Monday, September 14, 2009

Musafir Perjuangan Kembali…

Sinar kehidupan di penghujung Ramadhan. Semoga ada keampunan dari-Mu ya Rabbi. Mengharapkan maghfirah di atas segala dosa hamba yang hina. Hamba yang sering lalai dari mengingati-Mu. Hamba yang sering alpa pada keagungan-Mu. Hamba yang sering lupa dalam nikmat-Mu. Hamba ini tidak layak untuk syurga-Mu. Namun hamba ini tidak sanggup menghuni neraka-Mu. Ampunilah hamba-Mu ini ya Rabbi. Hamba adalah insan hina yang tidak berdaya.


Pena mencatit bicara dengan tinta siber. Bagai ketandusan dakwat. Sekadar menekan butang abjad. Membentuk ayat yang tersusun. Sekadar termampu mencatat kalimah yang tidak pernah bersuara di alam maya ini. Dengan cebisan semangat perjuangan yang tersisa.


Bukan mudah mengatur bicara. Meluahkan rasa. Mengungkapkan sayang. Buat ukhuwah yang terjalin. Biarpun dilihat biasa namun hakikat adalah sebaliknya. Hati bukan mengharapkan sirna. Tapi terus mengimpikan sinar. Agar terus menerangi alam perjuangan ini. Kerana perjuangan ini belum selesai.


Selangkah meniti hidup. Sedetik nadi berdenyut. Sesaat jantung berdegup. Selagi nafas belum berhenti. Perjuangan tetap diteruskan. Memburu kasih abadi. Mendamba cinta hakiki. Dalam hidup ini. Tanpa cinta dari-Nya. Mana mungkin mampu mencintai. Sepastinya tidak mampu mengasihi.


Hamba perantau di perjalanan. Melangkah pulang ke tanah halaman. Sekian lama menjadi musafir perjuangan. Saban tahun menjadi kebiasaan. Meredakan rindu penantian. Pada ayahbonda serta sanak-saudara tercinta. Jua rindu pada tanah kenangan. Di situlah selautan memori. Samudera kehidupan. Dilakar sepanjang perjalanan. Sejak bermulanya kelahiran. Hingga ke alam perjuangan ini. Pulang dengan tujuan menyambut hari lebaran. Hari kemenangan umat Islam.


Selamat tinggal kota perjuangan. Musafir pergi lumrah tahunan. Sirih pulang ke gagang. Haruan pulang ke lubuk kehidupan. Beburung berterbangan mencari jalan pulang menuju sarang perlindungan. Mana mungkin insan ini lupa daratan. Pada asal usul kehidupan. Yang sentiasa dalam ingatan. Di situlah tanah pusaka. Warisan nenek moyang tercinta.


Di kesempatan ini. Jari disusun memohon kemaafan pada teman perjuangan. Atas segala kesalahan dan kesilapan. Juga kekhilafan sepanjang tempoh perjuangan. Semoga ada kemaafan buat insan ini. Mungkin ada garis luka yang mencalar lembutan hati teman-teman. Kerana insan ini bukannya sempurna. Penuh kekurangan dan kedhaifan.


Selamat menyambut hari lebaran Aidil Fitri yang mulia. Buat sahabat-sahabat tercinta. Walau di mana pun berada. Yang jauh mahupun dekat. Memohon kemaafan sepanjang pertemuan. Seandainya pernah merobek keindahan rasa. Selama meniti persahabatan ini. Jika luka semalam masih tersimpan. Sembuhkanlah dengan penawar kemaafan. Biarpun parutnya tetap ada. Semoga dengan kemaafan ini mampu meredakan gelora perasaan. Seandainya ada dendam. Maka padamkanlah dengan air keampunan. Dari roh keimanan dan keikhlasan.


