Tuesday, March 30, 2010

Penantian Ini...

Penantian ini..

Amat menyeksa batin..

Terkulai dalam kelemasan tabah..

Melawan arus keinginan nafsu..


Penantian ini..

Terselit rindu dalamnya..

Terbina harapan untuknya..

Namun mungkin sekadar sahaja..


Penantian ini..

Bilakah akan berakhir..

Menemui segala jawapan..

Agar terungkap makna..


Penantian ini..

Kemanisan terasa pahit..

Nikmatnya sudah terbalik..

Sepasti lesu menemani..


Penantian ini..

Bermain dalam waktu..

Terasa keterlambatan sahaja..

Biarpun telah tertulis takdir..


Penantian ini..

Memerlukan kesabaran yang tinggi..

Dalam kerinduan jiwa menghadapinya..

Adakah kemanisan di penghujungnya..


Penantian ini..

Agar cepat ia berlalu..

Melewati kesunyian waktu..

Dalam resah sang perindu..


Tuesday, March 23, 2010

Kini Aku Kembali...

Seminggu berada di kampung halaman cukup merasai nikmat cuti sakit yang diberikan oleh doktor Pusat Kesihatan Universiti Kebangsaan Malaysia. Semester ini terasa banyak kali pula kaki ini singgah di kampung halaman. Baru sebulan yang lalu pulang bercuti sempena tahun baru cina dan kali ini pula bercuti kerana kesihatan yang sedikit terganggu yang memerlukan rehat yang mencukupi dan rawatan susulan yang amat memeritkan. Hihi..

Empat hari di kampung, aku tidak ke mana-mana kerana keadaan diriku yang perlu di ‘kuarantin’ dalam tempoh itu menunggu penyakitku sedikit reda. Alhamdulillah.. selepas empat hari tahap kesihatanku semakin pulih dan stabil. Namun kesan-kesannya masih ada sehingga hari ini. Entah bila akan hilang semuanya.

Tiga hari terakhir pula, aku melepaskan geram kuarantin. Aku mula bergerak aktif. Rata-rata berjalan menikmati hari-hari terakhir cuti. Malam sabtu yang lalu aku berkesempatan mendengar ceramah maulidur rasul di sekolah tercinta. Sudah lama kaki ini tidak menjejak kaki ke bumi Meheliah. Akhir sekali ke sana adalah bagi mesyuarat persatuan alumni pelajar Meheliah (GABPEM) akhir tahun lalu. Itulah kali terakhir menjejak kaki ke situ. Sekolah yang banyak menyimpan kenangan bersama sahabat-sahabat seperjuangan dan guru-guru. Sekolah yang banyak mengajar aku erti kehidupan, agama dan persahabatan. Di situlah pernah ku rasai nikmatnya kejayaan.

Malam itu berkesempatan berjumpa dengan Mudir Madrasah, Ustaz Ariffain Mis. Sudah lama tidak bersua. Mudir kebanggaan yang banyak merintis perubahan di Meheliah. Semoga Meheliah terus cemerlang di bawah kepimpinannya. Melihat suasana di Meheliah malam itu semestinya terimbau memori suatu masa lalu. Melihat adik-adik Meheliah membuka gerai makanan pasti mencuit kenangan yang pernah dilalui bersama-sama sahabat-sahabat pada zaman persekolahan dulu. Begitulah suasana jika diadakan ceramah besar-besaran di sekolah. Teringat juga suasana Pasaria suatu ketika dulu. Sememangnya terlalu banyak kenangan di Meheliah yang sukar dilupakan diri ini.

Tiket malam ini telah habis. Terpaksa aku melewatkan sehari keberangkatanku ke pusat pengajian sehari dan terpaksa aku meninggalkan kuliah pada esok hari. Malam ini, malam terakhirku di kampung halaman. Terasa hendak disambung cuti ini seminggu lagi tapi apakan daya masih banyak kerjaku di sana. Projek ilmiahku entah bila akan ku siapkan. Masa hanya ada sebulan sahaja lagi untuk mencari maklumat dan menulis. Mudah-mudahan dipermudahkan segala urusan dan dapat ku menyiapkannya nanti dalam tempoh yang ditetapkan.

Tenang rasanya berada di kampung biarpun sedikit terasa ketiadaan teman-teman di sisi. Mujurlah ada si permata hati yang menguatkan perjuangan ini. Bersama dengannya sepastinya menghilangkan segala beban yang terpikul di minda ini. Dalam suasana yang tenang dapat lagi ku tatapi seraut wajahnya yang ku rindui dan sepastinya senyumannya yang tidak dilupakan diri ini. Dalam sepi waktu ini, cukuplah hadirnya mengubat keresahan rindu di jiwa. Biarpun seketika bersama tapi ianya cukup bermakna. Terima Kasih ya Allah.. Kau hadirkan permata hati dalam penantian ini. Semoga terus kuat menghadapi perjuangan ini. Dan ketika ini aku kembali menyambung langkah. Meneruskan perjalanan hidup di perbukitan ilmu ini…