Friday, December 13, 2013

Wednesday, October 30, 2013

Wednesday, August 14, 2013

Thursday, May 16, 2013

Istimewa buat guru..



“Selamat Hari Guru, Cikgu!”
“Terima kasih atas tunjuk ajarmu..”

Itulah ucapan yang pernah meniti dibibir insan ini suatu ketika dulu. Meraikan hari guru buat warga pendidik di sekolah. Jasa dan pengorbanan guru amat besar dalam mendidik anak bangsa. Siapa pun kita pada hari ini, bermulanya dari didikan insan bergelar guru. Ya, guru-guru kita yang tidak jemu mengajar kita membaca, menulis dan mengira.

Coretan ini mampu ditulis juga kerana hasil didikan warga guru yang tidak jemu mengajar hingga berjaya. Terima kasih cikgu! Istimewa ku bicarakan buat para murabbi yang telah banyak berjasa buat diri ini. Tanpa mereka, siapalah insan ini pada hari ini.

Selembut bayu;
membelai tenang..
Selamat Hari Guru;
jasamu terus dikenang..

Siapa pun yang pernah menjadi guru kepada insan ini, terima kasih diucapkan atas segala ilmu yang disampaikan kepada insan ini. Hanya Allah s.w.t yang mampu membalas jasa dan pengorbanan kalian. Insan ini akan terus mendoakan kebaikan buatmu guru. Mudah-mudahan segala ilmu yang dicurahkan menjadi bekalan yang berharga di akhirat nanti.

Justeru, terlalu banyak kenangan bersamamu guru. Ianya menjadi ingatan saban hari dan waktu. Terasa bagai semalam, aku bersamamu. Sungguh hati ini rindu saat-saat itu. Masih dahagakan mutiara-mutiara ilmu yang keluar dari bibirmu. Kaulah insan istimewa yang pernah hadir dalam hidup ini. Menabur jasa dan bakti hingga insan ini menjadi seperti hari ini.

Hari ini, aku berada di tempatmu. Merasai jerih lelah menjadi insan bergelar guru. Melayan karenah anak-anak murid insan ini. Sebagaimana sabarmu guru, begitulah insan ini belajar erti kesabaran. Meskipun adakalanya insan ini sering tewas dengan karenah anak-anak didik insan ini. Namun insan ini perlu untuk terus belajar erti sabar yang cukup indah.

Detik pertama menjadi guru sepastinya tidak akan insan ini lupakan. Meskipun hanya bergelar guru ganti ketika itu. Itulah permulaan tugas sebagai pendidik. Detik-detik mengajar pelajar-pelajar generasi pertama insan ini akan menjadi kenangan buat selama-lamanya. Merekalah generasi yang mula-mula melaungkan “Terima kasih, cikgu!” dalam versi yang berbeza namun maksudnya seiras sama.

Bertalu ucapan selamat;
terima kasih kerana ingat..
Dengan sekelumit kudrat;
menjadi bekalan ke akhirat..

Kini, “Selamat Hari Guru!”, “Terima kasih, Cikgu!” bakal menemani perjuangan insan ini dalam kehidupan ini. Seakan tidak percaya insan ini kini bergelar guru. Terima kasih atas ucapan dan ingatan buat insan ini. Terima kasih buat adik-adik pelajar generasi pertama insan ini dan juga anak-anak murid diri ini pada hari ini.

Buat semua yang bergelar guru. “Selamat Hari Guru!” Istimewa buat kita semua..

Friday, April 12, 2013

Hulur pemberian, nikmati perkongsian..




“Bukan banyak pun nilainya, tidak semahal nilai ukhuwah yang ada..”
“Terimalah seadanya, rezeki kamu. Bahagian saya tetap ada.. Insya-Allah..”

Seringkali kita mengelak daripada menerima sesuatu pemberian daripada orang lain. Mungkin pada saat itu, kita tidak memerlukannya kerana kita tahu kita masih punya. Ataupun kita merasakan bahawa kita lebih berada daripada insan yang memberi.

