Monday, September 24, 2012

Teguklah hikmah wahyu pertama..



Bacalah. Sekalipun hanya sekali. Biarpun sekadar melewati tanpa ingin memahami. Baca untuk hati kita terus hidup dengan budaya ilmu yang memberi manfaat pada diri. Tatkala kita sering kepenatan dalam bebanan kerjaya atau tugasan seharian. Membaca menjadikan dunia yang sempit menjadi luas. Jangan jadi seperti katak di bawah tempurung sebaliknya keluarlah dari penjara itu dan bergerak bebas di muka bumi Allah ini.

Sekalipun kita bukan lagi seorang pelajar di sekolah atau di universiti. Namun jangan pernah kita lupa bahawa kita masih lagi seorang pelajar dalam sekolah kehidupan ini. Sekolah yang akan menentukan sama ada untung atau rugi nasib kita di akhirat sana tatkala menerima ijazah daripada Allah s.w.t yang mana natijahnya hanya syurga dan neraka.

Perjalanan hidup ini bermula sejak kita lahir dari rahim ibu sehinggalah kita dijemput kembali oleh Rabbul ‘Izzati.  Sebuah perjalanan yang penuh dengan mehnah dan tribulasi yang semuanya menguji kedudukan kita di sisi Ilahi. Jika berjaya, alhamdulillah.. Jika gagal, na’uzubillah..

Kembara seorang abdi mengharapkan redha Ilahi. Di situlah tujuan penciptaan insan yang disuruh mengabdikan diri kepada Allah yang Maha Tinggi. Meskipun kini kita bukan seorang hamba dalam mu’amalat sesama manusia namun kita tetap seorang hamba dalam perhubungan kita dengan Allah ‘Azza Wa Jalla.

Hidup adalah sebuah perjuangan. Perjuangan yang bermatlamatkan keredhaan Tuhan. Ya, Tanpa redha-Nya, hidup menjadi tidak bermakna. Biarpun memiliki harta setinggi gunung, mahu pun ilmu seluas lautan. Tiada erti jika tanpa redha Ilahi. Semuanya jadi hina sekali.

Perjuangan menuju redha perlu mengikuti jalan-jalan yang benar. Jalan yang dilalui mestilah selari dengan kehendak Ilahi. Jalan yang diikuti dengan tepat mengikut kompas iman yang lahir dalam diri. Sekalipun peta perjuangan itu berliku namun dengan keimanan yang jitu mampu mengharungi liku-liku itu untuk tiba ke destinasi yang dituju.

Dunia ini cuma seketika buat kita. Jadi, kembaralah dengan penuh waspada dan hati-hati di belantara kehidupan ini agar kita tidak tersesat dalam mencari jalan pulang. Biarpun pasti kita tempuhi duri-duri ujian, maka tempuhilah dengan ilmu yang kita pelajari. Allah akan terus menguji kita sehinggalah kita bertemu dengan-Nya.

Pasti ada hikmah di sebalik ujian yang melanda. Sekurang-kurangnya ia mengajak kita kembali kepada Tuhan yang Maha Esa. Kita hanya hamba-Nya yang hina. Kudrat yang ada pada diri kita ini pun adalah pinjaman daripada-Nya dan sepastinya dia akan mengambilnya semula bila tiba saat ketikanya. Kita pasti akan ditanya ke mana kudrat ini kita salurkan semasa kita hidup di dunia. Sepastinya ganjaran dan balasan yang setimpal akan diberikan atas segala yang kita kerjakan. Jadi, berhati-hatilah dan jangan bangga sekalipun hari ini kita berkuasa!.


Jangan berhenti membaca sekalipun bukunya amat tebal. Bacalah sedikit demi sedikit, sehelai demi sehelai. Lambat atau cepat ianya akan berakhir jua. Sedangkan membaca itu adalah perintah yang mula-mula diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w dan umatnya. Sekalipun kita tidak mampu, belajarlah sehingga kita mampu membacanya. Jangan berputus asa!.

