Wednesday, July 29, 2009

..:Segalanya Berubah:..

Segaris luka kau guriskan

Sembilu bisa menusuk tajam

Mengundang derita berpanjangan

Tidak tertahan bertubi serangan


Semanis madu aku taburkan

Sepahit hempedu kau curahkan

Tawar hati suram kehidupan

Tiada erti dalam pandangan


Ingin sekali jauh ku berlalu

Meninggalkan sepi memoriku

Tiada guna dalam ingatan

Kosong tanpa hiasan keriangan


Bunga tidak selalu mekar

Tanpa taburan baja penyegar

Tanpa siraman yang mencurah

Tanpa cahaya yang memancar


Kelopaknya akan terus layu

Tidak lagi seindah ratu

Wanginya tidak semerbak dulu

Semakin rapuh menunggu waktu


Begitu sukar mengayuh perahu

Melawan arus mudik ke hulu

Betapa besar bebanan di bahu

Dikerah segala keringat yang padu


Cukuplah masa yang lalu

Melukis sayu kehidupan pilu

Tidak akan bererti semua itu

Tanpa satu pengertian jitu


Hari ini berubah segala

Yang mendung mulai hujan

Yang manis sudah tiada

Hanya yang ada bisu segala





Segalanya Berubah

29 Julai 2009

7.30 A.M

Tuesday, July 28, 2009

Berjalanlah di atas muka bumi ini...



Kepenatan perjalanan masih lagi terasa. Perjalanan dari Pulau Pinang ke Universiti Kebangsaan Malaysia selepas mengikuti program Lambaian Tautan Kasih Kenari 2 di Universiti Sains Malaysia anjuran Persatuan Kebajikan Mahasiswa Kedah. Mungkin perubahan suasana menjadi mata ini masih belum stabil.

Entah apa yang hendak dicoretkan dalam post ini. Kepala ini terasa amat berat sekali. Ingin sekali memejamkan mata untuk sekian waktu tapi terasa bagai ada tugasan yang perlu dilakukan oleh diri ini.

Jalan-jalan menikmati keindahan alam ciptaan Allah s.w.t ini. Memikirkan kehebatan dan kebesaran Yang Maha Berkuasa melalui ciptaan-Nya yang tersergam indah di bumi Malaysia ini. Bersyukur ke hadrat Ilahi atas segala nikmat kurniaan-Nya. Walau di mana pun kita berada maka hendaklah selalu mengucapkan syukur kepada Allah s.w.t. Kerana Dialah pemilik dunia ini.

Allah s.w.t ada berfirman dalam surah al-Mukminun ayat 115 yang bermaksud:

"Maka Adakah patut kamu menyangka Bahawa Kami hanya menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) sahaja Dengan tiada sebarang hikmat pada ciptaan itu? dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada kami?"

Sesungguhnya ciptaan Allah s.w.t bukanlah sia-sia. Allah s.w.t menciptakan manusia untuk mengabdikan diri kepada-Nya. Allah menciptakan alam untuk manusia mengambil faedah daripadanya dan bersyukur di atas nikmat kurniaan-Nya. Setiap ciptaan Allah s.w.t mempunyai hikmat-hikmatnya yang tersendiri yang patut dikaji dan diterokai oleh manusia.
Masih terdapat banyak lagi ciptaan Allah yang tidak diterokai hikmat ciptaan-Nya oleh manusia. Justeru itu, berjalan-jalanlah di atas muka bumi ini supaya dapat mengambil pengajaran dan supaya kita dapat melihat bukti kebesaran Allah s.w.t.

Allah s.w.t berfirman dalam surah ar-Rum ayat 42 yang bermaksud:
”Katakanlah: "Mengembaralah kamu di muka bumi kemudian lihatlah bagaimana kesudahan orang-orang yang telah lalu (yang telah dibinasakan); kebanyakan mereka adalah orang-orang musyrik”.

