Monday, December 26, 2011

Jeritan Hati...


Hati yang berjahit seakan terurai kembali benangnya. Terasa pedihnya.. Perit!!!”
Macam mana ni??? Dia hadir kembali. Rasa belum mampu berhadapan..

Buntu. Pertanyaan yang bertinta dalam ruang teknologi insan ini. Dari insan bergelar sahabat. Insan ini bukanlah seorang pakar motivasi. Jauh sekali pakar psikologi. Mungkin sekadar pendengar setia terhadap luahan hatinya. Membuatkan dirinya berani berkongsi jeritan hati ketika semakin berat menanggung kemelut sendirian. Mungkin itu yang akan sedikit meringankan beban sekeping hati.

Ya, sakitnya hati yang terluka. Pedihnya terasa menusuk sukma. Mana mungkin akan pernah lupa. Apa yang pernah terjadi dalam ikatan yang terbina. Pasti akan terimbas kembali. Kepahitan yang pernah dilalui. Perit menanggungnya sendirian. Kamu apa tahu?!!! Mungkin itulah jeritan hati sahabat insan ini ketika itu.

Aku? Apa perananku? Sekadar mampu mencatat bicara bertinta di ruang teknologi. Dengan harapan agar dengannya dapat membantu biarpun sedikit cuma. Kemelut ini, pernahkah dilalui insan ini? Ah… Mungkin pernah dan mungkin belum pernah. Tetapi jika ia datang menerpa, apakah yang harus dilakukan? Memang sukar untuk memahami jika tidak mengalami.

Ikhlaskan hati melepaskannya pergi. Dari ruang hati yang pernah diisi untuknya. Memang melupakan tidak mungkin terjadi. Sesekali pasti ia muncul menghantui diri. Justeru lupakan niat untuk melupakan. Kerana ia tidak akan menjadi realiti. Biarkanlah jika dia datang bertamu. Anggaplah ianya sebagai tetamu yang akan pergi seketika nanti. Tetamu yang patut dirai kerana itu haknya pada kita. Hanya sebagai tetamu!!!

Berlakon menjadi pelakon..
Macam mana hendak berlakon, sedangkan hati ini berapi?!!!
Tidak sanggup berhadapan realiti, hati meronta ingin melarikan diri..

Berlakon sekadar untuk menyelamatkan situasi. Rasanya lebih baik daripada melarikan diri. Tiada guna membalas rasa hati. Kerana belum tentu dirinya mengerti. Jika sebelum ini pun tidak peduli, jauh sekali akan memahami. Berlakon menjadi pelakon pada skrip ceritera arahan hati. Mengemudi setiap slot sandiwaranya sendiri. Dalam mengawal rasa sekeping hati.

Bukan mudah. Tapi terpaksa dimudahkan. Segala kepahitan rasa terpaksa dibiarkan sepi. Demi menyelamatkan situasi. Agar tidak menyakiti tetamu tanpa undangan yang datang bertandang. Sejarah dilewati. Kesannya menampakkan suram. Hari ini tidak mungkin lagi seindah semalam. Semalam yang telah menjadi sejarah pada hari ini. Itu tekad kita!!!

Seringkali sandiwara meluntur kejujuran dan ketulusan. Namun apa lagi yang boleh diharap demi menjaga hati dan perasaan tetamu yang datang bertandang. Jika berterus-terang pasti akan mengeruhkan lagi keadaan. Bukan tujuan memutuskan ikatan tetapi sekadar menghindarkan hati dari terus menanggung gundah perasaan. Ya, bukan mudah melupakan insan yang pernah membelai keindahan rasa hati kita. Tekad bagi meninggalkan kelukaan semalam perlu dijadikan sebuah azam yang kuat. Agar kepedihan semalam tidak berulang lagi. Biarpun hanya sekadar mimpi!!!

Bukan lari tapi terus hadapi..


Lari dari kemelut yang timbul bukan penyelesaiannya. Hadapilah setiap saat dengan tenang tanpa dendam. Biarkanlah yang berlalu terus berlalu. Cukuplah hanya sekali terluka. Tapi janganlah pula cuba kembali bermain rasa. Bulatkan tekad dengan azam yang kuat. Kita mempunyai hak untuk mempertahankan pendirian kita.

Kita tidak mungkin memutuskan ikatan. Kerana sejarah pernah melakarkan peranannya. Cuma sekadar menukar selera rasa hati kita. Sedangkan makanan yang sama sering kita berasa jemu. Inikan pula kemelut yang sama pasti lebih menjemukan hati dalam menghadapinya. Kalau boleh, kita tidak mahu pisang berbuah dua kali!!!

Hadapi mereka sebagai tetamu biasa. Yang pasti datang pada musim ketikanya. Dan akan pergi pula bila tiba waktunya. Silih berganti biarpun tanpa undangan. Raikanlah dan terus meraikan tetamu kita. Itulah ikatan yang masih ada biarpun situasinya berbeza. Ya, berbeza dengan sejarah semalam. Jangan dirisaukan lagi tetamu itu agar jiwa kembali menikmati ketenangan. Bukannya mewarisi keresahan dan kesedihan.

Agar ikatan berterusan, teruslah memainkan peranan biarpun pada tetamu tanpa undangan!!!

No comments:

Post a Comment