Saturday, August 15, 2009

Kepada Yang Dilanda Musibah...


Bila kesedihan melanda diri. Tatkala musibah menimpa. Biarkanlah airmata itu mengalir buat seketika. Pasti kau temui ketenangan. Usahlah terlalu ego melawan nalurimu. Kerana kesedihan itu lumrah kehidupan. Di awal kelahiran tangisanmu membuktikan. Jadi usahlah malu untuk menangis. Biarpun dalam waktu sepimu. Kerana itu fitrah semulajadimu.


Mengapa perlu disembunyikan perasaan di kalbumu. Di sebalik keegoan diri yang menyeksa hati. Biarkanlah airmata itu mengalir seketika. Pasti ia akan reda. Dan carilah kekuatan selepas itu. Kerana pasti kau akan menemuinya. Usahlah kau memaksa kelembutan hatimu dengan secebis kekuatan nalurimu. Kerana kekerasan jiwa itu tetap akan ada kelembutan. Jangan mendustai perasaanmu. Kerana jiwamu akan merana.


Percayalah, bahawa kesedihan itu bukannya berpanjangan. Tiba masanya ia akan hilang. Mungkin akan terus lenyap dari ingatan. Jangan menyeksa jiwamu. Hidup perlu diteruskan. Kesedihan bukannya alasan memadamkan api perjuangan. Tapi jadikanlah kesedihan itu sebagai pelengkap sebuah kehidupan.


Hidup ini tidak indah tanpa titisan airmata. Kerana airmata menjadi saksi tunduknya hati kepada keagungan ilahi. Bisikkanlah kesedihan di tadahan doa. Melahirkan keinsafan seorang hamba. Sungguhpun keindahan hidup sering didamba. Sesekali ujian datang melanda. Menguji ketetapan hati. Juga ketabahan menghadapinya.



Berpadalah dalam sedihmu. Berpadalah dalam tangismu. Agar tidak kau berputus asa. Dari rahmat tuhan yang Maha Kuasa. Kembalikan kekuatan jiwamu. Kerana kau ada ketabahan. Kau miliki kesabaran. Untuk mengharungi dugaan.


Ingatlah kemanisan yang pernah kau rasai. Agar menjadi penyubur semangatmu kembali. Kepahitan itu hanya sesekali terjadi. Berbanding kemanisan yang menemani hidupmu. Jadi, tarbiahkanlah hatimu kembali. Dengan kekuatan yang berbaki. Percayalah, bahawa kemanisan itu masih ada. Kepahitan tetap menjelma. Kerana hidup ini sementara. Kemanisan yang sebenar ada di syurga. Kemanisan yang abadi.


Biarkanlah perkara yang lalu terus berlalu. Tapi janganlah kau tinggalkan semua. Ambillah yang manis menjadi kenanganmu. Sebagai kekuatan meneruskan perjalanan. Kerana perjuangan hidup ini mesti diteruskan. Sebelum dipanggil menghadap tuhan. Maka damaikanlah jiwamu dengan keimanan. Hiasilah dengan kebaikan. Suburkanlah dengan keikhlasan. Dan sempurnakannya dengan ketakwaan kepada Allah s.w.t.



No comments:

Post a Comment