Monday, December 31, 2012

Gerimis hati mencari erti..



Masa pantas berlalu. Terasa sekejap sungguh, tiga minggu berada di halaman bonda. Keadaan cuaca musim tengkujuh yang sering hujan menyebabkan tidak banyak aktiviti yang dapat dijalankan insan ini. Gerimis hati mencari erti. Kadang-kadang terasa amat bosan berada di kampung pada musim sebegini. Namun tetap bersyukur kerana dapat menikmati percutian di kampung halaman selepas terbeban dengan tugasan yang bertimbun-timbun yang masih belum selesai lagi sehingga kini.

Terdetik rasa hati. Apakah makna percutian pada kali ini buat insan ini? Terasa amat kosong daripada pengisian yang mampu memberikan seribu erti dalam hidup ini. Bukan tiada langsung tapi tidak terasa pengisian tersebut. Mungkin faktor cuaca agaknya dan mungkin tiada apa-apa lagi yang menarik untuk diteroka dewasa ini.

Nostalgia masa lalu..

Terimbau zaman kanak-kanak yang lalu, seronoknya bermain air ketika musim bah melanda. Aktiviti yang boleh dikatakan dilakukan setiap hari. Mandi-manda, berenang gaya bebas, dan bermain pelampung besar, berakit di kawasan baruh yang berhampiran. Seronoknya zaman itu. Sampai menggigil-gigil kesejukan akibat bermain air.

Kini, zaman itu sudah berlalu. Bukan tidak boleh dicipta lagi tetapi bukan masanya untuk meneruskan aktiviti seperti itu. Banyak komitmen lain yang perlu diutamakan. Cukuplah berasa seronok melihat gelagat budak-budak yang begitu teruja bermain air di halaman rumah. Mengimbau nostalgia zaman kanak-kanak yang lalu.

Buku minda ilmu..

Mujur jugalah ada buku-buku yang dapat dibaca saat berada di rumah. Membaca menjadi hobi sejak dahulu. Rela pula insan ini berhujan semata-mata ingin membeli buku-buku baru di pasaran. Ya, bagi menambahkan koleksi buku-buku di rak buku yang terdapat di rumah. Juga menambahkan ilmu pengetahuan buat insan ini. Membaca buku bagaikan membaca pemikiran penulis dan mengikuti kisah-kisah yang dapat dicungkil hikmah dan pengajaran buat diri. Buku itu minda ilmu yang menyimpan hikmah dalam bentuk aksara. Sekurang-kurangnya masa tidak banyak terluang kosong begitu sahaja. Tanpa apa-apa manfaat yang dapat diperolehi.

Pertemuan dan kerinduan..

Kita hanya merancang, tuhan menentukan segala-galanya. Bukan apa, sesekali pulang ingin juga bertemu teman-teman di perjalanan. Namun apakan daya, ingatkan sudah mendekat namun tetap menjauh di serata penjuru. Bukan tiada, tetap ada pertemuan ukhuwah bersama sahabat-sahabat seperjuangan, namun terasa tidak lengkap pula tanpa pertemuan dengan mereka yang sering hadir pada setiap kali kepulangan.

Redha dan pasrah. Mungkin itu ‘latihan awal’ untuk masa depan yang tidak dapat dijangka. Mungkin tersirat jutaan hikmah sebagai persediaan bagi menempuhi hari-hari mendatang. Rindu. Hati ini terasa ianya hadir menyapa dinding lembut hati ini. Biasalah bila berjauhan dan pula bila berlama-lama, meskipun sudah berdekatan yang tetap berjauhan. Pelik sungguh bahasa ini.

Semoga berbahagia ke akhirnya..

Selamat menempuhi hari bahagia buat sahabat seperjuangan, saudara Mohd Nasruddin Bin Loman dan isterinya yang melangsungkan perkahwinan pada 22.12.2012 yang lalu. Semoga berbahagia hingga ke akhirnya. “Barakallahu laka wa baraka ‘alaika wa jama’a bainakuma fi khoir.” Selamat menempuhi masam-manis kehidupan berumahtangga dengan penuh kerukunan dan ketabahan. Mudah-mudahan ianya dapat meningkatkan rasa takwa kepada-Nya.

Ramai yang sudah mendirikan rumah tangga. Yang lainnya bakal menyusul nanti, insya-Allah. Termasuklah juga insan ini. Doa-doakan kami yang belum ini semoga dipermudahkan segala urusan ke arah melaksanakan tuntutan sunnah Nabi Muhammad s.a.w dan juga saranan Allah s.w.t yang termaktub dalam Kitab Suci Al-Qur’an dan Al-Sunnah.

Teruskan perjuangan..

Kembali ke medan perjuangan membawa kenangan dan rasa rindu berpanjangan buat warga di halaman bonda. Bumi Sarawak ini, tanah ketentuan-Nya buat insan ini mencari cicipan rezeki bagi membina dan meneruskan kehidupan. Sehingga berjumpa lagi di lain ketika jika diizinkan Allah Yang Maha Kuasa. Selamat berjuang buat semua..

Gerbang baru kehidupan, bilakah akan tibanya giliran? Pasrah ketentuan!

Thursday, December 13, 2012

Wednesday, November 21, 2012

Sahabat Berkasih, Terima Kasih…



“Terima kasih kerana sudi menjadi sahabat bagi insan ini..”

Begitulah sering sukar diluahkan dari lubuk hati. Ungkapan terima kasih buatmu sahabat. Atas segala jasa dan pengorbananmu buat insan ini hingga ke detik ini. Sejak awal pertemuan yang telah meribat ukhuwah yang cukup indah dalam lipatan diari hidup ini. Kalian hadir mewarnai kehidupan ini dengan memori yang tersendiri.

Kalimah penghargaan yang sukar meniti bicara. Sekalipun pena mampu menulisnya belum tentu lidah mampu mengungkapnya. Bukan sekadar hanya alunan kata-kata tetapi hadirnya dari ketulusan rasa yang terpendam dari lubuk jiwa yang amat dalam.

Seringkali terfikir di benak minda insan ini. Siapakah insan ini tanpa sahabat-sahabat sekalian? Insan ini menumpang teduh di payung kemesraan yang terjalin. Tanpa persahabatan ini mungkin hidup ini diselubung sunyi dan sepi. Jauh dari gelak tawa, senyum ceria dan usik manja.

Saat ini pasti wujud rindu di hati. Sememangnya kita jauh. Itulah takdir yang tertulis. Antara kita ada yang jauh terus menjauh. Ada yang jauh namun terus mendekat. Ada yang dekat seakan menjauh. Ada yang dekat semakin akrab. Namun yang paling menyedihkan, ada yang tidak lagi ingin meneruskan ikatan ukhuwah ini. Berlalu membawa diri tanpa sudi berpaling lagi.

Insan ini bertuah mempunyai sahabat seperti kalian. Sekalipun siapa pun insan ini pada kalian. Sungguh, kalian amat bermakna buat insan ini. Sepanjang meniti kehidupan ini, seringkali ada saat suka dan duka. Saat suka berkongsi bersama. Saat duka pula sering kali berlalu sepi yang seakan hilang dalam keriangan yang wujud dalam ukhuwah kita. Kemesraan yang lahir telah mengusir segala kesepian yang sering singgah di jiwa ini.

“Terima kasih wahai sahabat kerana mempercayai insan ini..”

Terima kasih atas kepercayaan yang diberikan kepada insan yang kerdil ini. Dari sekecil-kecil rahsia hinggalah sebesar-besar rahsia yang terpendam di sanubari dengan tulusnya dikongsi. Seandai itulah yang dapat meringankan bebanan rasa di hati kalian, insan ini sedia mendengarnya, memahami dan sedaya upaya cuba mengerti setiap situasi.

Amanah itu terlalu berat buat insan ini namun insan ini akan terus menjaganya selama hidup ini. Di situ ada cerita dan juga bicara yang bersulam rahsia. Hakikatnya itulah hak kalian pada insan ini untuk berkongsi sesuatu yang bersarang di jiwa kalian. Sungguh, insan ini akan terus menjujung hak itu dan akan terus sedia mendengar dan menyimpannya seadanya.

Kepercayaan yang diberikan akan insan ini balas dengan kesetiaan. Kehadiran kalian amat berharga dalam meniti kehidupan ini. Tiada apa yang mampu insan ini berikan kecuali kesetiaan dan penghargaan yang tetap wujud di lembaran hari-hari insan ini. Dalam kuntuman doa yang akan terus mengiringi perjuangan kalian walau di mana pun kalian berada. Ianya akan terus terpahat dalam ingatan dan doa.


“Terima kasih kerana membuatkan diri ini rasa bersahabat..”

Dalam jarak perpisahan ini tetap hadir diri sahabat yang tidak pernah jemu menyapa. Sekalipun dari ruang-ruang yang mana antara kita tidak bersemuka. Sekalipun jarang pula kita dapat berjumpa lantaran antara kita kesibukan melanda. Namun tidak pernah membatas perhubungan kita sekalipun dalam ruang talian terbuka.

Kalian adalah insan-insan yang istimewa yang pernah melakar catatan dalam sebuah diari kehidupan insan ini. Insan-insan yang sering menjadi penguat keazaman tatkala pudarnya semangat perjuangan. Begitu indah sebuah perkongsian yang mewarnai sebuah persahabatan demi memenuhi perhubungan sesama insan. Kita melayari sebuah bahtera perjuangan di atas lautan yang adakala tenang dan adakala ombaknya mengganas membadai bahtera kehidupan.

Kita berharap agar kita dapat singgah di persisiran pantai kejayaan. Dan kini kita mungkin sedang melaluinya. Kita sedang menikmati kemanisan itu setelah kepahitan pernah kita telan suatu ketika dulu. Kita bersyukur kepada tuhan dengan rezeki pemberian bagi meneruskan sebuah kehidupan. Biarpun kita berpisah ke merata penjuru namun tidak bererti kita tidak mampu mencari sudut pertemuan. Sekalipun bukanlah dengan bicara berpanjangan namun tetap wujud kemesraan dalam meniti kehidupan ini.

“Terima kasih kerana insan ini masih wujud di hatimu..”

