Saturday, March 31, 2012

Bingkisan sang musafir di Kepulauan Borneo..



Melewati sebulan di bumi kenyalang ini, pelbagai pengalaman dilalui. Cerita suka dan dukanya. Namun keceriaan tetap menghiasi kehidupan di sini. Apa khabar sahabat-sahabat semua? Mudah-mudahan sahabat semua sihat wal ‘afiat. Sudah lama tidak menulis bingkisan sebegini. Hari ini tajuknya, bingkisan sang musafir di Kepulauan Borneo memandangkan insan ini sedang menikmati permusafiran di perantauan ini. Bulan Februari yang lalu telah membuka lembaran baru dalam hidup ini, bukan disebabkan insan ini dilahirkan dalam bulan tersebut tetapi kerana insan ini diberi peluang dan dipilih oleh Allah s.w.t untuk bernafas di bumi kenyalang ini yang kaya dengan keindahan flora dan faunanya.


Ya, tiada siapa menduga. Di sini pilihan terbaik yang dianugerahkan oleh Allah s.w.t untuk insan ini. Di tanah yang pasti tidak diimpikan oleh kebanyakan kita. Tetapi insan ini berserah diri biarpun di mana sahaja kaki ini memijak demi satu usaha mendidik anak bangsa. Seperti yang insan ini katakan sebelum ini, banyak pengalaman baru yang dilalui di sini. Ya, suasana yang cukup berbeza. Dari sudut ketentuan takdir-Nya yang begitu hebat dan tidak terduga, hinggalah pelbagai perubahan pada kehidupan insan ini.

Berada di sini banyak mengajar erti kesabaran dan ketabahan. Juga mengajar erti ukhuwah bagi insan ini. Bukan mudah berada di tempat asing bagi diri kita. Jauh dari keluarga. Jika mahu pulang ke halaman bonda pun pasti akan terfikir banyak kali lantaran kos ulang-alik yang tinggi dan ianya pasti berbeza dengan kosnya di Semenanjung. Namun begitu, sudah menjadi kebiasaan bagi insan ini berada jauh dari kampung halaman. Tiada apa yang hendak dirisaukan untuk berada di Kepulauan Borneo ini. Di sini, ukhuwah berputik dan jalinannya dapat dipereratkan. Ramai rakyat semenanjung di sini. Merekalah keluarga di sini. Saling membantu bila diperlukan kerana masing-masing mengerti hakikat diri dan ukhuwah di tanah asing ini.

Alhamdulillah.. Bersyukur kerana dipermudahkan lagi oleh Allah s.w.t. Terus bertukar IPG ke Kota Samarahan di Kuching. Biarpun jaraknya seakan-akan dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur. Namun itulah yang lebih mudah bagi insan ini berbanding pada asalnya terpaksa berkejaran dari Sibu ke Kota Bharu. Ya, dapatlah menjimatkan kos perjalanan ulang-alik insan ini setiap kali tibanya musim cuti persekolahan.


Seronok mengajar di sini lantaran bilangan pelajar yang tidak ramai. Biarpun pelbagai karenah mereka banyak menguji kesabaran dan ketabahan diri ini. Biasalah bermain dengan kanak-kanak ribena ini memerlukan ketabahan dan kecekalan dalam diri. Namun yang seronoknya, di sini boleh cubit-cubitan, rotan-rotanan dan pukul-pukulan. Bukan berniat untuk menyakitkan tapi untuk mendidik menjadi insan yang berakhlak mulia yang mampu membeza baik dan buruk.

Seringkali sinis kedengaran. “Mengajar budak-budak, tidak berkembang ilmu.” Pada insan ini tidak begitu. Mengajar budak-budak juga, ilmu juga mampu dipertingkatkan. Malahan ianya bukan terletak pada tahap pengajaran kita tetapi ianya terletak pada kesungguhan kita dalam menuntut ilmu. Jadi, walau di mana pun kita, seharusnya kita yang memilih sama ada untuk terus belajar atau kita hanya ingin berkerja semata-mata.

Mengajar budak-budak mengenal Alif, Ba, Ta dan ABC, usah dipandang remeh. Percayalah, bukan mudah untuk mengajar mereka dalam tahap mengenal dan mengeja bahkan untuk menulis huruf-huruf tersebut. Seringkali orang berbangga dengan pencapaian peringkat menengah mahupun universiti namun ketahuilah asalnya mereka dilahirkan dari bimbingan guru yang mengenalkan mereka huruf-huruf aksara dan ejaan secara berperingkat sehinggalah mereka mampu mengeja, membaca dan menulis.