Janganlah begitu wahai teman. Terimalah pemberian itu biarpun pada saat itu kita masih punya atau sekalipun kita tidak berhajat kepadanya. Tidak akan jatuh martabat kita, tidak akan hilang maruah kita jika kita menerimanya. Justeru, kita telah meraikan perasaan orang yang memberi. Berilah peluang untuk orang lain berbuat kebajikan kepada kita kerana memberi itu merupakan salah satu sunnah yang amat digalakkan.

Usahlah dilihat dan dihitung berapa nilainya kerana bukan kita yang berhak menilainya. Biarpun rasa berat namun raikanlah nilai ukhuwah yang ada di sebaliknya. Lumrah hidup berukhuwah, adakalanya kita memberi, adakalanya kita diberi. Ada ketikanya kita menghargai, ada ketikanya kita dihargai. Ada waktunya kita membantu, ada waktunya kita dibantu. Justeru, begitulah keindahan yang wujud dalam ukhuwah kita. Ya, dengan adanya sebuah perkongsian.

Maka bersyukurlah kepada Allah yang memberikan kita rezeki-Nya sekalipun tanpa usaha kita. Biarpun kita tidak pernah meminta dan berhajat kepadanya. Justeru, percayalah bahawa rezeki Allah itu sangatlah luas dan ianya datang dari pelbagai sumber yang sukar untuk dijangka. Kerana rezeki itu adalah dalam rahsia Allah Yang Maha Kaya. Dia telah menentukan kadarnya untuk setiap makhluk-Nya.

Raikanlah ukhuwah dengan cara kita masing-masing. Agar dengannya dapat mewujudkan kemesraan dan kasih sayang yang berpanjangan. Justeru, membina ukhuwah itu amat mudah. Dengan hanya menyebarkan salam, kita dapat mewujudkan suasana ukhuwah. Namun untuk menjadikan ukhuwah itu lebih berharga bukanlah semudah membina ukhuwah. Untuk itu, ia memerlukan pengorbanan dan komitmen yang berterusan.

Binalah ukhuwah dan hargailah ukhuwah. Ianya terlalu indah jika kita berusaha mengindahkannya. Dari ukhuwah yang biasa-biasa mampu menjadi luar biasa. Erat dan akrab, kita sendiri yang mencetuskannya. Kita mampu melihat dan lebih penting daripada itu, kita mampu merasakannya. Justeru, kita yang mencorak ukhuwah kita, jadi rasanya lebih indah jika kita yang mewarnainya. Jadi, warnailah dengan warna-warni yang penuh ceria agar kita beroleh bahagia.

Secicip rezeki kita, Allah jua yang memberinya!..

Tuesday, February 12, 2013

Ungkapan biasa; hikmahnya tetap ada..



“Belajar rajin-rajin. Jangan putus asa.”
“Ngaji molek tuh. Usaha betul-betul. Buat yang terbaik.”

Antara ungkapan yang pernah hadir dalam hidup insan ini suatu ketika. Mungkin biasa kita dengar ungkapan ini atau seumpamanya. Biasa yang membiasakan jiwa. Hingga tawar dirasa kerana telah lali terbiasa. Sebenarnya pada insan ini, ungkapan begini merupakan kata-kata yang luar biasa. Besar pengaruhnya buat jiwa. Bukan mudah ianya hadir menyapa dalam hidup ini terutamanya daripada ibu bapa, saudara-mara mahupun teman-teman insan ini. Namun, bicara ini seringkali terungkap dari bibir seorang guru. Benar bukan?

Guru. Ya, mereka lebih memahami potensi diri kita. Mereka lebih tahu kemampuan dan kebolehan kita sekalipun kita sendiri masih belum atau tidak menyedarinya. Guru kita sering melihat kita dengan penuh harapan. Agar kita, insan yang mereka didik suatu hari nanti akan menjadi insan yang berjaya. Jika tidak pun, jadi insan yang berguna.