Sekalipun insan ini bukan yang istimewa. Biarpun bukan pula yang sering membuatkan persahabatan ini lebih bermakna. Namun insan ini amat bertuah memiliki teman-teman sebaik kalian. Insan ini sering merasai kehadiran kalian dalam hidup ini. Dari sembang bicara antara kita sekalipun di alam maya tanpa bersua muka atau dalam talian di ruang telinga. Biarpun sedikit cuma namun terasa seakan diingati melalui perkongsian yang terus wujud di bilahan hari-hari. Sering bertanya khabar dan tidak pula jemu menyebarkan salam persahabatan.

Sekalipun dirimu jauh wahai teman. Adapun jua yang dekat. Tetap akan dirasai perananmu buat hidup ini sampai ke detik ini. Insan ini akan terus menyambut salam ukhuwah ini berpanjangan. Di mana pun kita pada saat ini, hargailah ukhuwah ini.

Kalian adalah teman buat selamanya. Sahabat yang akan terus mencipta warna-warni ukhuwah ini. Biarpun tidak seerat sejarah yang lalu namun biarlah tetap ada dalam melewati hari muka. Sedetik bersama selamanya terasa. Sekalipun kita mampu terbang setinggi angkasa, jangan kita lupa tanah serendah pusara. Sehebat mana pun takdir hidup kita, jangan kita lupa bahawa Allah telah menentukan segala-galanya. Jadi, jangan pula kita angkuh kerana seringkali yang angkuh itu jatuh.

Setinggi penghargaan sahabat berkasih, sambutlah salam Terima Kasih!!!

Thursday, October 11, 2012

Monday, September 24, 2012

Teguklah hikmah wahyu pertama..



Bacalah. Sekalipun hanya sekali. Biarpun sekadar melewati tanpa ingin memahami. Baca untuk hati kita terus hidup dengan budaya ilmu yang memberi manfaat pada diri. Tatkala kita sering kepenatan dalam bebanan kerjaya atau tugasan seharian. Membaca menjadikan dunia yang sempit menjadi luas. Jangan jadi seperti katak di bawah tempurung sebaliknya keluarlah dari penjara itu dan bergerak bebas di muka bumi Allah ini.

Sekalipun kita bukan lagi seorang pelajar di sekolah atau di universiti. Namun jangan pernah kita lupa bahawa kita masih lagi seorang pelajar dalam sekolah kehidupan ini. Sekolah yang akan menentukan sama ada untung atau rugi nasib kita di akhirat sana tatkala menerima ijazah daripada Allah s.w.t yang mana natijahnya hanya syurga dan neraka.

Perjalanan hidup ini bermula sejak kita lahir dari rahim ibu sehinggalah kita dijemput kembali oleh Rabbul ‘Izzati.  Sebuah perjalanan yang penuh dengan mehnah dan tribulasi yang semuanya menguji kedudukan kita di sisi Ilahi. Jika berjaya, alhamdulillah.. Jika gagal, na’uzubillah..

Kembara seorang abdi mengharapkan redha Ilahi. Di situlah tujuan penciptaan insan yang disuruh mengabdikan diri kepada Allah yang Maha Tinggi. Meskipun kini kita bukan seorang hamba dalam mu’amalat sesama manusia namun kita tetap seorang hamba dalam perhubungan kita dengan Allah ‘Azza Wa Jalla.

Hidup adalah sebuah perjuangan. Perjuangan yang bermatlamatkan keredhaan Tuhan. Ya, Tanpa redha-Nya, hidup menjadi tidak bermakna. Biarpun memiliki harta setinggi gunung, mahu pun ilmu seluas lautan. Tiada erti jika tanpa redha Ilahi. Semuanya jadi hina sekali.

Perjuangan menuju redha perlu mengikuti jalan-jalan yang benar. Jalan yang dilalui mestilah selari dengan kehendak Ilahi. Jalan yang diikuti dengan tepat mengikut kompas iman yang lahir dalam diri. Sekalipun peta perjuangan itu berliku namun dengan keimanan yang jitu mampu mengharungi liku-liku itu untuk tiba ke destinasi yang dituju.

Dunia ini cuma seketika buat kita. Jadi, kembaralah dengan penuh waspada dan hati-hati di belantara kehidupan ini agar kita tidak tersesat dalam mencari jalan pulang. Biarpun pasti kita tempuhi duri-duri ujian, maka tempuhilah dengan ilmu yang kita pelajari. Allah akan terus menguji kita sehinggalah kita bertemu dengan-Nya.

Pasti ada hikmah di sebalik ujian yang melanda. Sekurang-kurangnya ia mengajak kita kembali kepada Tuhan yang Maha Esa. Kita hanya hamba-Nya yang hina. Kudrat yang ada pada diri kita ini pun adalah pinjaman daripada-Nya dan sepastinya dia akan mengambilnya semula bila tiba saat ketikanya. Kita pasti akan ditanya ke mana kudrat ini kita salurkan semasa kita hidup di dunia. Sepastinya ganjaran dan balasan yang setimpal akan diberikan atas segala yang kita kerjakan. Jadi, berhati-hatilah dan jangan bangga sekalipun hari ini kita berkuasa!.


Jangan berhenti membaca sekalipun bukunya amat tebal. Bacalah sedikit demi sedikit, sehelai demi sehelai. Lambat atau cepat ianya akan berakhir jua. Sedangkan membaca itu adalah perintah yang mula-mula diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w dan umatnya. Sekalipun kita tidak mampu, belajarlah sehingga kita mampu membacanya. Jangan berputus asa!.

Membaca memberikan kita cahaya. Cahaya yang menerangi kehidupan kita. Mudah-mudahan dengan cahaya itulah dapat menerangi jalan kita mengenal Allah, tuhan pencipta alam. Kita perlu banyak membaca kerana kita adalah pelajar di sekolah kehidupan. Sebagaimana pelajar di sekolah harian biasa, membaca banyak membantu dalam menempuhi ujian atau peperiksaan. Tanpa membaca kita pasti gagal menjawab soalan-soalan yang diajukan kepada kita sekalipun soalan itu sangat mudah bagi kita.

Justeru, wahyu pertama mengingatkan kita tentang “Iqra” – Bacalah. Ya, ilmu itu amat penting kepada manusia yang mendambakan cinta Tuhan-Nya. Untuk mencintai Allah, kita perlu mengenali-Nya. Tidak dapat tidak kita perlu belajar kerana ilmu perlu dipelajari agar ianya selari dengan kehendak ilahi dan bukannya berlandaskan akal dan nafsu semata-mata.

Ku coret catatan di laman tinta ukhuwah ini sebagai muhasabah kita bersama. Agar kita jangan lupa pada perintah wahyu pertama. Jadi, selamilah hati, tanyalah diri - Sudah banyakkah tinta ilmu yang kita baca? Sudah kenyangkah kita dengan ilmu yang ada? Atau adakah kita sememangnya masih dan semakin haus sekalipun kita telah meneguk ratusan telaga tinta ilmu yang pernah ditatap mata? Semoga kita terus dikurniakan minat untuk membaca dan belajar dalam sekolah kehidupan ini agar ianya menjadi bekalan berguna di hari muka. Justeru, teguklah hikmah wahyu pertama.

Iqra’ adalah satu perintah, pastikan hati kita terus teguh menurut perintah!

Wednesday, September 12, 2012

Bila semut mengajar kita..



Merenung ciptaan Allah s.w.t adalah satu tuntutan bagi meningkatkan rasa kehambaan kita kepada-Nya. Sesekali kita memerhati makhluk-makhluk ciptaan Allah s.w.t yang banyak dan begitu unik. Dari sekecil-kecil ciptaan-Nya hinggalah kepada sebesar-besar ciptaan-Nya mempunyai rahsia dan kepentingannya yang tersendiri yang dapat diambil manfaat dan pengajaran bagi kita dalam menjalani kehidupan seharian.

Semut. Serangga kecil yang begitu menakjubkan sehingga namanya diabadikan dalam satu surah iaitu surah an-Naml sebagai teladan kepada umat manusia yang berfikir tentang keagungan dan kebesaran sang pencipta. Kisah semut dengan Nabi Sulaiman a.s dan tenteranya tercatat dalam kitab agung umat Islam. Catatan ini bukanlah ingin menceritakan kisah tersebut, tetapi cuba mengaitkan serangga kerdil ciptaan Allah s.w.t dengan ukhuwah sesama manusia.


Makhluk kecil ini banyak mengajar kita tentang hubungan sesama manusia. Ya, konteks muamalat yang cukup indah pada serangga bergelar semut. Juga mengajar manusia tentang usaha yang berterusan dengan semangat tidak berputus asa dalam usaha menggapai matlamat sebuah kehidupan. Biarpun hanya haiwan yang kecil namun mempunyai nilai pengajaran yang tinggi untuk diteladani oleh umat manusia. Di situlah kehebatan Allah s.w.t dalam mentarbiah jiwa manusia agar mengakui kehebatan dan kekuasaan-Nya.

Kita melihat semut kebiasaannya berada dalam kawanannya yang ramai. Di situlah semut dalam konteks kemasyarakatannya. Pernahkah kaki anda terpijak sarang semut? Bagaimana kawanan yang ramai itu menyerang kaki anda. Sakit, pedih dan perit jika itu kawanan yang berbisa. Mereka mempertahankan kawasan mereka daripada diceroboh. Itulah jihad mereka biarpun akhirnya mati dilenyek manusia. Begitulah kita dalam bermasyarakat, perlulah berkerjasama dalam perkara-perkara kebaikan dan mencegah kemungkaran yang berlaku dalam kehidupan ini agar kita dapat menikmati ketenangan dan keamanan.

Lihat pula semut ketika menerima rezeki atau makanan yang besar dan banyak. Bagaimana kawanan mereka berkerjasama mengangkatnya pulang ke sarangnya untuk dikongsi sesama mereka. Berat sama dipikul, ringan diangkat sendiri. Begitulah semut mengajar kita erti kerjasama dalam berpasukan. Kerja yang berat akan menjadi ringan bila mana wujud kerjasama sesama ahli dalam sesebuah pasukan atau organisasi.


Renungkan pula bagaimana semut mengajar manusia berukhuwah dalam cara yang cukup mudah. Ketika kita melihat antara dua ekor semut bila mana mereka bertemu di jalanan, mereka pasti bertegur sapa biarpun sekejap cuma. Mungkin di situlah mereka berkongsi maklumat sesama mereka. Begitulah semut yang sering kita lihat. Begitu hendaknya kita manusia yang bergelar muslim, saat bertemu perlulah bermanis muka dan bertegur sapa atau sekurang-kurangnya menyebarkan salam sesama kita mudah-mudahan kita saling berkasih-sayang, hormat-menghormati serta saling mencintai.