Allah s.w.t menyeru kepada kita supaya mengembara di atas muka bumi ini untuk melihat sendiri bukti-bukti kekuasaan-Nya supaya kita mengambil pengajaran dari sejarah-sejarah silam yang telah ditinggalkan orang-orang terdahulu. Bangunan-bangunan bersejarah, kesan-kesan perang, khazanah-kazanah alam dan sebagainya sepastinya menyimpan sejuta rahsia sejarah yang mampu memberikan pengajaran dan peringatan kepada kita agar kita menghargai kehidupan ini.
Justeru itu, kita mestilah mensyukuri nikmat kurniaan Allah ini supaya kita tergolong dalam golongan hamba-Nya yang bersyukur kerana nikmat kurniaan-Nya terlalu banyak dan tidak akan mampu dihitung oleh manusia sepertimana firman Allah s.w.t di dalam surah Ibrahim ayat 34 yang bermaksud:

”Dan ia telah memberi kepada kamu sebahagian dari tiap-tiap apa jua yang kamu hajati. dan jika kamu menghitung nikmat Allah nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya. Sesungguhnya manusia (yang ingkar) sangat suka menempatkan sesuatu pada bukan tempatnya lagi sangat tidak menghargai nikmat Tuhannya.”

Manakala dalam surah Ibrahim juga dalam ayat 7 yang mana Allah s.w.t telah berfirman yang bermaksud:
”dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar Sesungguhnya azabKu amatlah keras".
Marilah kita sama-sama memanjatkan kesyukuran di atas nikmat Allah s.w.t yang dikurniakan kepada kita kerana janji Allah itu pasti dan Allah tidak pernah memungkiri janjinya sebagaimana firman-Nya dalam surah ar-Rum ayat 6 yang bermaksud:

”demikian dijanjikan Allah. Allah tidak pernah mengubah janjiNya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).”.



Friday, July 24, 2009

Didiklah Jiwa Dengan Membaca…


Betapa besarnya hikmah membaca. Jika tidak mana mungkin Allah s.w.t mengutuskan Jibril a.s kepada Nabi Muhammad s.a.w untuk mengajarkan nabi membaca. Dengan kalimah Iqra’ yang merupakan satu perintah yang memerintahkan kepada Nabi Muhammad s.a.w supaya membaca sebagaimana wahyu yang pertama diturunkan kepada baginda s.a.w ketika berkhalwat di Gua Hira’ sepertimana yang terkandung dalam surah al-‘Alaq ayat 1 hingga 5 yang bermaksud:


“Bacalah (Wahai Muhammad) Dengan nama Tuhanmu Yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku. Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.”


Betapa besarnya hikmah yang terkandung dalam wahyu pertama ini membuktikan bahawa membaca merupakan salah satu sumber ilmu pengetahuan. Dengan membaca manusia dapat mengetahui perkembangan semasa dan mendalami pelbagai disiplin ilmu. Membaca juga dapat membuka minda kita untuk memikirkan tentang segala ciptaan Allah s.w.t serta mengkaji kehebatan dan keindahan ayat-ayat al-Quran yang mengandungi pelbagai hikmah untuk manfaat kepada umat manusia.


Membaca mampu meningkatkan pengetahuan. Di samping itu, membaca juga membantu kita dalam menyelesaikan pelbagai masalah. Dengan membaca kita akan dapat mengambil pengajaran daripada sejarah masa lalu dan dapat menguatkan daya fikir di samping boleh mengetahui dan mendalami sesuatu ilmu.



Hari ini, sikap membaca semakin luntur dalam kalangan pelajar. Pelajar hari ini kebanyakannya tidak berminat untuk membaca kerana bagi mereka membaca merupakan satu aktiviti amat membosankan. Memang tidak dinafikan membaca itu adalah sesuatu perkara yang menjemukan. Pelbagai halangan pasti kita temui ketika membaca seperti rasa mengantuk, rasa jemu dan sebagainya. Mungkin kerana kita telah terbiasa dengan aktiviti yang tidak bermanfaat. Maka oleh itu, didiklah kembali jiwa kita kepada budaya cintakan ilmu. Jadikan buku sebagai kekasih kita yang terbaik.

Cuba kita renung sejenak, berapa banyak masa yang kita habiskan untuk membaca dalam satu hari? Cuba kita bandingkan masa tersebut dengan aktiviti-aktiviti yang sia-sia kita lakukan sepanjang sehari dalam kehidupan kita. Kita lebih suka menghabiskan masa dengan bermain permainan komputer, menonton televisyen, lepak dan sebagainya. Mungkin terlalu banyak pembaziran masa yang kita lakukan pada satu hari kehidupan kita.