Seringkali pesanan atau nasihat begini dirasakan biasa. Namun di sebalik kebiasaannya, ia mampu menguatkan jiwa. Tatkala kita seringkali berputus asa. Rasa lemah tidak bermaya mengharungi perjuangan kita. Kadang-kadang hadirnya kembali menyuburkan semangat yang kian padam dan suram. Seakan masih ada yang berharap dan ingin melihat kita berjaya.

Insan ini belajar dari kata-kata yang dianggap ‘biasa’ ini. Sejak zaman persekolahan hingga ke detik ini, insan ini meneroka dan meneliti bicara ‘biasa’ ini. Ya, besar makna dan pengaruhnya pada diri ini. Meniti kejayaan demi kejayaan sering bertemankan kata-kata sebegini. Dari lisan para murabbi yang tidak jemu menyuntik kata-kata semangat. Begitulah ungkapan rasa berunsur pesanan yang penuh harapan daripada mereka. Sekalipun pada anak didiknya, ianya mungkin ungkapan biasa sahaja. Sesekali ianya hadir daripada ashab seperjuangan dan saudara-mara. Namun, gurulah yang paling banyak menuturkannya.

Insan ini ingin sekali menjadi seorang yang tidak jemu meluahkan bicara ini. Insan ini merasai kepentingannya buat diri dan buat sesiapa sahaja bergelar insan. Betapa besarnya kuasa kata-kata, sekalipun hanya biasa namun tetap amat berharga. Berharga buat hati dan berharga buat diri. Hingga dengannya mampu mengubah jiwa agar menjadi lebih bersemangat meneruskan perjuangan dalam hidup ini. Dari kata-kata itu, ada harapan yang menyentuh perasaan bagi mereka yang memerhati dengan hati.

Bagi yang tidak memerhati, ianya sekadar kata-kata biasa yang telah lali di halwa telinga. Dibiarkan berlalu sepi tanpa mengambil hikmah yang tersembunyi. Benar, hikmah kata-kata tidak mampu dilihat dengan mata, sekalipun ianya sering singgah di cuping telinga, tetapi ianya mampu dirasa oleh hati yang mengerti. Hati yang benar-benar ingin berusaha memperbaiki kelemahan diri dan hati yang berusaha mencungkil potensi diri.

Terima kasih cikgu. Juga terima kasih buat yang pernah menyuntik semangat perjuangan dalam diri ini. Seringkali semangat yang seakan luntur, kembali berseri mewarnai perjuangan ini bila mana hadirnya kata-kata 'biasa' begini. Hati rasa seakan berteman dan tidak keseorangan dalam menghadapi mehnah dan tribulasi perjuangan hidup ini. Masih ada yang menaruh harapan. Masih ada yang meletakkan kepercayaan pada diri. Sekalipun harapan tersebut tidak semuanya mampu dipenuhi. Adapun kepercayaan itu seringkali dimusnahi. Justeru, itu kelemahan diri yang perlu dimuhasabah sendiri.

Betapa insan ini menyedari, bernilainya kata-kata sebegini sekalipun ianya biasa. Mungkin bukan hanya insan ini. Anda juga mungkin menyedarinya. Sebagai pendidik jiwa, insan ini tidak mahu menjadi insan yang bakhil untuk merakam dan menuturkannya. Adapun dalam bentuk kalam bicara ataupun dalam bentuk kalam bertinta. Biarlah jika ianya hanya sekadar kata-kata biasa, asalkan penuh bermakna.

Hikmah kata-kata, biasa yang luar biasa!

Saturday, February 9, 2013

Meheliah; namamu terus gemilang..