Lihat pula semut ketika ia memanjat dinding yang tinggi. Apabila angin datang bertiup kencang, kekadang ianya jatuh ke bawah. Namun ia akan naik semula menuju ke puncak impiannya. Begitulah semut mengajar kita agar jangan berputus asa biarpun kita pernah gagal. Gagal sekali bukanlah bererti gagal untuk selama-lamanya. Kita seharusnya meneladani semangat semut yang tidak luntur biarpun ada rintangan yang menerjah di perjalanan sebuah perjuangan.


Ingatkah lagi cerita antara semut, merpati dan seorang pemburu yang kita pernah dengar atau baca sebelum ini?. Sekalipun ianya hanya sekadar cerita namun di dalam terselit banyak pengajarannya. Sekalipun ianya cuma serangga kecil namun tetap ada peranannya dalam kehidupan ini. Kisah yang mengajar kita erti membalas budi yang baik. Seharusnya begitulah kita apabila berpeluang melakukannya, maka balaslah budi mereka yang pernah berjasa kepada kita. Biarlah wujud di hati kita rasa ingin membalas kebaikan yang pernah diberikan kepada kita sekalipun tidak sama dengan situasi dan nilainya.

Manis gula direbut semut, manis ukhuwah disebut-sebut!

Wednesday, September 5, 2012

Rintihanmu teman, renungan bersama..



“Anggaplah dia seperti adikmu, saat dia menganggapmu seperti abangnya..”
“Lupakan kenangan pahit semalam, bangkit dan binalah ukhuwah yang lebih indah..”

Dari cerita seorang teman saat meminta pandangan. Terlihat dirinya seakan sedang berputus asa. Mungkin kenangan pahit masih menghantui dirinya. Tidak berani memulakannya buat sekian kalinya. Dari bicaranya jelas hampa namun masih tetap ada harapan di dalamnya.

Begitulah cebisan nasihat buatnya sebagai renungan dalam meniti ukhuwah dalam kehidupan. Ya, hidup ini umpama roda. Kekadang di atas, kekadang di bawah. Begitu juga hati dan perasaan kita. Pasti sering berubah-ubah. Mengikut situasi dan keadaannya.

Serik. Mungkin itulah yang terbungkam di hatinya saat itu. Memori lalu seakan meremuk dadanya. Kisah yang sering dikongsinya dengan insan ini. Meluahkan rasa yang sangat berat  sehingga membebankan jiwa. Seringkali juga mengundang airmata.

Sabarlah wahai teman. Ujian rasa di hatimu. Insan ini mengerti biarpun sukar. Rasa sebak juga mendengarnya. Berat telinga mendengarnya, berat lagi hatimu menanggungnya. Namun apakan daya, insan ini yang dicari untuk diceritakan segala bebanan rasa yang sarat ditanggung sendirian. Berkongsi dan melepaskan rasa sebak di dada. Agar ianya dapat melegakan amukan jiwa yang bersarang dukacita.

Masih lagi wujud harapan dalam dirinya. Hatinya ingin sekali lagi mengalaminya namun seakan tidak kuat dan yakin untuk menghadapinya. Berkongsi bahagia dengan insan yang sedang menambat jiwanya. Mengusik lembutan rasa kasih dan sayang di hatinya.

Teruslah menganggapnya seperti adikmu, saat dia menganggapmu seperti abangnya. Begitulah juga sebaliknya. Penuhi harapannya mudah-mudahan harapanmu juga dipenuhi. Lapangkan dadamu dalam menerima agar dirimu mudah memberi dengan penuh ketulusan dan keikhlasan.


“Uruskanlah perasaan kasih dan sayang itu sebaik-baiknya..”
“Jangan kau membezakan dirinya dengan saudaramu, kerana pasti berbeza selama-lamanya..”

Kasih sayang itu fitrah. Maka uruskanlah fitrah yang suci dan indah itu dengan sebaik-baiknya. Agar kita juga dapat menikmati keindahan rasa itu. Tiada salahnya berkongsi perasaan kasih dan sayang itu kerana darinya akan melahirkan ketenangan, kedamaian dan kebahagiaan. Justeru, sebarkanlah kasih sayang di hati dalam berukhuwah kerana dengan perasaan itu mampu menyuburkan ukhuwah yang lebih bermakna.

Siapalah kita untuk menghalang perasaan itu daripada wujud dalam diri. Sekalipun bagi insan yang kejam  pasti tetap wujud perasaan itu di dalam jiwa biarpun sedikit. Selagi mana Allah tidak menghilangkan perasaan itu dalam hati kita selama itulah ianya akan terus menghuni lubuk jiwa kita selama-lamanya.

Dayunglah sampan perasaan ke muara kebahagiaan. Berukhuwahlah dan luaskanlah medannya dengan sesiapa pun. Jangan pula dirimu membezakan dirinya dengan saudaramu, kerana pasti berbeza selama-lamanya. Dia juga memiliki keistimewaannya tersendiri yang belum pasti dirimu perolehi daripada saudaramu. Sekiranya kamu membandingkan dirinya dengan saudaramu semestinya kamu lebih memilih saudaramu. Selebihnya kamu akan menafikan dan membiarkannya kerana dia bukan pilihanmu.

Anggaplah kehadirannya sebagai anugerah daripada Allah s.w.t buatmu. Mungkin itulah yang terbaik pada ketika ini. Sekalipun hari ini dirimu masih tidak memerlukannya dalam kehidupan ini. Kerana kita tidak tahu bila masanya kita akan memerlukannya untuk hadir dalam hidup ini. Jadi, hargailah yang ada selagi mana terdaya sebelum tiba waktunya hadirnya rasa kamu ingin menghargainya sedangkan pada waktu itu suasana ukhuwah telah pun berbeza.

Rintihanmu teman, membuatkan insan ini berfikir akan keindahan ukhuwah antara dirimu dengannya. Coretan ini hanyalah sekadar pandangan dari insan yang maha kerdil ini. Semoga ianya menjadi renungan bersama. Sekalipun bukan semuanya berguna, agar ada manfaatnya biarpun sedikit cuma. Terima kasih teman di atas kepercayaan yang diberikan dalam sebuah perkongsian. Terima kasih…

Fitrah cinta untuk semua, justeru itu sebarkanlah keindahan rasa itu seadanya!!!

Tuesday, August 28, 2012

Cerita di halaman desa..

Alhamdulillah.. Seminggu dapat bercuti di kampung halaman. Sedikit terubat kerinduan di jiwa pada warga di halaman desa. Pulang menyambut hari lebaran selepas enam bulan berada di perantauan. Pulang mencari ketenangan dan kedamaian.

Perjalanan yang jauh melibatkan jalan darat, air dan udara. Lengkap. Semuanya dapat dirasai berjam-jam berada di air dan di udara. Itulah yang terpaksa dilalui untuk tiba di kampung halaman, tanah kenangan dalam sejarah kehidupan.

Seminggu berhari raya. Sekalipun ia dirasakan tidak mencukupi. Tetapi insan ini bersyukur kerana dapat pulang menjenguk insan-insan tercinta. Lega rasanya saat dapat bertentang mata dengan mereka yang sentiasa dirindui kehadiran di sisi.

Selamat Hari Raya Aidilfitri. Ya, hari raya biarpun tidak banyak aktiviti sepanjang kepulangan pada kali ini namun masih ada pertemuan yang menyemarakkan ukhuwah insan ini. Hari raya pertama, hanya sempat berhari raya dengan sanak saudara. Tidak berkesempatan bersama-sama dengan sahabat-sahabat seperjuangan suatu ketika pada sebuah pertemuan yang pada setiap kalinya pasti menyubur ukhuwah.


Saat mata bertentangan, saat tangan bersalaman, saat erat berpelukan, diharap ada kemaafan buat insan ini jika terdapat khilaf sepanjang pertemuan. Walaupun seketika bersama, sekejap kita dapat berjumpa dan bersua muka, namun ianya amat bermakna. Sekalipun dengan yang tidak sempat bersama, insan ini juga memohon kemaafan atas segala kesilapan dan kekurangan sepanjang ikatan. Mungkin tiada jodoh untuk kita bertemu pada percutian dan perayaan kali ini.


Jika zaman kanak-kanak dahulu, seronok dapat duit raya. Kali ini pula seronok bagi duit raya. Ya, berkongsi sedikit daripada timbunan rezeki kurniaan ilahi ini dengan keluarga, sanak-saudara, adik-adik dan budak-budak di kampung halaman. Biarpun tidak banyak nilainya tetapi cukuplah sekadar menceriakan suasana hari lebaran pada tahun ini. Mudah-mudahan terus dikurniakan  rezeki dan keberkatan oleh Allah s.w.t.

Jalan-jalan di Aidilfitri kali ini. Paling jauh pun sampai di Jerteh, Terengganu. Sempadan antara negeri Kelantan dan Terengganu. Jalan-jalan mengikut sahabat-sahabat berhari raya. Banyaknya berhari raya dan beristirehat di rumah sahaja. Melayan karenah anak-anak saudara yang masih kecil lagi.

Saat ini, insan ini kembali menjadi sang perantau. Berat rasanya hati ini untuk meninggalkan tanah halaman yang penuh kenangan. Biarpun kini terpaksa berjauhan dengan keluarga merentas Laut China Selatan, namun demi secicip rezeki maka segala keberatan rasa terpaksa diketepikan. Perjuangan mesti diteruskan demi sebuah kehidupan.

Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin!!!

Saturday, August 18, 2012

Selamat Menyambut Hari Lebaran...!!!



Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf Zahir & Batin. Sesungguhnya insan ini hanyalah manusia biasa yang tidak terlepas daripada silap dan salah. Ampun dan maaf dipinta. Terima kasih kerana sudi menjadi sahabat insan ini dalam menghadapi perjuangan dalam kehidupan ini. Jazakallahu khoiran jazak. Syukran! Thank you!.

