Monday, January 6, 2014

Ingin kembali menulis..

Rasa rindu pula untuk kembali menulis setelah sekian lama ber‘cuti’ merehatkan minda dan hati. Mungkin terkena virus ‘kemalasan’ membuatkan diri ini membiarkan  sekian lama laman Tinta Ukhuwah ini tidak di ‘update’ dalam menyimpan info-info terkini berkenaan ukhuwah di sini.


Apa cerita kali ini ya?

Saat ini, insan ini telah berada di kepulauan Borneo bagi meneruskan khidmat sebagai seorang guru setelah hampir sebulan setengah pulang bercuti di desa. Alhamdulillah, cuti pada kali ini membuka lembaran kepada insan ini untuk merakam sedikit kenangan ukhuwah yang berlangsung sepanjang percutian pada kali ini.

Syukur kepada Allah s.w.t kerana dengan izin-Nya aktiviti-aktiviti ukhuwah masih mampu dianjurkan walaupun situasi kini telah banyak berbeza. Meskipun ramai dalam kalangan ashab seperjuangan yang sudah berumah tangga, namun masih berusaha meluangkan masa untuk bersama-sama dalam menjayakan aktiviti-aktiviti ukhuwah yang dirancang bersama.



Pelbagai peristiwa telah berlaku sepanjang ketidak bersamaan dalam menempuh perjalanan hidup ini. Tidak diduga, musibah melanda sahabat insan ini. Setiapnya mungkin mempunyai hikmah. Bersabarlah di atas ujian dan dugaan yang melanda. Berita ketika masih di kepulauan Borneo amat mengejutkan insan ini apabila dikhabarkan seorang sahabat ditimpa kemalangan jalan raya. Keterbatasan masa dan jarak menyebabkan insan ini dan sahabat-sahabat yang lain tidak berkesempatan melawatnya di hospital.



Ziarah ukhuwah diatur sebaik sahaja pulang bercuti di kampung halaman. Ziarah atas dasar ukhuwah amat digalakkan dalam Islam. Justeru, ziarah ukhuwah bagi bertanya khabar dan berbual bicara dengan sahabat yang ditimpa musibah. Mendengar ceritanya pastinya amat menyayat hati. Mana tidaknya, kejadian berlaku ketika diri jauh di perantauan. Tiada ahli keluarga bersama. Yang ada hanya teman-teman seperjuangan di perjalanan.


Cerita ukhuwah bukan sekadar ziarah. Ianya terus diwarnai dengan aktiviti bersama bagi mengeratkan ukhuwah yang telah sekian lama terbina. Permainan mesra ukhuwah dirancang dan semestinya futsal yang menjadi kegemaran warga tinta ukhuwah. Bermain secara santai dan bersuka ria cukup menghiburkan hati. Perlawanan badminton juga turut diadakan bagi memenuhi diari percutian ukhuwah pada kali ini.


Ya, santapan ukhuwah amat meriah di meja ukhuwah. Sesekali mengadakan aktiviti makan-makan cukup menyelerakan. Hidangan ukhuwah semestinya yang berasaskan belut menjadi menu sajian. Ditambah pula dengan ikan kakak masak stim dan tiga rasa membuatkan selera semakin bergelora. Namun pada kali ini tidak berkesempatan menganjurkan aktiviti BBQ. Tidak mengapa, mungkin boleh dirancang pada masa yang akan datang.


Meja ukhuwah juga turut diserikan dengan pertemuan demi pertemuan bagi mengikuti perlawanan bola sepak liga antarabangsa di kedai makan. Ya, sambil menyaksikan bola sepak sambil berbual bicara, bergelak ketawa dan sebagainya. Pertemuan ukhuwah yang cukup bermakna mengisi ruang percutian pada kali ini. Itulah antara bingkisan percutian pada kali ini di kampung halaman. Berukhuwah dengan ashab seperjuangan akan diteruskan sampai bila-bila. Merekalah sahabat yang sering menghiburkan ketika berada di halaman bonda meskipun masing-masing mempunyai komitmen sendiri yang perlu dilunaskan namun pada masa yang sama tidak pernah meminggirkan ukhuwah yang telah dibina sekian lama. Mudah-mudahan persahabatan yang terbina ini akan berkekalan sampai ke syurga yang abadi.


Biarpun percutian kali ini tampak menyeronokkan namun hati insan ini merasai kehilangan sesuatu yang sering hadir setiap kali percutian sebelum ini. Ya, percutian kali ini tanpa kelibat adik-adik pelajar insan ini yang pastinya menggamit memori yang tersendiri untuk dikenang oleh insan ini.

Kebiasaan bersama-sama dengan mereka setiap kali berada di kampung halaman dengan aktiviti bersama pasti menyuburkan ukhuwah yang cukup bermakna. Rindu rasa hati insan ini pada mereka namun apakan daya perpisahan itu menuntut sabar dan redha. Insya-Allah, tiba masanya nanti akan bertemu lagi dan ukhuwah ini akan terus dihubungkan melalui ruang talian massa yang ada pada masa kini.

Selamat berjuang kepada adik-adik pelajar insan ini yang telah berangkat ke medan-medan pengajian tidak kira di dalam mahu pun di luar negara. Mudah-mudahan mendapat kejayaan di medan perjuangan masing-masing.

Ukhuwah dibina, mesra bersama, memori tercipta!