Gemilang namamu terus cemerlang. Nama yang sentiasa mekar di ingatan. SMU (A) Meheliah Geting. Sekolah yang pernah menjadi saksi sebuah perjuangan buat insan ini. Dari seorang pelajar sehingga berkesempatan menjadi tenaga pengajar di situ. Tempat bermulanya langkah insan ini sebagai seorang pendidik, meskipun hanya sementara sebagai guru ganti di situ. Namun ianya memberi banyak pengalaman yang berguna buat insan ini.

Terlalu besar dirasakan jasa sekolah itu buat insan ini. Jasa warga pendidiknya yang begitu tabah mendidik insan ini. Tidak mampu dibalas oleh insan ini. Kenangan di sekolah itu menjadi sebuah nostalgia yang tersimpan utuh dalam diari kehidupan. Kenangan bersama sahabat-sahabat seperjuangan, guru-guru, dan juga adik-adik pelajar insan ini adalah cukup indah dan sentiasa menerpa dalam ingatan saban waktu.


Meheliah; namamu terus gemilang. Insan ini catatkan di laman ini sebagai tanda penghargaan buat sekolah yang telah banyak menyumbangkan bakti buat diri ini. Jasa warga pendidik yang tidak jemu mencurahkan mutiara ilmu yang berharga sebagai bekalan berguna sepanjang kehidupan.

Di bangku sekolah itu pernah insan ini duduk, menimba mutiara berharga dari warga pendidik yang berjasa. Di tanah itu juga, kaki ini pernah kembali menyumbang sedikit bakti yang tetap tidak mampu membalas jasa sekolah itu buat diri. Sungguh, insan ini amat bertuah kerana dapat merasai dan menikmati pengalaman dalam 2 situasi yang berbeza.

Tahniah atas kejayaan..


Cemerlang dan terus gemilang. Mekar harum namamu dijulang. Itulah SMU (A) Meheliah Geting. Dinobatkan sekolah bantuan kerajaan terbaik, dalam keputusan Sijil Tinggi Agama Malaysia 2012 baru-baru ini. Ianya merupakan sebuah pengiktirafan yang cukup membanggakan bagi seluruh warga sekolah dan bekas pelajar yang masih dan pernah berada di situ. Tahniah atas kejayaan ini!!!

Sekalung tahniah dan syabas juga kepada bekas adik-adik pelajar insan ini yang telah lulus dengan cemerlang dalam STAM 2012 terutamanya kepada Ali Zakaria Tabari Bin Mohd Nawi yang telah memperolehi 10 MUMTAZ dalam peperiksaan tersebut. Pencapaian ini turut mengulangi pencapaian abangnya, Hamidul Hannan Hasani yang merupakan sahabat seperjuangan insan ini dalam STAM 2006 yang lalu di sekolah yang sama. Sejarah si abang dicipta kembali oleh si adik. Sebagai bekas pendidik, insan ini turut berbangga dengan kejayaan dan kecemerlangan ini. Tahniah dan syabas! Mabruk!


Cerita SMU (A) Meheliah Geting dalam post kali ini. Sekian lama tidak mencatatnya di laman Tinta Ukhuwah ini. Dari seorang pelajar kepada seorang tenaga pengajar. Ia sesuatu yang cukup bermakna dalam menulis diari kehidupan. Cerita-cerita pahit manis perjalanan sebagai seorang pelajar bersama sahabat-sahabat seperjuangan pada awal persinggahan ke hujung perjuangan di sekolah yang tercinta itu, hatta kisah-kisah bersama adik-adik pelajar yang pernah bersama-sama menemani hari-hari insan ini sebagai seorang pendidik sekalipun dalam tempoh masa yang tidak terlalu lama. Ianya cukup bermakna dalam meniti ukhuwah di perjalanan dalam kehidupan. Semoga ianya menjadi memori yang terus diingati sampai bila-bila..

Sekalung tahniah, setinggi syukur, Alhamdulillah!

Monday, February 4, 2013

Kayakanlah hati, hidup pasti bererti..



