Tuesday, June 30, 2009

Terima Kasih Semua!!!

Minggu ini adalah minggu terakhir kami berada di agensi Latihan Amali Industri (LAI). Rasanya seperti baru seminggu yang lalu kami berada di Unit Kawalan Al-Quran, Bahagian Kawalan Penerbitan Dan Teks Al-Quran, Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya walaupun hakikat perjalanan selama lapan minggu di sini amat lama dan meletihkan. Selepas tamatnya praktikal pada minggu ini langsung bermulanya kuliah pada minggu depan. Tiada langsung cuti untuk berehat kerana terus menyambung pengajian bagi semester kelima disamping menyiapkan laporan LAI dalam masa dua minggu perkuliahan.


Alhamdulillah, kerjasama dan tunjuk ajar daripada penyelia agensi dan staff-staff yang terlibat membantu urusan praktikal di sini. Banyak pengalaman yang dapat ditimba sepanjang dua bulan di agensi ini berkenaan dengan urusan penerbitan teks al-Quran di Malaysia yang mana pada hari ini semua teks al-Quran yang hendak diterbitkan di negara ini sama ada untuk dijual di pasaran tempatan ataupun luar negara mestilah mendapat kelulusan Kementerian Dalam Negeri dengan memenuhi syarat-syarat yang tertentu di bawah Akta 326:Akta Pencetakan Teks Al-Quran 1986 seperti penggunaan tulisan Rasm Uthmani, tidak terdapat sebarang kesalahan pada teks al-Quran dan sebagainya.



Pengalaman mengikuti Mesyuarat Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan Al-Quran (LPPPQ) Bil.58/2.2009 di Hotel Pan Pacific, KLIA pada 16 hingga 17 Jun 2009 antara aktiviti yang mengisi laporan LAI kami. Melibatkan diri secara langsung sebagai urusetia semasa mesyuarat Lembaga LPPPQ serta ditugaskan membantu kerja-kerja teknikal bagi melancarkan perjalanan mesyuarat yang melibatkan Ahli Lembaga yang terdiri daripada Ashabus Samahah Mufti-mufti kerajaan Malaysia. Selain itu, Lawatan kerja ke tempat pelupusan al-Quran di IRIS Corporation Sdn. Bhd. Bukit Jalil bagi melihat sendiri bahan-bahan rampasan dibakar dan dilupuskan di dalam mesin insinerator juga antara yang termuat dalam laporan LAI kami.



Itulah antara pengalaman dan kenangan sepanjang menjalani praktikal di sini. Di kesempatan ini, aku ingin mengambil kesempatan merakamkan ucapan terima kasih kepada teman-teman seperjuangan iaitu Muhammad As’ad dan Azizan yang banyak membantu dalam urusan praktikalku di sini.



Tidak dilupa juga kepada Ahmad Latifee di atas kerjasama yang diberikan serta pada mereka yang terlibat secara tidak langsung sepanjang latihan amali dan industri ini. Tanpa kalian rasanya sukar untuk diri ini menjalani praktikal di sini. Segala bantuan dan jasa baik teman-teman mudah-mudahan Allah membalas dengan kebaikan di sisi-Nya. Jazakallahu Khoiran Jazaa’...


Terima kasih juga kepada penyelia agensi dan staff-staff yang terlibat secara langsung atau tidak langsung selama berada di Unit Kawalan Teks Al-Quran ini. Tidak dilupa juga ucapan terima kasih kepada penyelia UKM dan pihak penyelaras Latihan Amali dan Industri Fakulti Pengajian Islam UKM.


Terima Kasih Semua!!!


