Monday, August 31, 2009

52 Tahun: Menghayati Kemerdekaan


Tanggal 31 ogos tiba lagi. Dan pastinya ia ditunggu-tunggu oleh rakyat Malaysia. Kerana pada tanggal ini, Tanah Melayu mencapai kemerdekaan. Hari ini, sudah 52 tahun negara Malaysia meraikan ulangtahun kemerdekaan. Detik bersejarah apabila laungan Merdeka! berkumandang menggegar alam Malaysia.


Betulkah kita telah merdeka???


Pada mata kasar umumnya masyarakat kita mengatakan kita telah merdeka. Namun hakikatnya kita merdeka atas paksi nama merdeka sahaja. Bukan merdeka secara menyeluruh. Kita masih dibelenggu dengan pelbagai perjanjian dengan pihak British. Kita sebenarnya masih mengikut telunjuk dan arahan penjajah.


Diri ini berfikiran begitu kerana hakikatnya yang kita lihat sepanjang tempoh kemerdekaan ini. Kita masih terkongkong dengan peraturan ciptaan Barat. Kerana merdeka ini hanya pada kertas sahaja. Jika melanggar perjanjian semestinya kita pasti akan kembali terjajah.


Apakah erti kemerdekaan???


Pada diri ini mungkin erti kemerdekaan adalah negara kita sudah tiada peperangan menentang penjajah. Mengapa diri ini berpendapat begitu? Kerana kita tidak dinamakan merdeka sekiranya kita berada dalam situasi peperangan yang melibatkan pihak Barat. Jika masih berlaku kita belum merdeka. Begitulah rasanya.


Mungkin sahabat-sahabat mempunyai pandangan sendiri tentang kemerdekaan ini. Itu terpulanglah kepada sahabat-sahabat tentang pengertian kemerdekaan. Kerana pasti masing-masing mempunyai idea dan pandangan sendiri.


Menghayati erti kemerdekaan...


Bukan bererti diri ini tidak menghargai kemerdekaan yang dilalui selama ini tapi apabila direnung kembali kita sebenarnya masih terjajah. Terjajah dari sudut politik, ekonomi, perundangan dan banyak lagi. Boleh dikatakan sebahagian besar kita masih terjajah.


Pahlawan yang memperjuangkan kemerdekaan sepastinya mereka adalah wira negara. Mereka sanggup mengorbankan jiwa dan raga demi tanah air tercinta untuk mengusir penjajah keluar dari tanah air ini. Pengorbanan mereka sepastinya dikenang sampai bila-bila.



Situasi hari ini...


Apalah erti kemerdekaan jika situasi politik hari ini semakin membimbangkan dan tidak stabil. Kekacauan politik di negeri Perak contohnya menunjukkan bahawa Malaysia masih tidak matang dalam berpolitik. Tidak matang!!! Beginilah akibatnya apabila manusia gila pada kuasa untuk menjadi pemimpin sedangkan tanggungjawab dan amanah diabaikan.


Senangnya kita jika kembali merujuk kepada sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w apabila terpilih sebagai calon pemimpin atau khalifah, mereka lebih suka menarik diri bukannya menawarkan diri untuk berkuasa kerana mereka faham akan amanah yang mereka akan pikul dan ianya akan dipersoalkan oleh Allah s.w.t di akhirat kelak.


Berbeza dengan pemimpin hari ini yang tidak segan silu menawarkan diri untuk menjadi pemimpin malah sanggup merebut kuasa dengan cara yang kotor seperti orang yang tidak bertamadun dan tidak matang.


Apalah erti kemerdekaan jika kita melihat kepada keterbukaan Malaysia terhadap warga asing yang menetap di negara ini, adakah Malaysia akan kembali dijajah??? Kebanjiran warga asing semestinya mengundang kebimbangan oleh masyarakat pada hari ini kerana banyak jenayah yang melibatkan warga asing. Kebimbangan akan berlakunya huru-hara yang melibatkan warga asing ini.


Lupakah kita bahawa penjajahan yang berlaku di Tanah Melayu suatu ketika dulu juga asalnya daripada orang asing??? Dan hari ini jika ianya berterusan dan tidak dibendung, mungkinkah akan berulang sejarah masa lampau. Wallaua’lam..


Walau sejauhmana pun kita melangkah dalam kemerdekaan ini, namun kita bukanlah merdeka daripada pengabdian diri kepada Allah s.w.t. Kita tetap hamba-Nya yang mesti patuh segala perintah-Nya. Sesungguhnya Allah s.w.t telah mengaturkan satu sistem hidup yang terbaik berlandaskan al-Quran dan al-Sunnah. Maka manusialah yang berhak memilih sama ada mengikut peraturan Allah ataupun peraturan manusia. Yang pastinya, peraturan Allah adalah yang terbaik!!!