Alhamdulillah.. Detik ke-26 disambut dengan penuh syukur. Hari ini elaun masuk lagi setelah ianya masuk pada minggu lepas untuk bulan Januari. Seakan hadiah ulangtahun pada kali ini walaupun semua itu adalah elaun semata. Berminggu-minggu mencatur kewangan dengan bajet yang entah cukup entah tidak. Bimbang  juga kiranya tidak sempat menampung dengan poket yang semakin mengering dan mengecut lantaran lajunya aliran wang keluar.

Cuba untuk tidak mahu berhutang dengan sesiapa lagi. Masih belum terdesak untuk begitu. Mengurus kewangan bukannya suatu perkara yang mudah. Jika terlalu berjimat, bimbang dikatakan kedekut pula. Jika terlalu boros, bimbang lari bajet pula nanti. Maklumlah hanya berbekalkan elaun untuk menyara hidup di kepulauan borneo ini.

Terlalu banyak difikirkan dalam menguruskan kewangan. Wang untuk keluarga di kampung juga perlu dihantar. Itu adalah tanggungjawab. Sekalipun masih belum mampu dihantar setiap bulan namun pasti ada juga untuk kedua orang tua. Menanti elaun masuk untuk itu. Sungguh, belum berkesempatan untuk menabung buat diri sendiri namun tetap bersyukur kerana Allah, masih mengurniakan nikmat-Nya untuk terus hidup di dunia ini. Sekalipun kewangan adalah suatu keperluan namun masih ada lagi yang lebih utama daripada itu.

Insan ini tidaklah memikirkan sangat kewangan saat ini. Yang ada pun hanya digunakan untuk keperluan diri sendiri sahaja. Tidak mahu melayan kehendak nafsu yang pastinya tidak puas dengan nikmat dunia. Sekalipun sedikit, biarlah ada keberkatannya. Ya, dalam tidak seberapa masih mampu berkongsi. Masih mampu memberi meskipun kelihatan seakan ‘sesak’ melanda diri. Namun keyakinan tetap ada dalam hati yang selalu berbisik “Rezeki itu urusan Allah”. Justeru, Dia yang telah mengatur indah untuk setiap hamba-Nya maka bersyukurlah kepada-Nya.

Mendidik jiwa untuk kaya hati adalah lebih utama daripada kaya harta. Sukar untuk memiliki hati yang suci. Hati yang tidak cenderung dengan keindahan pesona duniawi yang penuh fatamorgana. Ianya memerlukan tarbiah dan mujahadah yang tinggi. Justeru, sekalipun memiliki harta yang banyak juga satu kelebihan, namun terlalu ramai yang tewas dalam ujian nikmat kekayaan material. Kaya harta yang tidak seiring dengan kaya hati adalah kemiskinan dan kepapaan yang bersembunyi. Apa gunanya kaya harta namun masih lagi mencuri? Apa gunanya kaya harta namun tidak diguna untuk bekalan di akhirat nanti? Apa gunanya kaya harta jika keresahan terus melanda jiwa?.

Justeru, tatkala ramai manusia bercita-cita dan berlumba-lumba untuk menjadi jutawan harta dunia, marilah kita bercita-cita dan berlumba-lumba untuk menjadi jutawan hati yang lebih akrab dengan tuntutan ukhrawi. Meraih ketenangan dalam kesederhanaan. Mensyukuri setiap nikmat yang dimiliki dan dikurnia oleh Ilahi. Ketenangan itu lebih utama daripada memiliki kekayaan berjuta-juta. Justeru, bersederhanalah dalam urusan kehidupan kerana itulah sebaik-baik jalan untuk meraih kedamaian dan kebahagiaan.

Jutawan hati, inspirasi insani!

Friday, January 25, 2013

Ketika Bukan Milikmu Lagi..


Ketika Bukan Milikmu Lagi..


Saat kau cuba berbicara;
Ketika mula asing terasa..
Mulai rindu sentuhan manja;
Pernah hadir, hambar disapa..

