Tuesday, February 12, 2013

Ungkapan biasa; hikmahnya tetap ada..



“Belajar rajin-rajin. Jangan putus asa.”
“Ngaji molek tuh. Usaha betul-betul. Buat yang terbaik.”

Antara ungkapan yang pernah hadir dalam hidup insan ini suatu ketika. Mungkin biasa kita dengar ungkapan ini atau seumpamanya. Biasa yang membiasakan jiwa. Hingga tawar dirasa kerana telah lali terbiasa. Sebenarnya pada insan ini, ungkapan begini merupakan kata-kata yang luar biasa. Besar pengaruhnya buat jiwa. Bukan mudah ianya hadir menyapa dalam hidup ini terutamanya daripada ibu bapa, saudara-mara mahupun teman-teman insan ini. Namun, bicara ini seringkali terungkap dari bibir seorang guru. Benar bukan?

Guru. Ya, mereka lebih memahami potensi diri kita. Mereka lebih tahu kemampuan dan kebolehan kita sekalipun kita sendiri masih belum atau tidak menyedarinya. Guru kita sering melihat kita dengan penuh harapan. Agar kita, insan yang mereka didik suatu hari nanti akan menjadi insan yang berjaya. Jika tidak pun, jadi insan yang berguna.

Seringkali pesanan atau nasihat begini dirasakan biasa. Namun di sebalik kebiasaannya, ia mampu menguatkan jiwa. Tatkala kita seringkali berputus asa. Rasa lemah tidak bermaya mengharungi perjuangan kita. Kadang-kadang hadirnya kembali menyuburkan semangat yang kian padam dan suram. Seakan masih ada yang berharap dan ingin melihat kita berjaya.

Insan ini belajar dari kata-kata yang dianggap ‘biasa’ ini. Sejak zaman persekolahan hingga ke detik ini, insan ini meneroka dan meneliti bicara ‘biasa’ ini. Ya, besar makna dan pengaruhnya pada diri ini. Meniti kejayaan demi kejayaan sering bertemankan kata-kata sebegini. Dari lisan para murabbi yang tidak jemu menyuntik kata-kata semangat. Begitulah ungkapan rasa berunsur pesanan yang penuh harapan daripada mereka. Sekalipun pada anak didiknya, ianya mungkin ungkapan biasa sahaja. Sesekali ianya hadir daripada ashab seperjuangan dan saudara-mara. Namun, gurulah yang paling banyak menuturkannya.

Insan ini ingin sekali menjadi seorang yang tidak jemu meluahkan bicara ini. Insan ini merasai kepentingannya buat diri dan buat sesiapa sahaja bergelar insan. Betapa besarnya kuasa kata-kata, sekalipun hanya biasa namun tetap amat berharga. Berharga buat hati dan berharga buat diri. Hingga dengannya mampu mengubah jiwa agar menjadi lebih bersemangat meneruskan perjuangan dalam hidup ini. Dari kata-kata itu, ada harapan yang menyentuh perasaan bagi mereka yang memerhati dengan hati.

Bagi yang tidak memerhati, ianya sekadar kata-kata biasa yang telah lali di halwa telinga. Dibiarkan berlalu sepi tanpa mengambil hikmah yang tersembunyi. Benar, hikmah kata-kata tidak mampu dilihat dengan mata, sekalipun ianya sering singgah di cuping telinga, tetapi ianya mampu dirasa oleh hati yang mengerti. Hati yang benar-benar ingin berusaha memperbaiki kelemahan diri dan hati yang berusaha mencungkil potensi diri.

Terima kasih cikgu. Juga terima kasih buat yang pernah menyuntik semangat perjuangan dalam diri ini. Seringkali semangat yang seakan luntur, kembali berseri mewarnai perjuangan ini bila mana hadirnya kata-kata 'biasa' begini. Hati rasa seakan berteman dan tidak keseorangan dalam menghadapi mehnah dan tribulasi perjuangan hidup ini. Masih ada yang menaruh harapan. Masih ada yang meletakkan kepercayaan pada diri. Sekalipun harapan tersebut tidak semuanya mampu dipenuhi. Adapun kepercayaan itu seringkali dimusnahi. Justeru, itu kelemahan diri yang perlu dimuhasabah sendiri.

