Tuesday, December 20, 2011

Harapanmu Harapanku..


Harap2, awok2 kita jange pecoh sapa bilo2 biar apa pun yang berlaku..
Biarpun sek2 kito masing2 doh berumah tangga lepas ni, masih ada masa untuk ukhuwah ini..

Begitu besar harapan teman-teman. Begitu juga harapan insan ini. Hati tersentuh mendengar bicara ini. Ya, ukhuwah kini tidak serancak dulu. Insan ini mengakuinya. Malah bukan insan ini sahaja menyedari. Sebaliknya kita semua mengetahui. Ukhuwah ini tidak semesra dulu. Masing-masing memahami kenapa dan mengapa begitu jadinya. Namun dalam tidak rancaknya ukhuwah ini masih tetap terasa kehadirannya. Tidak semua pun, masih tetap ada.

Harapan-harapan ini masih bersinar selagi masih ada insan yang sudi menjadikannya realiti. Masih ada insan yang rela menggilap sirna yang sering wujud dalam ukhuwah ini. Biarpun harapan-harapan ini dilihat seakan-akan fatamorgana apabila melihat realiti kini. Soalnya siapa?. Siapa saja yang berada dalam ruang lingkup ukhuwah ini. Jika dia rasa dia sahabat untuk sahabatnya. Dia pasti inginkan ukhuwah ini selama-lamanya ada. Subur di tamannya. Ya, taman ukhuwah ini yang selama ini dibina. Bertahun-tahun lamanya merentas masa dan tempat. Adakah yang berani memusnahkannya?

Jangan pandang sebelah mata ukhuwah ini. Akuilah banyak jasa insan-insan di dalamnya untuk diri kita. Mereka adalah teman-teman kita. Ya, sahabat-sahabat kita. Bohong jika ada yang mengatakan bahawa mereka tiada kaitan langsung dalam menentukan siapa dirinya ketika ini. Tipu! Dusta! Kita memang tahu kita di mana. Kita kenal siapa kita. Hakikatnya, jiwa kita kosong tanpa mereka di sisi kita. Biarpun kita miliki segalanya tapi kita masih perlukan mereka untuk berkongsi cerita, meluahkan rasa, malah untuk gembira. Kuatkah kita tanpa sahabat-sahabat kita?

Mereka kenal kita. Yang penting kita juga kenal mereka. Saling mengenali. Suatu ketika, masa kita banyak dihabiskan bersama mereka. Ya, ke sana ke mari membina ikatan ukhuwah ini. Keakraban amat terasa. Eratnya hubungan kita. Seperti adik beradik layaknya. Kita bagai sekeluarga. Ya, keluarga dalam ukhuwah ini. Biar keluarga dalam ukhuwah ini tidak beribu dan tidak berbapa! Hanya yang ada adik beradik semata. Alamak.. Yatim piatu la kita kalau macam ni? Ya, hakikatnya memang begitu. Kita tidak kuat sendiri. Kita kuat kerana hadirnya insan-insan yang menguatkan kita. Tidak mengapa yatim piatu tetapi masih ada adik beradik membantu. Beruntungnya kita.. Ada sahabat-sahabat kita..

Kadang-kadang kita rasa semakin bebas dari belenggu ukhuwah ini. Kita sudah jauh daripadanya. Bebas dari peranan kita untuknya. Bebas dari pandangan insan yang telah biasa bersama kita. Adakah akan semudah itu untuk kita lupakan mereka? Bagaikan tidak berharga dan bernilai. Kita tinggalkan ukhuwah ini. Sepi untuk terus sepi dan semakin sepi. Hati kita pasti menidakkannya. Tapi tingkah laku kita kadang-kadang mengiyakan. Benar bukan? Kita sering lupa insan-insan ini bila kita rasa semakin kuat. Berdikari kononnya. Kita rasa biasa-biasa saja kini. Biasa yang menjadi kebiasaan. Akhirnya mematikan rasa pada insan-insan yang berjasa ini.

Perananmu perananku..
Buat apa hendak terasa, kita kena sedar, kita semua sudah besar.
Aku buat biasa sahaja biarpun aku terasa.

Memendam rasa. Makan hati. Pahit terasa. Lumrahnya begitu. Jika kita memberi untuk dibalas, kita akan terus terasa. Tidak puas hati agaknya selagi tidak menerima. Memberi bukan bererti untuk menerima seperti yang diberi atau sekurang-kurangnya untuk dihargai. Memberi kerana kita mesti memberi untuk kepuasan hati. Memberi kerana kita rasa perlu memberi. Memberi dan terus memberi. Kerana yang memberi itu terlebih dahulu merasai dan menghargai. Sesiapa yang memberi pasti dia memiliki. Dia sebenarnya kaya. Jika memberi dengan harta, bererti dia kaya harta. Jika dia memberi dengan hati, dia kaya hati. Jika dengan rasa, dia kaya rasa.

Untuk ukhuwah ini. Setiap kita mesti berperanan. Perananmu akan menjadikan ukhuwah ini bermakna. Juga peranan insan ini akan turut mewarnainya. Saling berperanan. Bukan hanya sebelah pihak semata. Adanya ukhuwah ini kerana adanya peranan. Masih wujudkah ukhuwah jika tiada peranan? Untuk apa lagi ikatan ukhuwah jika tanpa fungsinya?

Kita lupa untuk renung kembali. Sejarah ukhuwah kita. Buat apa? Untuk kita melihat kesuraman ini. Di manakah puncanya? Sebab dan musababnya. Kita gagal memuhasabah diri dan ukhuwah kita.Ah.. Itu cerita dulu. Dah basi dah. Kini semua berbeza. Masing-masing sudah berjaya. Semuanya di merata-rata. Ada komitmen masing-masing!!!Begitulah kita mempertahankan keegoan kita. Ya.. Memang benar, itu sejarah kita. Kenangan kita. Ukhuwah kita. Telah berlalu meninggalkan kita. Terus pergi ditelan masa. Adakah kita tidak mampu menciptanya semula? Biarpun tidak sama. Tapi terus tercipta kerana kita yang menciptanya.

Kita menanggung hutang keegoan kita. Kalau tidak kita pun. Mungkin sahabat-sahabat kita yang terpaksa menanggungnya. Terpaksa membayar hutang keegoan kita. Bukan dengan wang dan harta. Tapi dengan hati dan rasa. Mereka mungkin terasa hati dengan keegoan kita. Lupa kita pada ukhuwah ini. Namun baiknya mereka kerana tidak menuntut gantinya. Namun tetap akan terkesan secara umumnya terhadap ukhuwah kita. Akhirnya sepi dan terus menyepi. Bila ukhuwah ini kehilangan rasa manisnya. Tidak berharga tiada serinya.

Kita memberi tanda noktah terhadap ukhuwah ini. Kita sudah tawar untuk memberi. Kita sudah terasa sukar berperanan. Kita memilih untuk terus ego. Bersikap acuh tak acuh saja. Ukhuwahlah yang menerima kesannya. Berperanan dan teruslah berperanan. Kita pasti merasai kepuasannya. Jangan diharap balasan manusia. Kerana ramai manusia yang tidak pandai menghargai. Berperananlah kerana Allah sebab pembalasan-Nya yang terbaik dan paling adil.

Agar harapan menjadi kenyataan, marilah kita bersama memainkan peranan!!!

No comments:

Post a Comment