Saturday, March 17, 2012

Bertuahnya diri bila dirindui..



Miss u
Kau tak rindu kat aku ke?

Antara SMS ringkas bertinta di skrin telefon bimbit insan ini. Dari seorang teman di perjalanan. Ada insan yang sedang merindui insan ini. Bukan seorang ‘kekasih’. Sekadar seorang teman. Bertuah rasanya diri bila dirindui. Bererti insan ini masih diingati. Biarpun datangnya dari seorang teman. Ya, dari luahan sekeping hati. Bertinta di ruang teknologi.

SMS begitu bukan untuk dimaki, dihina mahupun dicela. Tetapi ia perlu dibalas dengan sebaik balasannya. Kerana dia memberi yang baik. Seharusnya dijawab dengan baik. Bukan dengan celaan dan penghinaan. Juga bukan membisu tanpa jawapan. Biarpun ianya hanya sepatah kata. Ia tetap amat bernilai. Nilai ukhuwah di dalamnya. Ada hati yang sarat merindu. Rindu yang mencengkam batin. Lumrahnya begitu. Ada jiwa yang sedang mengingati. Ingatan yang menganggu emosi. Justeru, kita masih di hatinya. Biarpun tidak bersama. Jauh jarak yang memisahkan hatta sukar bertemu muka dan bertentang mata semula.

Ya Allah.. Ampunilah hamba-Mu ini. Mungkin insan ini terlalu lama menyepi. Membiar teman terusik rindu. Pasti sesak dadanya. Menahan kerinduan itu. Insan ini mengerti. Pahit menahannya sendiri. Hingga dizahirkannya perasaan itu. Dalam sepatah kata yang bertinta di ruang teknologi. Ringkas. Namun padat dengan maknanya. Terasa bersalah dan malu padanya. Kenapa dia terpaksa mengungkapnya?. Relanya insan ini membiarkan sepi merajai ikatan ini sehingga menyeksa batinnya. Rindu.”

Rindu.. Ya, hati ini tidak menafikannya. Rindu pada teman-teman. Banyak kenangan yang terpahat di hati. Banyak terhutang budi kepada mereka. Terlalu banyak peranan mereka dalam membantu perjalanan dan perjuangan ini. Sukarnya untuk bersua kembali sejak perpisahan terjadi. Jika ada pun perhubungan berlaku mungkin hanya sekadar di sebalik tabir lambakan ruang teknologi terkini. Itu tetap tidak sama. Tidak mungkin seindah realiti bertentang mata.

Jangan mudah menghina..


Sayang kamu
Rindu kamu

Beginilah antara SMS dari teman yang mencurah rasa. Mungkin jelik bunyinya. Mungkin rasa jijik membacanya. Mungkin biasa sahaja. Kerana ianya dari insan bernama teman. Benar bukan?. Namun jika ia realitinya. Beruntungnya kita. Bertuahnya kita. Ada teman yang menyayangi dan merindui kita. Bukan mudah meluahkan rasa, menuturkan sayang dan melafazkan rindu pada insan bernama teman. Kerana persepsi pemikiran kita berbeza. Betapa sinis dan sensitifnya kita mentafsir ayat-ayat ini. Sedangkan kita??? Berani menuturkannya? Pernah melafazkannya? Err… kenapa??? Malu.. Jijik.. Tak penting.. Benarkah???

Jangan dibalas SMS teman-temanmu dengan penghinaan. Ingatlah, sepatah kata yang menyakitkan bisa merobek segala keindahan rasa. Layakkah penghinaan untuknya? Atas alasan apa?. Renunglah kembali. Siapa anda tanpanya? Jangan ditambah beban perasaannya. Raikanlah perasaannya sepertimana dia meraikan anda. Sedangkan dia teman anda. Adilkah anda kepadanya jika penghinaan yang anda lemparkan?. Atau adilkah jika anda hanya membisu tanpa membalasnya?. Sekurang-kurangnya khabarkanlah sesuatu agar terubat sedikit kerinduan itu. Dia berhak merindui dan menyayangi anda. Kerana anda adalah temannya.