Betapa insan ini menyedari, bernilainya kata-kata sebegini sekalipun ianya biasa. Mungkin bukan hanya insan ini. Anda juga mungkin menyedarinya. Sebagai pendidik jiwa, insan ini tidak mahu menjadi insan yang bakhil untuk merakam dan menuturkannya. Adapun dalam bentuk kalam bicara ataupun dalam bentuk kalam bertinta. Biarlah jika ianya hanya sekadar kata-kata biasa, asalkan penuh bermakna.

Hikmah kata-kata, biasa yang luar biasa!

Saturday, February 9, 2013

Meheliah; namamu terus gemilang..



Gemilang namamu terus cemerlang. Nama yang sentiasa mekar di ingatan. SMU (A) Meheliah Geting. Sekolah yang pernah menjadi saksi sebuah perjuangan buat insan ini. Dari seorang pelajar sehingga berkesempatan menjadi tenaga pengajar di situ. Tempat bermulanya langkah insan ini sebagai seorang pendidik, meskipun hanya sementara sebagai guru ganti di situ. Namun ianya memberi banyak pengalaman yang berguna buat insan ini.

Terlalu besar dirasakan jasa sekolah itu buat insan ini. Jasa warga pendidiknya yang begitu tabah mendidik insan ini. Tidak mampu dibalas oleh insan ini. Kenangan di sekolah itu menjadi sebuah nostalgia yang tersimpan utuh dalam diari kehidupan. Kenangan bersama sahabat-sahabat seperjuangan, guru-guru, dan juga adik-adik pelajar insan ini adalah cukup indah dan sentiasa menerpa dalam ingatan saban waktu.


Meheliah; namamu terus gemilang. Insan ini catatkan di laman ini sebagai tanda penghargaan buat sekolah yang telah banyak menyumbangkan bakti buat diri ini. Jasa warga pendidik yang tidak jemu mencurahkan mutiara ilmu yang berharga sebagai bekalan berguna sepanjang kehidupan.

Di bangku sekolah itu pernah insan ini duduk, menimba mutiara berharga dari warga pendidik yang berjasa. Di tanah itu juga, kaki ini pernah kembali menyumbang sedikit bakti yang tetap tidak mampu membalas jasa sekolah itu buat diri. Sungguh, insan ini amat bertuah kerana dapat merasai dan menikmati pengalaman dalam 2 situasi yang berbeza.

Tahniah atas kejayaan..


Cemerlang dan terus gemilang. Mekar harum namamu dijulang. Itulah SMU (A) Meheliah Geting. Dinobatkan sekolah bantuan kerajaan terbaik, dalam keputusan Sijil Tinggi Agama Malaysia 2012 baru-baru ini. Ianya merupakan sebuah pengiktirafan yang cukup membanggakan bagi seluruh warga sekolah dan bekas pelajar yang masih dan pernah berada di situ. Tahniah atas kejayaan ini!!!

Sekalung tahniah dan syabas juga kepada bekas adik-adik pelajar insan ini yang telah lulus dengan cemerlang dalam STAM 2012 terutamanya kepada Ali Zakaria Tabari Bin Mohd Nawi yang telah memperolehi 10 MUMTAZ dalam peperiksaan tersebut. Pencapaian ini turut mengulangi pencapaian abangnya, Hamidul Hannan Hasani yang merupakan sahabat seperjuangan insan ini dalam STAM 2006 yang lalu di sekolah yang sama. Sejarah si abang dicipta kembali oleh si adik. Sebagai bekas pendidik, insan ini turut berbangga dengan kejayaan dan kecemerlangan ini. Tahniah dan syabas! Mabruk!


Cerita SMU (A) Meheliah Geting dalam post kali ini. Sekian lama tidak mencatatnya di laman Tinta Ukhuwah ini. Dari seorang pelajar kepada seorang tenaga pengajar. Ia sesuatu yang cukup bermakna dalam menulis diari kehidupan. Cerita-cerita pahit manis perjalanan sebagai seorang pelajar bersama sahabat-sahabat seperjuangan pada awal persinggahan ke hujung perjuangan di sekolah yang tercinta itu, hatta kisah-kisah bersama adik-adik pelajar yang pernah bersama-sama menemani hari-hari insan ini sebagai seorang pendidik sekalipun dalam tempoh masa yang tidak terlalu lama. Ianya cukup bermakna dalam meniti ukhuwah di perjalanan dalam kehidupan. Semoga ianya menjadi memori yang terus diingati sampai bila-bila..