Di laman blog Tinta Ukhuwah ini, insan ini menulis kisah-kisah dan cerita-cerita ukhuwah kita. Seandainya ada bicara yang mengguris rasa, ada tinta yang menghiris luka, ada suara menyindir hina, ada nada yang mengejut lena, dan jika ada janji belum dikota, insan ini menyusun sepuluh jari memohon jutaan kemaafan daripada semua walau di mana pun kalian berada. Sekadar apa yang termampu, digarapkan oleh insan ini bagi memenuhi ruangan laman Tinta Ukhuwah ini.

"Salam Aidilfitri 1433H"
"Taqabbalallahu minna wa minkum.."
~Admin~

Wednesday, August 15, 2012

Jom Balik Kampung!!!



Sepinya malam ini. Rasa sunyi sekali. Detik-detik sebegini dirasakan keterlambatannya sahaja. Maklumlah bersendirian ketika ini saat semua teman-teman serumah sewa di sini telah pun berangkat untuk pulang ke kampung halaman masing-masing.

Insan ini masih lagi di sini. Kerana masih perlu meneruskan tugas di sini. Masih belum cuti biarpun hati ini sudah pun bercuti. Menerawang jauh ke halaman bonda seminggu ini. Menanti saat detik waktunya untuk terbang ke tanah semenanjung sana. Seterusnya terbang ke negeri tercinta. Kelantan Darul Naim.

Sabarlah wahai hati. Cuba menenangkan diri dalam kesepian ini. Dalam kalutan rindu di sanubari. Hati tidak keruan lagi. Amat terasa sunyi. Biarpun bukan kali pertama merasai pengalaman sebegini. Namun ini kali pertama berada jauh merentas lautan biru. Jadi perasaan itu juga pasti berbeza dengan yang sebelum ini.

Enam bulan di sini. Kaki ini tidak menjejak pulang lagi ke halaman bonda semenjak dihantar ke bumi kenyalang ini. Lamanya di perantauan ini buat pertama kali di sini sekalipun tidak selama sahabat-sahabat di bumi anbiya’ sana. Berbeza kerana di sini hanya dipisahkan Laut China Selatan sedangkan teman-teman di sana merentas pelbagai negara. Jarak mereka jauh sedangkan insan ini dekat. Seandainya alasan mereka adalah kos perjalanan yang beribu-ribu menyebabkan mereka sering terpaksa menyimpan hasrat untuk merealisasikan impian pulang menyambut lebaran di kampung halaman tetapi bagi insan ini bukannya kos sebaliknya kemahuan dan kehendak sama ada untuk pulang ke kampung halaman atau pun tidak.

Keterikatan dengan kontrak bagi kursus perguruan menyebabkan insan ini sering tidak boleh pulang ke halaman bonda saat cuti sekolah menjelma kerana perlu mengikuti kursus dalam cuti di sini. Mungkin merealisasikan impian pulang ke kampung hanya pada cuti raya Aidilfitri dan cuti pada akhir tahun ini sahaja untuk pulang bercuti di kampung halaman. Selebihnya perlu berada di pusat pengajian selama tempoh 18 bulan kontrak ini. Bila lagi jika bukan pada hari raya Aidilfitri ini untuk mengubati kerinduan di hati ini.

Bukan alasan untuk tidak cuba menyambut hari raya di perantauan tetapi insan ini mempunyai peluang dan ruang untuk pulang seketika menjenguk ayahbonda dan sanak saudara serta teman-teman di kampung halaman setelah berbulan-bulan berkhidmat di sini. Maka seharusnya peluang itu direbut dengan sebaik-baiknya.

Insya-Allah akan terbang ke tanah semenanjung pada hari Jumaat ini bersamaan 17 Ogos 2012. Pulang untuk berhari raya di kampung halaman. Doakanlah perjalanan insan ini dan sahabat-sahabat semuanya mudah-mudahan selamat sampai ke destinasi nanti. Tunggulah kepulangan kami. Insya-Allah kita bertemu nanti di hari lebaran pada tahun ini. Jom balik kampung!!!

Salam dari perantauan. Selamat Hari Raya. Maaf Zahir dan Batin…

Friday, August 10, 2012

Nasihat buat hati..


Alhamdulillah.. Hasil curahan minda, menyusun bicara kata, mencoret kalimah bertinta. Buat perkongsian kepada kita semua.. Mudah-mudahan memberi manfaat kepada diri kita semua.. Bacalah karya olahan bahasa dari insan ini yang digarapkan untuk mendidik jiwa ke arah yang lebih baik.. Maka insan ini menamakannya sebagai "Nasihat buat hati.." Karya ini bukanlah Hak Cipta Terpelihara, tetapi sekadar perkongsian ilmu yang sedikit kerana semuanya adalah kurniaan Allah s.w.t.. Mudah-mudahan Allah s.w.t memberi kekuatan kepada insan ini untuk terus menulis sesuatu yang lain pula selepas ini dengan kudrat minda yang ada.. Hakikatnya semua ini datangnya daripada Allah s.w.t..

“Bermulanya sebuah pertemuan. Takdir-Nya mengeratkan ikatan. Semakin terikat peranan. Inilah sebuah anugerah. Di dalamnya tersimpan jutaan hikmah. Dari ukhuwah yang biasa-biasa menjadi semakin berharga..”

“Belajarlah dari ikan di lautan, biarpun dikelilingi oleh masinnya air laut namun ianya tidak masin..” :-} Janganlah kita terpengaruh dengan mana-mana anasir yang boleh merosakkan kita, sebaliknya jagalah diri kita agar mampu menghargai nilai istimewa yang ada pada diri kita sebagai makhluk-Nya. Seperti ikan di lautan, sekiranya ia terpengaruh oleh masinnya air laut pasti kita tidak mampu membezakan rasa ikan dengan rasa air laut. Justeru, di mana lagi istimewanya ikan tersebut? Renung-renungkanlah..

“Kadang-kadang kita lebih cepat menghukum sesuatu kejadian daripada memerhati hikmah lain yang ada. Seperti marahnya kita apabila seekor burung di angkasa melepaskan hajatnya lalu menimpa kita. Saat itu, kita lupa bersyukur kepada Allah yang mencipta burung itu sebagai makhluk yang kecil. Kita beruntung kerana Allah tidak mencipta seekor gajah yang boleh terbang biarpun Dia Maha Pencipta. Bayangkan jika gajah itu terbang dan melepaskan hajatnya lalu menimpa kita, sudah tentu haru-biru seluruh alam.” :-} Nilailah setiap sesuatu dengan pandangan mata hati, pasti akan tersingkap hikmahnya. Jangan cepat menghukum ciptaan Allah kerana setiap ciptaan-Nya tidak sia-sia, pasti ada peranan dan hikmahnya.

Jangan tunggu menjadi “SUPERMAN” dulu baru rasa boleh membantu. Usah nanti menjadi “JUTAWAN” dulu, baru rasa boleh memberi. Sebaliknya bantulah mereka yang memerlukan sekadar termampu dengan kudrat yang ada. Jadilah diri sendiri biarpun hanya mampu memberikan sekuntum senyuman..:-) :-} Allah tidak menilai pada kuatnya tenaga, bukan juga pada banyaknya harta, tetapi DIA menilai pada keikhlasan kita. Jangan menanti impian itu terjadi baru akan membantu dan memberi pada saat ini, kerana perlu dibimbangi pada saat itu, hati kita mungkin tidak seikhlas saat ini. Rebutlah peluang yang ada ketika ini walau siapa pun kita ketika ini..

“Tiada hidupan dalam Laut Mati kerana airnya tidak mengalir keluar. Sebaliknya laut-laut lain dipenuhi hidupan kerana airnya bebas mengalir keluar. Sifat Laut Mati itu seolah-olah tidak memberi, begitulah sebaliknya.” :-} MEMBERI: Satu Permulaan Untuk Kehidupan. Memberi bererti mengurangkan apa yang kita miliki pada luaran. Tapi memberi akan menambahkan kekayaan dalaman kita. Orang yang memberi adalah seorang yang kaya. Jika dia memberi dengan harta, dia kaya harta. Jika dengan rasa, dia kaya rasa. Jika dengan ilmu, dia kaya ilmu. Memberi untuk orang lain merasa dan orang yang memberi turut merasa. Ya, merasa kepuasan, menikmati ketenangan dan beroleh ganjaran. Memberilah untuk memiliki hati yang hidup. Jangan jadi seperti Laut Mati yang sepi tanpa hidupan kerana airnya terlalu masin. Pepatah kita mengatakan: Jangan jadi “Tahi Hidung Masin”. Bakhil dan kedekut untuk MEMBERI..

“Hebatnya pada ciptaan seekor LABAH-LABAH. Biarpun kecil namun tetap kuat. Mampu membina rumahnya dengan apa yang dimilikinya tanpa bantuan sesiapa. Ia sendiri menjadi arkitek dan buruh binaan dengan berbekalkan ilham Ilahi. Rumahnya mampu disiapkan tidak sampai pun satu hari.” :-} Allah mengajak kita berfikir tentang ciptaan-Nya. Sekuat mana pun tenaga kita tetap tidak mampu menyediakan kemudahan sendiri dengan apa yang ada pada diri kita. Ya, kita tetap memerlukan pertolongan insan lain sebagai arkitek dan buruh binaan serta bahan-bahan dari sumber alam yang lain. Kita juga mengambil masa yang lama untuk menyiapkannya. Justeru, agar tidak takabbur, lihatlah betapa lemahnya kita yang sering bergantung kepada sesama makhluk. Dan ingatlah, sebaik-baik tempat bergantung itu hanyalah kebergantungan kita kepada Allah s.w.t., dalam semua aspek kehidupan kita..

“Apa khabar IMANmu saat ini? Bagaimana pula keadaan HATImu ketika ini? Mudah-mudahan Allah s.w.t. sentiasa memelihara dan memulihara iman dan hati kita dengan cahaya taufiq dan hidayah-Nya..” :-} Seringkali kita bertanya khabar orang lain. Tapi kita kadang-kadang lupa bertanya khabar iman dan hati kita. Sebenarnya itulah yang paling dekat dengan kita. Itulah juga yang paling berharga buat kita. Ya, binasa iman, tiada guna lagi menjadi insan. Bahkan lebih teruk daripada haiwan. Hati yang ‘rosak’ atau ‘sakit’ akan menyebabkan amal ibadat tidak bernilai di sisi-Nya. Jagalah dan peliharalah iman dan hati kita dengan ILMU dan AMAL. Sekadar muhasabah bersama agar sentiasa berusaha meningkatkan ilmu dan amal dalam kehidupan kita..

