Saturday, December 17, 2011

Hijrah menyemarakkan ukhuwah..

Menyelusuri peristiwa hijrah melalui sejarah perjalanan manusia agung, Nabi Muhammad s.a.w. Sebuah peristiwa yang terlakar dalam lipatan sejarah Islam. Peristiwa yang membawa kepada anjakan paradigma terhadap perkembangan dan penyebaran dakwah agama Islam ke seluruh  dunia. Peristiwa perpindahan umat Islam dari Kota Mekah ke Kota Madinah dalam usaha menyelamatkan akidah mereka yang diancam oleh Kaum Musyrikin di Kota Mekah yang ketika itu tenggelam dalam kehidupan jahiliah dan buta dalam menerima kebenaran.



Perintah Allah s.w.t kepada Nabi Muhammad s.a.w supaya berhijrah ke Yathrib (Madinah al-Munawwarah) disebabkan perancangan Kaum Musyrikin Mekah di Dar al-Nadwah yang mengambil keputusan untuk membunuh baginda s.a.w. Perintah hijrah disahut baginda kerana telah mendapat keizinan daripada Allah s.w.t. Dengan perancangan yang rapi, baginda mengatur strategi untuk berhijrah ke Madinah agar tidak dapat dikesan oleh musuh Islam. Di sinilah betapa besarnya peranan para sahabat baginda dalam usaha melaksanakan strategi hijrah baginda s.a.w.

Saidina Ali bin Abi Talib r.a diamanahkan oleh baginda s.a.w untuk tidur di atas tempat tidurnya sebagai salah satu strategi bagi mengelirukan musuh. Baginda s.a.w bersabda yang bermaksud: Tidurlah di atas tempat tidurku, berselimutlah dengan selimut al-Hadrami yang berwarna hijau ini. Mereka tidak akan dapat melakukan apa-apa yang buruk terhadapmu.Dengan penuh keyakinan dan keimanan yang wujud dalam jiwa Saidina Ali Karramallahu wajhah, beliau menuruti perintah tanpa sebarang persoalan, bantahan dan perasaan ragu-ragu. Begitulah kehebatan iman seorang anak muda yang cinta kepada Allah dan Rasul-Nya melebihi cintanya terhadap dirinya sendiri.

Begitu juga dengan keberanian dan kecekalan Asma’ binti Abu Bakar dalam membantu perjalanan hijrah Nabi Muhammad s.a.w. Beliau seorang yang amanah dalam menyimpan rahsia tentang strategi hijrah Nabi Muhammad s.a.w bersama ayahnya Saidina Abu Bakar al-Siddiq r.a. Keberaniannya terserlah biarpun dipaksa oleh Abu Jahal supaya memberitahu keberadaan ayahnya dan Nabi Muhammad s.a.w yang ketika itu sedang bersembunyi di dalam Gua Tsur sehingga beliau ditampar oleh Abu Jahal menyebabkan anting-anting yang dipakainya jatuh. Kecekalan Asma’ pula terserlah apabila beliau sanggup merentas padang pasir yang luas untuk menghantar bekalan makanan kepada Nabi Muhammad s.a.w dan ayahnya yang sedang bersembunyi di Gua Tsur.



Kesetiaan dan  kecintaan yang tinggi Abu Bakar al-Siddiq terhadap Rasulullah s.a.w ditunjukkan dalam peristiwa hijrah. Menjadi teman perjalanan Rasulullah s.a.w untuk berhijrah ke Madinah bukanlah sesuatu yang mudah kerana ancaman pembunuhan yang telah dikeluarkan oleh orang Musyrikin Mekah. Justeru, nyawa dan keselamatan diri sendiri turut dipertaruhkan. Kesetiaan dan kecintaan yang tinggi dalam usaha menjayakan perjalanan hijrah tersebut menyebabkan beliau sanggup bersabung nyawa apabila beliau disengat binatang berbisa ketika bersembunyi di dalam Gua Thur. Begitulah pengorbanan seorang sahabat sejati yang mencintai Rasulullah s.a.w melebihi segala kepentingan peribadi bagi memastikan keselamatan diri Nabi Muhammad s.a.w seterusnya meneruskan kelangsungan misi dakwah Islam di Kota Madinah al-Munawwarah.

Selepas beberapa hari bersembunyi di Gua Thur, mereka pun meneruskan perjalanan ke Madinah. Sebelum memasuki Madinah, mereka berhenti di Quba’ menunggu keluarga dan sahabat yang lain tiba. Dalam tempoh itu, Nabi Muhammad s.a.w mengambil peluang untuk membina masjid pertama umat Islam iaitu Masjid Quba’. Selepas mereka yang ditunggu telah tiba, barulah Nabi Muhammad s.a.w dan angkatannya meneruskan perjalanan ke Madinah. Setibanya di Madinah, mereka disambut dengan begitu meriah oleh penduduk Madinah yang sudah bersiap sedia menyambut kedatangan rombongan baginda s.a.w. Rasulullah s.a.w seterusnya mempersaudarakan Kaum Muhajirin dan Kaum Ansar. Mereka hidup dengan aman dan sentiasa saling membantu dalam urusan kehidupan.