Pertama-tamanya sukanya saya sebut di sini bahawa membaca adalah salah satu cara memperolehi ilmu pengetahuan. Di samping itu ia membantu kita dalam membaiki penulisan dan membaiki cara pemikiran dan tutur bicara kita ke arah yang lebih baik. Ini kerana buku adalah pentarbiah dan pendidik jiwa dan rohani yang baik. Buku juga merupakan sahabat yang terbaik.


Mengapa kita malas membaca? Sebenarnya kita selama ini berada dalam keadaan yang teramat rugi. Pelbagai jenis buku yang telah diterbitkan dan dijual di pasaran ataupun yang terdapat di perpustakaan sekolah ataupun universiti.. Mungkin kita lupa akan sejarah lampau. Kita tidak menghargai karya-karya agung yang dihasilkan oleh para ilmuan. Orang zaman dahulu sukar untuk mendapatkan bahan bacaan. Sehingga terpaksa menadah ilmu secara talaqi kerana kekurangan bahan rujukan. Kita hari ini diberikan satu anugerah yang besar hasil kesungguhan orang yang terdahulu. Adakah kita mensyukurinya?



Sikap malas membaca mesti dibuang dalam jiwa kita. Semailah semangat cintakan ilmu dan tingkatkan minat untuk membaca. Untuk berjaya seseorang itu perlu ada tiga aspek penting iaitu:


Pertama, memiliki rasa bertanggungjawab. Hal ini kerana menuntut ilmu adalah satu kewajipan kepada setiap orang muslim. Tanggungjawab ini mesti dipikul oleh setiap orang yang inginkan kejayaan. Kewajipan yang mesti dilakukan. Iaitu menuntut ilmu. Jika kita memahami kewajipan itu semestinya kita tidak boleh meninggalkannya atau bersikap sambil lewa. Kerana menuntut ilmu itu adalah juga satu amanah. Amanah daripada ibu bapa kita supaya kita belajar dengan bersungguh-sungguh.


Kedua, mesti ada sikap bersungguh-sungguh. Kita mesti bersungguh-sungguh dalam menimba ilmu pengetahuan. Janganlah terlalu memikirkan kepayahan menuntut ilmu. Tapi fikirkanlah tentang kemanisan ilmu dan kemanisan kejayaan. Untuk menikmati kemanisan ilmu itu bukannya mengambil masa sehari. Tetapi kemanisan itu akan hadir sendiri tanpa kita menyedarinya. Segala kepayahan dan kesusahan yang dilalui sepanjang menuntut ilmu akan hilang dengan hadirnya kemanisan ilmu dan kerana manisnya kejayaan itu sendiri.


Ketiga, mestilah ada perasaan ’ubudiyyah. Iaitu rasa kehambaan. Hubungan kita dengan Allah s.w.t. Di mana segala usaha kita mestilah kita serahkan kepada Allah s.w.t. Kita mestilah berusaha dahulu sebelum bertawakkal kepada Allah s.w.t. Ini adalah penting bagi menjamin kejayaan di dunia dan kejayaan di akhirat.


Kesimpulannya, kita mestilah berusaha bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu kerana kita memikul satu amanah yang sangat besar. Amanah agama, ibu bapa, bangsa dan negara. Kita mestilah mentarbiah diri kita kembali agar ikhlas dan sabar dalam menuntut ilmu kerana amanah kita terlalu besar dan kita mesti ingat bahawa setiap amanah itu akan dipersoalkan oleh Allah s.w.t di akhirat kelak.



Thursday, July 23, 2009

..:Kerana Aku Bukan Sahabatmu:..

Dalam meniti persahabatan ini

Tiada yang lebih bererti

Miliki teman yang mengerti

Miliki sahabat yang sejati


Hati ini mengharapkan

Teman yang ditemui

Mengukir memori tersendiri

Dalam persahabatan ini


Kerana kau sahabatku

Tidak pernah dilupakan

Saat berada di puncak tinggi

Kau masih dekat di hati


Kerana persahabatan ini

Bukan hanya hari ini

Bukan hanya saat ini

Tapi hingga ke akhir nanti


Kerana pengorbananmu teman

Tidak pernah dilupa insan ini

Biarpun diri berlalu pergi

Namun akan setia menemani


Dalam ketenangan diri ini

Ada resah yang tersembunyi

Dalam kesepian waktu

Ada rindu berbisik syahdu


Kini segalanya berubah

Melewati saat sukar ini

Disangka panas hingga ke petang

Rupanya hujan di tengah hari


Kerana aku bukan sahabatmu

Terus ditinggal pergi

Dalam memori sepi

Tanpa berpaling lagi


Kerana aku bukan sahabatmu

Terus dibiarkan sendiri

Meniti perjalanan ini

Mencari kekuatan diri


Kerana aku bukan sahabatmu

Dari perananmu aku mengerti

Kehadiran yang tiada erti

Pemergian tiada peduli





Kerana Aku Bukan Sahabatmu

22 Julai 2009

10.00 P.M.

Hanya Kecewa, Bukannya Benci...

