Sunday, October 30, 2011

Majlis Restu Ilmu Pelajar SPM 2011...


Menyingkap sebuah nostalgia. Mengungkap memori perjuangan. Sepanjang perjalanan hidup sebagai pelajar di SMU (A) Meheliah Geting. Kenangan yang kekal dalam ingatan sepanjang kehidupan. Di situ terbinanya ukhuwah dan terjalinnya persahabatan semasa berjuang di bumi Meheliah.
Alhamdulillah, 27 Oktober 2011 melakar sejarah. Berkesempatan melaluinya sekali lagi bersama-sama adik-adik pelajar SPM 2011 di Meheliah. Meskipun keadaannya kini berbeza. Hakikatnya, detik itu bukanlah sejarah buat diri ini sebaliknya hari buat adik-adik pelajar SPM 2011. Mencipta satu daripada jutaan kenangan sepanjang perjuangan menuntut ilmu di bumi Meheliah yang tercinta.
Sekian lama mereka berada di bumbung yang sama. Hari itu bagai detik perpisahan buat mereka. Mungkin itulah majlis terakhir bagi mereka meraikannya bersama-sama. Selepas berakhirnya peperiksaan SPM nanti, sepastinya mereka akan membawa haluan masing-masing. Mungkin sebahagian akan ke institusi pengajian tinggi, sebahagian lagi akan meneruskan perjuangan di bumi Meheliah untuk terus menimba ilmu di Tingkatan 6 Bawah dan sebahagian yang lain entah ke mana hala tuju mereka. Semestinya akan terus mencari pengalaman dan memulakan perjuangan hidup yang baru.
Inilah lumrah kehidupan. Setiap pertemuan akan disusuli perpisahan. Lima tahun adalah satu tempoh yang lama. Tempoh berkenalan, tempoh persahabatan. Bersama menempuh asam garam dalam perjuangan menimba mutiara ilmu pengetahuan. Menelan pahit dan manis dalam mencipta kenangan zaman persekolahan. Biarpun hakikatnya persahabatan itu tidak bertempoh. Selama-lamanya mungkin. Selagi hayat di kandung badan. Di dunia hingga akhirat sana. Insya-Allah.
Pagi itu, bermula dengan solat hajat bersama para pelajar, ibu bapa dan warga pendidik Meheliah. Bermunajat memohon taufik dan hidayah daripada Allah s.w.t agar dipermudahkan segala urusan para pelajar ketika menghadapi peperiksaan tidak lama lagi. Mudah-mudahan segala ilmu yang dipelajari dan ditimba selama ini akan diberkati oleh Allah s.w.t serta menjadi panduan dalam meneruskan kehidupan ini. Agar dalam usaha dan amalan ada keberkatan dalam memburu kejayaan.
Selepas ibu bapa bersurai, majlis Restu Ilmu Pelajar SPM 2011 dimulakan dengan bacaan al-Quran al-Karim. Seterusnya, ucapan wakil pelajar Tingkatan 5 memohon restu daripada warga pendidik terhadap ilmu yang dicurahkan selama ini. Selepas itu disusuli dengan ucapan para guru buat anak-anak didik sebagai amanat terakhir sebelum mereka berjuang di dalam dewan peperiksaan. Kemudiannya, majlis diteruskan dengan ucapan Penolong Kanan 1, al-Fadhil Ustaz Ibrahim Din, selaku wakil bagi pihak Tuan Mudir yang tidak berkesempatan pada hari tersebut sekaligus merasmikan Majlis Restu Ilmu Pelajar SPM 2011. Acara diteruskan lagi dengan tayangan multimedia oleh AJK Pelaksana Program. Selepas itu, acara menyuap pulut semangat kepada para pelajar pula berlangsung.
Suasana pilu dan sebak mula terasa semasa majlis bersalaman dengan warga guru. Diiringi dengan alunan nasyid yang amat menyentuh perasaan saat itu. Airmata adik-adik pelajar bergenang dan mengalir mencurah rasa. Ada sesuatu yang menyelubungi hati dan perasaan mereka saat itu. Tiada yang mampu mengungkap erti airmata yang mengalir saat itu. Mungkin kesedihan, mungkin terharu, mungkin keinsafan atau lain-lain lagi. Hanya mereka yang lebih mengerti dan memahami perasaan mereka saat itu. Saling berpelukan antara para pelajar dan guru. Seerat ikatan ukhuwah yang terjalin selama ini. Di samping kata-kata terakhir sebagai amanat kepada mereka dalam pelukan dan tangisan. Kedengaran esak tangis adik-adik pelajar, sepastinya menyentuh dan meruntun kalbu.
