Saturday, December 10, 2011

Salam takziah buatmu sahabat..


Terlebih dahulu insan ini mengucapkan salam takziah buat Azizi sekeluarga di atas pemergian ayahandanya yang tercinta pulang ke rahmatullah malam tadi. Semoga roh arwah ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman dan sentiasa dicucuri rahmat oleh Allah s.w.t.

Al-Fatihah..

Semasa menulis post ini, insan ini baru kembali dari majlis pengebumian arwah Ustaz Abdul Rahman Bin Abdul Somad (Ustaz Pokme: Mantan Imam Muda Masjid As-Somadi Mukim Geting)  di Tanah Perkuburan Neting pagi ini. Insan ini turut merasai kesedihan ini dan masih terkejut dengan berita kematian yang baru pagi tadi dimaklumkan oleh jemaah Masjid As-Somadi Mukim Geting berkenaan solat jenazah arwah.

Terasa baru semalam berbual mesra dengan arwah kerana minggu lepas insan ini menemani Nasrun ke rumah arwah untuk mengambil barang-barang yang dipesan oleh anaknya, Azizi supaya dikirim kepada  seorang rakan yang akan ke Mesir bagi menyambung pengajiannya. Wajah arwah begitu ceria dan tidak pernah sunyi dengan senyuman. Bercerita tentang pengalaman hidup sebagai guru dan imam muda ketika itu. Cebisan nasihat dan kata-kata semangat juga turut terselit dalam bicaranya. Apa yang paling menyentuh perasaan sempat arwah mengusik insan ini tentang undangan majlis walimah perkahwinan jika berkahwin nanti saat mahu berangkat pulang. Gurauan bersahaja yang membuat insan ini tersenyum saat itu. Begitulah cerianya seorang insan yang disegani dan dihormati bukan sahaja oleh keluarga dan kerabatnya tetapi juga oleh sahabat handai, anak didik dan masyarakat umumnya.
Begitu pantas masa berlalu. Saat ini, arwah pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya untuk bertemu Penciptanya selepas beberapa tahun ditimpa keuzuran. Gerimis hujan yang renyai-renyai ketika acara pengebumian jenazah pagi ini seakan turut menangisi dan meratapi pemergian insan yang banyak berjasa ini. Semoga arwah bahagia dan aman bersemadi di alam sana serta mendapat keampunan dan keredhaan Allah s.w.t.

Ajal maut, jodoh pertemuan adalah ketentuan Allah s.w.t. Apabila tiba waktu dan ketikanya maka kematian itu pasti akan tiba jua. Tidak dipercepat mahupun dilambatkan walaupun sesaat sebagaimana firman Allah s.w.t dalam surah al-Munafiqun ayat ke 11 yang bermaksud: Dan Allah tidak akan menunda (kematian) seseorang apabila waktu kematiannya telah datang. Dan Allah Maha Teliti terhadap apa yang kamu kerjakan.”

Buat sahabat insan ini nun jauh di bumi Mesir sana, bersabar dan redhalah dengan ketentuan Ilahi yang telah tersurat ini. Semoga Allah s.w.t memberi kekuatan dan ketabahan kepadamu sekeluarga menghadapi ketentuan-Nya. Teruskanlah perjuanganmu sahabat menuntut mutiara ilmu di sana sehingga dapat mengenggam kejayaan yang kau impikan selama ini.

Sambutlah salam takziah dari sahabatmu ini…

No comments:

Post a Comment