Karenah teman-teman rumah sewa di Taman Universiti mencuit hatiku. Kadang-kadang tergelak bila terdengar kata-kata yang melucukan. Membuat hatiku sedikit ceria dan terhibur. Itulah realiti kehidupan kami seharian di sini. Biarpun masing-masing sibuk, tapi masih ada ruang masa berkumpul di ruang tamu sambil menonton TV dan berbual-bual. Sesekali berbincang tentang sesuatu isu. Saling memberi pandangan dan pendapat menjadikan isu yang dibincangkan semakin panas.


Sudah dua semester lebih aku bersama dengan teman-teman di rumah sewa ini. Biarpun kebanyakan mereka berasal dari negeri-negeri di utara tanah air, namun tidak aku berasa asing berada di celah kelompok mereka. Mereka banyak membantu sepanjang aku di sini. Aku bersyukur kepada Allah s.w.t kerana dianugerahkan teman-teman yang memahami keadaanku. Merekalah sumber kekuatan ketika ini dalam meniti perjalanan di universiti ini.


Aku kagum dengan keakraban yang ditunjukkan oleh teman-teman serumah di sini. Dari zaman sekolah sehinggalah di universiti, mereka masih setia mengikat persahabatan sesama mereka. Saling menghargai antara satu sama lain. Saling menghormati dan saling membantu. Berbeza dengan teman-temanku. Jauh bezanya. Terlalu jauh.


Biarpun teman-teman sekolah dulu berada di universiti yang sama, namun masing-masing membawa haluan sendiri. Terasa bagai sendirian meniti perjuangan ini. Mencari kekuatan ketika diri berjauhan dari keluarga di kampung halaman. Entahlah, mungkin terselit rasa kecewa dengan sikap teman-teman sebenarnya.


Saat post ini ditaip, hatiku telah beberapa kali tersentak dengan pertanyaan seorang teman tentang persahabatanku. Hati mana yang tidak terkesan bila keakraban yang pernah dirasa dulu tidak lagi terasa. Malah semakin jauh.. Jauh dan jauh sekali.. Terasa malu untuk mengiyakannya biarpun hakikatnya adalah benar. Terasa amat pahit,kelat dan perit untuk mengungkapkannya walaupun hanya kalimah’ya’. Hati mana yang tidak terkilan dengan sikap teman-teman begitu. Namun inilah realiti yang terpaksa dihadapi diri ini.


Kadang-kadang hati ini berbisik. Siapakah yang dapat ku harapkan jika berlaku apa-apa kepada diriku ketika berjauhan ini? Kalau dulu aku mengharapkan sahabat yang lebih mengenaliku. Namun kini mungkin tidak. Apalah yang aku dapat harapkan daripada mereka. Bertanya khabar pun tidak pernah. Bahkan tidak pernah kisah. Sepi.


Kenyataan temanku bagaikan mencengkam naluriku. Bagaikan aku yang bersalah dalam situasi ketika ini. Mungkin dia tidak pernah mengerti siapa aku. Mungkin dia tidak tahu bagaimana hubungan aku dengan sahabat-sahabatku. Aku tidak menyalahkannya walau apapun pandangannya terhadap diri ini. Aku redha. Mungkin ini jalan terbaik bagiku. Cukuplah aku sendiri merasakannya. Aku sudah tidak berdaya memulakannya. Aku sudah tidak punya kekuatan. Aku perlukan masa untuk semua ini.


Cukuplah selama ini aku yang memulakannya. Biarlah aku mempertahankan pendirianku. Jika diri ini ego dalam tanggapan temanku itu. Biarkanlah asal aku tahu siapa aku. Aku tahu kedudukanku dan akan tetap dengan pendirianku. Sudah lama aku belajar memendamkan keegoan dalam diriku. Meletakkannya pada tahap paling minimum. Namun hingga saat ini keegoan ini seolah-olah dicabar. Memaksa aku melawan arusnya. Cukuplah selama ini aku bertahan. Demi kepentingan bersama. Demi ukhuwah ini.