Ketika bukan milikmu lagi;
Saat itulah kau cuba mencari..
Kemesraan tidak tercipta lagi;
Suatu ketika tidak pernah dipeduli..

Dari bening mata yang mulai sepi;
Harapan pernah menggunung tinggi..
Saat itu tidak sedikit pun kau sedari;
Mungkin berasa semuanya telah dimiliki..

Ketika semuanya bukan milikmu lagi;
Seiring berubahnya rasa sekeping hati..
Pastinya terasa kehilangan sesuatu kini;
Pernah erat namun tidak pernah dihargai..

Ketika Bukan Milikmu Lagi..
25 Januari 2013
10.10 P.M

Tuesday, January 8, 2013

Negeri Serambi Mekah..


Negeri Serambi Mekah


Serendah sekebun bunga..
Serambi kota yang mulia..
Semarak budaya ilmu agama..
Itulah Kelantan negeri tercinta..

Indah pekerti seorang sultan..
Dasar Islam dalam pemerintahan..
Golongan ulamak sebagai rujukan..
Al-Quran dan As-Sunnah jadi panduan..

Seorang Tok Guru berwibawa..
Dialah Menteri, dialah Murabbi..
Dikasihi dan disanjungi rakyatnya..
Memimpin negeri, kerajaannya berintegriti..

Walau di mana medan perlawanan..
Merah melimpah banjiri suasana..
The Red Warriors tanda kesatuan..
Bukti sokongan peminat yang setia..

Jika tidak mampu makan budu..
Cubalah merasa nasi kerabu..
Rakyatnya cemerlang berilmu..
Berkat asuhan para guru yang jitu..

Ke mana sahaja menuju arah..
Tidak akan sunyi mendengar loghatnya..
Ramai sudah yang merantau dan berhijrah..
Berkhidmat untuk agama, bangsa dan negara..

Kelantanku negeri yang indah..
Halamannya subur dan penuh barakah..
Walau sejauh mana pun kaki melangkah..
Hati pasti rindu pada tanah tumpah darah..

Negeri Serambi Mekah
22 JULAI 2012
10.00 P.M

Sunday, January 6, 2013

Ketika cinta teruji..



“Dia minta PUTUS...”
“Hubungan kami… TAMAT!!!”

Bersabarlah wahai teman. Sekalipun pahit terpaksa ditelan. Allah sedang menguji dirimu. Mungkin dia bukan yang terbaik buatmu, mungkin dia mahu menghadirkan insan yang lebih baik buatmu. Insan ini mengerti sekalipun tidak pernah mengalami situasi sedemikian. Betapa pahitnya bila sebuah harapan dan impian yang kita idamkan, musnah dalam sepatah kata, hancur dalam sekelip mata.

Insan ini tidak mampu berbuat apa-apa. Sayu telinga mendengarnya, pasti berat lagi bebanan rasa di hatimu. Hanya mampu berdoa mudah-mudahan dirimu diberi kekuatan dalam menerima kenyataan yang amat perit itu. Begitulah situasi cinta sesama makhluk-Nya, ada pasang dan surutnya. Sekalipun kelihatan baik pada  awalnya, usah terlalu ghairah dengan tipu dayanya. Kerana hati manusia hakikatnya sering berbolak-balik.

Mungkin belum tiba masanya buatmu untuk memiliki yang sebenar-benar cinta. Mungkin sedikit masa lagi, ia akan bertamu. Justeru, jangan terlalu bersedih. Yakinlah bahawa bila tiba masanya nanti pasti ianya akan datang jua. Justeru cintailah Dia dan raihlah cinta-Nya. Agar dengan mencintai-Nya, dirimu tidak tenggelam dalam amukan cinta manusia. Jika cinta Allah s.w.t menjadi tunjang, usahlah dibimbangi cinta sesama insan. Dialah pemilik cinta sejati. Semuanya adalah milik-Nya.