Salam Merdeka Buat Semua Umat Islam!!! Moga di bulan Ramadhan yang mulia ini, kita dapat memerdekakan diri kita dari belenggu dosa dan noda serta merdeka daripada nafsu durjana. Sesungguhnya merdeka yang sebenar adalah bebas daripada azab Allah s.w.t di akhirat kelak.. Mudah-mudahan kita berjaya!!! Insya-Allah...



Friday, August 28, 2009

Terima Kasih Meheliah!!!









Meheliah..

Tersergam indah namamu..

Biarpun di sudut terpencil..

Di sempadan negara tercinta..

Namun gagahmu membina insan..

Yang benar-benar berjiwa manusia..


Meheliah..

Padamu langkah ini bermula..

Membina semangat baru dalam perjuangan..

Mengutip butiran mutiara berharga..

Dari lisan para murabbi yang setia..

Jua memahat kenangan hidup..

Bersama teman yang tercinta..


Meheliah..

Kau menggamit memori di hati..

Insan ini tidak akan melupakannya..

Saat langkah perjuangan bermula..

Membina kekuatan dalam diri..

Mencipta sejarah dalam hidup ini..


Meheliah..

Dari bangkumu insan ini berdiri..

Dalam serba kekurangan ketika itu..

Melangkah dengan penuh ketabahan..

Biarpun berpanas dan berhujan..

Tetap teguh bersama ashab perjuangan..


Meheliah..

Kau membentuk diri ini..

Dari kejahilan haiwan yang buta..

Mencari cahaya yang bersinar..

Menjadikan diri ini manusia..

Yang mengenal sang Pencipta..


Meheliah..

Kepahitan perjuangan bersamamu..

Terbalas dengan manisnya kejayaan..

Yang pernah dirasakan insan ini..

Menikmati hasil secebis usaha..

Dengan kejayaan yang tercipta..


Meheliah..

Terasa berat melangkah pergi..

Meninggalkan kenangan terindah..

Namun diri ini tetap berbangga..

Kerana kau antara madrasah cemerlang..

Di bawah naungan Yayasan Islam Kelantan..


Meheliah..

Terima kasih atas segala-galanya..

Buat murabbi yang tercinta..

Jua pada ashab yang setia..

Menemani akrab perjalanan..

Serta menguatkan perjuangan ini..


Meheliah..

Teruskanlah usahamu membina jiwa..

Mengenal Allah Yang Maha Esa..

Dengan permata ilmu yang berharga..

Yang akan dibawa hingga ke akhirnya..

Semoga terus harum namamu..

Di kebun hati insan yang merinduimu…











Thursday, August 27, 2009

Bisanya Jarum Media Massa...

Sekitar berita Media Perdana berkaitan hukum syar’ie bagi kesalahan minum arak terhadap Kartika Sari Dewi Shukarno, seorang model yang mengaku bersalah meminum arak. Hakim di Mahkamah Syariah yang mengendalikan kes ini telah menjatuhkan hukuman sebat 6 sebatan terhadap pengakuan salah tersebut.


Kenapa isu ini diperbesarkan???


Heboh kisah model yang seorang ini. Entah mengapa isu ini diperbesarkan. Memalukan dan mengundang aib yang melampau. Kalau dikatakan hukuman sebat itu mengikut syariah. Itu pembohongan yang besar! Tipu! Dusta!


Lupakah kita bahawa hukum bagi orang yang minum arak dalam Islam adalah 80 kali sebatan? Sedangkan hukuman yang dijatuhkan ke atas model ini hanya 6 sebatan. Layakkah ia dikatakan sebagai hukuman mengikut syarak? Sedangkan ia tidak sama. Tengoklah bezanya antara 80 dengan 6. Jauh bezanya. Besar!!!


Bagaimana pula dengan kaedah sebatan yang akan digunakan? Wallahua’lam. Tapi yang sepastinya hukuman tersebut bukannya hukuman syarak. Perkara ini sengaja digembar-gemburkan. Berhati-hatilah!!! Ini antara sembilu yang halus bagi meracuni pemikiran masyarakat. Mengelirukan!!!


Mengapa hanya kes Kartika???


Berapa ramai umat Islam di Malaysia ini yang pernah minum arak sedangkan tahu hukumnya haram di Malaysia ini? Berapa ramai pula yang menerima hukuman??? Inilah kesannya bila arak dijual di merata-rata tempat. Kilang-kilang arak melambak di Malaysia ini. Pelbagai masalah akan timbul.


Mengapa isu ini sengaja diperbesarkan?? Hanya kerana pesalah mahu hukuman dilaksanakan mengikut syarak ataupun sekadar meraih simpati. Adakah begitu???


Kalaulah betul mahu mengikut syarak. Kenapa hanya 6 sebatan? Tidakkah syarak menetapkan 80 sebatan?!!! Siapa yang akan bertanggungjawab untuk bakinya sebanyak 74 sebatan lagi.