“Diari silam dalam lipatan. Diari baru menanti catatan. Kita ini musafir di perjalanan. Mencari bekalan untuk dibawa pulang kepada TUHAN.. Jika diari silam penuh noda-noda hitam, bertaubat dan kembalilah ke jalan kebenaran. Catatlah diari baru dengan petunjuk iman. Jauhi segala dosa dan noda. Pertingkatkan amalan dan perteguhkan iman sebelum kematian menjemput datang. Rebutlah peluang yang masih diberi kepada kita dan teruskanlah misi kita mencari keredhaan TUHAN..”

“Sebesar harapan jangan sekadar diimpi rasa di hati. Juga jangan hanya berserah pada takdir-Nya semata. Iringi ianya dengan usaha dan doa. Ya, Doa itu senjata orang Mukmin. Jangan dipandang remeh akan doa biarpun hanya untuk perkara biasa.” :-} DOA bukan untuk memberitahu kepada Allah apa yang kita inginkan kerana Dia sedia mengetahui apa yang kita inginkan sekalipun kita tidak meminta kepada-Nya. Tapi doa itu tanda pengabdian kita kepada-Nya. Seringkali kita ingin doa kita dimakbulkan secepatnya, tapi Allah berhak menangguhkan permintaan kita ke satu masa atau menolaknya. Justeru, betapa ruginya kita jika kita kurang berdoa saat ini kerana jika Allah menangguhkan untuk memakbulkannya ke satu masa pasti kita akan merasakan betapa ruginya kita saat itu. Oleh itu, perbanyakkan berdoa kepada-Nya biarpun hanya pada sekecil-kecil harapan dan impian kita tanpa rasa jemu dan putus asa.

“Jangan disangka apabila telah tamat belajar di sekolah nanti, diri telah bebas dari status sebagai seorang pelajar kerana tempoh belajar itu adalah sepanjang hayat kita..” :-} Selama-lamanya kita adalah seorang pelajar. Ya, pelajar dalam sebuah SEKOLAH KEHIDUPAN. Seperti juga di sekolah, dalam Sekolah Kehidupan, kita terikat dengan peraturan yang telah ditetapkan oleh pentadbirnya iaitu Allah s.w.t. untuk menjadi seorang pelajar yang berjaya, kita mesti mematuhi setiap peraturan-Nya. Sebaliknya jika kita melanggarnya, kita akan menerima hukuman-Nya. Selamat meneruskan tugas sebagai seorang pelajar sekolah dan juga sebagai seorang pelajar dalam Sekolah Kehidupan ini. Belajar rajin-rajin. Semoga berjaya.

“Apabila diminta memberi nasihat, maka berilah sekadar yang kita mampu. Kurang ilmu bukan sebab untuk tidak menasihati biarpun sekadar biasa-biasa sahaja. Jangan pula sesekali berkata: ‘Aku tidak layak!’ atau ‘Aku belum layak!’” :-} Ya, biasanya kita berasa tidak layak kerana ilmu belum cukup lagi. Soalnya sampai bila? Sedangkan semakin kita belajar, semakin banyak yang kita tidak tahu. Jangan biarkan syaitan melompat gembira kerana jika kita tidak menasihati nescaya akan tersebarnya kemungkaran. Justeru, berilah nasihat kerana agama itu nasihat. Jangan malu-malu dalam memberi dan meminta nasihat. Lumrah insan yang tidak sempurna, sentiasa perlukan nasihat sebagai peringatan dan pengisian jiwa. Sebarkan dan mintalah nasihat kerana ianya menambah kekuatan iman dan keyakinan kita. Nasihat bagi hati yang sering membuat alasan untuk memberi nasihat pada umat ini dan sedikit pula meminta nasihat daripada orang lain.

“Sebelum lena dibuai mimpi, muhasabah diri amalan sehari, jika ada khilaf terisi, istighfarlah untuk diri, dengan azam kita iringi, agar tidak berulang lagi..” ;-(

“HATI yang tenang adalah hati yang sentiasa mengingati Allah dalam semua urusan kehidupan. Tiada nikmat yang terindah dalam hidup ini melainkan memiliki hati yang TENANG..” :-} Seperti ikan memerlukan air, begitulah kita memerlukan zikir. Mengingati Allah mampu menguatkan jiwa dan membanteras segala kemungkaran dengan benteng keimanan. Ya, tanpa zikrullah Hati kita telah Mati biarpun diri kita masih Hidup. Justeru, perbanyakkan usaha mengingati Allah dengan kalimah-kalimah zikir. Agar Hati kita Hidup ketika kita masih Hidup. Hanya dengan Hati yang Hidup kita dapat memiliki Akal yang Sejahtera.

“Fitrah manusia suka pada HIBURAN. Mencari ketenangan dan melepaskan tekanan. Ramai manusia seakan tidak percaya. Ketenangan hanya mampu dimiliki bila hati dekat dengan Allah. Namun ramai yang memilih hiburan yang menjauhkan hati dari  mengingati-Nya. Ketenangan yang dicari terasa jauh sekali. Padahal  ia sangat dekat dalam diri. Pada HATI yang mengingati-Nya.” :-} Fitrah sudah terbalik. Manusia suka Menyalak, anjing pula yang Berzikir. Ya, ramai yang tersesat jauh. Ketenangan yang dicari tidak juga ditemui. Justeru, berhiburlah dengan AL-QURAN kerana ianya penyembuh bagi hati. Hanya di situ ketenangan yang dicari akan ditemui. Ya, Al-Quran adalah Hiburan Terbaik bagi setiap jiwa. Sudahkah Al-Quran dibaca? Berbicaralah dan berhiburlah dengan Allah melalui Kalam-Nya. Itulah Ayat-Ayat Cinta Terindah yang mampu menghibur dan mengubat hati yang lara. Kembalilah kepada tugas kita untuk Berzikir, biarlah anjing terus Menyalak kerana itulah FITRAH makhluk ciptaan-Nya. Kembalilah kepada fitrah kita..

“KEMATIAN bukan untuk ditakuti tapi untuk dihadapi dan diinsafi. Setiap jiwa yang bernyawa pasti akan merasainya. Masanya akan tiba jua. Ia datang tanpa undangan. Bila tiba waktunya, ia pasti datang menjemput kita untuk dibawa bertemu TUHAN yang Maha Pencipta..” :-} MATI adalah satu permulaan kehidupan. Ya, mati untuk hidup yang tidak mati-mati lagi. Darinya ada peringatan agar kita mempersiapkan diri dan bersedia menghadapinya. Muhasabah amalan kita, apa yang akan kita bawa untuk menghadap-Nya. Semalam telah berlalu, esok belum tentu milik kita, hargailah saat ini kerana ia untuk kita. Justeru, jadilah seorang Hamba yang taat kepada Tuhannya.. Sudahkah kita bersedia untuk ke sana?..

“Kasihilah makhluk yang ada di Bumi, pasti kamu akan dikasihi makhluk yang ada di Langit..” :-} Manusia tidak mampu hidup dengan aman dan damai tanpa adanya Kasih Sayang. Ianya hadir dalam naluri Hati yang paling lembut. Kelembutan Hati inilah yang menyantuni suasana dalam kehidupan. Indahnya terasa bila ia menghiasi sesebuah ikatan. Namun untuk dikasihi, kita mesti mengasihi. Begitulah maksud sabda Nabi Muhammad s.a.w.: “Sesiapa yang tidak mengasihi, dia tidak akan dikasihi.” Sebarkanlah KASIH SAYANG kita kepada sesama makhluk agar melaluinya kita akan merasai Halawatul Iman. Jom kita Berkasih Sayang!!! Ianya satu tuntutan bagi Kesempurnaan Iman.

“Lebih baik sedikit asalkan ISTIQOMAH. Memberi adalah sebuah Perkongsian.” :-} MEMBERI terapi bagi hati kerana ia melahirkan simpati. Berilah apa yang termampu dengan apa yang ada. Memberi tanpa mengharap untuk dibalas, pasti tidak akan menjemukan kita. Sebaliknya jika kita mengharap ianya dibalas, pasti kita akan cepat berputus asa. Ya, jiwa kita akan sakit jika mengharap balasan daripada orang yang diberi kerana ramai orang tidak tahu menghargai orang lain. Berilah sebagai tanda SYUKUR kita atas kurniaan nikmat-nikmatNya kepada kita. Indahnya hidup kerana adanya Perkongsian. Jika tidak berharta, berkongsilah rasa hati yang diberi percuma kepada kita kerana ianya lebih bernilai daripada harta..

“Setiap Musibah yang melanda pasti ada HIKMAHnya. Paling tidak pun, ia akan mendekatkan diri kita kepada-Nya. Begitulah manusia dengan sifatnya yang pelupa. Saat senang, Allah sering dilupa. Bila musibah melanda, mulalah hati mencari-Nya..” :-} Hidup ini adalah Ujian yang tiada berkesudahan sehinggalah Mati menjemput datang. Itulah tanda Allah menyayangi hamba-hamba-Nya. Ujian-ujian inilah yang menentukan siapa kita di sisi-Nya. Jangan berputus asa kerana Rahmat-Nya sentiasa bersama hamba-hamba-Nya yang SABAR. Bersabarlah biarpun musibah itu pahit untuk ditelan. Bersyukurlah kerana Allah masih berbicara dengan kita. Ya, MUSIBAH adalah mesej daripada Allah agar kita kembali kepada-Nya..

“Petang akan menjelang senja, begitu juga usia kita, dari lahir ke saat ketika, mati pasti datang jua, menjemput setiap manusia, untuk bertemu Pencipta-Nya.” :-)

“Kecilnya berperanan besar dalam mendidik insan jika manusia memerhati dan mengkaji. Hidupnya mengajar kita erti Usaha dan Ukhuwah Sejati. Hebatnya makhluk ciptaan Allah ini. Jauh berjalan beribu batu dalam dunianya. Penuh kesabaran dan ketabahan. Itulah nilai yang ada pada seekor SEMUT.” :-} Ya, lihatlah semut dalam dunianya. Saat memanjat dinding yang tinggi, pasti terjatuh berulang kali apabila ditiup angin. Tidak pernah jemu dan berputus asa. Diusahanya hingga tiba di puncaknya. Bila bertemu saudaranya pasti disapanya. Bila diberi rezeki dikongsi bersama. Yang berat sama dipikul, yang ringan diangkat sendiri. Itulah nilai USAHA dan UKHUWAH pada seekor semut untuk kita teladani..