Membaca memberikan kita cahaya. Cahaya yang menerangi kehidupan kita. Mudah-mudahan dengan cahaya itulah dapat menerangi jalan kita mengenal Allah, tuhan pencipta alam. Kita perlu banyak membaca kerana kita adalah pelajar di sekolah kehidupan. Sebagaimana pelajar di sekolah harian biasa, membaca banyak membantu dalam menempuhi ujian atau peperiksaan. Tanpa membaca kita pasti gagal menjawab soalan-soalan yang diajukan kepada kita sekalipun soalan itu sangat mudah bagi kita.

Justeru, wahyu pertama mengingatkan kita tentang “Iqra” – Bacalah. Ya, ilmu itu amat penting kepada manusia yang mendambakan cinta Tuhan-Nya. Untuk mencintai Allah, kita perlu mengenali-Nya. Tidak dapat tidak kita perlu belajar kerana ilmu perlu dipelajari agar ianya selari dengan kehendak ilahi dan bukannya berlandaskan akal dan nafsu semata-mata.

Ku coret catatan di laman tinta ukhuwah ini sebagai muhasabah kita bersama. Agar kita jangan lupa pada perintah wahyu pertama. Jadi, selamilah hati, tanyalah diri - Sudah banyakkah tinta ilmu yang kita baca? Sudah kenyangkah kita dengan ilmu yang ada? Atau adakah kita sememangnya masih dan semakin haus sekalipun kita telah meneguk ratusan telaga tinta ilmu yang pernah ditatap mata? Semoga kita terus dikurniakan minat untuk membaca dan belajar dalam sekolah kehidupan ini agar ianya menjadi bekalan berguna di hari muka. Justeru, teguklah hikmah wahyu pertama.

Iqra’ adalah satu perintah, pastikan hati kita terus teguh menurut perintah!

Wednesday, September 12, 2012

Bila semut mengajar kita..



Merenung ciptaan Allah s.w.t adalah satu tuntutan bagi meningkatkan rasa kehambaan kita kepada-Nya. Sesekali kita memerhati makhluk-makhluk ciptaan Allah s.w.t yang banyak dan begitu unik. Dari sekecil-kecil ciptaan-Nya hinggalah kepada sebesar-besar ciptaan-Nya mempunyai rahsia dan kepentingannya yang tersendiri yang dapat diambil manfaat dan pengajaran bagi kita dalam menjalani kehidupan seharian.

Semut. Serangga kecil yang begitu menakjubkan sehingga namanya diabadikan dalam satu surah iaitu surah an-Naml sebagai teladan kepada umat manusia yang berfikir tentang keagungan dan kebesaran sang pencipta. Kisah semut dengan Nabi Sulaiman a.s dan tenteranya tercatat dalam kitab agung umat Islam. Catatan ini bukanlah ingin menceritakan kisah tersebut, tetapi cuba mengaitkan serangga kerdil ciptaan Allah s.w.t dengan ukhuwah sesama manusia.


Makhluk kecil ini banyak mengajar kita tentang hubungan sesama manusia. Ya, konteks muamalat yang cukup indah pada serangga bergelar semut. Juga mengajar manusia tentang usaha yang berterusan dengan semangat tidak berputus asa dalam usaha menggapai matlamat sebuah kehidupan. Biarpun hanya haiwan yang kecil namun mempunyai nilai pengajaran yang tinggi untuk diteladani oleh umat manusia. Di situlah kehebatan Allah s.w.t dalam mentarbiah jiwa manusia agar mengakui kehebatan dan kekuasaan-Nya.