Inilah antara permainan manusia yang jahil terhadap hukum Allah!!!


Isu ini sebenarnya menggambarkan betapa parahnya kes arak di Malaysia hari ini. Biarpun hanya seorang yang di ’media’kan tapi hakikatnya ramai lagi yang terjerumus dalam najis arak ini.


Beginilah kaedah musuh Islam yang cuba mengelirukan masyarakat. Kerana masyarakat kita bukan semuanya yang alim mengenai bab hukum-hakam agama Islam. Kita yang belajar agama mungkin memahami kerana kita di bidang ini. Tapi masyarakat di luar sana terus dikelirukan. Hari ini mungkin masyarakat yang cetek pengetahuan agama akan mengatakan ”inilah hukum Islam” biarpun hakikatnya tidak benar sama sekali. Beginilah besarnya pengaruh media massa kepada masyarakat.


Semoga kita berhati-hati dan berwaspada dengan jarum tajam media massa!!!



Saturday, August 22, 2009

Ramadhan al-Mubarak: Bulan Mendidik Jiwa

Ramadhan tiba lagi selepas setahun meninggalkan kita. Hari ini, umat Islam seluruh dunia mula berpuasa sebagai menyahut seruan dan perintah Allah s.w.t supaya berpuasa di bulan Ramadhan. Puasa di bulan Ramadhan merupakan satu kewajipan yang difardhukan kepada seluruh umat Islam sebagaimana firman Allah s.w.t dalam surah al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud:


“Wahai orang-orang yang beriman! kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.”


Bulan Ramadhan merupakan bulan yang mulia dan satu bulan yang dipenuhi dengan keberkatan yang mana pada bulan ini akan digandakan pahala orang yang berbuat kebaikan dengan hati yang ikhlas dan mengharapkan keampunan dan keredhaan daripada Allah s.w.t. Pada malam harinya pula dijanjikan satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan sebagaimana firman Allah s.w.t dalam surah al-Qadr yang bermaksud:


Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada malam Lailatul-Qadar, Dan apa jalannya Engkau dapat mengetahui apa Dia kebesaran malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril Dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa Segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun Yang berikut); Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!


Allah s.w.t menyediakan kepada umat Muhammad s.a.w satu bulan yang penuh keberkatan dan menjanjikan ganjaran pahala yang berlipat kali ganda untuk diraih oleh kita umat akhir zaman. Justeru itu, di samping kita diwajibkan berpuasa, kita juga digalakkan memperbanyakkan amalan-amalan soleh seperti bersedekah, berzikir, bertadarus, mengerjakan solat sunat dan banyak lagi.


Kedatangan bulan Ramadhan amat dinanti-nantikan oleh setiap orang mukmin kerana bulan yang mulia ini adalah bulan yang terbaik untuk mendidik dan mentarbiah jiwa bagi mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. Hal ini juga kita dapat melihat masjid-masjid dan surau-surau akan dipenuhi oleh semua lapisan masyarakat yang beragama Islam tanpa mengira usia muda mahupun tua untuk sama-sama turun menunaikan solat sunat terawih yang hanya ada pada malam-malam bulan Ramadhan dan tidak ada pada bulan-bulan Islam yang lain.


Begitu indah Ramadhan mendidik jiwa manusia kerana pada bulan ini semua iblis laknatullah dibelenggu oleh Allah s.w.t. Hanya yang ada pada manusia adalah hawa nafsu semata-mata dan setiap manusia itulah berhak memilih sama ada untuk berbuat kebaikan atau kejahatan dengan tanpa paksaan dan gangguan iblis laknatullah. Jadi, Ramadhan mendidik kita supaya melawan hawa nafsu bukannya dari aspek makan dan minum sahaja tetapi juga turut mendidik kita dari sudut akhlak kita. Sesungguhnya mereka yang masih melakukan kejahatan pada bulan ini adalah mereka yang terpedaya dengan pujukan hawa nafsu dan golongan ini adalah termasuk dalam golongan orang-orang yang rugi dan lalai.


Ramadhan juga mendidik kita supaya bersyukur dengan segala apa yang dianugerahkan kepada kita. Bulan ini juga mengajar kita erti lapar dan dahaga yang dirasai oleh golongan fakir miskin selama ini. Selain itu, bulan ini juga mentarbiah jiwa kita supaya tidak membazir dan tidak terlalu bakhil untuk memberi sedekah kepada golongan yang memerlukan. Kita juga dididik dengan kesabaran dan ketabahan dalam menahan hawa nafsu daripada melakukan perkara-perkara yang ditegah oleh Allah s.w.t pada bulan Ramadhan terutamanya ketika sedang berpuasa.