Ah.. Kekasihku lebih bermakna dan lebih penting. Hanya kekasihku yang layak mengungkapnya. Kalau kekasihku baru aku layan. Lebih penting untuk difahami. Lebih utama dibelai perasaannya. Dipujuk dan dirayu. Ku rela berkorban untuknya. Apa hal dengan dia ni? Buang tabiat ke apa?Begitulah sering deras hati kita membeza dan mempertahankan alasan kita. Penuh sinis dan prejudis. Berbeza layanan kita. Pada insan bernama teman. Namun kita silap membezakan. Beza yang teramat ketara.

Bezanya, teman kita ‘halal’ untuk berhubung dengan kita. Sedangkan kekasih itu ‘haram’ berhubung dengan kita. Kita sering memandang sebelah mata perhubungan yang halal tetapi meng‘agung’kan perhubungan yang haram. Selagi tiada ikatan yang sah, selagi itu hukumnya tidak berubah. Kenapa tidak diraikan mereka sebagaimana mereka meraikan kita? Begitulah keadaannya bila kebenaran sering di‘kemudian’kan sedangkan kebatilan sering di‘utama’kan. Sering ego mengikut hawa nafsu sehingga dengan berani memilih neraka daripada memilih syurga. Ya, mungkin kerana ego, hati mungkin menidakkannya, tapi dari segi perbuatan seolah-olah mengiyakannya.

Justeru, jangan mudah menghina pemberian teman-temanmu. Raikanlah mereka. Kerana bukan semua teman yang akan meraikan kita. Beruntunglah kita bila kita diraikan. Bererti kita masih lagi di hati. Kita masih diingati. Sebagaimana kita sering sukar meraikan seseorang teman, begitu juga halnya seorang teman, bukan mudah baginya untuk meraikan kita. Ingatlah jika suatu hari nanti, dia tidak lagi meraikan kita, pasti kita akan merindui keraiannya seperti suatu ketika. Dari lemah tutur katanya, dari manja gurauannya, dari lembut layanannya dan dari kejujuran hatinya. Jadi, alangkah ruginya kita jika kita tidak menghargai keraiannya terhadap diri kita pada saat ini dan betapa bakhilnya kita jika kita buat-buat tidak mampu untuk meraikannya kembali. Kerana itulah bukti bahawa kita telah hilang ke‘peduli’an rasa kepada teman kita sendiri.

Pemurah atau bakhilkah kita?

“Siapa kita untuk tidak memberi?”
“Siapa kita untuk mencaci dan mengeji?”

Allah s.w.t itu adalah pemilik mutlak segala macam perasaan. Cinta, kasih, sayang dan rindu hatta perasaan benci dan dendam sekali pun. Sekiranya Allah s.w.t begitu pemurah dengan sifat cinta, kasih, sayang dan rindu-Nya kepada makhluk-Nya, siapalah kita ini untuk bersifat bakhil menyimpan sifat “ketuhanan” ini daripada dikongsi sesama makhluk. Sedangkan Allah s.w.t pula begitu bakhil dengan sifat benci dan dendam-Nya tatkala hamba-Nya melakukan maksiat kepada-Nya, siapalah kita ini untuk bersifat begitu ego me‘murah’kan sifat “ketuhanan” ini untuk dilemparkan kepada makhluknya.

Salahkah untuk menyayangi dan disayangi? Siapakah yang suka membenci dan dibenci? Rasanya orang yang telah Mati Hatinya sahaja akan menjawab ‘Ya’ dan ‘Aku’ bagi persoalan tersebut. Sebenarnya ianya adalah kerana sikap mereka yang menyempitkan skop istilah “Cinta, Kasih, Sayang dan Rindu” untuk siapa dengan istilah ‘Hanya’. Jika kita meluaskannya kepada sesiapa sahaja, pasti kita akan menerima seadanya.

Raikan ukhuwah, sebarkan mawaddah, agar beroleh rahmah!!!

No comments:

Post a Comment