Begitulah besarnya peranan dan pengorbanan sahabat-sahabat baginda s.a.w yang telah menjayakan hijrah Rasulullah s.a.w ke kota Madinah. Inilah sebahagian cebisan sejarah dalam peristiwa hijrah yang menjadi momentum terhadap perkembangan dan penyebaran agama Islam di muka bumi ini. Daripada hijrah jugalah dapat menyemarakkan ukhuwah Islamiyyah yang berdasarkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah s.w.t sekaligus melangkaui segala bentuk kepentingan peribadi terhadap kehidupan dunia yang sementara ini.

Hijrah hari ini..

Hingga ke saat ini, 1432 tahun peristiwa hijrah berlalu meninggalkan kita. Kini tiba tahun ke 1433 hijrah, membuka era baru dalam sejarah peradaban manusia. Banyak teladan yang kita perolehi daripada peristiwa tersebut jika kita mengkaji dan mengambil pengajarannya. Hijrah hari ini bukan lagi hijrah daripada Kota Mekah ke Kota Madinah sebaliknya lebih menjurus kepada hijrah melakukan perubahan dalam diri dan kehidupan kita. Hijrah dari keburukan kepada kebaikan. Hijrah dari kebaikan kepada kecemerlangan dan kegemilangan dalam usaha mencari keredhaan Allah s.w.t.

Belajarlah sesuatu daripada peristiwa hijrah. Hikmah yang tersurat dan tersiratnya terlalu banyak untuk digali dan diteladani. Ianya memberi kesan bagi jiwa yang mencari cahaya dalam kegelapan. Menuntut perubahan yang konsisten dan istiqamah. Biarpun menelan kepahitan yang sering wujud dalam tempoh perubahan berlaku kerana itulah ujian Allah s.w.t kepada kita kerana setiap orang yang beriman itu tidak terlepas daripada menerima ujian daripada Allah s.w.t. Firman Allah s.w.t dalam surah al-Baqarah ayat 214 yang bermaksud: “Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cubaan) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cubaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: "Bilakah datangnya pertolongan Allah?" Ingatlah, Sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat.” Yakinlah bahawa ujian itu adalah prasyarat untuk mendapat kebahagiaan. Rasailah kepahitan itu dengan penuh sabar dan gagah kerana kita perlu yakin bahawa ada kemanisan menanti di hadapan. Kuatkanlah semangat memburu kemanisan yang pasti tiba  jua. Jika tidak di dunia ini, pasti di akhirat nanti.

Teruslah bermujahadah melakukan perubahan ke arah yang lebih baik dan cemerlang. Bermujahadah meninggalkan perkara mazmumah, beristiqamah melakukan perkara mahmudah. Agar hidup ini lebih bermakna, setiap manusia mesti memenuhi tuntutan pengabdian seorang hamba kepada tuan pemiliknya iaitu Allah s.w.t. Itulah tujuan hidup dan penciptaan kita, mengabdikan diri kepada Tuhan yang Maha Esa dalam segenap aspek kehidupan ini dengan melakukan perkara yang diperintahkan oleh Allah s.w.t dan menjauhi serta meninggalkan semua perkara yang dilarang dan ditegah oleh Allah s.w.t. Firman Allah s.w.t dalam surah al-Dzariyat ayat 56 yang bermaksud: Dan tidak Aku ciptakan jin dan manusia itu melainkan untuk mengabdikan diri kepada-Ku.
 
Indahnya persaudaraan Islam..
Hijrah mengajar erti persaudaraan. Islam menitik beratkan muamalat sesama manusia. Persaudaraan dalam Islam tidak mengira batasan usia dan tidak pula mengenal perbezaan bangsa, budaya mahupun adat resam. Persaudaraan dalam Islam itu berteraskan keimanan kepada Allah s.w.t sebagaimana firman-Nya dalam surah al-Hujurat ayat 10 yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang beriman itu bersaudara. Sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan takutlah kepada Allah, supaya kamu mendapat rahmat.”
 
Biarpun berbeza idealogi, berbeza pegangan mazhab dan berbeza darah keturunan serta berbeza pangkat dan darjat, namun tetap bersaudara atas dasar akidah yang sama. Keimanan kepada Allah s.w.t menjadikan persaudaraan Islam itu indah sebagaimana yang terangkum dalam peristiwa hijrah. Pengorbanan Kaum Ansar terhadap Kaum Muhajirin yang begitu terserlah. Rela berkorban harta dan segala kepentingan diri atas dasar keimanan yang jitu dan semata-mata mengharapkan keredhaan Allah s.w.t. 