Percayalah, hanya kecewa. Bukan kebencian menguasai jiwa ini. Kalimah benci tidak pernah wujud dalam kamus persahabatan ini. Hanya yang ada kasih dan sayang, rindu dan harapan. Nikmat yang Allah s.w.t anugerahkan dalam hati ini. Manisnya terasa. Hati ini tidak berdusta. Hati ini lebih mengerti apa yang dirasakannya.


Tiada apa-apa yang aku harapkan ketika ini. Cuma yang aku harapkan hanyalah pengertian. Kerana untuk menghargai persahabatan ini memerlukan kesabaran dan ketabahan. Jua kerelaan hati untuk menghadapinya. Ia nampak ringan sahabatku. Tapi hakikatnya....


Tidak sanggup aku menitipnya lagi sahabatku. Terasa amat pahit dan perit. Cukuplah sekadar itu dari lubuk hatiku. Terlalu sukar rasanya menghargaimu. Terlalu payah menghargai persahabatan ini. Sebak rasa hati ini. Berat sekali. Biarlah kepiluan rasa menemani mimpiku malam ini. Aku tidak menyalahkan sesiapa. Mungkin ini kesilapanku...


Ya Allah, Ampunilah dosa-dosaku. Teguhkanlah hati hamba-Mu ini. Kuatkanlah semangatku dalam meniti perjuangan ini. Tabahkan hatiku menghadapi segala dugaan-Mu. Teguhkanlah iman hamba-Mu ini. Tunjukilah aku jalan yang lurus. Jalan yang Kau redhai. Jalan menuju nikmat-Mu”. Amin. Amin ya Rabbal ’Alamin...


Tuesday, July 21, 2009

Seraut Wajah


Seraut wajah

Putih seri bercahaya

Tenang mengatur langkahnya

Redup sayu matanya

Sinar hening pandangannya


Seraut wajah

Saat melirik senyumannya

Menghibur duka nestapa

Amat terasa manisnya

Di lisan sentuhan jiwa


Seraut wajah

Tika membuka bicara

Lembut tulus bahasanya

Begitu terasa indah

Sulaman kata madahnya


Seraut wajah

Murah gelak tawanya

Sebalik lontaran suara

Walau terselit malunya

Kerana belum terbiasa


Seraut wajah

Rupa penyejuk mata

Mengubat rindu di hati

Mengalir suci wudhuknya

Memancarkan nikmat seri


Seraut wajah

Milik insan bertuah

Bersih disulami taqwa

Dengan tekad imannya

Terdidik dengan hebatnya


Seraut wajah

Tiada ternilai harganya

Anugerah indah Ilahi

Bukti agung ciptaan-Nya

Moga terus disyukuri


Seraut wajah

Tersimpan seribu erti

Sebalik tenangnya diri

Ada rindu tersembunyi

Tetap dibiarkannya sepi


Seraut wajah

Padanya ada segala

Gambaran suka duka

Mungkin riang ceria

Atau titisan airmata


Seraut wajah

Tersimpan sejuta rahsia

Memang sukar ditafsir

Dengan kalutan jiwa

Tanpa pengertian hati


Seraut wajah

Dambaan jiwa seorang teman

Padanya ada kesamaan

Melegakan kehangatan rindu

Buat teman di perantauan


Seraut wajah

Pastinya menggamit kenangan

Pada teman di perjalanan

Biarpun beribu batu jauhnya

Terasa dekat sedarah rasa


Seraut wajah

Peninggalan yang terlalu indah

Detik sepi teman berlalu

Mengisi ruang ketiadaannya

Saat hilang di bayangan mata


Seraut wajah

Biarpun keakraban tidak terasa

Seerat ikatan dengan saudaranya

Namun munculnya amat bermakna

Mengisi kesepian rinduan rasa




Seraut Wajah

29 Disember 2008

11.45 P.M

Monday, July 20, 2009

Tanggal 27 Rejab 1430H...

