Saturday, October 30, 2010

Monday, October 18, 2010

Laman Tinta Ukhuwah (FB) dilancarkan...


Alhamdulillah… Laman Tinta Ukhuwah di ruangan facebook telah diwujudkan beberapa hari yang lalu dan ianya mendapat sambutan yang menggalakkan daripada sahabat-sahabat seperjuangan tidak kira sama ada lelaki atau perempuan. Tinta Ukhuwah (FB) ini dicetuskan bertujuan mengeratkan kembali hubungan persahabatan bagi batch SPM 2005 Meheliah. Segala aktiviti perbincangan adalah di “private”kan dan hanya boleh dicapai oleh ahli-ahli Tinta Ukhuwah sahaja.

Melihat kesuraman di laman group MEHELIAH SPM 05, Admin mencetuskan laman Tinta Ukhuwah ini kerana di laman ini, sahabat-sahabat dapat berhubung secara langsung dengan sahabat-sahabat ahli Tinta Ukhuwah yang lain. Yang paling meriah di laman ruangan Tinta Ukhuwah adalah di ruangan “chat”nya. Semoga ruangan Tinta Ukhuwah ini dapat memberi manfaat kepada sahabat-sahabat batch SPM 2005 dan semoga ia dapat digunakan dengan sebaik yang mungkin oleh ahli-ahli Tinta Ukhuwah.

Adalah diingatkan bahawa sebarang kenyataan yang dibuat di ruangan Tinta Ukhuwah adalah tanggungjawab diri sendiri. Pihak Admin tidak bertanggungjawab ke atas sebarang kenyataan atau gurauan yang mengguris perasaan mana-mana ahli Tinta Ukhuwah. Semoga sahabat-sahabat dapat “Enjoy Yourself” ketika berinteraksi di laman Tinta Ukhuwah.

Admin meminta jasa baik sahabat-sahabat sekalian agar dapat membantu Admin meng“add” sahabat-sahabat yang tidak ter“add” lagi atau mungkin sahabat-sahabat yang baru menggunakan facebook ataupun mana-mana sahabat-sahabat kita yang terlepas pandang oleh Admin.

Sekian, Terima Kasih.

Sunday, September 26, 2010

Ku Tulis Ini...

Sudah lama tidak aku titipkan sesuatu dalam laman blog ini. Tiada kesempatan untuk menulis sesuatu yang baru untuk tatapan semua. Berlalu hari dan waktu. Banyak perkara yang terjadi. Kini aku bukan lagi seorang mahasiswa sebaliknya bergelar seorang alumni. Pada 9 Ogos yang lalu, aku telah menerima ijazah pertamaku. Sekian lama berjuang akhirnya dapat juga aku menyelesaikannya.

Sepastinya kerinduan akan sentiasa tersemat di hati ini pada kenangan-kenangan di perbukitan ilmu. Pada teman-teman di sana terutamanya teman-teman di rumah sewa dan teman-teman sekuliah. Terlalu banyak kenangan yang tercipta di sana. Suka duka, pahit manis kehidupan bergelar seorang mahasiswa. Biarpun hanya 3 tahun di sana. Masa yang tidak terlalu lama. Pejam celik pejam celik akhirnya ijazah pertama di genggaman.

Terasa masih terlalu awal bergelar graduan. Di saat sahabat-sahabat belum lagi menamatkan pengajian masing-masing di peringkat ijazah pertama. Sedangkan abang sendiri juga masih belum menamatkan pengajian di peringkat ijazahnya. Namun aku tetap bersyukur dengan keadaan ini kerana tidak semua orang yang melaluinya.

Tidak terlalu lama berada di universiti. Kerana kemasukanku terus ke peringkat ijazah sarjanamuda dengan menggunakan Sijil Tinggi Agama Malaysia. Tidak perlu mengikuti matrikulasi atau peringkat diploma. Kesabaran adalah kunci segala-galanya. Di peringkat SPM dahulu aku menerima tawaran pengajian peringkat matrikulasi UIAM. Tetapi aku menolaknya. Aku ingin menumpukan pengajian peringkat STAM terlebih dahulu. Alhamdulillah… Mumtaz STAM terus ke peringkat ijazah di bumi UKM selama 6 semesta.

Hari ini masih lagi di bulan Syawal. Bulan yang mana umat Islam menyambut hari lebaran selepas sebulan menjalani ibadah puasa Ramadhan. Tapi suasananya pada hari ini telah pun berkurangan. Ramai yang telah berangkat ke kota raya untuk meneruskan perjuangan. Di kesempatan ini, diri ini mengambil kesempatan ingin memohon kemaafan daripada semua di atas kesalahan yang pernah dilakukan oleh diri ini.