Justeru itu, marilah kita bersama-sama mempertingakatkan amalan-amalan kebaikan dan meninggalkan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah s.w.t agar kita mendapat keredhaan Allah s.w.t serta memperoleh keampunan daripada-Nya. Marilah kita sama-sama menghayati bulan Ramadhan ini dengan mengerjakan amalan yang baik dengan penuh keikhlasan mudah-mudahan kita tergolong dalam golongan yang mendapat pengampunan daripada Allah s.w.t di atas segala dosa-dosa yang telah kita lakukan sepertimana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:


“Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan ihtisaab (kesedaran dan keinsafan serta ketaqwaan) akan diampunkan baginya segala dosa yang telah lalu.”


Oleh itu, marilah kita memperbanyakkan doa kita kepada Allah s.w.t agar segala amalan yang kita kerjakan diterima oleh-Nya dan Allah s.w.t memberkati kita di dunia dan di akhirat kelak, insya-Allah…


P/S: Ana mengucapkan Selamat menyambut bulan Ramadhan al-Mubarak dan Selamat Berpuasa kepada sahabat-sahabat khususnya dan kepada seluruh umat Islam amnya. Mudah-mudahan Ramadhan kali ini adalah Ramadhan yang terbaik bagi diri kita kerana kita belum pasti dapat menemui Ramadhan pada tahun-tahun yang akan datang. Justeru itu, ana berpesan kepada diri ana sendiri dan berpesan kepada sahabat-sahabat sekalian agar dapar mengambil kesempatan pada bulan yang mulia ini untuk mempertingkatkan kualiti amalan kita serta dapat mempertingkatkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah s.w.t…



Thursday, August 20, 2009

Hiburan: Kegilaan Masa Kini

Beberapa minggu yang lalu, ana dan teman-teman serumah berkesempatan mengikuti program Ummah Talk anjuran Ikatan Studi Islam UKM yang bertajuk Manusia Menyalak, Anjing Berzikir. Rasa ingin tahu tentang topik yang bakal dikupas oleh seorang pensyarah Fakulti Pendidikan iaitu Dr. Halim Tamuri menyebabkan diri ini bersama-sama teman-teman serumah terpanggil untuk mengikuti program ini.


Sebelum itu, ana berpandangan bahawa isu yang akan di bincangkan adalah berkaitan dengan isu hiburan ataupun hedonisme. Kerana pada jangkaan ana terhadap tajuk berkenaan adalah sekitar isu hiburan kerana hiburan semakin menjadi kegilaan masyarakat dunia pada hari ini dan pengaruhnya yang kuat kepada masyarakat terutamanya golongan remaja pada masa kini.


Ternyata jangkaan ana tepat dan tidak meleset kerana yang dibincangkan adalah berkaitan hiburan cuma lebih menekankan kepada mahasiswa terutamanya mahasiswa Islam agar mengambil peluang berdakwah melalui seni hiburan yang berkonsepkan Islam. Hal ini kerana menurut pandangan peribadi Dr. Halim Tamuri bahawa kesan pengaruh hiburan pada hari ini terlalu kuat dan kebanyakan masyarakat amat tertarik pada hiburan. Jadi pada pandangan beliau, sudah tiba masanya mahasiswa pada hari ini mengambil satu pendekatan yang positif melalui hiburan Islam sebagai satu jalan dakwah yang terbaik bagi mendekati masyarakat terutamanya golongan remaja supaya dapat memahami Islam.


Terdapat banyak lagi ruang hiburan yang semestinya diisi oleh mahasiswa Islam untuk meneruskan usaha dakwah. Kita bersyukur kerana di Malaysia, seni hiburan Islam terutamanya industri nasyid mendapat sambutan yang menggalakkan daripada masyarakat tetapi masih banyak lagi yang kurang diceburi oleh mahasiswa bagi mengetengahkan dakwah berunsur rohani dan agama seperti bidang lakonan drama, teater dan filem, penulisan skrip, bidang penerbitan dan sebagainya. Dr. Halim Tamuri mengajak mahasiswa supaya menggunakan alternatif ini dengan berkarya mengikut kebolehan masing-masing bagi mengembangkan lagi industri seni berkonsepkan keislaman bagi mendidik jiwa masyarakat agar kembali kepada ajaran Islam dalam menjalani kehidupan ini.


Ana bersetuju dengan pandangan yang dikemukakan oleh Dr Halim Tamuri kerana merasakan bahawa mempergiatkan hiburan berkonsepkan Islam adalah satu kemestian dalam dakwah Islam dan ianya adalah relevan untuk dipraktikkan oleh golongan da’ie pada zaman ini. Hal ini kerana kepelbagaian kaedah berdakwah itu sendiri dan kerana melihat dari sudut kepentingan industri hiburan Islam kepada masyarakat dewasa ini.