Pejam celik pejam celik, kita sudah hampir ke penghujung bulan Rejab. Hari ini bersamaan 27 Rejab 1430H. Satu tarikh yang mulia. Ada peristiwa besar yang telah berlaku pada tanggal ini. Peristiwa yang terukir dalam sejarah Islam. Peristiwa yang tercatat dalam al-Quran. Peristiwa yang dilalui oleh Rasul junjungan mulia Muhammad s.a.w. Iaitu peristiwa agung perjalanan Isra’ dan Mi’raj.


Umum mengetahui bahawa Isra’ adalah perjalanan Nabi Muhammad s.a.w dari Masjidil Haram di Makkah ke Masjidil Aqsa di Palestin. Manakala Mi’raj pula adalah perjalanan naik Nabi Muhammad s.a.w dari Masjidil Aqsa ke Sidratul Muntaha menemui Allah s.w.t bagi menerima fardhu solat.


Firman Allah s.w.t yang bermaksud:


"Maha suci Allah yang telah memperjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haram (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui."

(Surah al-Isra’: ayat 1)


Maksud ayat al-Quran tersebut menjadi dalil peristiwa Isra’ dan Mi’raj yang berlaku kepada baginda Rasulullah s.a.w yang diperjalankan oleh Allah s.w.t untuk menunjukkan bukti kekuasaan-Nya dimana Dia berkuasa memperjalankan hamba-Nya dalam tempoh satu malam sahaja.


Sepanjang perjalanan itu, Nabi Muhammad s.a.w diperlihatkan oleh Allah s.w.t dengan pelbagai nikmat dan juga azab-azab yang disediakan kepada hamba-Nya yang beriman atau sebaliknya. Antaranya, nabi telah diperlihatkan satu kejadian aneh di mana terdapat segolongan manusia yang bercucuk tanam pada suatu hari dan pada hari berikutnya menuai hasilnya dan begitulah seterusnya. Nabi s.a.w juga telah diperlihatkan satu golongan manusia yang disediakan dua bekas berisi daging. Bekas yang pertama berisi daging yang telah masak, enak dan segar. Manakala bekas yang kedua berisi daging yang mentah, busuk dan hanyir. Namun manusia tetap memilih daging yang mentah itu walaupun ada yang lebih elok.


Kisah Isra’ dan Mi’raj adalah satu peristiwa yang menguji keimanan umat Islam ketika itu. Hanya dengan keimanan yang teguh membuatkan umat membenarkannya seperti sahabat baginda s.a.w iaitu Saidina Abu Bakar yang telah membenarkan peristiwa tersebut. Sebab itulah Saidina Abu Bakar diberi gelaran as-Siddiq. Peristiwa Isra’ dan Mi’raj ini juga membuktikan betapa mulianya ibadah solat berbanding dengan ibadah-ibadah lain dalam Islam. Ibadah solat adalah ibadah yang diterima terus oleh Nabi Muhammad s.a.w daripada Allah s.w.t tanpa perantaraan malaikat Jibril a.s.


Beberapa hari lagi, Rejab akan meninggalkan kita. Selepas ini akan kita lalui pula bulan Sya’baan seterusnya kita akan bertemu dengan bulan Ramadhan al-Mubarak. Sepatutnya bulan Rejab ini menjadi bulan kita mentarbiah diri kita dengan mula membiasakan diri kita dengan amalan-amalan sunat sebagai persiapan kita menyambut bulan yang mulia iaitu bulan Ramadhan tidak lama lagi.


Sebagaimana Rasulullah s.a.w pernah berdoa ketika berada dalam bulan Rejab yang bermaksud:


Ya Allah Ya Tuhan Kami, berkatilah kami dalam bulan Rejab dan Sya’baan dan sampaikanlah kami kepada bulan Ramadhan”.


Nabi s.a.w bersungguh-sungguh memohon kepada Allah s.w.t agar disampaikan usia kepada bulan Ramadhan melambangkan betapa mulianya bulan Ramadhan yang mana pada malam-malamnya terdapat satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Oleh sebab itu, Rasulullah menganjurkan kepada umatnya supaya berdoa mudah-mudahan Allah s.w.t memberkati kehidupan di bulan Rejab dan Sya’baan dan memanjangkan umur kita hingga sampai ke bulan Ramadhan al-Mubarak.


Ada ulama’ berpendapat bahawa bulan Rejab ini adalah bulan menanam, bulan Sya’baan sebagai bulan berbuah manakala bulan Ramadhan adalah bulan mengutip hasil.