Monday, June 29, 2009

Erti Persahabatan

Dalam Dunia Ini, Kita Tidak Punya Sesiapa Kecuali Diri Sendiri… Tetapi Dalam Kita Bersendiri, Kita Beruntung Kerana Mempunyai Sahabat Yang Memahami Kita. Sebagaimana Kita Mengharapkan Keikhlasan Dan Kejujuran Seorang Sahabat, Begitu Juga Dirinya. Tetapi Kita Sering Lupa Hal Itu. Kita Cuma Mengambil Kira Tentang Harapan Dan Perasaan Kita. Kita Rasa Dikhianati Bila Dia Tidak Menepati Janjinya. Kita Tidak Memberi Peluang Kepadanya Untuk Menerangkan Keadaannya. Bagi Kita Itulah Alasannya Untuk Menutup Kesilapan Dan Membela Diri. Kita Terlupa, Kita Juga Pernah Membiarkannya Ternanti-nanti… Kerana Kita Juga Ada Janji Yang Tidak Ditepati. Kita Beri Seribu Alasan, Memaksa Dia Menerima Alasan Kita. Waktu itu, Terfikirkah Kita Tentang Perasaannya??? Seperti Kita, Dia Juga Tahu Rasa Kecewa… Tetapi Kita Sering Terlupa. Untungnya Mempunyai Sahabat Yang Sentiasa Di Sisi Pada Masa Kita Memerlukannya. Dia Mendengar Luahan Perasaan Kita, Segala Rasa Kecewa Dan Ketakutan, Harapan Dan Impian Yang Kita Luahkan, Dia Memberi Jalan Sebagai Laluan Penyelesaian Masalah. Selalunya Kita Asyik Bercerita Tentang Diri Kita Hingga Kadang-kadang Kita Terlupa Sahabat Kita Juga Ada Cerita Yang Ingin Dikongsi Bersama. Pernahkah Kita Memberinya Peluang Untuk Menceritakan Rasa Bimbangnya, Rasa Takutnya??? Pernahkah Kita Menenangkannya Sebagaimana Dia Pernah Menyabarkan Kita? Ikhlaskah Kita Mendengar Tentang Kejayaan Dan Berita Gembiranya? Mampukah Kita Menjadi Sumber Kekuatan Seperti Mana Dia Meniup Semangat Setiap Kali Kita Merasa Kecewa Dan Menyerah Kalah? Dapatkah Kita Yakinkan Dia Bahawa Kita Boleh Dipercayai, Kita Boleh Dijadikan Tempat Untuk Bersandar Bila Terasa Lemah, Agar Tidak Rebah! Bolehkah Kita Dijadikan Bahu Untuk Dia Sandarkan Harapan? Sesekali Jadilah Sahabat Yang Mendengar Dari Yang Hanya Bercerita. Ambillah Masa Untuk Mengenal Hati Dan Perasaan Sahabat, Kerana Dia Juga Seorang Manusia. Dia Juga Ada Rasa Takut, Ada Rasa… Bimbang, Sedih Dan Kecewa. Dia Juga Ada Kelemahan Dan Dia Juga Perlukan Sahabat Sebagai Kekuatan. Jadilah Kita Sahabatnya Itu, Mungkin Banyak Cerita Yang Ingin Diluahkan, Di Sebalik Ketenangannya Mungkin Tersimpan Seribu Kekalutan, Kita Tidak Tahu… Tetapi Jika Kita Jadi Sahabat Seperti Dia, Mungkin Kita Akan Tahu… Renungilah…

Sunday, June 28, 2009

Aku Sahabat Yang Sepi


Hidup atau mati..
Aku sahabat yang sepi..
Masih di sini..
Mencari erti..

Hidup atau mati..
Aku sahabat yang sepi..
Dibiarkan sendiri..
Mencari kekuatan..

Hidup atau mati..
Aku sahabat yang sepi..
Sakit pedih..
Dirasa sendiri..

Hidup atau mati..
Aku sahabat yang sepi..
Sunyi kembali..
Bertaut di sanubari..

Hidup atau mati..
Aku sahabat yang sepi..
Hadirku tiada erti..
Pergiku terus sepi..

Hidup atau mati..
Aku sahabat yang sepi..
Miskin budi..
Jauh di hati..

Hidup atau mati..
Aku sahabat yang sepi..
Pilihan hati..
Akhir sekali..

Hidup atau mati..
Aku sahabat yang sepi..
Sepi di mata..
Sepi di hati..

Hidup atau mati..
Aku sahabat yang sepi..
Terus mencari..
Bukan dicari..