Maaf atas segala kekurangan sahabat kalian ini. Seandainya hak sahabat-sahabat tidak terlaksana. Kerana diri ini insan biasa. Maaf sekiranya diri ini gagal berperanan sebagai sahabat. Dari aspek rohani, jasmani dan spiritual. Sekadar termampu dari insan ini. Hati ini mengerti. Diri ini bukannya yang terbaik dalam meniti ukhuwah dan persahabatan ini.


Saat meniti ukhuwah ini. Mungkin berbeza layanan insan ini. Maaf sekiranya ada yang terasa. Maaf juga sekiranya insan ini tidak mampu mengasihi teman-teman sebagaimana insan ini mengasihi diri sendiri. Betapa hinanya insan ini. Entah bila iman ini akan sempurna. Sekiranya insan ini tidak mampu mengasihi saudara yang dikenali. Sepastinya sukar insan ini mengasihi saudara yang lain. Moga yang dekat kita rapat-rapatkan.Yang jauh kita dekat-dekatkan. Agar ukhuwah yang dibina atas paksi keimanan ini berpanjangan. Asal ada yang mengerti. Bahawa hidup ini tidak pernah sepi dan insan ini bersyukur memiliki sahabat yang tidak pernah menyepi. Hadirnya kalian untuk dihargai insan ini.


Juga buat sahabat di perantauan. Selamat menyambut hari yang mulia. Salam dari sahabat di bumi kelahiran. Selautan kemaafan dipohon. Mudah-mudahan sahabat berbahagia di sana. Meraikan hari lebaran nanti. Salam ingatan berpanjangan. Jauh hanya di mata. Tapi di hati dekat sekali. Jua salam perjuangan. Semoga menemui sinar kejayaan.


Buat sahabat di tanah tumpah kelahiran. Diri ini mengharapkan ada pertemuan di hari lebaran. Menghulur tangan bersalaman. Saling bermaafan sesama insan. Selamat pulang sahabat-sahabat sekalian. Selamat pulang ke tapak warisan. Kembali ke tanah halaman. Semoga selamat sampai ke destinasi tujuan. Agar berbahagia di hari lebaran. Moga merasai kenikmatan. Jua memperoleh keberkatan.


Buat adik-adik tersayang. Wajah-wajah penyejuk mata dan penenang jiwa. Rinduku pada pertemuan. Moga diberi kesempatan masa. Bersama-sama di hari lebaran. Moga ukhuwah yang terbina ini. Mampu menceriakan taman kehidupan. Serta menguatkan lagi perjuangan. Mengenal erti kehidupan. Menghargai erti kasih sayang.


Ruangan tinta ini ku jadikan wadah. Sebagai warkah pengganti diri. Ditujukan pada yang sudi membacanya. Kerana pena ini tidak bersuara. Mudah-mudahan dengan izin Allah, yang membacanya akan mengetahui. Jua akan memahami dan mengerti. Insya-Allah.


Salam Aidil Fitri Minal Aidil Wal Faizin buat semua. Salam menyemai ukhuwah. Salam membajai maghfirah. Salam menyubur mahabbah.


Salam Ukhuwah Buat Semua!!! Jua Salam Kemaafan!!!




Sahabatmu,

14 Ogos 2009

Saturday, September 12, 2009

Rindu Penantian: Lambatnya Saat Itu...

Terasa begitu lama pula menanti tibanya hari untuk pulang ke kampung halaman. Beginilah saban tahun melalui hari-hari menjelang Syawal. Merasai semangat balik kampung itu sendiri. Mungkin kerana jarang pulang ketika di universiti ini. Tapi itulah tekad diri ini agar tidak kerap pulang ke kampung saat berjauhan ini. Kerana inilah peluang mencari pengalaman.


