Friday, September 5, 2014

Di sebalik teguran itu..


Lumrah dalam sesebuah perhubungan, adakalanya kita ditegur dan dinasihati. Adakalanya kita yang menegur dan menasihati. Itulah hubungan kesalingan yang perlu wujud dalam sesebuah ikatan. Tidak kiralah apa jua status hubungan itu sama ada merangkumi hubungan kekeluargaan, persaudaraan, persahabatan, suami isteri, masyarakat dan sebagainya.

Fahamilah dan ketahuilah bahawa setiap teguran atau nasihat bukan bererti orang yang ditegur dan dinasihati itu melakukan kesalahan mahupun dosa tetapi ianya mungkin sebuah peringatan kepada kita yang sering lalai dan alpa.

Justeru, ayat-ayat al-Quran sendiri mengandungi teguran dan nasihat. Bukan bererti ayat-ayat jenis teguran dan nasihat hanya ditujukan kepada mereka yang melakukan kesalahan tetapi ianya adalah teguran dan nasihat kepada semua tidak kiralah kepada mereka yang soleh ataupun sebaliknya.

Jelasnya, teguran kepada yang mereka yang melakukan kesalahan bagi menegah mereka dari terus melakukan kesalahan yang sama dan mengajak mereka supaya cepat-cepat menyesali perbuatan yang tidak baik itu manakala teguran kepada orang yang soleh bertujuan agar mereka tidak sesekali terjerumus ke dalam kesalahan seperti yang dilakukan oleh mereka yang bersalah walau sekalipun mereka tidak melakukan kesalahan tersebut. Ianya seolah-olah menjadi peringatan dan penghalang kepada kita dari melakukan perkara-perkara yang salah.

Tidak dinafikan bahawa kita mempunyai alasan terhadap tindakan-tindakan kita. Justeru, teguran atau nasihat adalah untuk diterima sekalipun kita berada di pihak yang benar. Bukannya meminta kita berhujah membuktikan kebenaran. Lantas, setiap teguran itu perlu difahami, direnung dan difikir dengan sebaik-baiknya dan sedalam-dalamnya bukannya dengan terburu-buru sehingga kita mudah dipengaruhi dan dikuasai emosi.

Jadi bersangka baiklah dengan mereka yang menegur dan menasihati kita. Jangan melihat kepada orang yang menegur dan menasihati kita tetapi sebaliknya lihatlah kepada intipati teguran dan nasihat mereka itu. Jika ada kebaikan untuk diri kita, kenapa tidak kita berlapang dada menerima teguran dan nasihat itu dengan tanpa sebarang alasan untuk mempertahankan sebarang pendirian sehingga kadangkala boleh mengeruhkan keadaan.


Bersyukurlah kepada Allah jika masih ada lagi mereka yang sudi menegur dan menasihati kita kerana kita sebenarnya memiliki banyak kelemahan dan kekurangan. Terkadang kita tidak mampu melihat kelemahan dan kekurangan kita sehinggalah ada mereka yang sudi menegur dan menasihati kita.

Biarpun kadangkala kita merasakan segala tindakan yang dibuat adalah benar tetapi pada pandangan orang lain ianya adalah sebaliknya. Meskipun tindakan yang dibuat itu benar tetapi mungkin ianya tidak ataupun kurang sesuai dilakukan dalam sesetengah keadaan. Justeru, teguran dan nasihat inilah yang sedikit sebanyak membantu kita supaya lebih berhati-hati dan berwaspada dalam tindakan kita selepas itu.

Kita mungkin akan terus hanyut dengan tindakan kita yang dirasakan benar sehingga menjadi kebiasaan dalam diri kita jika tanpa teguran dan nasihat. Sekurang-kurangnya teguran yang pertama itu membuatkan kita berfikir sejenak seterusnya mempertimbangkannya untuk kebaikan diri kita dan kebaikan bersama.


Hari ini, kita berada di pentas rangkaian global dan talian terbuka. Janganlah pula kita merasakan bahawa kita akan terselamat dari fitnah yang rata-ratanya semakin berleluasa. Jadi, berhati-hatilah dalam tindakan kita terutamanya di aliran massa yang kadang-kadang bisa mengundang fitnah tanpa sedar disebabkan sikap keterbukaan kita yang keterlaluan di pentas massa.

Benar jika kita mengatakan bahawa mulut manusia mana mampu ditutup dari berkata-kata yang tidak elok kepada kita tetapi sedarlah bahawa kita juga mempunyai pilihan yang lebih baik dan lebih selamat. Bukankah kita diajar dan diseru untuk memilih yang terbaik? Jadi, semuanya terpulanglah kepada kita untuk membuat keputusan. Justeru, teguran dan nasihat itu hanyalah benteng yang mencegah sesuatu yang lebih buruk daripada ianya berlaku. Disebabkan kuasa memilih berada di tangan kita, maka pilihlah yang terbaik untuk diri kita.