Sambutan hari raya tahun ini terasa juga meriahnya. Dengan kepulangan sahabat dari bumi Mesir setelah tiga tahun tidak bersua muka. Alhamdulillah.. Akhirnya dapat lagi beraya bersama-sama pada lebaran pada tahun ini. Biarpun hanya pada tahun ini tapi cukuplah sekadar untuk melepaskan kerinduan di hati ini. Entah bila lagi akan dapat merayakan lebaran bersama-sama dengan sahabat-sahabat semuanya. Jauh di sudut hati ini untuk melihat sahabat-sahabat semuanya pulang ke tanah air merayakan lebaran bersama-sama.

Tinta ukhuwah melakar kembali memori sekitar lebaran pada kali ini. Raya pertama bersama sahabat-sahabat di rumah Shahrizat. Berkumpul menikmati juadah yang dihidangkan. Gurau senda lawak jenaka menghiasi pertemuan hari raya ini. Di samping bersalam-salaman dan bermaaf-maafan sesama insan. Walaupun tidak semua berada di situ tapi kemeriahan tetap dirasai.

Majlis Ramah Mesra Eid Fitri Meheliah pada 5 Syawal yang lalu telah dianjurkan oleh pihak sekolah kepada warga alumni dan mantan pendidik Meheliah memberi peluang untuk aku dan sahabat-sahabat bertemu dengan warga Meheliah terutamanya warga pendidik Meheliah yang berkesempatan bersama-sama pada majlis tersebut. Alhamdulillah… Dapat juga bertemu warga yang banyak mencurah bakti kepada diri ini dan sahabat-sahabat sekalian di samping menjejak kaki di medan ilmu ini yang telah banyak berubah dari sudut infrastruktur dan kemudahannya. Sesungguhnya Meheliah meninggalkan kenangan manis yang teramat indah dan sukar dilupakan insan ini.

Perlawanan futsal pada sebelah malam 6 Syawal menambahkan lagi kemeriahan bersama-sama sahabat-sahabat seperjuangan. Aku tidak terlepas peluang untuk menyertai permainan futsal ini walaupun hakikatnya aku bukan kaki bola. Sekadar bermain secara berseronok dengan sahabat-sahabat sekalian. Hakikatnya sudah lama aku tidak bermain futsal, seingat aku last aku bermain juga bersama-sama sahabat-sahabat pada musim perayaan setahun yang lalu.

Raya ketujuh diadakan BBQ bersama-sama sahabat-sahabat di Pantai Sri Tujuh dengan bayaran RM5 seorang. Inilah kemuncak aktiviti reunion tahunan bersama-sama sahabat-sahabat seperjuangan. Menu yang lebih kurang sama dengan tahun lepas. Ayam bakar dan mee goreng. Semoga aktiviti sebegini akan terus dapat dianjurkan pada masa-masa yang akan datang bagi mengeratkan ikatan ukhuwah yang telah terbina sekian lama.

Hari ini, suasana di kampung kembali sepi. Sahabat-sahabat telah kembali ke medan perjuangan masing-masing. Meninggalkan kemeriahan hari lebaran di desa halaman. Buat sahabat-sahabat, semoga terus tabah mengharungi perjuangan dan berusaha dengan bersungguh-sungguh dalam menimba mutiara ilmu di medan ilmu. Diri ini akan terus mendoakan kejayaan buat semua, Salam perjuangan tinta ukhuwah…

Saturday, August 14, 2010

Monday, May 3, 2010

Kesunyian Terasa...


Begitu sepi sekali suasana rumah sewaku. Saat ini aku sendirian. Teman-teman semuanya bermula hari ini menjalani praktikum di sekolah pilihan masing-masing. Terasa amat boring sekali. Tiada lagi kelibat sahabat-sahabat rumah sewa di sebelah pagi.

Kini hanya tinggal beberapa orang sahaja di rumah sewa. Aku, Syuk, Awiff dan Kudin. Masih setia di sini. Ditambah pula dengan Nuruddin dan Fariz. Kami bertujuh di sini. Amin dan Amirul telah ke Negeri Sembilan bagi menjalani praktikum di sana. Manakala Ajwadi telah berlepas ke Negara Yaman bagi menjalani praktikum di sana bersama-sama Faiz.

Pagi ini, begitu bersemangat teman-teman rumah sewaku bersiap untuk ke sekolah. Maklumlah hari pertama katakan. Ada yang bangun seawal jam 5 pagi hari ini. Jarang biasanya keadaan di rumah sewa seawal itu bangkitnya. Tapi inilah realiti hari ini. Hari pertama menjadi guru praktikal di sekolah..

Apa-apa pun buat teman-teman dan sahabat-sahabat yang menjalani praktikum. Diri ini mengucapkan selamat berada di dunia baru, menimba sebanyak mungkin ilmu di sekolah masing-masing. Semoga berjaya dalam praktikum dalam semesta ini. Hmmm…

Terasa kesepian sekali saat ini. Sendirian meniti perjalanan ini. Mungkin inilah realiti yang terpaksa dilalui olehku sebagai mahasiswa tahun akhir. Perjalanan projek ilmiahku masih dalam pembikinan. Semoga dapat disiapkan secepat yang mungkin. Selepas ini berakhirlah perjuanganku di perbukitan ilmu ini.