Teringat pesan ayah agar diri ini berjimat-cermat ketika di halaman orang. Maklumlah keadaan ekonomi keluarga yang tidak menentu menyebabkan diri ini perlu mengawal segala keinginan yang tidak terlalu penting. Biarlah bersabar dahulu. Mungkin belum tiba masanya lagi. Alhamdulillah, setakat ini duit pinjaman tidak pernah kering. Sentiasa berbaki biarpun di penghujung semester. Biarpun saat ini kebiasaannya ramai teman-teman yang sudah kehabisan wang perbelanjaan.


Sesekali bila difikir balik, hairan juga. Mengapa kewangan ini tidak putus-putus. Jika hendak dikatakan aku ini penjimat yang melampau pun tidak juga. Makan pun kenyang juga. Tapi alhamdulillah, dengan rezeki dari Allah s.w.t ini. Keadaan ini tidak pernah aku jangkakan. Mungkin nafsu ini kurang untuk memiliki sesuatu yang branded. Maklumlah diri ini sekadar simple2 sahaja pun sudah memadai. Tidak perlulah diri ini terlalu memikirkan masalah kewangan saat ini.


Ini mungkin kesan dari pentarbiahan diri ini sejak dulu lagi. Dari dulu lagi diri ini berusaha menyekat segala kehendak yang melampau. Lebih mengutamakan keperluan dahulu. Bukan kenapa, terselit rasa kasihan kepada ayahbonda. Betapa sukarnya mencari rezeki. Mungkin keadaan keluarga juga memainkan peranan dalam mendidik diri ini menempuhinya dengan penuh kesabaran.


Biasa berada dalam kesusahan banyak mengajar erti ketabahan. Kerana kesusahan itu mengajar diri ini erti kekuatan untuk mengawal nafsu ini. Bersyukur dengan apa yang ada. Sekadar mencukupi untuk saat ini. Jika apa yang diimpikan tidak tertunai hari ini. Mungkin lain kali pula rezeki untuk memilikinya. Biarpun masa itu lama sedikit. Tidak mengapa. Insya-Allah dapat memilikinya pada masa yang lain. Yakin!



Rindunya pada anak-anak buah di kampung. Lama sudah tidak melihat kelibat anak-anak buah terutamanya anak-anak Angah. Dua orang putera yang sering mencuit hati. Along Haikal dan Adik Hanif. Si Along yang banyak mulut sentiasa menceriakan hati ini. Tidak jemu bertanya itu dan ini. Biasanya letih melayan karenah anak saudaraku itu. Si Adik pula walaupun sedikit pendiam tapi garang. Sekali jika dia menjerit membingitkan telinga ini. Kadang-kadang Si Along pun takut padanya. Walau apa pun dua permata Angah ini banyak menceriakan suasana. Semoga Angah sekeluarga dapat pulang ke kampung pada hari lebaran nanti. Rindu pada permata-permata hatiku.


Itu baru yang Angah punya zuriat. Tidak lagi dicampur dengan anak Kak Chik. Riuh rendah dibuatnya. Dengan si Hakimi yang buas manakala adiknya si Eikal yang suka menangis. Namun gelak ketawa mereka selalu meriuhkan keadaan. Kehadiran puteri baru Kak Chik menghiasi rumah. Tidak banyak karenah menjaga anak kecil ini. Dengan sesiapapun boleh masuk. Senang menjaganya. Ditinggalkan tidak menangis. Dibawa berjalan seronoklah dia. Si puteri comel diberi nama Iman Syuhada. Mutiara hati.



Rindunya hati ini ya Allah! Rindu menanti. Lambatnya masa itu. Aku ingin segera pulang ke tanah kenangan itu. Menyambut hari raya bersama-sama keluarga tercinta. Saling bermaafan sesama keluarga. Raut wajah ayahbonda yang tenang menyejukkan jiwa ini. Menambahkan kekuatan dalam hati yang kegersangan dan ketandusan. Selautan rindu buat ayahbonda tercinta. Moga kalian berbahagia meniti hari-hari kehidupan ini.