“Secantik BUNGA MAWAR semerbak harumannya. Tetap dilindungi tajamnya DURI pada dahannya dari dirosakkan oleh binatang dan serangga..” :-} Begitulah kita MANUSIA, sebaik-baik makhluk-Nya di dunia ini, dikurniakan HATI dan AKAL untuk menilai kebaikan dan keburukan. Justeru, pelihara diri kita dengan Senjata Pelindung kita itu daripada dirosakkan oleh syaitan dan nafsu amarah. Hulurkan Senjata Pelindung itu ketika berada dalam situasi yang mampu menggoyah keimanan kita kepada Allah s.w.t. Gunalah senjata yang dikurniakan kepada kita bagi memelihara Kemanisan Iman dalam diri kita. Semoga IMAN kita terus disulami dengan rasa Ketaqwaan kepada-Nya.. :-}

“Padanya ada baik dan buruk, terbang bebas di udara, namun lebih suka pada kekotoran dan kekejian. Itulah serangga kecil digelar LALAT. Pada sayap-sayapnya memiliki RACUN dan PENAWAR..” :-} Begitulah DUNIA ini, ada Racun dan Penawarnya. Tapi ramai manusia yang memilih untuk menelan racun dunia. Segala yang menyakiti jiwa manusia itu adalah racun dunia, manakala segala yang menyihatkan jiwa manusia itulah penawarnya. Jadi, awasi diri kita dari segala jenis racun dunia yang merosakkan jiwa dan ambillah penawar-penawarnya sebagai ubat untuk mengubati segala kesakitan kita jika tertelan racun dunia. Ingat, jangan ditelan racun yang sama berulang kali..

“Biarpun warna-warni cantiknya, indah umpama pelangi, menghiasi penampilan dirinya, namun tidak mampu terbang ke angkasa, begitulah nasib si BURUNG MERAK, bangga dengan kecantikan bulunya, namun terpenjara di tanah semata.” :-} Begitu juga MANUSIA, jika silap memilih gaya penampilannya, biarpun cantik di pandangan mata, tapi jika melanggar syariat agama, atau menimbulkan fitnah manusia, akan dibenci makhluk dunia, jua dimurkai Pencipta-Nya. Ya, ramai manusia terpenjara dalam fesyen musuh agama, tidak menjaga kecantikan hakiki yang hanya wujud dalam keindahan akhlak diri. Berhati-hatilah dalam memilih penampilan diri agar sesuai dengan syariat-Nya.. (“,)v..

“Tersedar dari MATI kecil, diri masih bernafas di bumi-Nya, SYUKUR masih berpeluang melihat alam ini dan masih dapat bersama teman-teman, sebelum jiwa merasai sebenar-benar MATI..”

“Adakalanya gelora samudera di lautan biru, memberi tenaga pada redupan awan, membuahkan titis-titis hujan, sebagai RAHMAT untuk sekalian alam.” Begitulah HATI manusia, seringkali ditimpa gelora yang menimbulkan sebak di dada, mencurah rasa melalui titisan air mata. Meredakan gelora perasaan dalam menggapai REDHA. Lumrah hati manusia, ada ketikanya perlu selembut air. Menangis melepaskan bebanan gelora rasa. Ya, kita perlu banyak menangis dari ketawa. Insafi segala kelemahan kita. Dari rasa TAQWA kepada-Nya, mampu mengalirkan air mata berharga yang bisa memadamkan api neraka. Ianya mampu menyubur rasa kehambaan kita kepada-Nya..

“Secantik butiran buah DELIMA, dalam sebiji buahnya, ada berbiji-biji butirannya, tersimpan utuh dalam karungnya. Lazat rasanya adakala menjadi ubat..” :-} Begitulah diibarat hebatnya sebuah AL-QURAN, di dalamnya ada pelbagai MUTIARA ILMU, tersimpan kukuh dalam mashafnya. Mukjizatnya menjadi ubat yang paling mujarab. Ya, Al-Quran bukan untuk disimpan di dalam almari, tapi ianya perlu dibaca, dipelajari dan dikaji untuk kita hayati dan amalkan dalam semua urusan kehidupan kita. Justeru, saat Mukjizat Agung ini kian dilupa, marilah kita terus akrab menjadi temannya agar ia juga sudi menemani kita dengan cahaya dan syafaatnya di akhirat sana..

“Rasanya meresap ke seluruh raut muka, merembes segala cecair di ruang rongga dan pantas mengairi ruang mata. Itulah kuasa spesis LADA..” :-} Begitulah lidah kita, jika tidak dikawal, kata-katanya bisa merobek dan menikam hati pendengarnya. Pedihnya boleh mengundang air mata. Jadi, peliharalah lidah kita daripada menutur palitan keji atau melempar fitnah melata. Peliharalah jiwa orang lain agar jiwa kita turut dipelihara. Ya, terlajak tinta boleh dipadam, terlajak kata buruk padahnya. Namun kuasa kata-kata juga adakalanya mampu membina jiwa. Ya, kata-kata yang sering menjentik lembutan rasa dan menguatkan hati kita. Juga kata-kata yang mampu mendekatkan diri kita kepada Allah s.w.t..

“Lampu tidak akan menyala tanpa tenaga elektrik.  Kereta tidak mampu bergerak jika tidak diisi minyak. Tanpa elektrik dan minyak, LAMPU dan KERETA itu hanya tinggal bentuk dan nama..” :-} Samalah dengan UKHUWAH kita.. Tiada maknanya tanpa ingatan dan peranan. Ingatan umpama elektrik yang akan terus menghidupkan ukhuwah di hati kita manakala peranan umpama minyak bagi ukhuwah kita yang perlu sentiasa diisi untuk terus menghidupkan suasana dalam berukhuwah. Ya, ianya soal peranan kita bukannya hak yang tidak berkesudahan. INGATAN dan PERANAN yang berterusanlah yang akan terus mewarnai sesebuah ikatan walau apa pun yang terjadi. Tanpanya ukhuwah hanya tinggal kenangan dan nama..

“Kuat kudrat muda kita hanya sementara, ianya pasti akan hilang dimamah usia, saat kuat kudrat ini dimiliki kita, beramallah untuk bekalan kita dengan sebanyaknya, kerana saat lemah melanda, pasti kita sukar melakukannya. Jadi, ketika ianya masih ada, hargailah kudrat kuat kita dengan sebaik-baiknya..”

“Ketika langit cerah, sinarnya menghiasi alam. Ketika langit dilitupi mendungnya awan, kilauannya pasti hilang dan semakin berkurangan. Itulah cahaya BINTANG-BINTANG yang bergemerlapan..” :-} Lumrahlah dengan insan yang bergelar sahabat, teman, rakan, kawan dan taulan. Ramainya yang hadir saat kita ceria dan gembira, namun saat kita bersedih dan berduka, tidak semua yang akan datang menghibur lara. Kadang-kadang tiada langsung di sisi kita. Sahabat masa gembira senang dicari, tapi sahabat masa berduka sangat ramai yang lari. Sukarnya memiliki SAHABAT SEJATI samalah seperti sukarnya melihat bintang pada mendungnya awan. Yakni sahabat yang akan terus setia menemani kita dalam apa jua situasi..

“Bertuahnya kita kerana Allah mencipta alam ini dengan penuh warna-warni. Jika hanya dicipta-Nya satu warna pasti kita akan buta menilai makna KEINDAHAN..” :-} Bersyukurlah kita kepada-Nya yang telah mencipta manusia dengan pelbagai gelagat dan ragam, kerana ianya sesuatu yang menghiburkan dalam sesebuah ikatan dan membuatkan kita mengenal erti keindahan dalam sesebuah PERSAHABATAN. Justeru, hargailah kelebihan teman-teman kita dan hormatilah kekurangan mereka. Kelebihan dan kekurangan sesama kitalah yang mewarna-warnikan ikatan UKHUWAH kita. Jika manusia dicipta dengan gelagat dan ragam yang sama, pasti ia akan menjemukan kita. Bersyukurlah dengan anugerah-Nya kepada kita ini..

“Kita ibarat penumpang sebuah bas yang dalam satu perjalanan menuju pelbagai destinasi. Sebelum tiba ke destinasi terakhir, penumpangnya silih berganti. Akan naik ke dalam bas dan turun pula bila telah tiba ke destinasinya..” :-} Begitulah kita manusia, silih berganti menghuni dunia ini. Bila tiba masanya akan berlalu pergi meninggalkan dunia ini. Seperti penumpang bas, tidak semestinya yang naik dahulu akan turun dahulu. Begitulah kita manusia, ada jangka UMURnya yang telah ditentukan oleh-Nya. Tidak semestinya yang lahir ke dunia dahulu akan MATI dahulu. Kerana realitinya bukan begitu. Tidak kira tua atau muda jika telah tiba AJALnya, pasti akan pergi jua..

“Seperti KEPALA KERETA API, di belakangnya terdapat gerabak-gerabak yang penuh dengan manusia dan harta. Kepalanya mesti bergerak mengikut landasan. Sekiranya tergelincir daripadanya, pasti buruk padahnya..” :-} Begitulah kita sebagai PEMIMPIN, banyak beban amanah di bawah jagaan kita. Kita mesti memandunya mengikut syariat-Nya. Jika tergelincir daripada apa yang telah ditetapkan-Nya itu, pasti akan menerima akibat-Nya. Ya, pemimpinlah yang menentukan hala tuju segala yang dipimpinnya. Justeru, jadilah seorang pemimpin yang taat kepada Allah s.w.t. Menjaga setiap amanah kepimpinannya dengan mengikut peraturan-Nya. Ya, kita semua pemimpin yang akan disoal tentang KEPIMPINAN kita..

 “Biarpun sedikit asalkan kita Qana’ah, daripada banyak yang Tamak. Sedikit yang Qana’ah adalah rasa cukup bagai beroleh seisi dunia dengan mensyukuri nikmat-Nya. Namun banyak yang Tamak adalah rasa belum puas kepada seisi dunia lantaran tidak bersyukur kepada-Nya. Didiklah hati kita dengan sifat Qana’ah agar beroleh barakah!!!”