Sejujurnya, ana turut terharu. Biarpun airmata ini tidak mengalir tetapi hati ini turut merintih hiba. Sedih dan pilu amat terasa saat bersalaman dan berpelukan dengan mereka. Ana hanya mampu menahan sebak di dada. Biarpun hanya seketika bersama mereka, namun mereka tetap sebahagian daripada hidup ini. Mereka adalah adik-adik pelajar generasi pertama insan ini yang pastinya akan tersemat utuh di hati ini. Hari-hari bersama mereka menjadi kenangan yang tidak mungkin dilupakan diri ini. Mereka adalah pelajar, juga sebagai adik dan teman bagi insan ini. Terasa amat bertuah diberi peluang untuk mengenali mereka. Seandainya tidak menjadi guru ganti di Meheliah, ukhuwah ini tidak mungkin terjalin. Jika ada pun mungkin hanya yang sedia dikenali insan ini. Alhamdulillah, syukur pada-Mu ya Rabbi atas pertemuan ini!!!
Majlis diteruskan lagi dengan acara wida’, bersalaman tanda perpisahan yang bakal terjadi sesama pelajar. Iringan alunan nasyid berjudul Doa Perpisahan dan Nostalgia turut mengharukan lagi suasana. Salam kemaafan dan salam perjuangan. Mereka berpelukan sesama mereka. Seerat ukhuwah sepanjang perjuangan. Mungkin buat kali terakhir sebelum kaki melangkah pergi meninggalkan Meheliah dengan membawa kenangan masing-masing. Kenangan zaman remaja yang penuh dengan watak kenakalan, pemberontakan jiwa dan impian memburu kejayaan. Semoga perpisahan ini tidak menjadi noktah pada sebuah ikatan persahabatan. Biar di mana pun berada, namun akan terus bersahabat. Bersahabat kerana Allah tidak mengenal jauh dan dekat, batasan usia dan perbezaan bangsa kerana bersatu pada agama, kita bersaudara seiring dengan tuntutan keimanan. Teruslah berhubung biarpun tidak lagi sebumbung. Ukhuwah fillah!!!
Ana meratib setiap bait alunan nasyid tersebut. Seakan mengimbau kenangan semalam. Kesedihan menyelubungi jiwa. Setiap patah mengundang sejuta makna. Pertemuan dan perpisahan. Memori yang tidak mungkin dilupakan bersama sahabat-sahabat seperjuangan suatu ketika dahulu. Alhamdulillah, ukhuwah antara kami terus subur biarpun kami sering sibuk dengan komitmen masing-masing. Namun itu bukan alasan me‘lupa’kan persahabatan ini. Dengan pelbagai aktiviti bersama saat ada kelapangan masa, kami bersatu mengusahakannya. Reunion adalah antara cara menyuburkan kembali persahabatan kami. Bertemu biarpun hanya seketika dengan mengadakan BBQ, perlawanan futsal atau berkumpul pada hari raya, tetapi ia tetap memberi makna kepada ukhuwah kami. Itulah reunion kami!!!
Nostalgia zaman persekolahan adalah antara yang terindah. Tidak lagi tercipta selepas itu. Biarpun diri ini sudah berkelana jauh. Namun kenangan zaman persekolahan tetap segar di ingatan. Terpahat kukuh dalam lipatan sejarah hidup ini. Itulah zaman asam garam perjuangan memburu ilmu dan kejayaan. Menelan pahit manis dalam meniti ukhuwah persahabatan. Antara diri dengan sahabat-sahabat tercinta dan juga ukhuwah bersama warga pendidik yang banyak berjasa. Semuanya kini tidak mungkin lagi dapat bersatu di bawah bumbung yang sama. Memori yang mengundang suasana berbeza yang pastinya akan terus dikenang dan dirindui kerana masing-masing pergi membawa haluan diri bagi meneruskan perjuangan hidup dalam usaha mencari keredhaan Allah s.w.t.
