Sunday, July 19, 2009

Ucapan Takziah Buatmu…

Setiap yang hidup pasti merasai mati. Itulah hakikat kehidupan ini. Hidup di dunia ini adalah persinggahan sementara menunggu saat di panggil oleh Allah s.w.t ke alam yang kekal abadi iaitu alam akhirat.

Dunia ini adalah tempat untuk mencari bekalan amalan untuk dipersembahkan kepada tuhan Rabbul Jalil di akhirat kelak. Setiap amalan sama ada baik atau buruk telah dijanjikan balasannya sebagaimana yang terkandung dalam al-Quran. Firman Allah s.w.t yang bermaksud dalam surah al-Zalzalah ayat 7-8 yang bermaksud:

maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!

Sesungguhnya kehidupan di dunia ini tidak panjang. Bila tiba waktu ajal seseorang maka tidak akan dipercepatkan walaupun sesaat dan tidak akan diperlambatkan walaupun sesaat. Itulah hakikat yang terkandung dalam al-Quran yang mulia.

Kematian adalah sesuatu yang pasti terjadi dan tidak dapat dielakkan oleh sesiapa pun. Namun apa yang penting adalah persiapan kita dalam menghadapi kematian agar kita mati dalam keimanan dan di redhai oleh Allah s.w.t serta mendapat nikmat-Nya.

Oleh yang demikian, Islam menyeru manusia agar berbuat kebaikan dan meninggalkan keburukan. Islam juga menganjurkan kepada manusia supaya selalu mengingati mati dan takutkan azab Allah s.w.t. Ini adalah benteng bagi mengelakkan manusia melakukan perkara-perkara yang dimurkai oleh Allah s.w.t dan sebagai pendorong kepada manusia agar melakukan perkara-perkara yang baik.

Kelmarin, aku dikhabarkan oleh sahabatku bahawa ayahnya telah meninggal dunia. Ucapan takziah buatmu sekeluarga sahabatku. Aku turut bersimpati denganmu. Semoga tabah menghadapi dugaan ini. Banyak-banyaklah berdoa dan mengingati Allah s.w.t. Semoga roh ayahmu dirahmati Allah s.w.t dan ditempatkan bersama golongan orang yang soleh. Al-Fatihah.

Sahabatku,
Ingatlah sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

apabila mati seorang anak Adam maka terputuslah semua amalannya melainkan tiga perkara: sedekah jariah, anak yang soleh yang mendoakannya dan ilmu yang bermanfaat.

Oleh itu sahabatku, janganlah bersedih. Jadilah anak yang soleh kerana itulah impian setiap ibu bapa apabila mereka tiada lagi di dunia ini mudah-mudahan anak-anaknya mendoakan kebahagiaan mereka di alam sana. Redhalah dengan ketentuan Allah s.w.t ini sahabatku...


No comments:

Post a Comment