Jika sememangnya kita memilih untuk bebas berada di pentas fitnah terbuka, janganlah pula kita sewenang-wenangnya menyalahkan mereka yang menuding jari kepada kita dalam setiap tindak-tanduk kita. Seharusnya kita sedar bahawa kita sebenarnya adalah pencetusnya! Kerana kita dari awal lagi merelakannya meskipun kita tidak bermaksud sedemikian.

Berhati-hatilah dan berwaspadalah sentiasa dalam tindakan kita dalam hidup ini. Cari, fikir, dan buatlah pilihan yang terbaik. Kita dianugerahkan akal untuk berfikir dan hati untuk memahami. Jadi fikirlah semasak-masaknya dan fahamilah sebaik-baiknya.


Catatan ini sekadar perkongsian kepada kita semua agar kita lebih berhati-hati dalam perhubungan kita terutamanya di pentas talian terbuka. Kita yang sering lalai dan leka sememangnya akan rasa terkejut dan sedikit terkilan dengan teguran pertama. Ketahuilah bahawa di sebalik setiap teguran pertama, kedua dan ke seterusnya itu, sepastinya mempunyai hikmah yang tidak mampu kita ungkap dengan kata-kata. Kita sememangnya manusia dan ketahuilah bahawa kita sering lupa kerana itulah fitrah kita. Jadi, kita layak ditegur meskipun dari kanak-kanak yang belum mengerti apa-apa!.

Teguran yang pertama, mengetuk beduk hati yang sering leka, mencetus fikir yang lebih mulia!

Monday, August 18, 2014

Ketika suasana terus berubah..

Lama sudah tidak menitipkan sesuatu di blog Tinta Ukhuwah ini. Maaf sekiranya ada yang tertunggu-tunggu bingkisan terkini dari insan ini. Kekangan masa dan rasa menyebabkan insan ini kurang menjenguk dashboard blog ini. Biarpun kerap kali menjenguk laman blog ini tetapi tidak berkesempatan menggarap sesuatu untuk dicoretkan di laman ini.

Sekalipun ianya mungkin tidak bermakna kepada orang lain tetapi laman ini cukup bermakna buat insan ini. Memang benar, bukan mudah untuk istiqamah dalam menghidupkan laman yang kerdil ini kerana bukan senang untuk membuahkan kisah dalam bentuk tulisan.

Entah ada atau tidak insan yang sudi membaca coretan biasa ini ataupun ianya hanyalah sekadar menjadi diari yang terkunci meskipun ia berada di jaringan terbuka. Biarkanlah sekiranya ianya cukup sekadar itu dalam perkongsian yang sekelumit ini.

Hari berganti hari, masa pantas berlalu. Justeru, hari ini tidak mungkin sama dengan semalam. Ya, semalam sudah menjadi kenangan sedangkan hari ini adalah kenyataan sebuah perjuangan kerana esok adalah sebuah harapan yang belum tentu. Banyak perkara sudah berubah, lantas suasana jua pasti berbeza.

Ketika suasana terus berubah, bagaimana dengan pentas ukhuwah ketika ini? Semestinya ia turut mengalami kesan perubahan itu. Benar, ramai sudah dalam kalangan sahabat-sahabat yang telah mendirikan baitul muslim dan mempunyai komitmen hidup masing-masing terhadap diri, keluarga, masyarakat, agama dan negara.

Justeru, tidak terlambat kiranya insan ini mengucapkan selamat pengantin baru kepada sahabat-sahabat seperjuangan yang telah selamat diijab kabulkan dengan pasangan masing-masing. Semoga perkahwinan kalian diberkati dan diredhai oleh Allah s.w.t.

Tahniah buat pengantin baru, saudara Hamidul Hannan Hasani Bin Mohd Nawi dan pasangan. Juga tidak dilupakan kepada saudara Mohd Husnee Bin Awang dan isteri, saudara Mohd Zaidin Bin Sapian dan pasangan. Tahniah juga buat saudara Muhamad Shukri Bin Che Noh dan pasangan serta saudara Mohd Hafiz Azhari Bin Zulkifli dan isteri atas terbinanya ikatan pernikahan berlandaskan syariat Islam. Kami juga mengharapkan doa daripada kalian agar dapat menjejaki langkah kalian suatu hari nanti. Insya-Allah..






Sungguh, jodoh pertemuan, ajal dan maut itu adalah ketentuan Allah s.w.t. Insya-Allah semuanya pasti akan hadir pada waktu yang tepat. Maka, nikmatilah kebahagiaan yang dikurniakan tuhan disamping bersedia dengan ujian alam rumahtangga yang pasti menuntut amanah dan tanggungjawab yang besar serta perngorbanan dan ketabahan yang tinggi.

Rasanya cukuplah setakat ini dahulu coretan buat kali ini bagi mencuci sedikit pandangan mata dan hati pada laman sesawang yang telah dipenuhi sarang ankabut sejak berbulan-bulan lamanya ini.

Sekalung tahniah buatmu teman dari teman seukhuwah!

Monday, January 6, 2014

Ingin kembali menulis..

Rasa rindu pula untuk kembali menulis setelah sekian lama ber‘cuti’ merehatkan minda dan hati. Mungkin terkena virus ‘kemalasan’ membuatkan diri ini membiarkan  sekian lama laman Tinta Ukhuwah ini tidak di ‘update’ dalam menyimpan info-info terkini berkenaan ukhuwah di sini.