Namun tidak dinafikan akan wujud mereka yang cuba mengelak diri dari bertemu muka dengan teman-teman lama. Mungkin kerana timbul perasaan malu dan segan untuk berjumpa atau mungkin disebabkan mereka kurang berjaya berbanding dengan teman-temannya itu. Bila bertemu, terasa biasa hingga tiada bicara biarpun sepatah kata. Tidak seerat ukhuwah saat bersama-sama seperti dahulu yang sarat dengan memori bergurau senda. Nabi Muhammad s.a.w bersabda yang bermaksud: “Jangan kamu meremehkan kebaikan apa pun, walaupun sekadar bertemu saudaramu dengan wajah yang ceria (Hadis riwayat Muslim). Justeru, tunjukkan wajah yang bahagia walau di mana pun kita berjumpa. Tegurlah teman-teman walau siapa pun kita. Ingatlah kejayaan itu bukan penyebab menjadikan kita sombong dan lupa diri dan kegagalan itu bukan penyebab kita terus merendah dan menjauhkan diri. Semuanya itu ketentuan ilahi. Dalam satu hadis riwayat Abu Daud, Nabi Muhammad bersabda yang bermaksud: “Tidak ada dua orang Muslim yang berjumpa lalu berjabat tangan melainkan kedua-duanya diampunkan dosa mereka sebelum berpisah.”
Majlis diakhiri dengan jamuan makan. Barisan pendidik dijamu terlebih dahulu. Selepas selesai barulah giliran adik-adik pelajar semuanya. Menu jamuan ialah Nasi Ayam. Amat menyelerakan dan mengenyangkan. Terima kasih semuanya atas jamuan pada hari itu dan tidak lupa juga atas cenderamata yang diberi. Bukan itu sebenarnya yang warga pendidik hasratkan. Kejayaan kalian yang mereka impikan. Lebih daripada itu, mereka mengimpikan kalian menjadi insan yang berakhlak mulia disamping mampu menyumbang jasa dan bakti kepada agama, bangsa dan negara. Sebagai delegasi pewaris dakwah para Nabi!!!
Laman tinta ukhuwah ini merakamkan kembali Majlis Restu Ilmu Pelajar SPM 2011 sebagai kenangan buat insan ini dan buat semua yang terlibat dalam menjayakan majlis tersebut. Juga sebagai tanda ukhuwah yang terbina antara diri ini dengan adik-adik pelajar SPM 2011 dan warga Meheliah seluruhnya serta sebagai tanda penghargaan daripada insan ini buat semua warga Meheliah, terutamanya buat adik-adik pelajar generasi pertama insan ini. Biarlah ianya menjadi kenangan kita bersama yang tercatat di laman ini dan terpahat utuh di sanubari.
Buat adik-adik semuanya, ana mengucapkan selamat berjuang menghadapi Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia 2011. Semoga Allah s.w.t mempermudahkan segala urusan kalian dalam usaha memburu kejayaan. Selamat berjuang dan selamat berjaya dalam SPM seterusnya berjaya dalam kehidupan di dunia dan di akhirat. Semoga ikatan ukhuwah yang terbina suatu ketika akan terus berkekalan ke akhirnya. Terima kasih atas segala-galanya. Terima kasih atas sokongan dan perhatian yang diberikan selama ini. Juga kemaafan dipohon sepanjang perjalanan bersama jika ada terguris rasa, tersalah bicara, tersilap dalam pergaulan dan sebarang ketidak puasan hati kalian terhadap insan ini. Ana memanjat kesyukuran terhadap pertemuan dan ukhuwah yang terjalin ini. Semua yang pernah ana berikan sekadar yang termampu dari diri yang tidak berpengalaman dalam usaha mencari pengalaman. Pada ana, tiada apa-apa buat kalian, hanya doa yang  akan terus mengiringi perjuangan kalian. Teruskan perjuangan dan teruslah berkorban agar kalian berjaya dalam mengejar cita-cita dan menjadi insan yang berguna kepada umat ini. Wallahua’lam.
Terima kasih semua!!!


No comments:

Post a Comment