Hidup atau mati..
Aku sahabat yang sepi..
Tabah menanti..
Ceria kembali..

Hidup atau mati..
Aku sahabat yang sepi..
Sunyi sepi..
Sepi sendiri..



Saturday, June 27, 2009

Dimanakah Dia Sahabat Setia...


Dimanakah dia sahabat setia..
Hadirnya membawa ceria..
Dalam kesuraman waktu..
Hari-hari yang berlalu..
Namun semangatnya tetap ada..
Menemani perjalanan ini..

Dimanakah dia sahabat setia..
Yang sudi berkongsi suka dan duka..
Bukan hadirnya ketika gembira..
Lenyap sepi waktu sengsara..
Bukti diri tiada bermakna..

Dimanakah dia sahabat setia..
Sama-sama riang gembira..
Sama-sama berdukacita..
Sama-sama bergurau senda..
Sama-sama bergelak tawa..

Dimanakah dia sahabat setia..
Di depan mata seakrab rasa..
Terasa indah ukhuwah dengannya..
Bila jauh terasa hilangnya..
Sepi dirasa rindu menyapa..

Dimanakah dia sahabat setia..
Jauh mahupun dekat tiada beza..
Masih teguh dengan janjinya..
Tidak jemu untuk berbicara..
Biarpun hanya sekadar sahaja..

Dimanakah dia sahabat setia..
Ketika lupa dia mengingatkan..
Ketika salah dia perbetulkan..
Agar diri tidak terus alpa..
Dalam mehnah perjuangan..


Dimanakah dia sahabat setia..
Sabar melayan karenah..
Teguh memelihara amanah..
Sentiasa menghargai ukhuwah..
Persahabatan terasa indah..

Dimanakah dia sahabat setia..
Saat kejayaan dirasa..
Namun tidak pernah lupa..
Walaupun di puncak jaya..
Peranannya sentiasa ada..

Dimanakah dia sahabat setia..
Saat kegagalan menimpa..
Namun masih tetap setia..
Dengan siraman kata-kata..
Yang bisa menguatkan jiwa..

Ku terus menanti..
Biarpun berjuta yang menemani..
Namun masih lagi sunyi..
Suara yang ku rindui..

Akan terus mencari..
Dimanakah dia sahabat setia..
Moga suaranya kembali..
Mengubati kerinduan ini...



Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq


Di awal kebangkitan rasul pilihan

Islam jadi ikutan lambang keimanan

Di bawah payung kebenaran

Berteduh seorang insan mulia.


Kau merdekakan hamba sahaya

Kau korbankan segala harta

Demi agama engkau taruhkan semua

Hanya yang tinggal Allah dan rasul-Nya.


Engkaulah teman engkau sahabat

Yang sentiasa membenar kalamnya

Asal yang pasti dari bibirnya

Rasul mulia tidak pernah berdusta.


Menjadi teman tika hijrahnya

Kota Madinah asal tujuannya

Kau tetap setia mendampinginya

Mengharungi cabaran perjalanan.


Menitis air mata jernih

Ke wajah tenang Rasulullah

Menahan pedihnya bisa

Tika diburu di gua Thur.














Tersedar Nabi dipangkuanmu

Mengubat kepedihan yang kau rasa

Tika resah ketakutan melanda

Dijanji dengan pertolongan-Nya.


La takhof wa la tahzan

Innallaha ma’ana

Janganlah takut usah bersedih

Sesungguhnya Allah bersama kita.


Begitulah sirah pengorbanan

Seorang sahabat pengganti imam

Sebagai khalifah Islam pertama

As-Siddiq gelaran masyhurnya.


Andai ditimbang semua amalan

Penduduk dunia tiada setandingnya

Banyak berkorban demi agama

Akhirnya syurga sebagai balasannya..



Friday, June 26, 2009

Selamat Pulang Sahabatku!!!


