Thursday, August 20, 2009

Hiburan: Kegilaan Masa Kini

Beberapa minggu yang lalu, ana dan teman-teman serumah berkesempatan mengikuti program Ummah Talk anjuran Ikatan Studi Islam UKM yang bertajuk Manusia Menyalak, Anjing Berzikir. Rasa ingin tahu tentang topik yang bakal dikupas oleh seorang pensyarah Fakulti Pendidikan iaitu Dr. Halim Tamuri menyebabkan diri ini bersama-sama teman-teman serumah terpanggil untuk mengikuti program ini.


Sebelum itu, ana berpandangan bahawa isu yang akan di bincangkan adalah berkaitan dengan isu hiburan ataupun hedonisme. Kerana pada jangkaan ana terhadap tajuk berkenaan adalah sekitar isu hiburan kerana hiburan semakin menjadi kegilaan masyarakat dunia pada hari ini dan pengaruhnya yang kuat kepada masyarakat terutamanya golongan remaja pada masa kini.


Ternyata jangkaan ana tepat dan tidak meleset kerana yang dibincangkan adalah berkaitan hiburan cuma lebih menekankan kepada mahasiswa terutamanya mahasiswa Islam agar mengambil peluang berdakwah melalui seni hiburan yang berkonsepkan Islam. Hal ini kerana menurut pandangan peribadi Dr. Halim Tamuri bahawa kesan pengaruh hiburan pada hari ini terlalu kuat dan kebanyakan masyarakat amat tertarik pada hiburan. Jadi pada pandangan beliau, sudah tiba masanya mahasiswa pada hari ini mengambil satu pendekatan yang positif melalui hiburan Islam sebagai satu jalan dakwah yang terbaik bagi mendekati masyarakat terutamanya golongan remaja supaya dapat memahami Islam.


Terdapat banyak lagi ruang hiburan yang semestinya diisi oleh mahasiswa Islam untuk meneruskan usaha dakwah. Kita bersyukur kerana di Malaysia, seni hiburan Islam terutamanya industri nasyid mendapat sambutan yang menggalakkan daripada masyarakat tetapi masih banyak lagi yang kurang diceburi oleh mahasiswa bagi mengetengahkan dakwah berunsur rohani dan agama seperti bidang lakonan drama, teater dan filem, penulisan skrip, bidang penerbitan dan sebagainya. Dr. Halim Tamuri mengajak mahasiswa supaya menggunakan alternatif ini dengan berkarya mengikut kebolehan masing-masing bagi mengembangkan lagi industri seni berkonsepkan keislaman bagi mendidik jiwa masyarakat agar kembali kepada ajaran Islam dalam menjalani kehidupan ini.


Ana bersetuju dengan pandangan yang dikemukakan oleh Dr Halim Tamuri kerana merasakan bahawa mempergiatkan hiburan berkonsepkan Islam adalah satu kemestian dalam dakwah Islam dan ianya adalah relevan untuk dipraktikkan oleh golongan da’ie pada zaman ini. Hal ini kerana kepelbagaian kaedah berdakwah itu sendiri dan kerana melihat dari sudut kepentingan industri hiburan Islam kepada masyarakat dewasa ini.


Kepincangan yang berlaku dalam sosial masyarakat pada hari ini terutamanya golongan belia kerana bersikap fanatik kepada hiburan-hiburan yang melalaikan. Budaya hedonisme ini adalah merosakkan jiwa dan mampu menggugat akidah manusia. Budaya ini adalah merupakan satu racun yang ditabur oleh musuh Islam bagi menjauhkan umat Islam daripada mengingati Allah s.w.t dan menjauhkan masyarakat daripada kebenaran ajaran Islam.


Pembentukan sahsiah yang terbaik adalah bermula daripada acuan berlandaskan al-Quran dan as-Sunnah yang menjadi panduan umat serta mampu menjadi benteng yang utuh bagi mengelakkan daripada berlakunya gejala-gejala yang negatif dalam kalangan masyarakat agar masyarakat kembali mengikut lunas-lunas yang dituntut oleh Islam. Sebagaimana firman Allah s.w.t dalam surah al-Baqarah ayat 138 yang bermaksud:


“(Katakanlah Wahai orang-orang Yang beriman: "Agama Islam, yang Kami telah sebati dengannya ialah): acuan Allah yang mencorakkan seluruh kehidupan Kami dengan corak Islam); dan siapakah yang lebih baik acuannya daripada Allah? (Kami tetap percayakan Allah) dan kepada-Nyalah Kami beribadat.”


Pendidikan melalui hiburan berunsur Islam adalah amat penting bagi menjana masyarakat yang beriman dan bertakwa kepada Allah s.w.t. Justeru, topik yang bertajuk Manusia Menyalak, Anjing Berzikir merupakan isu terhadap suasana yang melanda umat dunia pada hari ini kerana manusia lebih mengagung-agungkan hiburan mengatasi panggilan azan dan bacaan al-Quran. Oleh yang demikian itu, kita sebagai umat Islam semestinya perlu memuhasabah diri kita agar kita dapat berusaha menjauhkan hiburan-hiburan yang melalaikan dan memilih alternatif lain untuk berhibur iaitu dengan menanamkan minat terhadap hiburan berbentuk keislaman dan berusaha memperjuangkan hiburan Islam yang mendidik jiwa serta hiburan yang dapat mengingatkan kita kepada Allah s.w.t…



No comments:

Post a Comment