“Jangan secantik BULAN, biar sepanas MATAHARI. Jangan seindah PELANGI, biar segelap BAYANG-BAYANG..” :-} Jangan menilai sesuatu dengan mata kasar. Secantik bulan hanya menumpang sinar matahari yang panasnya sering dicari perteduhan. Seindah pelangi hanya seketika berbanding gelapnya bayang-bayang yang sentiasa setia menemani kita. Justeru, jadilah orang yang sehebat matahari yang sentiasa menghiasi orang lain dengan memberi kebaikan kita biarpun kita sering dipinggirkan mereka. Jadilah teman seperti gelapnya bayang-bayang yang sentiasa menemani sahabatnya biarpun kehadirannya sering tidak dihargainya. Ya, sesuatu yang cantik di ruang mata, belum tentu indah di pandangan-Nya dan begitulah sebaliknya. Justeru, nilailah sesuatu dengan mata hati kita melebihi mata kita sendiri..

“Satunya menjadi rebutan, di atas kertas bukan keputusan, kerana realiti menjadi penentuan. Seluruh dunia mengharap kejayaan, menjadi milik team pilihan, pelbagai gelaran menjadi rebutan. Rencah sukan BOLA SEPAK yang melanda alam..” :-} Begitulah manusia dengan kisah bolanya. Fanatiknya hingga mampu mengingati nama-nama ahli team pilihan hati. Ramai manusia yang buta menilai erti KEJAYAAN HAKIKI. Panduan hidup terus diketepi. Al-Quran terus tidak dipeduli. Tidak pula diminati seperti bola sepak tadi. Jauh sekali untuk diamal dan diingati. Yang banyaknya terus tersimpan dalam almari. Bertinta Kalam-Nya terus sepi. Amal ibadah sering diketepi. Ibarat bola itu yang akan dibawa mati. Ya, PIALA AKHIRAT tidak direbuti tapi Piala Dunia yang diburui. Di akhirat nanti pasti menyesal tiada erti, bila jasad mula dimamah api..

“Sejijik beluncas bisa berubah menjadi secantik Rama-rama, sejelik ulat mampu berubah menjadi seliar lalat. Kedua-duanya berasal dari daratan juga mampu terbang di udara..” :-} Jangan mudah menafsir sesuatu dengan hanya melihat kepada keburukan dan kebaikannya. Kadang-kadang yang asalnya buruk bagi kita adalah baik untuk kita. Sedangkan yang asalnya baik bagi kita adalah buruk untuk kita. Jangan remehkan kekurangan diri sendiri sedangkan ianya baik untuk kita atau ianya baik kepada orang lain. Jangan agungkan kelebihan diri sendiri biarpun ia baik untuk kita tapi kadang-kadang buruk bagi orang lain. Jadi, insafi diri kita kerana setiap kekurangan atau kelebihan itu kadang-kadang ada baik dan buruknya untuk kita..

“Sepanas SETERIKA adalah untuk menggosok pakaian, bukannya untuk menggoreng telur..” :-} Setiap sesuatu ada peranannya. Biarpun pada pertimbangan akal, ianya dirasakan boleh tapi adakalanya ia menyalahi lazimnya. Ya, begitu juga dengan kita dalam hidup bersyariat ini. Sesuatu yang pada pertimbangan akal, ianya dirasakan boleh tapi adakalanya pada pertimbangan syarak, ianya tidak boleh kerana ianya di luar kelaziman kita atau boleh mendatangkan mudharat kepada kita. Sesungguhnya Allah lebih Mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-hamba-Nya dalam setiap suruhan dan larangan-Nya. Justeru, ikutlah petunjuk iman, bukannya petunjuk akal dan nafsu yang membabi buta dalam setiap urusan kehidupan kita..

“Deruan ombak pantai, menggamit rasa damai, dari gemersik desirannya, mampu merehatkan minda, merenung agung ciptaan-Nya, terbentang luas di pandangan mata, menjadi terapi bagi jiwa, sejenak berfikir kebesaran-Nya, mencipta alam dengan kehidupan, bertemankan daratan dan lautan..”

“Lazat dimakan, enak rasanya, lemak manisnya menjadi kegemaran, diminati untuk dinikmati, nikmatnya merangsang lisan hatta merembes air liur insan, begitulah lazatnya rasa coklat..” :-} Begitulah kita manusia, alangkah manisnya hidup ini jika kita dapat merasai nikmat ibadat selazat coklat. Pasti ianya diimpi dan diingini oleh kita semua. Ibadat yang lazat, manisnya menusuk sukma, melahirkan kedamaian rasa, menghayati ketenangan jiwa, kemuncaknya menikmati erti SYUKUR dan REDHA, hingga terserlah rasa hamba, dalam pengabdian diri kepada-Nya. Selamat berQiamullail!!! Carilah keampunan-Nya dalam tulus sujud dan munajat sebagai hamba-Nya..

“Dalam banyaknya anak kunci yang ada, seringkali anak kunci terakhir yang dapat membuka mangga idaman kita..” :-} Begitulah hendaknya kesabaran kita dalam menghadapi kehidupan ini. Kadang-kadang apa yang diimpi tidak seindah realiti. Kejayaan tidak secepat mungkin dimiliki. Jika tidak dapat hari ini, esok mungkin masih ada lagi. Jangan berputus asa kerana mungkin belum tiba masanya lagi. Ya, kesabaran umpama anak kunci terakhir yang mampu menyubur rasa REDHA. Nilai kesabaran adalah ganjaran pahala daripada-Nya. Justeru, bersabarlah dalam setiap kerja usaha kita sebagai hamba-Nya. Kejayaan hakiki adalah apabila mendapat rahmat dan keredhaan-Nya..

“Bercahaya dalam kepekatan malam, berkerlipan riang berterbangan, menarik perhatian mata yang memandang, itulah menariknya si KUNANG-KUNANG, sendiri pun mampu menawan, tambah berseri dalam kawanan..” :-} Begitulah kita manusia, dikurnia kelebihan masing-masing. Mulianya kita kerana ISLAM, ianya umpama cahaya yang menerangi alam. Islam mengajar kita tentang AKHLAK. Cantiknya bila berhias dengan akhlak yang terpuji. Memandu kita ke arah kebaikan. Biar sendirian, Allah tetap di hati. Saat berteman, tercetus keamanan. Bila akhlak mulia menjadi perhiasan diri, pasti akan mampu mempengaruhi jiwa insan-insan yang melihatnya.. (“,)v..

“Mustahil mendapat ikan, jika mata kail tiada umpan..” :-} Begitulah seringkali pada matlamat kita dalam memburu redha Allah s.w.t untuk ke syurga-Nya. Ya, kita memerlukan keredhaan-Nya melebihi segala-galanya. Umpan bagi mendapatkannya adalah ketaatan kita kepada-Nya. Itulah bekalan amal kebajikan kita ketika hidup di dunia ini. Jadi, selama hayat ini, lakukanlah amalan-amalan yang membuatkan Allah s.w.t redha kepada kita. Seperti mata kalil memerlukan umpan, begitu juga kita memerlukan bekalan amal ketaatan dan bekalan terbaik adalah TAUBAT NASUHA. Justeru, iringi hidup kita dengan sentiasa bertaubat kepada-Nya, kerana kita adalah manusia yang sering  membuat dosa..

“Masih ada lagi, biarpun sendirian. Hingga tiba satu saat nanti. Sendirian yang sendiri. Sepi dan sunyi. Tiada lagi yang masih ada lagi seperti saat ini. Itulah masanya bila kita telah MATI..”

“Pokok yang baik berasal dari benih yang baik. Selalu dibajai dan disirami pemiliknya. Agar ia mampu berbuah dan menghasilkan benih yang baik pula..” :-} Kebaikan perlu bermula dari hati yang IKHLAS. Ya, jika hati elok, akan eloklah pekerti. Jika hati rosak, maka akan rosaklah peribadi. Jaga dan didiklah hati agar sentiasa mengingati Ilahi. Jangan biarkan hati mati sebab kurangnya zikir pada Ilahi. Hidupkan hati yang mati dengan banyak mengingati mati. Agar melaluinya hati terus dekat dengan Rabbil Izzati. Menyubur rasa taqwa dalam diri agar jiwa sentiasa berhati-hati dengan hidup ini yang mana halalnya akan dihisab dan haramnya pula akan diazab.. ;-(

“Bersyukurlah biarpun KUMBANG berlalu pergi, namun RAMA-RAMA pula datang sebagai pengganti..” :-} Begitulah dalam hidup ini, seringkali apa yang kita hajati tidak kesampaian, tapi Allah s.w.t tetap memberi kepada kita sesuatu yang lebih baik untuk kita. Ya, kita mesti redha dengan ketentuan-Nya kerana setiap apa yang diberikan kepada kita adalah yang terbaik untuk kita. Jangan hanya memandang dengan pandangan keduniaan, tapi lihatlah dari sudut keakhiratannya kepada kita. Nilailah hikmah setiap ujian agar kita mendapat pengajaran daripadanya. Juga lihatlah sesuatu dari sudut positifnya terlebih dahulu sebelum melihat negatifnya. Kemudian pertimbangkanlah yang mana lebih baik untuk kita..

“Gegar jantung hati bila dilanda kejutan. Deras denyut nadi tergigil belulang. Lemah rasa diri merimas tubuh badan. Tegak bulu roma diusik ketakutan..” :-} Indahnya jika begitu rasa TAQWA kita kepada-Nya. Ya, takut kita pada kemurkaan-Nya yang menjanjikan api neraka. Panasnya berganda menyajikan kepedihan pada yang dibenci-Nya. Rasa TAQWA lahir bila kita dekat dengan-Nya. Juga bila kita yakin pada kekuasaan-Nya. Menyuburkan keimanan dalam diri kita. Sedikit pesanan yang perlu sentiasa adaagar kita tidak terus lalai dan leka daripada matlamat kita sebagai hamba-Nya. Bertaqwalah kita kepada Allah s.w.t.!!! Ya, pesan TAQWA buat kita semua..