Kepincangan yang berlaku dalam sosial masyarakat pada hari ini terutamanya golongan belia kerana bersikap fanatik kepada hiburan-hiburan yang melalaikan. Budaya hedonisme ini adalah merosakkan jiwa dan mampu menggugat akidah manusia. Budaya ini adalah merupakan satu racun yang ditabur oleh musuh Islam bagi menjauhkan umat Islam daripada mengingati Allah s.w.t dan menjauhkan masyarakat daripada kebenaran ajaran Islam.


Pembentukan sahsiah yang terbaik adalah bermula daripada acuan berlandaskan al-Quran dan as-Sunnah yang menjadi panduan umat serta mampu menjadi benteng yang utuh bagi mengelakkan daripada berlakunya gejala-gejala yang negatif dalam kalangan masyarakat agar masyarakat kembali mengikut lunas-lunas yang dituntut oleh Islam. Sebagaimana firman Allah s.w.t dalam surah al-Baqarah ayat 138 yang bermaksud:


“(Katakanlah Wahai orang-orang Yang beriman: "Agama Islam, yang Kami telah sebati dengannya ialah): acuan Allah yang mencorakkan seluruh kehidupan Kami dengan corak Islam); dan siapakah yang lebih baik acuannya daripada Allah? (Kami tetap percayakan Allah) dan kepada-Nyalah Kami beribadat.”


Pendidikan melalui hiburan berunsur Islam adalah amat penting bagi menjana masyarakat yang beriman dan bertakwa kepada Allah s.w.t. Justeru, topik yang bertajuk Manusia Menyalak, Anjing Berzikir merupakan isu terhadap suasana yang melanda umat dunia pada hari ini kerana manusia lebih mengagung-agungkan hiburan mengatasi panggilan azan dan bacaan al-Quran. Oleh yang demikian itu, kita sebagai umat Islam semestinya perlu memuhasabah diri kita agar kita dapat berusaha menjauhkan hiburan-hiburan yang melalaikan dan memilih alternatif lain untuk berhibur iaitu dengan menanamkan minat terhadap hiburan berbentuk keislaman dan berusaha memperjuangkan hiburan Islam yang mendidik jiwa serta hiburan yang dapat mengingatkan kita kepada Allah s.w.t…



Monday, August 17, 2009

Musibah Dunia: Peringatan Dari Ilahi...

H1N1 atau Selsema Babi menjadi kegerunan manusia dewasa ini. Penyakit berjangkit yang kini telah mengorbankan banyak nyawa. Manusia menjadi bimbang dengan penularan wabak yang membawa maut ini. Malaysia tidak terlepas dari musibah selsema babi ini. Setakat ini, Malaysia telah mengesahkan 62 kematian akibat selsema yang sedang menggila memburu mangsanya.


Mungkinkah ini bala daripada Allah s.w.t?


Selepas wabak selsema burung yang melanda dunia. Kini tiba giliran babi pula mengeluarkan selsemanya yang amat merbahaya itu. Kalau dulu burung yang menyerang manusia menyebabkan kebanyakan spesis burung dihapuskan terutamanya ayam dan itik dan beberapa spesis burung dibunuh secara besar-besaran. Yang menghairankan mengapa ketika selsema babi ini berlaku suasana tidak begitu. Tidak kedengaran pula babi disembelih dan ditanam hidup-hidup secara besar-besaran.


Pelik Bin Ganjil. Mengapa ia tidak berlaku. Sedangkan puncanya daripada binatang haram itu. Mungkinkah antara punca Malaysia diserang wabak ini kerana mengingkari perintah Allah s.w.t? Mungkin ianya bala daripada Allah s.w.t kerana negara ini dilaporkan antara pengeksport babi terbesar di dunia.


Hari ini menjadi bukti mengapa Allah s.w.t mengharamkan manusia daripada memakan babi. Malah Islam mewajibkan samak kepada mereka yang menyentuh babi dan seumpama dengannya. Kerana babi itu memang berpenyakit dan amat menjijikkan. Sesungguhnya Allah s.w.t Maha Mengetahui segala baik buruk makhluk ciptaan-Nya.


Betulkah selsema babi ini ciptaan para saintis Barat?


Tidak mustahil virus ini dicipta dan dirancang penyebarannya oleh manusia yang gila. Kita melihat kepada suasana ekonomi barat yang kini merudum jatuh. Tatkala inilah mereka mencari peluang mencipta virus dan mencipta vaksinnya sekali bagi menjana kembali ekonomi mereka.


Secara praktikalnya mudah sahaja dan ia tidak mustahil berlaku. Membiarkan virus ini merebak ke seluruh dunia sehingga mengorbankan banyak nyawa dan membuatkan masyarakat dunia dalam ketakutan dan kebimbangan. Selepas itu, mereka menawarkan vaksin bagi membasmi wabak maut ini. Seluruh negara akan membelinya kerana akan bergantung pada vaksin tersebut bagi membasmi virus babi ini daripada terus menyerang rakyat mereka.


