Friday, December 30, 2011

Harga sepatah bicara..


Jom pergi ‘dating’!!!
Sudah lama rasanya kita tidak keluar ‘dating’ bersama..

Mencari ayat yang sedikit ‘luar biasa’ untuk mengajak sahabat keluar bersama. Sengaja mencari kelainan dalam berukhuwah melalui cara ajakan bertinta di ruang teknologi. Sering kali ayat-ayat ini hanya untuk pasangan kekasih. Adakalanya diguna insan ini untuk mengajak teman-teman keluar. Ya, sahabat itu insan istimewa juga. Selayaknya kadang-kala menggunakan bahasa-bahasa yang sedikit romantis. Pasti akan menyegarkan suasana ikatan ukhuwah dengan cara yang sedikit berbeza. Sepatah kata yang amat jarang juga diterima insan ini bila diajak teman-teman.

Tak malu ke? Malu hanya jika kita tidak menganggap sahabat kita sebagai insan istimewa. Ia bukannya menjadi satu kesalahan dalam berukhuwah. Menggunakan ayat-ayat romantis pasti akan menjentik perasaan sahabat kita. Hatinya mungkin akan berbunga ceria. Mungkin juga membuatkannya menguntum senyuman bahagia. Mungkin juga membuatkannya mengeleng-geleng kepala. Ada-ada saja kamu ni, sahabatku!!!’. Bukan selalu pun kita mampu bermanja dengan sahabat kita. Ya, mungkin kerana kita malu atau kerana kita tidak mahu. Kalau anda ingin tahu apa reaksi sahabat anda, apa kata anda cuba sendiri. Ada berani???

Rasa dekat dan akrab. Itulah kuasa sepatah kata. Harga sepatah bicara. Seringkali kita memandang remeh terhadapnya. Tanpa kita sedari ianya begitu bermakna. Ukhuwah yang dirasa biasa-biasa akan terasa lebih istimewa dan lebih bermakna. Mana tidaknya, menerima kata-kata romantis daripada sahabat kita adalah perkara yang pasti jarang terjadi. Adakalanya hampir sahaja tiada. Itulah keistimewaannya di sini. Sesuatu yang ‘luar biasa’ pasti menjadikan ianya amat bermakna.

Sekian lama kita bersama sahabat kita. Meniti ukhuwah yang dibina. Jika dia seorang sahabat, dia pasti memahami kita. Kerana dia mengenali kita. Ada gurauan manja di sebalik sepatah kata. Romantis bunyinya seakan seorang kekasih menyapa pujaan hatinya. Hakikatnya dia seorang sahabat. Ya, sahabat yang unik. Kata-katanya mampu menusuk sukma. Menyuntik segala keindahan rasa. Ukhuwah ternampak serinya.

Jangan biarkan sahabatmu menanti..

Sorry bro.. Tertidur tadi. Ada apa call tadi?
Wassalam.. Maaf laa .. Tak perasan kau hantar mesej..

Khabarkanlah sesuatu jika ter‘miss’ atau tidak perasan akan panggilan atau mesej daripada sahabat kita. Jangan biarkan sahabatmu menanti kerana penantian itu satu penyeksaan. Mungkin ada hal penting yang ingin disampaikan kepada kita. Mungkin juga mereka memerlukan bantuan daripada kita. Biarpun padanya sekadar dia ter‘miss’ call sahaja. Atau hanya sekadar untuk bertanya situasi kita. Kita tidak tahu!

Mengapakah sering kita berdiam tanpa membalasnya?. Jaga dan raikanlah hati sahabat-sahabat kita sebagaimana kita berasa suka bila hati kita juga dijaga dan dirai oleh mereka. Jika tiada kredit untuk membalasnya, carilah alternatif yang lain. Seharusnya kita mengkhabarkan keberadaan kita. Mungkin sebelum ini, kita belum bersedia, tidak perasan dan sebagainya. Sekalipun jika dia meminta sesuatu, kita tidak mampu menunaikannya. Kita harus memberitahu situasi kita. Agar dia juga memahami keadaan kita ketika itu. Jangan menganggap ianya satu bebanan, kerana berukhuwah itu merupakan satu tuntutan.


Apa yang kita rasa jika kita berada pada situasi sahabat kita itu? Jika kita pada saat itu amat memerlukannya. Tapi dia membisu tanpa bicara. Juga tidak membalas apa-apa. Pasti akan timbul prasangka sinis di hati kita. Kenapa dan mengapa? Saat itu hati kita boleh sahaja mengungkit segalanya. Jiwa kita pasti memberontak. Kita tidak tahu, kadang-kadang dia meluahkan kekesalannya terhadap sikap kita kepada yang lain. Bukankah itu mengeruhkan suasana ukhuwah yang ada?. Sebab sikap kita yang tidak meraikannya sedangkan itu adalah tugas dan peranan kita dalam berukhuwah. Justeru, salah siapa? Tanyalah diri kita.

Ya, kita tidak tahu apa yang mereka rasakan, apa yang mereka luahkan bahkan apa yang mereka ungkitkan. Tetapi sebagai sahabat, adakalanya kita perlu sentiasa peka dengan tugas dan peranan kita sebagai sahabat mereka. Kita adakalanya perlu berada pada situasi sahabat kita. Kita jangan ego. Ingat, suatu masa kita juga mungkin memerlukannya sepertimana dia memerlukan kita. Hidup ini seperti roda, kadang-kadang kita di atas, kadang-kadang kita di bawah. Adakalanya kita diperlukan dan adakalanya kita memerlukan. Justeru, kikis dan buanglah sikap ego dan sikap hanya mementingkan diri sendiri.

Begitulah dalam berukhuwah. Ada hati yang harus dijaga dan dirai oleh kita. Ya, sahabat-sahabat kita. Permudahkanlah urusan mereka, insya-Allah urusan kita juga akan dipermudah. Jagalah hati dan perasaan mereka, insya-Allah hati dan perasaan kita juga akan dijaga. Jangan membiarkan mereka merasa ‘kosong’ bersahabat dengan kita. Sebaliknya, cubalah kita buat mereka berasa yang diri kita benar-benar bersahabat dengan mereka. Bukan hanya atas dasar nama atau hanya sekadar sahabat lama tetapi biarlah atas dasar sahabat untuk selama-lamanya. Itulah persahabatan. Saling berkongsi dan saling prihatin terhadap sesama kita. Di situlah peranan kita!

Biar sekadar sepatah kata, itulah bukti kita terus meraikan ukhuwah kita!!!

No comments:

Post a Comment