Hampir dua tahun yang lalu, aku tidak sempat menghantarmu di lapangan terbang. Maafkanlah diriku kerana terlalu sibuk dengan urusan pengajianku di sini. Mungkin ada hikmah perpisahan yang terjadi. Menguji persahabatan ini. Aku redha dan pasrah. Pergimu berjuang di bumi anbiya’. Hanya iringan doaku mengiringi perjalananmu. Moga kau selamat ke sana dan dapat meneruskan pengajianmu dengan baik.



Jauh denganmu sahabatku, menggamit kerinduan di hati ini. Namun tidak pernah sepi khabarmu dari sana. Terima kasih atas ingatan pada sahabatmu ini. Biarpun jauh tidak pernah kau lupa bertanya khabar.


Semalam, kau kembali sahabatku. Biarpun hanya berdua. Meninggalkan kota ilmu dan sahabat yang setia di sana. Mungkin belum rezekinya untuk kembali ke tanah air tercinta. Namun aku terus sabar menanti pertemuan kembali dengannya. Insya-Allah.



Biarpun hari ini masih lagi sepi khabarmu. Mungkin kepenatan perjalanan yang jauh memerlukan masa yang secukupnya untuk berehat. Maklumlah aku tidak biasa dengan perjalanan yang terlalu jauh sepertimu. Tidak mengapa sahabatku. Aku mengerti.


Hati ini masih lagi dalam kerinduan. Selagi tidak bertemu mata dan bersua muka. Aku masih di sini. Di perbukitan ilmu. Kerana aku sedang menjalani praktikal. Sudah hampir tujuh bulan aku tidak menjejakkan kaki ke tanah kelahiranku. Terasa rindu pada ayahbonda dan sanak-saudara. Jua pada sahabat-sahabat yang sedang berseronok menikmati cuti di kampung halaman.


Namun apa yang penting tentulah pertemuan denganmu sahabatku yang aku impikan sekarang ini. Setelah sekian lama kita berpisah. Kini kau telah pun kembali. Biarpun lebih awal daripada tarikh yang kau khabarkan sebelum ini. Insya-Allah aku akan kembali sahabatku. Tapi aku tidak berjanji bilakah masanya. Aku masih sibuk di sini. Urusan praktikalku masih belum selesai lagi.


Apapun sahabatku, aku telah menantimu sekian lama. Sabarlah menanti kepulanganku tidak lama lagi. Insya-Allah kita akan bertemu lagi.




***Sahabatmu***

Sunday, June 7, 2009

Salam Bicara Pembuka Kata


Assalamualaikum w.b.t…


Alhamdulillah… Bersyukur ke hadrat Ilahi atas nikmat Iman dan Islam… Sebenarnya sudah lama aku mengimpikan untuk memiliki blog sendiri… Tapi mungkin belum ada keyakinan untuk membuatnya… Menanti waktu yang sesuai kiranya… Siapalah aku… Hanya insan biasa… Lahir dari benih yang hina… Membesar sebagai manusia… Hidup mencari redha-Nya…


Oh ya… Mengapa al-meheli dipilih sebagai nama pena dalam blog ini... Sengaja begitu… Sempena nama sekolah tercinta… SMU(A) Meheliah Geting… Kerana di sini aku banyak menerima pendidikan agama sebelum melangkah ke menara gading... Mungkin aku tidak layak menggunakan nama ini... Siapalah diri ini... Hanya insan biasa... Seorang alumni sahaja... Namun itu tidak penting... Apa yang penting adalah hari ini... Meneruskan perjuangan... Walau di mana pun bumi dipijak... Perjuangan mesti diteruskan hingga ke akhirnya...





Entah di mana ingin ku mulakan... Apa yang ingin ku bicarakan dalam blogku ini.. Aku masih kebuntuan idea... Tapi tidak mengapa kiranya... Bermula dengan perlahan-lahan... Bila lagi ingin memulakannya... Sekiranya tidak dimulakan masakan ia akan bermula... Biarpun sedikit, ianya mesti bermula... Tidak salah kiranya... Sikit-sikit lama-lama jadi bukit... Maklumlah aku ni masih belajar... Belum mahirlah katakan.. Insya-Allah akan ku teruskan usaha ini... Seandainya ada silap dan salah... Sila perbetulkan... Aku hanya insan biasa...