Beginilah peluang dan cara kotor yang Barat gunakan untuk kepentingan mereka. Bagi memulihkan sistem ekonomi kapitalis yang terbukti gagal dan musnah itu. Masyarakat dunia dijadikan sebagai tempat menempias kerakusan nafsu jahat mereka.


Di manakah silap umat Islam hari ini?


Silapnya kerana umat Islam terlalu jauh ketinggalan dalam ilmu-ilmu pakar. Umat Islam terlalu leka dengan hiburan ciptaan Barat. Adakah kita lupa matlamat Yahudi dan Nasrani? Mereka hanya mahu Islam lenyap di dunia ini dan manusia mengikut agama mereka.


Firman Allah s.w.t dalam surah al-Baqarah ayat 120 yang bermaksud:


"Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (Wahai Muhammad) sehingga Engkau menurut ugama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): "Sesungguhnya petunjuk Allah (ugama Islam itulah petunjuk Yang benar". dan Demi Sesungguhnya jika Engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu Yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah Engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) Yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepadamu."


Umat Islam perlu bangkit dari mimpi-mimpi yang mengasyikkan. Mimpi yang tidak seindah realiti. Semuanya tipu daya yang dirancang oleh musuh Islam bagi menghancurkan Islam. Umat Islam perlu berubah. Ingatlah firman Allah s.w.t dalam surah ar-Ra’d ayat 11 yang bermaksud:


“...Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa Yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa Yang ada pada diri mereka sendiri. dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun Yang dapat menolak atau menahan apa Yang ditetapkan-Nya itu, dan tidak ada sesiapapun Yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripada-Nya.”


Umat Islam mesti berubah. Umat Islam mesti kembali memuhasabah diri. Kerana setiap kelekaan dan kealpaan akan membawa padah. Hari ini H1N1 menyerang umat dunia. Ianya merupakan peringatan dari tuhan. Entah apalagi musibah dan bala buat umat dunia selepas ini sebelum dunia ini menutup tirainya.


Sama-samalah kita lihat nanti...



Sunday, August 16, 2009

Agar Kau Mengerti...

Jika harus berjuang sendirian. Maka biarlah diri ini berjuang. Agar kau mengerti. Tinta ini sekadar tinta biasa. Coretan yang tidak berbisa. Catitan yang mungkin tidak bermakna. Kerana diri ini seorang insan biasa. Yang baru belajar melangkah ke persada ini. Yang masih belajar mengukir kalam. Mengishlah diri yang serba kekurangan. Mencari kekuatan di sebalik cantuman kalimah. Mungkin perjuangan ini tidak bermakna. Atau mungkin perjuangan ini sekadar biasa.


Hari ini bukannya esok. Kerana esok belum pasti menjadi milik insan ini. Jika hari ini disia-siakan segalanya. Pastinya esok tiada apa-apa. Biarlah hari ini keringat minda yang sedikit ini dicurahkan. Menyusun kata dan mengatur bicara. Bukan mudah untuk mencurah segala-galanya. Pada catitan kaku yang tidak bersuara. Tanpa kekuatan hati dan semangat yang tinggi. Sebaris kalimah tidak mampu dilakari. Kerana insan ini mencari kepuasan. Biarpun hakikat tidak akan ditemui kini. Tapi pasti ada jalan menuju matlamat ini.


Diri ini masih tercari-cari teman yang sudi menemani perjuangan ini. Setulus dan seikhlasnya. Tatkala lupa dia menyedarkan diri ini. Tatkala silap dia menasihati. Tatkala rebah dia memimpin diri ini. Dengan kata bicaranya yang menyubur jiwa. Menyinarkan kembali semangat yang pudar. Membina kembali kekuatan yang runtuh. Yang bisa menyemarakkan api perjuangan. Serta dapat menghilangkan sepi perjalanan. Biarpun hari ini tidak muncul. Mungkin esok bakal menjelma.


Hidup ini bukan mencari musuh perjuangan. Yang tidak pernah senang dengan persekitaran. Kalamnya pedih berbisa tajam. Memadamkan api perjuangan ini. Meruntuhkan tembok kekuatan. Mencelah penuh penghinaan tanpa memikirkan kesan mendatang. Biarpun pasti tanpa disedari. Bisa kalamnya memakan diri. Kerana tajamnya lidah berkata-kata. Tanpa menghiraukan kesan bicara.


Percayalah bahawa diri ini bukannya yang terbaik. Sekadar mengisi sepi perjuangan ini. Agar hasil yang sedikit ini dapat memanfaatkan keadaan. Menceriakan suasana dengan warna-warni yang bisa menghiasi taman kehidupan ini. Selagi darah ini mengalir. Selagi jantung berdegup. Selagi nadi berdenyut. Perjuangan tiada noktahnya.