Kita melihat semut kebiasaannya berada dalam kawanannya yang ramai. Di situlah semut dalam konteks kemasyarakatannya. Pernahkah kaki anda terpijak sarang semut? Bagaimana kawanan yang ramai itu menyerang kaki anda. Sakit, pedih dan perit jika itu kawanan yang berbisa. Mereka mempertahankan kawasan mereka daripada diceroboh. Itulah jihad mereka biarpun akhirnya mati dilenyek manusia. Begitulah kita dalam bermasyarakat, perlulah berkerjasama dalam perkara-perkara kebaikan dan mencegah kemungkaran yang berlaku dalam kehidupan ini agar kita dapat menikmati ketenangan dan keamanan.

Lihat pula semut ketika menerima rezeki atau makanan yang besar dan banyak. Bagaimana kawanan mereka berkerjasama mengangkatnya pulang ke sarangnya untuk dikongsi sesama mereka. Berat sama dipikul, ringan diangkat sendiri. Begitulah semut mengajar kita erti kerjasama dalam berpasukan. Kerja yang berat akan menjadi ringan bila mana wujud kerjasama sesama ahli dalam sesebuah pasukan atau organisasi.


Renungkan pula bagaimana semut mengajar manusia berukhuwah dalam cara yang cukup mudah. Ketika kita melihat antara dua ekor semut bila mana mereka bertemu di jalanan, mereka pasti bertegur sapa biarpun sekejap cuma. Mungkin di situlah mereka berkongsi maklumat sesama mereka. Begitulah semut yang sering kita lihat. Begitu hendaknya kita manusia yang bergelar muslim, saat bertemu perlulah bermanis muka dan bertegur sapa atau sekurang-kurangnya menyebarkan salam sesama kita mudah-mudahan kita saling berkasih-sayang, hormat-menghormati serta saling mencintai.

Lihat pula semut ketika ia memanjat dinding yang tinggi. Apabila angin datang bertiup kencang, kekadang ianya jatuh ke bawah. Namun ia akan naik semula menuju ke puncak impiannya. Begitulah semut mengajar kita agar jangan berputus asa biarpun kita pernah gagal. Gagal sekali bukanlah bererti gagal untuk selama-lamanya. Kita seharusnya meneladani semangat semut yang tidak luntur biarpun ada rintangan yang menerjah di perjalanan sebuah perjuangan.


Ingatkah lagi cerita antara semut, merpati dan seorang pemburu yang kita pernah dengar atau baca sebelum ini?. Sekalipun ianya hanya sekadar cerita namun di dalam terselit banyak pengajarannya. Sekalipun ianya cuma serangga kecil namun tetap ada peranannya dalam kehidupan ini. Kisah yang mengajar kita erti membalas budi yang baik. Seharusnya begitulah kita apabila berpeluang melakukannya, maka balaslah budi mereka yang pernah berjasa kepada kita. Biarlah wujud di hati kita rasa ingin membalas kebaikan yang pernah diberikan kepada kita sekalipun tidak sama dengan situasi dan nilainya.

Manis gula direbut semut, manis ukhuwah disebut-sebut!

Wednesday, September 5, 2012

Rintihanmu teman, renungan bersama..



“Anggaplah dia seperti adikmu, saat dia menganggapmu seperti abangnya..”
“Lupakan kenangan pahit semalam, bangkit dan binalah ukhuwah yang lebih indah..”

Dari cerita seorang teman saat meminta pandangan. Terlihat dirinya seakan sedang berputus asa. Mungkin kenangan pahit masih menghantui dirinya. Tidak berani memulakannya buat sekian kalinya. Dari bicaranya jelas hampa namun masih tetap ada harapan di dalamnya.

Begitulah cebisan nasihat buatnya sebagai renungan dalam meniti ukhuwah dalam kehidupan. Ya, hidup ini umpama roda. Kekadang di atas, kekadang di bawah. Begitu juga hati dan perasaan kita. Pasti sering berubah-ubah. Mengikut situasi dan keadaannya.

Serik. Mungkin itulah yang terbungkam di hatinya saat itu. Memori lalu seakan meremuk dadanya. Kisah yang sering dikongsinya dengan insan ini. Meluahkan rasa yang sangat berat  sehingga membebankan jiwa. Seringkali juga mengundang airmata.

