilah kepuasan yang insan ini miliki. Kemampuan menulis merupakan satu anugerah yang tidak ramai insan yang mampu beristiqomah melakukannya kerana menulis itu memerlukan fokus dan mujahadah yang tinggi.

Insan ini menulis bukan kerana nama, tetapi kerana berasa rugi jika insan ini memiliki pena tapi tidak mampu berbuat apa-apa. Justeru itu, insan ini telah menggerakkan jari-jemari yang ada untuk melakar bahasa sebagai perkongsian kepada semua. Apa yang baik itu datangnya dari Allah yang Maha Kaya dan yang buruk itu datangnya dari kelemahan insan yang penuh hina ini.

Semoga diberikan taufik dan inayah-Nya untuk terus menyalurkan info-info, cerita-cerita, pandangan, pemikiran dan juga kata-kata nasihat yang bermanfaat kepada semua. Terima kasih kerana sudi membaca. Terima kasih kerana terus setia.

Biarpun coretan ini sekadar memenuhi ruangan pada kali ini, sekurang-kurangnya insya-Allah menjadi talian hayat untuk insan ini agar terus istiqomah dalam menyampaikan sebarang bentuk artikel dari sudut pandangan insan yang kerdil ini dan semestinya kisah-kisah ukhuwah bersama teman-teman seperjuangan yang hadir menghiasi taman kehidupan ini. 

Di sinilah insan ini sedaya upaya merakamkannya dalam bentuk penulisan sebagai kenang-kenangan buat kita warga Tinta Ukhuwah dan juga sebagai tatapan buat generasi Tinta Ukhuwah pada masa akan datang.

Penulisan bukan permainan, menulis wadah perkongsian!

No comments:

Post a Comment