Apa cerita kali ini ya?

Saat ini, insan ini telah berada di kepulauan Borneo bagi meneruskan khidmat sebagai seorang guru setelah hampir sebulan setengah pulang bercuti di desa. Alhamdulillah, cuti pada kali ini membuka lembaran kepada insan ini untuk merakam sedikit kenangan ukhuwah yang berlangsung sepanjang percutian pada kali ini.

Syukur kepada Allah s.w.t kerana dengan izin-Nya aktiviti-aktiviti ukhuwah masih mampu dianjurkan walaupun situasi kini telah banyak berbeza. Meskipun ramai dalam kalangan ashab seperjuangan yang sudah berumah tangga, namun masih berusaha meluangkan masa untuk bersama-sama dalam menjayakan aktiviti-aktiviti ukhuwah yang dirancang bersama.



Pelbagai peristiwa telah berlaku sepanjang ketidak bersamaan dalam menempuh perjalanan hidup ini. Tidak diduga, musibah melanda sahabat insan ini. Setiapnya mungkin mempunyai hikmah. Bersabarlah di atas ujian dan dugaan yang melanda. Berita ketika masih di kepulauan Borneo amat mengejutkan insan ini apabila dikhabarkan seorang sahabat ditimpa kemalangan jalan raya. Keterbatasan masa dan jarak menyebabkan insan ini dan sahabat-sahabat yang lain tidak berkesempatan melawatnya di hospital.



Ziarah ukhuwah diatur sebaik sahaja pulang bercuti di kampung halaman. Ziarah atas dasar ukhuwah amat digalakkan dalam Islam. Justeru, ziarah ukhuwah bagi bertanya khabar dan berbual bicara dengan sahabat yang ditimpa musibah. Mendengar ceritanya pastinya amat menyayat hati. Mana tidaknya, kejadian berlaku ketika diri jauh di perantauan. Tiada ahli keluarga bersama. Yang ada hanya teman-teman seperjuangan di perjalanan.


Cerita ukhuwah bukan sekadar ziarah. Ianya terus diwarnai dengan aktiviti bersama bagi mengeratkan ukhuwah yang telah sekian lama terbina. Permainan mesra ukhuwah dirancang dan semestinya futsal yang menjadi kegemaran warga tinta ukhuwah. Bermain secara santai dan bersuka ria cukup menghiburkan hati. Perlawanan badminton juga turut diadakan bagi memenuhi diari percutian ukhuwah pada kali ini.


Ya, santapan ukhuwah amat meriah di meja ukhuwah. Sesekali mengadakan aktiviti makan-makan cukup menyelerakan. Hidangan ukhuwah semestinya yang berasaskan belut menjadi menu sajian. Ditambah pula dengan ikan kakak masak stim dan tiga rasa membuatkan selera semakin bergelora. Namun pada kali ini tidak berkesempatan menganjurkan aktiviti BBQ. Tidak mengapa, mungkin boleh dirancang pada masa yang akan datang.


Meja ukhuwah juga turut diserikan dengan pertemuan demi pertemuan bagi mengikuti perlawanan bola sepak liga antarabangsa di kedai makan. Ya, sambil menyaksikan bola sepak sambil berbual bicara, bergelak ketawa dan sebagainya. Pertemuan ukhuwah yang cukup bermakna mengisi ruang percutian pada kali ini. Itulah antara bingkisan percutian pada kali ini di kampung halaman. Berukhuwah dengan ashab seperjuangan akan diteruskan sampai bila-bila. Merekalah sahabat yang sering menghiburkan ketika berada di halaman bonda meskipun masing-masing mempunyai komitmen sendiri yang perlu dilunaskan namun pada masa yang sama tidak pernah meminggirkan ukhuwah yang telah dibina sekian lama. Mudah-mudahan persahabatan yang terbina ini akan berkekalan sampai ke syurga yang abadi.


Biarpun percutian kali ini tampak menyeronokkan namun hati insan ini merasai kehilangan sesuatu yang sering hadir setiap kali percutian sebelum ini. Ya, percutian kali ini tanpa kelibat adik-adik pelajar insan ini yang pastinya menggamit memori yang tersendiri untuk dikenang oleh insan ini.

Kebiasaan bersama-sama dengan mereka setiap kali berada di kampung halaman dengan aktiviti bersama pasti menyuburkan ukhuwah yang cukup bermakna. Rindu rasa hati insan ini pada mereka namun apakan daya perpisahan itu menuntut sabar dan redha. Insya-Allah, tiba masanya nanti akan bertemu lagi dan ukhuwah ini akan terus dihubungkan melalui ruang talian massa yang ada pada masa kini.

Selamat berjuang kepada adik-adik pelajar insan ini yang telah berangkat ke medan-medan pengajian tidak kira di dalam mahu pun di luar negara. Mudah-mudahan mendapat kejayaan di medan perjuangan masing-masing.

Ukhuwah dibina, mesra bersama, memori tercipta!