Sunday, October 18, 2015

Semangat sedikit pudar, minat masih segar..


Setelah sekian lama menyepi, hati terasa ingin menulis kembali. Berbulan-bulan lamanya tidak menitipkan sesuatu di laman Tinta Ukhuwah ini. Entahlah, semangat untuk menulis seakan sedikit pudar biarpun hakikatnya minat itu masih lagi segar.

Mungkin ada yang menanti bingkisan terbaru daripada insan ini. Alhamdulillah masih lagi diberi kekuatan untuk menulis. Ada dua yang terkini sebelum post ini, setelah sekian lama menghilangkan diri. Bukan bermakna insan ini lari tetapi terasa sedikit tawar hati.

Insan ini tidak kisah pun jika tulisan ini tidak ditatap mata. Jauh sekali mengharap untuk dimengerti makna. Biarlah tulisan ini tersimpan kerana ianya mungkin untuk tatapan sendiri di suatu ketika nanti. Sekadar ingin berkongsi, walaupun tidak memberi apa-apa erti.

Maaf jika tulisan-tulisan insan ini sebelum ini dan selepas ini ada yang melukakan hati kerana insan ini hanyalah insan biasa di muka bumi ini. Kesilapan itu mungkin hadir daripada kelemahan diri yang tidak sempurna ini. Walau apa pun yang terjadi, tulisan-tulisan di laman ini adalah hasil keringat minda insan ini mengatur susunan kata menjadi ayat-ayat dengan gaya bahasa yang tersendiri. Insya-Allah.

Jika terasa terketuk beduk hati, anggaplah ianya perkara biasa yang kita sering alami. Jikalau terasa dengan kata-kata, mungkin kita pernah makan nangka, tidak hairanlah jika terkena getahnya. Mungkin juga kita pernah makan cili, tidak hairanlah jika terasa pedasnya. Jadi, bagi insan ini, apa yang baik, kita ambillah sebagai pedoman manakala apa yang tidak baik, jadikanlah ianya sebagai sempadan.


Malas bukan satu alasan tapi satu bentuk halangan yang merugikan. Ya, malas tidak memberi apa-apa manfaat dalam meneruskan kehidupan. Kita perlu bangkit dari lena yang panjang untuk menjadikan hidup ini lebih bermakna. Jangan jadi seperti Pak Belalang yang hanya asyik tidur tidak kira malam mahupun siang hatta melupakan tugasnya mencari nafkah untuk anaknya yang tersayang sehingga sanggup minum ‘kopi’ yang diperbuat dari ketulan dan debuan arang. Meskipun ianya sebuah cerita rekaan namun mesejnya tetap menusuk perasaan dan sesuai diambil pengajaran.

Benar, kita punya tanggungjawab yang perlu kita pikul selama kita bergelar insan. Kita adalah hamba kepada tuhan yang perlu menunaikan hak dan kewajipan. Justeru, rasa malas jangan dijadikan budaya dalam diri kita kerana ia boleh membantutkan potensi sebenar yang ada dalam diri yang seharusnya sentiasa digilap sehingga berkerdipan dan bergemerlapan.

Walaupun tulisan  kali ini kelihatan jauh dari topik asalnya, namun tetap membawa nilai kesedaran jika kita berusaha membuat penilaian untuk dijadikan pengajaran. Bacalah dari sudut pandang kebenaran bukannya dari sudut penghinaan. Kebenaran seringkali bersembunyi di sebalik kejahilan namun pasti akan terserlah bila adanya kekuatan. Kekuatan itulah yang perlu dicari, digali dan dibina sehingga ia benar-benar kelihatan meskipun di hujung perjuangan.

Tangan yang menulis, pena yang mencatat, manakala tinta pula yang mencorak aksara huruf sehingga mampu dibaca dan difahami oleh benak fikiran. Begitulah harga sebuah penulisan yang bertujuan untuk menghidupkan pemikiran disamping memberi peringatan agar kita kembali mencari kekuatan. Semoga dengan kekuatan yang ada akan menampakkan kebenaran yang seringkali bersembunyi ekoran kerana gelapnya kejahilan yang menguasai diri setiap insan.

Teruslah bersama kebenaran sehingga ke hujung perjuangan!

No comments:

Post a Comment