Sabarlah wahai teman. Ujian rasa di hatimu. Insan ini mengerti biarpun sukar. Rasa sebak juga mendengarnya. Berat telinga mendengarnya, berat lagi hatimu menanggungnya. Namun apakan daya, insan ini yang dicari untuk diceritakan segala bebanan rasa yang sarat ditanggung sendirian. Berkongsi dan melepaskan rasa sebak di dada. Agar ianya dapat melegakan amukan jiwa yang bersarang dukacita.

Masih lagi wujud harapan dalam dirinya. Hatinya ingin sekali lagi mengalaminya namun seakan tidak kuat dan yakin untuk menghadapinya. Berkongsi bahagia dengan insan yang sedang menambat jiwanya. Mengusik lembutan rasa kasih dan sayang di hatinya.

Teruslah menganggapnya seperti adikmu, saat dia menganggapmu seperti abangnya. Begitulah juga sebaliknya. Penuhi harapannya mudah-mudahan harapanmu juga dipenuhi. Lapangkan dadamu dalam menerima agar dirimu mudah memberi dengan penuh ketulusan dan keikhlasan.


“Uruskanlah perasaan kasih dan sayang itu sebaik-baiknya..”
“Jangan kau membezakan dirinya dengan saudaramu, kerana pasti berbeza selama-lamanya..”

Kasih sayang itu fitrah. Maka uruskanlah fitrah yang suci dan indah itu dengan sebaik-baiknya. Agar kita juga dapat menikmati keindahan rasa itu. Tiada salahnya berkongsi perasaan kasih dan sayang itu kerana darinya akan melahirkan ketenangan, kedamaian dan kebahagiaan. Justeru, sebarkanlah kasih sayang di hati dalam berukhuwah kerana dengan perasaan itu mampu menyuburkan ukhuwah yang lebih bermakna.

Siapalah kita untuk menghalang perasaan itu daripada wujud dalam diri. Sekalipun bagi insan yang kejam  pasti tetap wujud perasaan itu di dalam jiwa biarpun sedikit. Selagi mana Allah tidak menghilangkan perasaan itu dalam hati kita selama itulah ianya akan terus menghuni lubuk jiwa kita selama-lamanya.

Dayunglah sampan perasaan ke muara kebahagiaan. Berukhuwahlah dan luaskanlah medannya dengan sesiapa pun. Jangan pula dirimu membezakan dirinya dengan saudaramu, kerana pasti berbeza selama-lamanya. Dia juga memiliki keistimewaannya tersendiri yang belum pasti dirimu perolehi daripada saudaramu. Sekiranya kamu membandingkan dirinya dengan saudaramu semestinya kamu lebih memilih saudaramu. Selebihnya kamu akan menafikan dan membiarkannya kerana dia bukan pilihanmu.

Anggaplah kehadirannya sebagai anugerah daripada Allah s.w.t buatmu. Mungkin itulah yang terbaik pada ketika ini. Sekalipun hari ini dirimu masih tidak memerlukannya dalam kehidupan ini. Kerana kita tidak tahu bila masanya kita akan memerlukannya untuk hadir dalam hidup ini. Jadi, hargailah yang ada selagi mana terdaya sebelum tiba waktunya hadirnya rasa kamu ingin menghargainya sedangkan pada waktu itu suasana ukhuwah telah pun berbeza.

Rintihanmu teman, membuatkan insan ini berfikir akan keindahan ukhuwah antara dirimu dengannya. Coretan ini hanyalah sekadar pandangan dari insan yang maha kerdil ini. Semoga ianya menjadi renungan bersama. Sekalipun bukan semuanya berguna, agar ada manfaatnya biarpun sedikit cuma. Terima kasih teman di atas kepercayaan yang diberikan dalam sebuah perkongsian. Terima kasih…

Fitrah cinta untuk semua, justeru itu sebarkanlah keindahan rasa itu seadanya!!!