Sekalung tahniah, setinggi syukur, Alhamdulillah!

Monday, February 4, 2013

Kayakanlah hati, hidup pasti bererti..



Alhamdulillah.. Detik ke-26 disambut dengan penuh syukur. Hari ini elaun masuk lagi setelah ianya masuk pada minggu lepas untuk bulan Januari. Seakan hadiah ulangtahun pada kali ini walaupun semua itu adalah elaun semata. Berminggu-minggu mencatur kewangan dengan bajet yang entah cukup entah tidak. Bimbang  juga kiranya tidak sempat menampung dengan poket yang semakin mengering dan mengecut lantaran lajunya aliran wang keluar.

Cuba untuk tidak mahu berhutang dengan sesiapa lagi. Masih belum terdesak untuk begitu. Mengurus kewangan bukannya suatu perkara yang mudah. Jika terlalu berjimat, bimbang dikatakan kedekut pula. Jika terlalu boros, bimbang lari bajet pula nanti. Maklumlah hanya berbekalkan elaun untuk menyara hidup di kepulauan borneo ini.

Terlalu banyak difikirkan dalam menguruskan kewangan. Wang untuk keluarga di kampung juga perlu dihantar. Itu adalah tanggungjawab. Sekalipun masih belum mampu dihantar setiap bulan namun pasti ada juga untuk kedua orang tua. Menanti elaun masuk untuk itu. Sungguh, belum berkesempatan untuk menabung buat diri sendiri namun tetap bersyukur kerana Allah, masih mengurniakan nikmat-Nya untuk terus hidup di dunia ini. Sekalipun kewangan adalah suatu keperluan namun masih ada lagi yang lebih utama daripada itu.

Insan ini tidaklah memikirkan sangat kewangan saat ini. Yang ada pun hanya digunakan untuk keperluan diri sendiri sahaja. Tidak mahu melayan kehendak nafsu yang pastinya tidak puas dengan nikmat dunia. Sekalipun sedikit, biarlah ada keberkatannya. Ya, dalam tidak seberapa masih mampu berkongsi. Masih mampu memberi meskipun kelihatan seakan ‘sesak’ melanda diri. Namun keyakinan tetap ada dalam hati yang selalu berbisik “Rezeki itu urusan Allah”. Justeru, Dia yang telah mengatur indah untuk setiap hamba-Nya maka bersyukurlah kepada-Nya.

Mendidik jiwa untuk kaya hati adalah lebih utama daripada kaya harta. Sukar untuk memiliki hati yang suci. Hati yang tidak cenderung dengan keindahan pesona duniawi yang penuh fatamorgana. Ianya memerlukan tarbiah dan mujahadah yang tinggi. Justeru, sekalipun memiliki harta yang banyak juga satu kelebihan, namun terlalu ramai yang tewas dalam ujian nikmat kekayaan material. Kaya harta yang tidak seiring dengan kaya hati adalah kemiskinan dan kepapaan yang bersembunyi. Apa gunanya kaya harta namun masih lagi mencuri? Apa gunanya kaya harta namun tidak diguna untuk bekalan di akhirat nanti? Apa gunanya kaya harta jika keresahan terus melanda jiwa?.

Justeru, tatkala ramai manusia bercita-cita dan berlumba-lumba untuk menjadi jutawan harta dunia, marilah kita bercita-cita dan berlumba-lumba untuk menjadi jutawan hati yang lebih akrab dengan tuntutan ukhrawi. Meraih ketenangan dalam kesederhanaan. Mensyukuri setiap nikmat yang dimiliki dan dikurnia oleh Ilahi. Ketenangan itu lebih utama daripada memiliki kekayaan berjuta-juta. Justeru, bersederhanalah dalam urusan kehidupan kerana itulah sebaik-baik jalan untuk meraih kedamaian dan kebahagiaan.

Jutawan hati, inspirasi insani!