Tinta ukhuwah diabadikan. Buat yang menghargai ukhuwah ini. Kerana perjalanan hidup ini tidak akan indah tanpa ukhuwah. Kerana ia merupakan sumber kekuatan dalam meneruskan perjuangan ini. Kerana diri ini tidak sendirian dalam meniti kehidupan hingga saat ini. Kerana ukhuwah itu indah. Hadirnya untuk dihargai insan ini.


Bilakah lagi, teman seperjuangan yang dinanti akan bersuara. Agar insan ini dapat memahami dan mengerti. Serta kekuatan yang dicari akan dimiliki. Kerana hadirnya teman ini sebagai penguat jiwa. Sebagai baja yang menyubur semangat waja. Agar insan ini lebih yakin menghadapi perjuangan ini. Moga diri ini lebih istiqamah dan tabah mengharungi mehnah perjuangan. Agar tidak rebah dalam kealpaan jiwa ini dan tidak hanyut dalam khayalan yang dusta. Kerana teman itu umpama penawar bagi jiwa...




Saturday, August 15, 2009

Kepada Yang Dilanda Musibah...


Bila kesedihan melanda diri. Tatkala musibah menimpa. Biarkanlah airmata itu mengalir buat seketika. Pasti kau temui ketenangan. Usahlah terlalu ego melawan nalurimu. Kerana kesedihan itu lumrah kehidupan. Di awal kelahiran tangisanmu membuktikan. Jadi usahlah malu untuk menangis. Biarpun dalam waktu sepimu. Kerana itu fitrah semulajadimu.


Mengapa perlu disembunyikan perasaan di kalbumu. Di sebalik keegoan diri yang menyeksa hati. Biarkanlah airmata itu mengalir seketika. Pasti ia akan reda. Dan carilah kekuatan selepas itu. Kerana pasti kau akan menemuinya. Usahlah kau memaksa kelembutan hatimu dengan secebis kekuatan nalurimu. Kerana kekerasan jiwa itu tetap akan ada kelembutan. Jangan mendustai perasaanmu. Kerana jiwamu akan merana.


Percayalah, bahawa kesedihan itu bukannya berpanjangan. Tiba masanya ia akan hilang. Mungkin akan terus lenyap dari ingatan. Jangan menyeksa jiwamu. Hidup perlu diteruskan. Kesedihan bukannya alasan memadamkan api perjuangan. Tapi jadikanlah kesedihan itu sebagai pelengkap sebuah kehidupan.


Hidup ini tidak indah tanpa titisan airmata. Kerana airmata menjadi saksi tunduknya hati kepada keagungan ilahi. Bisikkanlah kesedihan di tadahan doa. Melahirkan keinsafan seorang hamba. Sungguhpun keindahan hidup sering didamba. Sesekali ujian datang melanda. Menguji ketetapan hati. Juga ketabahan menghadapinya.



Berpadalah dalam sedihmu. Berpadalah dalam tangismu. Agar tidak kau berputus asa. Dari rahmat tuhan yang Maha Kuasa. Kembalikan kekuatan jiwamu. Kerana kau ada ketabahan. Kau miliki kesabaran. Untuk mengharungi dugaan.


Ingatlah kemanisan yang pernah kau rasai. Agar menjadi penyubur semangatmu kembali. Kepahitan itu hanya sesekali terjadi. Berbanding kemanisan yang menemani hidupmu. Jadi, tarbiahkanlah hatimu kembali. Dengan kekuatan yang berbaki. Percayalah, bahawa kemanisan itu masih ada. Kepahitan tetap menjelma. Kerana hidup ini sementara. Kemanisan yang sebenar ada di syurga. Kemanisan yang abadi.


Biarkanlah perkara yang lalu terus berlalu. Tapi janganlah kau tinggalkan semua. Ambillah yang manis menjadi kenanganmu. Sebagai kekuatan meneruskan perjalanan. Kerana perjuangan hidup ini mesti diteruskan. Sebelum dipanggil menghadap tuhan. Maka damaikanlah jiwamu dengan keimanan. Hiasilah dengan kebaikan. Suburkanlah dengan keikhlasan. Dan sempurnakannya dengan ketakwaan kepada Allah s.w.t.



Friday, August 14, 2009

Tanggal 14 Ogos 2009: Selamat Ulangtahun Sahabatku!!!

Tiada apa yang aku ingin katakan pada post kali ini. Sejenak mengimbau kenangan lalu. Tanggal 14 Ogos tidak pernah aku lupakan. Teringat aku pada tanggal ini beberapa tahun yang lalu. Satu kejutan buat sahabat yang setia. Sesekali membuat kejutan kadang-kala menyeronokkan hati ini. Membuat sahabat gembira menerima sesuatu yang tidak dia jangkakan membuat hati ini terasa riang gembira. Geli hati juga melihat gelagatnya pada hari berikutnya.