Tanpa cinta manusia, kita tetap akan mampu bahagia. Tapi tanpa cinta Allah, mampukah kita beroleh ketenangan jiwa? Justeru, Allah sedang berbicara denganmu perihal cinta, perihal jodoh serta perihal-perihal selainnya. Dia yang lebih mengetahuinya. Kita sekadar merancang, tetapi Dialah yang menentukan segala-galanya. Dia Maha Mengetahui apa yang terbaik buat hamba-Nya.

Setinggi mana pun harapan dan impian kita, jika ia telah ditakdirkan bukan milik kita, pasti akan ada rintangan yang menjelma. Itulah dugaan hidup, ujian buat hamba-Nya. Bersabarlah dan tabahlah dalam menghadapi dugaan tersebut. Sekalipun ada masanya kita tidak kuat, sekalipun ada ketikanya mengundang airmata, namun jangan kita lupa bahawa Dia masih ada. Dia Maha Mendengar, rintihan hamba-Nya. Justeru itu, mengadulah kepada-Nya.

Insan ini tidak layak berbicara tentang rasa cinta dan kasih sayang. Berbicara tentang rasa terluka, rasa kecewa. Siapalah insan ini, terlalu mentah dengan pengalaman rasa indah sebegitu. Namun, mustahil insan ini tidak pernah rasa kecewa, rasa terluka sekalipun mungkin situasinya berbeza. Dari situ, insan ini belajar, cinta itu apa yang kita sentiasa beri dengan harapan dan kehendak kita, bukanlah bererti kita sentiasa akan menerimanya sebagaimana harapan atau kehendak kita.

Cinta itu buta. Sekalipun kita nampak ianya bagai kisah cinta antara dua benua, mungkin kita tidak nampak durinya yang berbisa. Kita mungkin rasa bahagia seketika, bila ujian melanda, barulah teruji segala rasa. Lumrahnya kita akan rasa kecewa dan terluka. Ada juga hingga mengundang airmata. Hibanya rasa. Lebih-lebih lagi jika kita seorang yang setia, bukannya seorang ‘buaya’. Kita dihambat rasa duka, saratnya membeban jiwa.

Justeru, bersabarlah dan kembalilah bercinta dengan-Nya. Mungkin cinta itu telah lama terpinggir. Ujian cinta itu, untuk kita semakin hampir, semakin akrab dengan pemilik segala cinta. Ujian rasa itu, jika ianya melanda tetap ada hikmahnya yang sebenar-benar berpihak kepada kita jika kita sabar menelitinya. Allah tidak pernah melupakan hamba-Nya tetapi kitalah yang seringkali melupakan-Nya.

Semoga Allah sentiasa merahmatimu dan melindungimu wahai teman..

Ketika cinta teruji, pasrahlah dengan ketentuan Ilahi!

Tuesday, January 1, 2013

Lafazkan Kasih Sayang


Lafazkan Kasih Sayang



Kerana wujudnya sayang;
Ku menghargai ikatan..
Dalam waktu yang panjang;
Ku buru kemanisan iman..

Hati mendamba tenang;
Ku hulur penuh ketulusan..
Hidup perlu berjuang;
Ku damba kemenangan..

Kita hanya merancang;
Allah menentukan keputusan..
Moga ujian yang datang;
Hati dipandu keimanan..

Nilai sebuah kasih sayang;
Berkorban demi sebuah persaudaraan..
Hikmah pasti datang;
Mengiringi sebuah perjalanan..

Saat melafaz sayang;
Ku mohon keredhaan Tuhan..
Mendung pasti terang;
Bila mentari menampakkan sinaran..

Bernilainya kasih sayang;
Menyemai ukhuwah berpanjangan..
Dalam kalam ku dendang;
Ana uhibbuka ya akhi fi Islam wa Iman”..

Lafazkan Kasih Sayang
26 Disember 2012
6.50 A.M