Amat terasa bahang projek ilmiah saat ini. Entah bila dapat disiapkan dan dapat dijilid. Banyak lagi yang belum diselesaikan. Aku sedikit merasai tekanan di saat teman-teman seangkatan sudah menyiapkan projek mereka. Namun perjuangan aku belum selesai.

Mudah-mudahan dipermudahkan segala urusanku di sini. Dipermudahkan jalan untuk menyiapkan sisa-sisa akhir perjuanganku di medan ilmu ini sebelum bergelar graduan. Aku akan terus berusaha untuk menyiapkan projek akhirku. Sahabat-sahabatku, doa-doakanlah sahabatmu ini. Agar mencapai kejayaan di sini.

Buat sahabat-sahabat yang menjalani praktikum dan latihan amali industri ketika ini. Semoga bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu dan pengalaman dalam bidang pilihan masing-masing. Sahabatmu ini akan sentiasa mendoakan kejayaan buat kalian semua. Mudah-mudahan kalian diberikan kekuatan untuk menghadapi perjalanan semasa menjalani Latihan Amali Industri dan praktikum di tempat pilihan masing-masing.

Semoga berjaya!!! Good Luck!!!

Sunday, April 25, 2010

Kehilangan...


Musibah melanda rumah sewa.. Crocs kepunyaan aku dan Faiz hilang.. Waa.. Siot betul lah sape yang curi selipar crocs aku tu.. Selipar pun nak kebas ke.. Dahlaa crocs tu kenangan aku dengan kawan-kawan rumah sewa. Aku beli kat Down Town tu.. Teringat aku masa nak beli crocs tu. Aku ni paling cerewet kalau nak beli barang.. Betul kata kawan serumahku.. Mirul.. Kalau dia tu cerewet. Aku lagi cerewet.. Haha.. Mana tidaknya.. Habis satu down town tu aku pusing semata-mata nak beli crocs tu.. Sampai dia tu putus asa dengan karenahku..

Aku bukan apa masa tu saje je.. Memang nak beli pun.. Cuma nak cari yang berkenan di hati.. Dan kalau boleh yang paling murah laa.. Hehe.. Akhirnya dapat juga dengan harga RM25.. Tapi hari ini aku diuji dengan kehilangan crocsku.. Lepas ni, confirm kena beli selipar lain pula.. Duit lagi.. Adooiii… Sehari dua ni kena pinjam selipar kawan la dulu.. Sementara menanti kehadiran selipar baru.. Haha..

Terasa bimbang di hati ini dengan keselamatan di rumah sewa ini.. Bimbang jika berlaku kejadian yang tidak diingini ketika ketiadaan sesiapa pun di rumah.. Maklumlah kami ni kan pelajar.. Banyak barang-barang berharga di dalam rumah.. Mudah-mudahan tiada apa-apa yang berlaku. Kami mesti lebih berwaspada selepas ini..

Hmm.. Sabar jer laa.. Benda dah nak jadi nak buat macam mane.. Redha je laa.. Mungkin ada hikmah di sebalik semua ini.. Hanya Allah saja yang Maha Mengetahui.. Cukuplah tu.. Xde apa pun nak diceritakan pada kali ini sebenarnya.. Sekadar melepaskan geram kepada si pencuri selipar crocs ku. Semoga Allah membuka pintu hati dan memberi hidayah kepadanya..

Aku masih berada dalam minggu exam.. Ada satu paper lagi hari Jumaat ni.. Subjek Tafsir Bandingan.. Banyak yang kena baca.. Kena study betul-betul.. Last paper dalam pengajianku di universiti ini.. Selepas ini, kalau ada pun jika aku meneruskan pengajian di peringkat sarjana. Tapi benda tu belum aku fikirkan lagi.. Hmm..

Banyak kerja lagi yang masih belum aku siapkan di sini. Projek akhirku belum selesai lagi. Masa yang berbaki ini akan aku gunakan dengan sebaik-baiknya biarpun dalam minggu exam begini. Insya-Allah akan ku cuba menyiapkannya sebaik mungkin.. Aku mungkin akan berkampung di sini lagi dalam masa seminggu selepas exam untuk menyiapkan perkara-perkara yang masih belum selesai.. Perjuangan masih belum selesai.. Mesti diteruskan..

Moga aku terus diberi kekuatan untuk menghadapi mehnah perjuangan ini. Biarpun sendirian dirasai ketika ini.. Akan ku cari kekuatan di sebalik hari-hari yang aku lalui.. Aku akan terus berusaha hingga ke akhirnya. Insya-Allah… Doakanlah diri ini..