Panjang pula bercerita. Bersimpang-siur. Mungkin semangat ini berkobar-kobar untuk pulang ke kampung. Menjejak tanah warisan. Agar berbahagia menyambut lebaran. Semoga hidup ini terus diberkati oleh Allah s.w.t.


Thursday, September 10, 2009

Hati Tidak Pernah Lupa

Hati tidak pernah lupa

Biarpun sepi tanpa suara

Jika semalam sudah tiada

Esok mungkin belum tiba


Dinihari ini pena menulis

Memberkas jiwa sepi

Rindu belum terhenti

Kasih masih berbaki


Lama berlalu sepi

Hati tidak pernah peduli

Kerana belum pasti

Jiwa menyelam erti


Jika semalam jadi kenangan

Pastinya esok jadi harapan

Hari ini yang diimpikan

Belum pasti terbentang


Kepahitan telah dirasa

Kemanisan bila akan tiba

Jikalau hati telah lupa

Ia mungkin tidak bermakna


Saat ini tiada apa

Detik itu sudah tiada

Biarpun masih lagi terasa

Hati tidak pernah lupa


Esok bakal menjelma

Semalam berlalu saja

Hari ini tentu bermakna

Manisnya keindahan rasa


Jauh semakin terasa

Hati tidak berdusta

Jika tetap masih ada

Pastinya amat berharga


Pena menitip segala

Lintasan tergambar jua

Hati tidak pernah lupa

Biarpun tanpa apa-apa


Hari ini biarkan begini

Esok warnanya belum pasti

Semalam berukir seni

Mungkin indah cuma sekali


Mata tidak buta

Mulut tidak bisu

Telinga tidak pekak

Hati tidak pernah lupa


Ini tulisan bicara pena

Bukan lisan mengungkapnya

Cuma hati yang terasa

Kerana tidak pernah lupa




Hati Tidak Pernah Lupa

10 September 2009

5.00 A.M

Friday, September 4, 2009

Harga Sepatah Kalimah

Betapa sukar sepatah kata hendak diungkapkan. Hanya satu yang dinantikan. Bukannya baris ayat tersusun. Cukuplah sepatah kalimah yang boleh meredakan penyeksaan. Ianya amat berharga. Bukan egois untuk menghukum keadaan. Tapi amat terseksa dengan sesuatu yang mengundang kesedihan. Seperti terhukum penuh penghinaan. Ditanggung sepanjang hakikat kehidupan. Kerana tidak akan hilang dalam ingatan.


Detik ini bagai ada sesuatu yang menghalang. Bagai ada sesuatu yang menutup perasaan. Bukan dendam! Tapi kekesalan yang teramat. Bukanlah berdendam. Lebih suka menerima hakikat. Cuma sedikit kecewa dengan tindakan itu. Sakit!!! Pedih!!!


Kenapa tegar begitu? Kenapa harus begini? Tengoklah realiti hari ini tidak sama dengan semalam. Saat itu semua ada. Semuanya tersedia. Begitu sukar membinanya. Begitu payah menanggungnya. Tapi kini berubah segalanya. Cukup mudah. Sekelip mata terpadam segalanya. Tidak kisah. Asalkan lebih tenang. Hilang gelisah. Tidak perlu lagi memikirkan segalanya. Tidak perlu menanggung resah. Tidak terundang gelisah. Terasa lebih bebas.


Andai kata hari esok belum terungkap. Biarkan penantian itu terus bersahaja. Tidak mahu mengganggu ketenangan. Banyak urusan yang perlu difikirkan. Biarkan kesibukan itu melupakan kepahitan. Kerana kemanisan itu menemani ketenangan.


Hari ini tidak merasa peranan. Bagai hilang pengertian. Bagai tiada kaitan. Mungkin tidak pernah dipandang. Atau sudah tidak bererti. Jika peranan telah tiada. Apalagi yang ada. Apa lagi ertinya? Apa lagi maknanya? Apa lagi maksudnya? Kosong tiada apa.