Waktu itu, aku hanya tersenyum melihatnya gembira. Mana tidaknya, dalam diam aku memberi kepadanya hadiah sempena hari ulangtahun kelahirannya bersama dengan sekeping nota sebagai pengganti diri. Aku masukkan ke dalam begnya saat dia keluar dari kelas pada waktu rehat. Seingat aku hari itu kelas tambahan. Hari itu aku sengaja diam seribu bahasa. Tiada ucapan selamat hari lahir buatnya. Membiarkan dia tertanya-tanya bahawa sahabatnya ini melupakan hari ulangtahunnya kerana sebelum itu dia telah memberikan kepadaku hadiah bersempena ulangtahun kelahiranku. Maka bagi membalas pemberiannya itu sebagai tanda penghargaan, maka tercetuslah idea kejutan tersebut.


Keesokan harinya kelihatan dia menunggu aku di sekolah. Setibanya aku di sekolah dia terus mendapatkan aku. Dia menceritakan kepadaku saat dia membuka begnya untuk memasukkan buku-buku mengikut jadual harian persekolahan. Dia terkejut melihat bungkusan hadiah di dalam begnya. Walaupun tidak seberapa harganya namun cukuplah sekadar membuatkannya gembira. Puas rasa hatiku melihat keceriaannya pada hari itu. Sesekali bersama biarlah menghargai persahabatan ini, biarpun dengan apa cara sekalipun. Kerana tanpa sahabat siapalah diri ini. Mungkin tidak singgah di puncak jaya. Tidak akan pernah merasai nikmat kejayaan.



Hari ini, tanggal 14 Ogos tiba lagi. Biarpun tidak sama lagi seperti ketika bersama dulu, namun ingatan ini tidak pernah lupa pada sahabat setia. Sahabat yang banyak mengajarku erti ketabahan, kesabaran, kekuatan dan kasih sayang. Jurang pengajian tidak pernah membuatkan diri ini lupa padanya. Kerana dia sahabat yang setia. Sahabat kebanggaanku. Sahabat yang tidak pernah lupa saat aku di tempat orang. Sahabat yang tidak pernah sepi khabarnya. Sahabat tempat aku mengadu suka duka perjalanan. Kerana dia sahabat yang memahami. Sahabat yang mengerti.



Dalam kesibukan hari-hari bergelar mahasiswa ini, biarlah ada sedikit waktu untukku mengucapkan ”Selamat Hari Lahir Buatmu Sahabatku”. Biarlah kali ini di ruangan ini membuktikan segalanya. Sahabatmu ini tidak pernah melupakan segala jasa dan pengorbananmu tatkala diri masih mencari kekuatan. Dalam kesepian teman-teman yang lain. Biarpun berjauhan tidak pernah kau lupa. Tidak sunyi skrin telefon bimbit ini dari mesej-mesejmu. Bertanya khabar dan menceritakan perkembanganmu. Aku kagum padamu sahabatku. Berbeza dirimu dengan teman-teman yang lain. Meskipun dekat namun hakikatnya terasa bagai jauh sekali. Kerana aku menilai sahabat-sahabatku. Aku mengerti dengan kesibukan waktu. Tetapi mungkin mereka lupa, aku juga mahasiswa.


Ikhlas aku katakan, aku tidak menginginkan apa-apa dari sahabat-sahabatku. Cukuplah hati ini tenang melihat semuanya berjaya. Namun untuk berbangga dengan kejayaan itu, mungkin terlalu jauh jika beginilah realiti sahabat-sahabatku. Biarlah aku bangga dan kagum denganmu. Bertuah rasanya diri ini memiliki sahabat sepertimu. Biarpun dirimu sekadar sahaja namun tetap menghargai persahabatan ini.



Di kesempatan ini, aku ingin mengucapkan ”Selamat Hari Lahir Sahabatku Nasrullah @ Adik Yo!!!”. Semoga hidupmu diberkati oleh Allah s.w.t. dan semoga kau berjaya dalam bidang pengajianmu. Berjuanglah hingga ke akhirnya. Aku tetap menemani perjuanganmu dan akan terus menyokongmu serta sentiasa mendoakan kebaikan, keselamatan dan kejayaan buatmu. Bersabarlah di atas segala kesempitan yang melanda perjalanan hidupmu. Percayalah bahawa Allah s.w.t itu Maha Adil. Hanya Dia yang Maha Mengetahui semua urusan hidup makhluk-Nya. Jadi, usahlah berputus-asa sahabatku, mudah-mudahan kejayaan menjadi milikmu…







***Sahabatmu***

14 Ogos 2009

12.15 A.M.