Tuesday, July 14, 2009

Transformasi GABPEM - Satu Kemestian!!!!


Satu tajuk discussion dalam group Meheliah Alumni di laman friendster amat menarik untuk dibincangkan. Entah mengapa post ini menarik perhatian ana. Ana memang amat bersetuju dan menyokong penuh cadangan tersebut kerana merasakan sudah tiba masanya satu-satunya persatuan alumni SMU(A) Meheliah Geting atau dengan nama penuhnya Gabungan Bekas Pelajar Meheliah (GABPEM) bergerak aktif dalam membantu pihak sekolah mencapai Misi dan Visi sekolah.


Sebagai seorang alumni, ana masih kurang jelas mengenai Misi dan Visi GABPEM. Bukan hendak mempertikaikan kewujudan GABPEM kerana ana juga adalah salah seorang alumni Meheliah, tetapi itulah hakikatnya. Seharusnya, Misi dan Visi GABPEM perlu diperjelaskan secara terperinci kepada semua pihak terutama pelajar-pelajar di sekolah. Nama GABPEM seperti tenggelam timbul dalam kalangan pelajar serta alumni itu sendiri. Macam Chipsmore. Kejap ada, kejap tiada. Kemungkinan besar disebabkan kurangnya aktiviti yang melibatkan GABPEM di sekolah.


Sewajarnya hari ini, GABPEM sudah boleh berdiri sebagai sebuah persatuan alumni yang bergiat aktif dalam merealisasikan Misi dan Visi sekolah serta alumni sepertimana persatuan alumni di kebanyakan sekolah menegah yang lain. Para alumni Meheliah seharusnya memainkan peranan mereka bagi memastikan Misi dan Visi GABPEM tercapai. Jika benar-benar GABPEM mahu melakukan ‘transformasi’, semestinya ada penggerak yang memulakannya. Tapi siapakah yang sudi menjadi penggerak???


Kebanyakan alumni Meheliah seperti tidak mempedulikan kewujudan GABPEM. Inilah masalah yang paling besar. Apakah sebenarnya punca alumni Meheliah tidak prihatin terhadap kegiatan alumni??? Kemungkinan besar adalah kerana tiada organisasi khusus yang bertanggungjawab bagi memastikan kelangsungan kegiatan GABPEM menyebabkan alumni Meheliah kurang berminat untuk mengambil tahu tentang kegiatan GABPEM. Keadaan ini menimbulkan masalah kepada alumni kerana tiada tempat yang khusus untuk dijadikan sebagai rujukan.


Perbincangan berkenaan dengan GABPEM adalah baik dan perlu diteruskan seperti di laman friendster terutamanya di group Meheliah Alumni dan juga di blog GABPEM. Di samping itu, kata sepakat mesti dicapai bagi mengadakan satu perbincangan ataupun mesyuarat yang bertujuan melantik secara rasmi organisasi kepimpinan GABPEM yang terbaru. Organisasi ini akan berperanan sebagai tempat rujukan kepada semua pihak berkaitan dengan aktiviti-aktiviti yang akan dijalankan GABPEM. Di samping itu juga, ia berperanan sebagai perancang aktiviti-aktiviti GABPEM yang seterusnya.



Kini sudah tiba masanya, alumni Meheliah duduk semeja mengadakan perbincangan bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh GABPEM. Biarpun tidak ramai alumni yang akan terlibat pada permulaan ‘transformasi’ ini namun ia mesti dimulakan. Biarpun langkah pertama adalah langkah yang paling sukar, namun dengan kerjasama dan kesungguhan daripada warga alumni insya-Allah ia akan menjadi lebih mudah. Kita mesti ingat bahawa tanpa langkah pertama, “transformasi GABPEM” yang dicanang tidak mungkin dapat direalisasikan.


Sekiranya langkah pertama berjaya, ia akan memudahkan langkah-langkah yang seterusnya. Tidak mustahil jika suatu hari nanti, GABPEM dapat menganjurkan Muktamar Alumni Meheliah seperti yang dijalankan di sekolah-sekolah menengah yang lain. Muktamar adalah penting bagi menyelesaikan isu-isu berbangkit dan membentangkan kewangan serta bajet GABPEM di samping bertukar-tukar pandangan dan mendapatkan cadangan serta usul yang mesti dilaksanakan oleh kepimpinan GABPEM bagi meningkatkan kualiti GABPEM pada masa akan datang.



Aktiviti-aktiviti yang melibatkan GABPEM perlulah diperbanyakkan dan dipelbagaikan bukan sahaja aktiviti motivasi tahunan GABPEM kepada pelajar-pelajar yang akan menghadapi peperiksaan SPM dan PMR seperti MIRJAN’09, Kem PESAT’08 dan PKAA’07 tetapi juga harus menganjurkan kegiatan-kegiatan lain seperti Kem Pemantapan Solat, Kem Kepimpinan Pelajar dan sebagainya di peringkat sekolah. Kegiatan GABPEM mestilah melibatkan semua alumni Meheliah tanpa mengira batch. Ini adalah bertujuan bagi mengeratkan ikatan ukhuwah sesama alumni dan mewujudkan perpaduan serta kerjasama dalam kalangan ahli GABPEM.


Diharap setiap kegiatan alumni yang mendapat lampu hijau daripada pihak sekolah dipostkan di ruangan announcement di group Meheliah Alumni (friendster) dan juga dipostkan ke dalam blog GABPEM yang sedia ada iaitu di alamat http://mygabpem.blogspot.com/ serta mana-mana laman yang sesuai bagi makluman kepada semua pihak khususnya kepada alumni yang berada di IPTA/IPTS kerana kebanyakan mereka sering melayari internet terutama laman-laman sosial seperti friendster, myspace, hi5, tagged dan sebagainya.


Diharapkan semoga “transformasi GABPEM” yang dicanang menjadi sebuah kenyataan. Ana menyeru kepada semua alumni Meheliah agar dapat memberikan kerjasama yang sewajarnya bagi menjayakan usaha murni ini. Tanpa kerjasama daripada semua pihak, persatuan alumni Meheliah tidak akan mampu melakukan perubahan demi kebaikan bersama. Semoga Allah s.w.t membalas pengorbanan dan usaha murni kita bagi menjayakan “transformasi GABPEM” dengan kebaikan disisi-Nya. Amin.




***Alumni Meheliah***

Batch SPM 2005,

SMU(A) Meheliah Geting.

No comments:

Post a Comment