Hidup ini seketika. Entah bila akan tiada. Biarlah seperti biasa. Untuk apa bersembunyi. Tiada makna. Hanya perlu bersedia menghadapinya. Sukar untuk memulakan segalanya. Payah menerima hakikat. Tapi mudahnya menghukum. Melihat jauh kesannya. Tidak bersama merasakannya. Tidak berada di situasi yang sama. Mana mungkin memahaminya. Kerana situasi berbeza.


Sepatah kata. Amat berharga. Sukarnya terucap. Itulah hakikatnya.



Tuesday, September 1, 2009

Coretan: Pressure+Mengarut+Boring

Pena ini tidak tahu apa yang mahu dicoretkan ketika ini. Hari ini kelas kuliah dan tutorial tiada. Hari ini memang cuti bagi semesta ini. Tapi bila memikirkan assignment yang masih belum disettlekan lagi membuatkan hati ini sedikit tertekan. Exam semakin hampir tetapi persiapan menghadapinya belum dibuat lagi.


Arrgggh... assignment!!! Kau mengganggu ketenteraman hati ini. Risau dengan kitab yang tidak ditemui lagi. Assignment yang sudah dibentangkan juga perlu diedit sebelum disubmitkan kepada pensyarah.


Kertas kerja program??? Mak aiii... Belum siap lagi. Kertas kerja untuk daurah Turas Ilmu di bawah kelab jabatan belum dihantar lagi. Dalam proses pengeditan. Minggu ini kena hantar untuk mendapat kelulusan. Rasanya kena bincang dengan ustaz sedikit tentang aturcara program dan lokasi. Ah… Semester ini sangat sibuk dengan aktiviti kelab jabatan.


Jurnal??? Tak translate lagi. Minggu ni kena siapkan kerana minggu depan kena submit. Insya-Allah sedaya upaya akan cuba siapkan. Kena berkorban sikit selepas ni. Kekangan masa sebenarnya ni. Pengurusan masa yang kurang cekap.


Kampung??? Mak aii… Rindunya nak balik kampung. Rindunya kat “adik-adik” kita. Lama tak jumpa. Apa cerita sekarang ni? Biasalah orang merantau ni jarang-jarang pulangnya. Jauh campur malas. Tambah pula tiket mahal. Duduk sini kena berjimat sikit kalau tidak cepatlah kering poketnya. Nak makan apa? Jawabnya bank in laa orang tua kat kampung tu. Menyusahkan jer. Tapi setakat ini insya-Allah wang masih mencukupi untuk semesta ini. Yuran pengajian pun sedikit lagi belum selesai. Tak sampai RM50 pun.


Raya belum tahu nak pakai baju warna apa? Semua urusan bab pakaian harap-harap orang rumah sudah uruskan seperti biasa. Kalau tidak beraya dengan pakaian tahun lepas saja ler. Itu semua tak penting. Apa yang penting... Kerjasama... Hahaha... Tapi tu laa... Entah dapat balik ke tidak raya ni tengok keadaan. Raya ni bimbang juga takut-takut kena raya kat sini. Tapi tidak mengapa sekadar sedikit pengalaman. Hihi..


Duit sewa semua sudah beres.. Hutang??? Ada ke tidak? Kalau ada sesiapa yang ana berhutang tu bagitau la. Bimbang ana lupa. Maklumlah manusia. Kalau boleh hendak selesaikan time-time kaya lagi ni. Sesiapa yang ada hutang dengan ana pun sama la. Ingat-ingat balik. Banyak ni dalam buku minda. Hahaha.. Ana tidak kisah sangat dengan duit sebenarnya. Tapi maklumlah ana ni student lagi. Kita sama-sama faham ler kan. Sekurang-kurangnya bagitau ana kalau ada apa-apa masalah. Sekadar termampu untuk menolong. Insya-Allah.


Sekadar mengarut jer ni... Boring hari ni tiada kelas…