Sebahagian ulama’ yang lain pula berkata bahawa Rejab itu ibarat bulan angin bertiup, Sya’baan pula bulan awan berkumpul manakala Ramadhan adalah bulan hujan turun.


Ibarat perumpamaan yang digambarkan oleh para ulama’ tersebut menunjukkan bahawa perlunya kita bersedia untuk menghadapi bulan Ramadhan bermula dari bulan Rejab lagi. Yang mana kita diseru meningkatkan amalan-amalan kita dari sehari ke sehari dan dari semasa ke semasa bagi kita mengecapi nikmat yang sebenar-benarnya ketika berada dalam bulan Ramadhan al-Mubarak. Tanpa pentarbiahan dan pengisian jiwa dengan amalan-amalan kebajikan di peringkat awal mana mungkin kita mampu menghadapi bulan Ramadhan yang mulia nanti dengan sebaik-baiknya.


Oleh yang demikian itu, marilah kita sama-sama berusaha meningkatkan amalan-amalan soleh mudah-mudahan kita lebih bersedia menjalani ibadah di bulan Ramadhan dan mendapat rahmat dan keredhaan daripada Allah s.w.t.



Sunday, July 19, 2009

Tanggal 18 Julai 2009: Sebuah Pertemuan...

Setiap pertemuan pasti ada perpisahan. Setiap perpisahan belum pasti ada pertemuan. Itulah suratan hidup ini. Aku mengucapkan syukur ke hadrat Allah s.w.t di atas segala nikmat yang dikurniakan-Nya. Hari ini hari yang paling bahagia rasanya. Dianugerahkan oleh Allah s.w.t sebuah pertemuan yang tidak disangka-sangka. Baru semalam aku menghubungi dia setelah sekian lama sepi beritanya. Semalam aku bertanya khabar menerusi mesej buatnya kerana baru beberapa hari yang lalu memperoleh nombor telefonnya daripada seorang teman lama. Sudah lama rasanya tidak bersua dengannya.


Detik pertemuan yang membahagiakan jiwa. Dia tidak banyak berubah. Bagaikan baru semalam dia berlalu. Keceriaan dan keakraban terasa bagaikan seperti dulu. Biarpun hakikatnya sudah lama masa berlalu. Saat bertemu di Masjid UKM petang tadi, senyumannya melirik riang ke arahku. Saat pertemuan itu kami berpelukan melepaskan kerinduan. Maklumlah sudah terlalu lama tidak berjumpa. Suaranya yang ku nanti sekian lama. Akhirnya menusuk jua ke ruang telinga. Menatap wajahnya untuk sekian kalinya yang ku damba selama ini. Itulah detik pertemuan dengan sahabat lama. Hatiku mengucapkan syukur yang tidak terhingga kepada-Nya di atas pertemuan ini.


Dia sahabat zaman kanak-kanak sebelum meniti alam remaja. Dia sahabat zaman sekolah rendah. Sahabat yang hebat. Sahabat kebanggaanku. Suatu ketika dulu, kejayaannya menjadi pendorongku. Zaman sekolah rendah yang masih dalam ingatan. Adalah kisah-kisahnya biarpun bukan semua yang masih ku ingat. Namun dia pembakar semangatku. Hingga ku genggam kejayaan demi kejayaan. Dalam meniti zaman remaja.


Sedikit mengimbau memori lalu ketika bersamanya. Sepastinya terdetik kenangan di sekolah rendah dulu. Ketika itu di darjah 6. Sekolah Kebangsaan Geting 1. Kelas 6 Anggerik tahun 1999. Tahun itu, kami bakal menduduki UPSR. Peperiksaan yang penting di peringkat sekolah rendah selepas 6 tahun berada di situ bermula tahun 1994.



Tidak banyak ingin ku imbas. Sekadar cebisan-cebisan sejarah yang menjadi kenangan manis untuk hidup ini. Masihku ingat, ketika keputusan percubaan keluar. Seingat aku, aku hanya mendapat 1A 3B dan 1D. Sedangkan sahabatku itu mendapat 5A. Dia sahabat yang hebat. Aku kagum dengannya. Satu majlis perhimpunan meraikan kejayaannya. Semua guru memberi hadiah kepadanya sebagai peransang untuknya agar mengekalkan kecemerlangan dalam UPSR yang sebenar. Betapa bahagianya dia saat itu. Merasai nikmat kejayaan yang tidak pernah dirasai oleh diri ini. Bagiku, kalau dia boleh kenapa aku tidak. Aku tidak pernah menguji kesungguhanku. Semangatku selalu luntur.