Berada di kepulauan Daro, Sibu banyak memberi pengalaman baru. Perjalanan menaiki “Boyew Ekspress” selama lebih kurang 2 jam dari jeti Sibu untuk sampai ke Kepulauan Daro. Alhamdulillah.. Mujurlah rumah sewa dekat dengan pekan kecil. Malahan pula, dapat menyewa di Kampung Baru bersama sahabat seperjuangan Mohd Husnee Awang adalah satu keajaiban dalam takdir Ilahi buat insan ini. Mana tidaknya, seluas tanah di bumi kenyalang ini, kami disatukan di Kepulauan Daro. Jarak dari rumah sewa ke sekolah lebih kurang 15 hingga 20 minit perjalanan menaiki motorsikal. Jalannya tidaklah sesibuk di kebanyakan tempat di Semenanjung. Jalanan yang begitu tenang, segar dan nyaman. Keadaan jalan yang sedikit beralun mungkin disebabkan ianya sering digunakan oleh lori-lori pemunggah kelapa sawit.


Pengalaman menjengah hidup ini. Antaranya terpaksa merasai pengalaman naik lori yang sarat dengan muatan kelapa sawit suatu hari tatkala tayar motorsikal pancit semasa pulang dari mengajar di sekolah. Terpaksalah menumpang lori tersebut untuk tiba ke rumah sewa. Pengalaman yang menduka cita juga tercatit dalam hari-hari kehidupan insan ini di sini. Salah satunya adalah, terjatuh daripada motorsikal kerana keadaan jalan yang tidak begitu baik. Mujurlah tiada apa-apa yang teruk berlaku. Cuma luka-luka kecil sahaja di tapak tangan dan lutut. Nasib baik keadaan tar yang basah kerana hujan pada pagi itu mengurangkan kesan-kesan luka pada diri ini.


Krisis air bersih juga menguji ketabahan hati. Seringkali bekalan air paip sukar didapati di sini. Persediaan mental dan fizikal menghadapi segala kemungkinan perlulah sentiasa ada bagi mengelakkan masalah yang lebih besar berlaku. Ya, ini adalah ujian-Nya yang sedikit cuma. Mengajar kami menghargai setitis air. Sebotol air mineral untuk membasahi tubuh badan dan berwuduk sudah mencukupi dalam kadarnya saat berada dalam krisis bekalan air. Menggunakan spray untuk membasahi tubuh badan dan berwuduk. Itulah rutin kami di sini menghadapi saat-saat getir ketiadaan bekalan air bersih. Kebiasaannya akan menumpang mandi di rumah teman-teman di sini yang mempunyai bekalan air. Ya, begitulah suasana ukhuwah di sini.

Semasa orang lain sedang bergembira untuk bercuti di halaman bonda. Insan ini pula akan bermusafir ke Kota Samarahan, Kuching untuk menghadiri interaksi di sana mengikut jadual yang ditetapkan. Buat pertama kali pada cuti penggal pertama persekolahan bulan Mac, insan ini menaiki bas dari Sibu ke Kuching. Perjalanan yang jauh mengambil masa 7 jam untuk sampai ke maktab Kota Samarahan. Jadual yang padat dari pagi hingga ke lewat petang. Selepas ini, mungkin akan mengikuti jalan laut ataupun jalan udara pula. Bergantung kepada keputusan bersama teman-teman seperjalanan di sini.


Buat masa ini, satu kem telah diikuti insan ini di sekolah. Ya, Kem Jati Diri Pelajar namanya. Selama 3 hari 2 malam berkampung dan berprogram di sekolah. Pelbagai pengalaman yang pasti mencipta nostalgia dalam hidup insan ini bersama adik-adik pelajar di sini. Berada di bumi Sarawak, dapatlah belajar bahasa Melanau. Biarpun tidak banyak tapi insya-Allah dalam tempoh kurniaan Allah s.w.t ini, insan ini akan cuba mempelajarinya setakat yang termampu.

Redha ketentuan-Nya, menikmati hidup yang lebih tenang dan bahagia!!!

No comments:

Post a Comment