Pemusatan ukhuwah yang teguh mampu menjadi benteng yang kukuh bagi menghalang sebarang ancaman luar yang amat membenci terhadap kesatuan dan perpaduan umat Islam. Kesatuan, kesepakatan, hormat-menghormati dan sikap toleransi adalah amat penting bagi membina sebuah masyarakat yang harmoni. Tanpanya tidak akan wujud kekuatan ummah. Mungkin akan wujud kekacauan dan persengketaan yang boleh mengancam kestabilan dan keharmornian sesebuah masyarakat. 

Perubahan membina kekuatan..

Belajarlah melakukan perubahan. Kita semua insan yang serba kekurangan dan memiliki kelemahan. Jika semalam kita melakukan kesilapan, kembalilah ke jalan kebenaran. Tebuslah kembali kesilapan itu dengan memohon keampunan dan melakukan penghijrahan dan perubahan yang konsisten ke arah yang lebih baik. Setiap insan lumrahnya melakukan kesilapan. Sering terlupa dan terleka dalam keindahan nikmat sementara dunia kerana kita bukan insan yang maksum. Tetapi sering melakukan kesilapan dan kesalahan dalam meniti kehidupan ini. 

Perubahan penting untuk kita. Perubahan membina kekuatan jiwa kita. Untuk itu, pengorbanan diperlukan. Bukan sedikit harga yang perlu dibayar untuk membina kekuatan jiwa. Kekuatan jiwa lahir daripada ketenangan dan kedamaian hati dan redha terhadap ketentuan-Nya. Keimanan menjadi teras memperolehi ketenangan dan kedamaian. Hanya dengan keimanan manusia akan mengingati Allah s.w.t dan mengagungkan-Nya, seterusnya melepaskan segala kepentingan duniawi kerana terlalu asyik dalam kesyahduan cinta kepada Allah Yang Maha Berkuasa dan yakin kepada janji-janji-Nya. 

Jiwa dan raga diserahkan hanya kepada Allah s.w.t bagi meraih ketenangan jiwa. Firman Allah s.w.t dalam surah al-Ra’d ayat ke 28 yang bermaksud:Ketahuilah dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang.. Sebagaimana iman menjadi teras kepada ketenangan dan kedamaian jiwa, maka begitu juga dengan keikhlasan dan ketulusan hati. Ianya menjadi asas kepada sifat redha. Keikhlasan hati menerima segala ketentuan Allah s.w.t terhadap segala urusan kehidupan mampu memutik perasaan syukur terhadap nikmat kurniaan Allah s.w.t dan juga menyubur sifat sabar terhadap segala musibah yang melanda.

Yakin terhadap janji-Nya..

Janji Allah pasti benar!!! Allah s.w.t tidak pernah sekali-kali memungkiri janji-Nya. Semua janji-janji-Nya seperti yang tercatat dalam al-Quran dan Hadis pasti berlaku. Justeru, kita perlu meyakininya dengan sebenar-benar keyakinan. Tanpa ragu-ragu.

Justeru, penghijrahan yang dilakukan dalam diri dalam usaha memburu keredhaan Allah s.w.t pasti akan dikira sebagai kebajikan di sisi-Nya. Melakukan perubahan dalam diri kita terhadap sesuatu yang menjadi kebiasaan kita memerlukan jihad yang jitu. Jihad melawan hawa nafsu kita sebagaimana kita mampu berpuasa sebulan di bulan Ramadhan yang memerlukan kita berperang dengan kebiasaan kita di bulan-bulan yang lain. Begitulah juga penghijrahan yang mencorak permulaan baru ke arah keadaan yang lebih baik memerlukan satu pengorbanan dan jihad yang penuh konsisten dalam usaha mencapai matlamat yang diimpikan.

Berhijrahlah selagi masih diberikan kesempatan oleh Allah s.w.t untuk hidup di dunia ini. Berhijrah untuk melakukan sesuatu yang lebih baik dan lebih cemerlang. Didiklah hati dan diri kita berhijrah biarpun ianya amat payah kerana perlu melawan kebiasaan yang wujud dalam diri kita. Tetapi untuk mencapai matlamat yang kita impikan, kita dituntut melakukan pengorbanan sama ada dalam bentuk harta, tenaga, masa bahkan juga nyawa kita. 

Bersyukurlah kepada-Nya atas nikmat kurniaan yang dianugerahkan kepada kita. Kerana sifat syukur ini tanda berterima kasih kita kepada-Nya. Dialah Yang Maha Pemurah dan Yang Maha Penyayang. Firman Allah s.w.t yang bermaksud: Sekiranya kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahkan (nikmat-Ku) kepada kamu, dan sekiranya kamu kufur (ingkar) sesungguhnya azab-Ku tersangatlah pedihJusteru, berusahalah kita menjadi hamba yang bersyukur bukan sahaja dalam sebutan kalimah Alhamdulillah tetapi juga dalam amalan kita seharian agar selari dengan tuntutan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah s.w.t.

Agar melalui hijrah, kita mampu berubah!!!

No comments:

Post a Comment