Kejayaannya itu bagaikan membakar semangat dalam diriku. Ketika itu hanya tinggal sebulan lagi UPSR yang sebenar akan berlangsung. Aku berjanji pada diriku untuk berusaha sebaik yang mungkin. Aku banyak belajar daripadanya. Jika ada apa-apa yang tidak ku faham aku akan bertanya kepadanya dan juga bertanya pada teman-teman yang lain. Mereka banyak membantu. Aku hanya pelajar biasa. Nombor dalam kelas pun hampir-hampir penghujung. Dengan tempoh masa yang berbaki itulah aku berjuang. Pagi petang siang malam mengulangkaji pelajaran sehinggalah berakhirnya UPSR.


Keputusan UPSR amat mengejutkanku. Aku bersorak riang ketika slip keputusan UPSR digenggaman. Mana tidaknya. Aku mendapat 4A 1C. Manakala sahabatku itu terus mengekalkan kecemerlangannya. 5A terus dalam genggamannya. Tahniah sahabatku!!!.


Namun satu kata-katanya yang akan aku ingat sampai bila-bila dan akan ku bawa bersama meneruskan perjuangan hidup ini. ”Kamu hebat Nan!!!”. Masih terngiang-ngiang di telinga ini. Terharu rasanya hati ini ketika mendengar kata-kata itu terpacul dari mulutnya. Ikhlas dari bibirmu sahabatku. Terima kasih sahabatku!!!. Biarpun kau di puncak jaya, namun kau masih merendah diri. Tidak angkuh dan tidak pula meninggi diri.


Aku banyak belajar daripadamu sahabatku. Dari dirimu aku mencari kekuatan. Bermula dari situlah aku rasakan adanya semangat juang dalam diriku. Semangat yang aku bawa ke medan perjuangan seterusnya. Hingga ke hari ini dan ke akhirnya. Insya-Allah.


Kejayaan demi kejayaan aku kecapi. Biarpun tanpamu di sisi sahabatku. Tapi semangatmu tetap menemani perjalanan ini. Bukan hendak berbangga dengan kejayaanku hari ini kerana kau jauh lebih cemerlang daripadaku. Kejayaanku tiada apa-apa nilai sahabatku. Namun kekuatan ukhuwah itulah yang lebih bernilai. Tanpa kau sahabatku, mungkin aku tidak mampu mengecapi semua itu. Ucapan terima kasih dariku buatmu sahabatku. Norfaiz Bin Mohd Mokhtar. Dirimu mencipta memori tersendiri dalam kamus hati dan kehidupanku.


Mengenalimu sahabatku, membuatkan aku menghargai sebuah persahabatan. Kerana tanpa sahabat, aku tidak mampu berjaya. Aku tidak mungkin mempunyai kekuatan untuk berjuang sendirian. Di saat aku ditimpa kegagalan. Sahabatlah sumber kekuatan. Agar tidak terus rebah. Kerana itulah di saat aku merasai nikmat kejayaan. Tidak pernah aku melupakan sahabat-sahabatku. Mereka juga patut menikmatinya bersama. Bagiku kejayaanku adalah kejayaan buat sahabat-sahabatku. Kejayaan buat semua. Biarpun aku berlalu. Namun sahabat tetap di hatiku. Dekat sekali.


Tiada ertinya kejayaan bagiku jika aku melupakan insan-insan yang banyak berkorban padaku. Aku hanya insan biasa. Dari bawah aku bermula. Biarpun berada tinggi di puncak sekalipun, aku akan terus memandang ke bawah. Kerana bawah adalah permulaan. Tanpa permulaan tiadalah penghujungnya. Aku hanya insan biasa. Semuanya aku belajar dari hakikat kehidupan silam. Dari sahabat setia.


Pertemuan hari ini sepastinya mengubat rindu di hati. Suara yang dirindui. Wajah yang dinanti. Sahabat yang ku cari sekian lama. Kini ku temui. Semoga pertemuan ini dapat menceriakan kembali persahabatan yang telah sepi sekian lama. Semoga Allah s.w.t merahmati persahabatan ini dan persahabatan kita semua...




***Sahabatmu***

18 Julai 2009

10.05 P.M.