Sunday, January 1, 2012

Apa tugas dan perananmu teman?



Bertahun meniti ukhuwah ini. Kita mewarnainya dengan pelbagai ragam dan karenah kita. Hakikatnya perpisahan terjadi jua. Ada yang setia dan ada yang lupa pada ukhuwah ini. Ada yang menghargai dan ada yang hanya biasa-biasa dengan ukhuwah ini. Memandang dengan sebelah mata tanpa pengertian dan tanpa makna. Mungkin hanya setakat itu maksud ukhuwah dalam dirinya. Setakat bila hanya berada di depan mata. Tidak ambil tahu dan tidak pernah kisah apa tugas dan peranan sebenar dirinya dalam ukhuwah yang terjalin.

Menjadi pendengar setia. Itulah tugas dan peranan sebagai seorang teman buat sahabatnya. Mendengar luahan sahabat-sahabat. Ada ketika menjadi amanah yang tersimpan. Atas dasar kepercayaan dan kejujuran. Ada ketika menjadi tempat mengadu rasa hati yang sarat menahan bebanan rasa. Diluah sepenuh rasa melepaskan derita yang terpendam di jiwa.

Dengan siapa lagi jika tidak dengan sahabatnya. Berkongsi rasa meluah bicara. Mungkin kerana selesa dan terbiasa. Keakraban yang mungkin terasa. Kepercayaan mengatasi keberatan rasa. Menanggung rahsia hati nun jauh terpendam di dasarnya. Membuka bicara dan menutur kata. Melepaskan segala kekusutan yang ada. Agar diperhati dan wujud prihatin.

Terkadang menjadi penasihat. Itulah tugas dan peranan seorang teman buat sahabatnya. Agar teman terus gagah melawan rasa. Walaupun pahit menusuk sukma. Jika masih ada manisnya, pasti akan terasa jua akhirnya. Kerana begitu besar kuasa kata-kata. Mampu mendorong kekuatan rasa. Saat lemah menguasai hatinya. Hadir mengubati rasa. Juga mampu mempengaruhi jiwa.

Dari siapa lagi jika bukan dari sahabatnya. Sepatah kata menguatkan jiwa. Sepatah bicara menegur alpa. Biarpun tidak pernah diminta. Ungkapan kata membuah ceria. Luahan bicara menggamit mesra. Tanda ingatan setia persahabatannya. Mungkin pada lembaran hari yang kian dilupa. Hadirnya pasti amat bermakna. Menjentik rasa mengubah suasana.

Jadilah sahabat yang bersahabat..

Betapa ramai menjadi sahabat hanya pada fitrah nama. Istilah yang terbiasa diguna pakai dalam kamus-kamus bahasa. Jadilah sahabat yang bersahabat. Dalam apa jua situasi dan keadaannya. Bukan hanya di depan sahabatnya tetapi ketika di sisinya tiada. Bersahabat menjadikan kita lebih terasa dekat dan hampir dengan sahabat. Bukan pada istilah nama semata-mata. Sebaliknya merangkumi jiwa dan raga. Berkongsi rasa percaya dan cinta.

Sahabat yang bersahabat tidak akan pernah meninggalkan persahabatannya. Saat berdekatan mahupun berjauhan. Tidak putus perhubungannya. Sekali pun hanya dalam tadahan doa buat sahabatnya. Tidak pernah melupakan peranannya sebagai seorang sahabat. Terus menemani perjalanan dan perjuangan sahabatnya. Biarpun tidak bersama pada hakikatnya.

Sahabat yang bersahabat akan terus menghargai persahabatannya. Akan terus setia dalam perhubungan biar apa pun yang berlaku. Rela menelan kepahitan demi persahabatannya. Sedaya upaya berusaha membahagiakan dan mengembirakan hati sahabatnya. Terus berusaha menceriakan persahabatannya. Mengerti akan peranannya sebagai teman kepada sahabatnya. Terus berkorban mempertahankan persahabatannya. Biarpun pengorbanan itu langsung tidak dipeduli. Hanya sekadar dipandang dengan mata bukan dengan mata hati oleh sahabatnya.

Sahabat yang bersahabat seringkali memiliki telepati rasa. Ianya anugerah yang amat berharga. Sering terasa resah bila ada yang tidak kena pada sahabatnya. Sering terasa gelisah bila mengetahui perkhabaran hiba. Tidak senang duduk jika sekadar membiarkannya. Membuatkannya prihatin dan rasa bersama sentiasa. Saat suka dan duka dikongsi bersama. Kesakitan dan kesedihan ditanggung bersama. Telepati rasa yang terkadang tepat meneka rasa terpendam hanya dengan melihat luaran sahabatnya.

Sukarnya memiliki sahabat sejati..

Sahabat sejati yang sentiasa mengingatkan kita kepada Ilahi. Sahabat yang tidak pernah jemu menjadi sahabat kita. Sahabat yang sentiasa menasihati ketika kita tersilap langkah. Sahabat yang membimbing ke arah kebenaran. Sahabat yang sentiasa mengingatkan kita jika kita terleka dan alpa. Sahabat yang cinta kepada sahabatnya kerana Allah s.w.t. Bukan hanya pada bicaranya tetapi juga pada pembuktian peranannya. Sahabat yang menghargai kita semasa berada di sisi dan terus menghargai biarpun kita tiada di sisinya. Sahabat yang setia menjaga amanah dan menyimpan rahsia kita dan juga sahabat yang sentiasa menjaga dan membela maruah kita.

Sukarnya memiliki sahabat sejati. Sahabat yang sering diimpikan oleh kita. Begitu indah madah Imam As-Syafie berkenaan sahabat sejati: “Aku mencintai sahabatku dengan segenap jiwaku, sahabat yang baik ialah yang seiring denganku dan menjaga nama baikku ketika aku hidup atau selepas mati, ku hulurkan tangan kepada sahabatku kerana aku akan merasa senang, semakin ramai sahabat aku semakin percaya diri, aku selalu berharap akan mendapat sahabat sejati yang tidak luntur dalam suka atau duka, jika aku dapat aku ingin setia padanya.

Tiada salah mencari dan mengharap untuk beroleh sahabat sejati. Sahabat yang mengerti dan memahami tuntutan berukhuwah atas dasar keimanan. Saling berkasih sayang kerana Allah. Dalam mencari kesempurnaan iman yang tersimpan di sebalik ukhuwah Islam. Ya, beruntunglah sesiapa yang memiliki sahabat sejati. Sahabat yang sentiasa mendekatkan diri kita kepada Allah s.w.t. Dalam tutur bicaranya, dalam amal perbuatannya, dalam gurau sendanya, dalam lembut kemesraannya dan dalam butir nasihatnya yang sentiasa mendorong kita mengingati Allah s.w.t dan menyuntik semangat dalam meningkatkan keimanan dalam amalan seharian.

Indahnya memiliki sahabat sejati yang tidak jemu mengajak kita ke syurgawi!!!

No comments:

Post a Comment