Monday, July 20, 2009

Tanggal 27 Rejab 1430H...

Pejam celik pejam celik, kita sudah hampir ke penghujung bulan Rejab. Hari ini bersamaan 27 Rejab 1430H. Satu tarikh yang mulia. Ada peristiwa besar yang telah berlaku pada tanggal ini. Peristiwa yang terukir dalam sejarah Islam. Peristiwa yang tercatat dalam al-Quran. Peristiwa yang dilalui oleh Rasul junjungan mulia Muhammad s.a.w. Iaitu peristiwa agung perjalanan Isra’ dan Mi’raj.


Umum mengetahui bahawa Isra’ adalah perjalanan Nabi Muhammad s.a.w dari Masjidil Haram di Makkah ke Masjidil Aqsa di Palestin. Manakala Mi’raj pula adalah perjalanan naik Nabi Muhammad s.a.w dari Masjidil Aqsa ke Sidratul Muntaha menemui Allah s.w.t bagi menerima fardhu solat.


Firman Allah s.w.t yang bermaksud:


"Maha suci Allah yang telah memperjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haram (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui."

(Surah al-Isra’: ayat 1)


Maksud ayat al-Quran tersebut menjadi dalil peristiwa Isra’ dan Mi’raj yang berlaku kepada baginda Rasulullah s.a.w yang diperjalankan oleh Allah s.w.t untuk menunjukkan bukti kekuasaan-Nya dimana Dia berkuasa memperjalankan hamba-Nya dalam tempoh satu malam sahaja.


Sepanjang perjalanan itu, Nabi Muhammad s.a.w diperlihatkan oleh Allah s.w.t dengan pelbagai nikmat dan juga azab-azab yang disediakan kepada hamba-Nya yang beriman atau sebaliknya. Antaranya, nabi telah diperlihatkan satu kejadian aneh di mana terdapat segolongan manusia yang bercucuk tanam pada suatu hari dan pada hari berikutnya menuai hasilnya dan begitulah seterusnya. Nabi s.a.w juga telah diperlihatkan satu golongan manusia yang disediakan dua bekas berisi daging. Bekas yang pertama berisi daging yang telah masak, enak dan segar. Manakala bekas yang kedua berisi daging yang mentah, busuk dan hanyir. Namun manusia tetap memilih daging yang mentah itu walaupun ada yang lebih elok.


Kisah Isra’ dan Mi’raj adalah satu peristiwa yang menguji keimanan umat Islam ketika itu. Hanya dengan keimanan yang teguh membuatkan umat membenarkannya seperti sahabat baginda s.a.w iaitu Saidina Abu Bakar yang telah membenarkan peristiwa tersebut. Sebab itulah Saidina Abu Bakar diberi gelaran as-Siddiq. Peristiwa Isra’ dan Mi’raj ini juga membuktikan betapa mulianya ibadah solat berbanding dengan ibadah-ibadah lain dalam Islam. Ibadah solat adalah ibadah yang diterima terus oleh Nabi Muhammad s.a.w daripada Allah s.w.t tanpa perantaraan malaikat Jibril a.s.


Beberapa hari lagi, Rejab akan meninggalkan kita. Selepas ini akan kita lalui pula bulan Sya’baan seterusnya kita akan bertemu dengan bulan Ramadhan al-Mubarak. Sepatutnya bulan Rejab ini menjadi bulan kita mentarbiah diri kita dengan mula membiasakan diri kita dengan amalan-amalan sunat sebagai persiapan kita menyambut bulan yang mulia iaitu bulan Ramadhan tidak lama lagi.


Sebagaimana Rasulullah s.a.w pernah berdoa ketika berada dalam bulan Rejab yang bermaksud:


Ya Allah Ya Tuhan Kami, berkatilah kami dalam bulan Rejab dan Sya’baan dan sampaikanlah kami kepada bulan Ramadhan”.


Nabi s.a.w bersungguh-sungguh memohon kepada Allah s.w.t agar disampaikan usia kepada bulan Ramadhan melambangkan betapa mulianya bulan Ramadhan yang mana pada malam-malamnya terdapat satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Oleh sebab itu, Rasulullah menganjurkan kepada umatnya supaya berdoa mudah-mudahan Allah s.w.t memberkati kehidupan di bulan Rejab dan Sya’baan dan memanjangkan umur kita hingga sampai ke bulan Ramadhan al-Mubarak.


Ada ulama’ berpendapat bahawa bulan Rejab ini adalah bulan menanam, bulan Sya’baan sebagai bulan berbuah manakala bulan Ramadhan adalah bulan mengutip hasil.


Sebahagian ulama’ yang lain pula berkata bahawa Rejab itu ibarat bulan angin bertiup, Sya’baan pula bulan awan berkumpul manakala Ramadhan adalah bulan hujan turun.


Ibarat perumpamaan yang digambarkan oleh para ulama’ tersebut menunjukkan bahawa perlunya kita bersedia untuk menghadapi bulan Ramadhan bermula dari bulan Rejab lagi. Yang mana kita diseru meningkatkan amalan-amalan kita dari sehari ke sehari dan dari semasa ke semasa bagi kita mengecapi nikmat yang sebenar-benarnya ketika berada dalam bulan Ramadhan al-Mubarak. Tanpa pentarbiahan dan pengisian jiwa dengan amalan-amalan kebajikan di peringkat awal mana mungkin kita mampu menghadapi bulan Ramadhan yang mulia nanti dengan sebaik-baiknya.


Oleh yang demikian itu, marilah kita sama-sama berusaha meningkatkan amalan-amalan soleh mudah-mudahan kita lebih bersedia menjalani ibadah di bulan Ramadhan dan mendapat rahmat dan keredhaan daripada Allah s.w.t.



No comments:

Post a Comment