“Tidak salah bercinta asalkan tidak bercouple..” :-} Cinta itu fitrah yang lahir dalam diri kita. Justeru, sesiapa sahaja layak bercinta. Ya, bercinta yang bukan bercouple. Dua istilah yang berbeza. Bercouple dalam ikatan yang tidak sah adalah haram di sisi syarak. Bercouple boleh mendekatkan manusia pada kemurkaan-Nya. Justeru, relakah kita menempuh sesebuah ikatan yang dimurkai oleh Allah s.w.t.? Fitrah manusia ingin menyayangi dan disayangi. Ianya bukan sebab untuk menghalalkan apa yang diharamkan oleh Islam. Jadi, perhubungan yang boleh jadi halal, janganlah dimulakan dengan yang haram. Cinta yang indah hanya pada mereka yang menghargai kesucian cinta..

“Bukan berapa banyak yang diterima, tapi berapa banyak kesyukuran kita kepada-Nya..” :-} Mengejar dunia itu satu kepenatan. Bila mendapat sesuatu pasti akan diimpikan sesuatu yang lain pula. Dunia menjanjikan rasa tidak pernah cukup dengannya. Justeru, betapa pentingnya sifat  QANAAH dalam diri.  Ya, apa yang diperolehi disyukuri dan apa yang tidak didapati diredhai. Hakikatnya dunia ini adalah perhiasan semata. Adanya dunia disusuli dengan ujian pengabdian. Oleh itu, jadilah hamba yang bersyukur kepada penciptanya. Jua jadilah hamba yang mengabdikan seluruh hidupnya kepada Allah s.w.t..

.:i TINTA UKHUWAH i:.
        ~al-meheli~

Monday, August 6, 2012

Mengubah yang sering berubah..


Tulislah pasti akan ada yang membaca, biarpun bukan hari ini!
Tulislah sejujurnya, biarkanlah apa yang hendak dikata, sedangkan realitinya sering begitu..

Ayat-ayat ini membuatkan diri ini berusaha untuk terus menulis. Biarpun terkadang semangat  untuk itu sering ada pasang surutnya. Mungkin disebabkan kesibukan terhadap komitmen dewasa ini. Namun laman ini sentiasa juga perlu di ‘update’ walaupun sedikit cuma. Tidak pula mahu ianya sepi tanpa apa-apa. Biarpun sekadar kad-kad ucapan ulangtahun buat ashab insan ini.

Bukannya malas untuk menitipkan sesuatu di laman ini. Tapi setiap kali melewatinya tidak pula memiliki mood untuk menulis. Bergelut dengan kerja yang bertimbun menyebabkan sekadar memandang sepi ke laman tinta ukhuwah ini.

Sesepi ikatan ukhuwah ini layaknya. Ya, Mungkin begitulah gambarannya. Entah tiada apa yang mampu diperkatakan lagi. Hanya mampu menanti dengan sabar bunga-bunga ukhuwah ini berkembang semula. Harum semerbak menghiasi taman persahabatan ini.

Suram. Lama sudah berlaku. Seakan irama tidak berlagu. Tiada apa yang mampu dibuat. Itulah pilihan kita semua. Setakat itu cuma. Seindahnya dalam kenangan, sukar dicipta semula. Bila jauh terus sepi. Sekalipun dekat belum tentu lagi mendekati. Tidak dicipta untuk mencipta. Yang ada hanya membiarkannya sahaja.


Hargailah untuk dihargai.”
Kasihilah untuk dikasihi.”

Tersentuh mendengar cerita seorang teman. Sejak berkenalan sering juga dirinya berkongsi cerita. Cerita-cerita hati yang mengundang seribu satu rasa. Melewati kisahnya yang begitu bersahaja. Kisah ukhuwah yang penuh dengan curahan rasa dari hati nan indah. Bukan kisah cinta tetapi kisah yang sering mendidik rasa kasih sayang dalam jiwa.

Dikurniakan hati yang penyayang sebenarnya adalah untuk disayangi. Begitulah seringkali aturan kehidupan ini kerana orang yang menyayangi pasti disayangi. Itulah yang terkandung dalam salah satu sabda junjungan mulia Nabi Muhammad s.a.w. Dari kelembutan rasa, mampu membina jiwa. Insan memandangnya berbunga harapan yang mampu membenih rasa kasih dan sayang. Telepati rasa yang mengulik jiwa sehingga mampu melembutkan kekerasan hati yang tersimpan di dada. Tersentuh dengan gaya dan cara insan pendidik jiwa.

Ya, dia membina ukhuwah yang cukup indah. Mengisi ruang jiwa, mencurah rasa dan berkongsi setulusnya rasa bahagia. Biarpun terkadang mengundang airmata dan kekesalan rasa namun itulah yang perlu ditempuhinya. Sesekali terselit rasa kecewa namun terus percaya bahawa setiap sesuatu itu pasti ada hikmahnya.

Kata-kata semangat sering mengubah tatkala hati sering berubah!

Saturday, July 21, 2012

Saturday, July 14, 2012

Sekadar pandangan pada pertanyaan..


“Aku rimas laa bro..”
“Aku tidak minta dia hadir dalam hidupku..”

Begitulah luahan seorang teman melalui saluran mesej yang hadir di paparan skrin telefon bimbit insan ini. Rimas dengan seseorang yang hadir dalam hidupnya seolah-olah sedang mengganggu suasana aman dan tenteram sekeping hatinya saat ini. Kasihan juga padanya sehingga terpaksa mengadu pada insan ini. Namun apalah sangat yang dapat dibantu oleh insan yang dijadikan sebagai tempat mengadunya saat ini. Sekadar hanya mampu untuk cuba memahami situasi yang melanda dirinya ketika ini menerusi apa yang diluahkannya dalam untaian SMS tersebut.

Pernahkah seseorang hadir dalam hidup kita dengan menampakkan kebaikan di luar jangkaan kita sedangkan kita tidak mengharapkan apa-apa pun daripadanya? Mungkin pernah bukan. Atau mungkin juga tidak. Ianya berlaku bukan sekali tetapi berterusan biarpun kita seringkali menolaknya. Sekalipun antara kita dengannya tiada apa-apa hubungan yang boleh dianggap sebagai hubungan istimewa. Tentu sekali ianya membuatkan kita rasa kurang selesa dengan tindakannya yang sebegitu kepada kita.

Mungkin itulah yang sedang mengganggu fikiran dan kehidupan teman insan ini pada ketika ini melalui apa yang dikhabarkannya sebelum ini. Susah juga hendak dibalas insan ini terhadap mesej tersebut. Bagaimana harus difikirkan penyelesaiannya? Bukan jawapan yang mampu diberikan kepadanya tetapi sekadar sedikit pandangan dan nasihat sebagai panduan menghadapi situasi yang sedang melanda.

“Hargailah kebaikannya sekadar yang mampu..”
“Menghargai tidak semestinya kita mesti terima dia untuk diri kita. Tapi kita menggelakkan diri dari membuatkan dia rasa terhina..”

Antara isi balasan mesej buat teman kepada insan ini. Ya, hargailah kebaikannya sekadar yang kita mampu. Bersyukurlah kita kerana dia memberikan kebaikannya dan bukannya berbuat jahat kepada kita. Menghargai pemberiannya bukan bermaksud kita mesti terima dia untuk diri kita kerana kita harus memilih untuk itu. Tetapi jangan sesekali kita menghina pemberiannya atau dirinya kerana hanya atas alasan kita tidak suka dia ataupun dia bukan pilihan kita.

Pernahkah kita meletakkan diri kita di tempatnya? Kita tidak akan faham selagi mana kita hanya mahu menjadi diri kita. Yang pastinya, tidak semua orang mampu berbuat baik kepada kita di luar jangkaan kita. Justeru, hargailah kebaikannya itu. Kita tidak tahu bila lagi kita akan berjumpa dengan insan yang baik sepertinya sekalipun masih ramai tapi belum tentu terjamin kebaikan insan-insan itu buat kita. Hakikatnya, mampukah diri kita jadi dia atau jadi seperti dia? Cuba tanya diri kita. Tidak mudah bukan?

“Kamu bertuah bertemu dengan insan seperti dia sedangkan saya belum tentu dapat  apa yang kamu dapat..”
“Biarpun dia pada kamu hanya teman biasa, tapi mungkin di sisi yang lain dia seorang yang istimewa..”

Secebis nasihat buat teman di perjalanan. Ya, kita tidak tahu. Jika kita melihat seseorang dengan pandangan bahawa kita tidak menyukainya. Bererti kita telah manafikan ketulusan dan keikhlasannya. Kita tidak akan nampak bahawa ianya kebaikan tetapi kita akan melihatnya dari sudut yang berlainan yang kebanyakannya dari sudut negatif. Kita rasa rimas, tidak selesa, ingin lari daripadanya dan banyak lagi. Itulah pandangan kita kepada sesuatu yang kita tidak suka. Betul bukan?

Berbeza pula dengan apa yang kita suka. Seandainya insan itu seorang yang kita sukai, kita cintai dan kita senangi, sepastinya senario pandangan kita turut akan berbeza. Sudah tentu ianya pasti. Kita impikan kebaikannya berterusan kepada kita. Sebabnya kita suka. Di situ nampak kita terlalu positif menerima segala kebaikannya walaupun cuma sedikit. Itulah bezanya di sini atas kecenderungan kita menilai kebaikan seseorang berdasarkan siapa dia kepada kita.

Pada kamu insan itu sebagai teman biasa. Tapi kita tidak tahu pandangan orang lain terhadapnya. Dia mungkin dianggap istimewa di mata orang lain. Jadi, jangan sesekali membuatkannya rasa terhina. Biarkanlah dia dengan kebaikannya yang sememangnya kamu mungkin tidak mampu memilikinya dari insan yang kamu sukai dan cintai. Terimalah dengan hati yang terbuka segala kebaikan daripadanya. Seelok-eloknya anggaplah kehadirannya dalam hidupmu merupakan satu kurniaan Allah s.w.t kepadamu.

Kamu bertuah kerana kehadirannya sedangkan saya belum tentu mendapatinya dalam hidup saya. Justeru, fikir-fikirkanlah sebaik-baiknya dalam apa jua tindakan kamu dalam menghadapi situasi yang melanda hidupmu. Biarpun sekadar teman biasa, usah bertindak bersulam hina. Sekalipun dia menganggapmu istimewa bersama jutaan harapan yang terpendam namun tidak pula dia membicarakan dan meluahkan ataupun dia mungkin hanya mahu melihatmu dalam kebahagiaan atau sekadar mengenalimu sebagai teman, kawan, rakan dan taulan.

Terimalah dengan hati terbuka lebih baik daripada membalas hina!!!