Monday, September 14, 2009

Musafir Perjuangan Kembali…

Sinar kehidupan di penghujung Ramadhan. Semoga ada keampunan dari-Mu ya Rabbi. Mengharapkan maghfirah di atas segala dosa hamba yang hina. Hamba yang sering lalai dari mengingati-Mu. Hamba yang sering alpa pada keagungan-Mu. Hamba yang sering lupa dalam nikmat-Mu. Hamba ini tidak layak untuk syurga-Mu. Namun hamba ini tidak sanggup menghuni neraka-Mu. Ampunilah hamba-Mu ini ya Rabbi. Hamba adalah insan hina yang tidak berdaya.


Pena mencatit bicara dengan tinta siber. Bagai ketandusan dakwat. Sekadar menekan butang abjad. Membentuk ayat yang tersusun. Sekadar termampu mencatat kalimah yang tidak pernah bersuara di alam maya ini. Dengan cebisan semangat perjuangan yang tersisa.


Bukan mudah mengatur bicara. Meluahkan rasa. Mengungkapkan sayang. Buat ukhuwah yang terjalin. Biarpun dilihat biasa namun hakikat adalah sebaliknya. Hati bukan mengharapkan sirna. Tapi terus mengimpikan sinar. Agar terus menerangi alam perjuangan ini. Kerana perjuangan ini belum selesai.


Selangkah meniti hidup. Sedetik nadi berdenyut. Sesaat jantung berdegup. Selagi nafas belum berhenti. Perjuangan tetap diteruskan. Memburu kasih abadi. Mendamba cinta hakiki. Dalam hidup ini. Tanpa cinta dari-Nya. Mana mungkin mampu mencintai. Sepastinya tidak mampu mengasihi.


Hamba perantau di perjalanan. Melangkah pulang ke tanah halaman. Sekian lama menjadi musafir perjuangan. Saban tahun menjadi kebiasaan. Meredakan rindu penantian. Pada ayahbonda serta sanak-saudara tercinta. Jua rindu pada tanah kenangan. Di situlah selautan memori. Samudera kehidupan. Dilakar sepanjang perjalanan. Sejak bermulanya kelahiran. Hingga ke alam perjuangan ini. Pulang dengan tujuan menyambut hari lebaran. Hari kemenangan umat Islam.


Selamat tinggal kota perjuangan. Musafir pergi lumrah tahunan. Sirih pulang ke gagang. Haruan pulang ke lubuk kehidupan. Beburung berterbangan mencari jalan pulang menuju sarang perlindungan. Mana mungkin insan ini lupa daratan. Pada asal usul kehidupan. Yang sentiasa dalam ingatan. Di situlah tanah pusaka. Warisan nenek moyang tercinta.


Di kesempatan ini. Jari disusun memohon kemaafan pada teman perjuangan. Atas segala kesalahan dan kesilapan. Juga kekhilafan sepanjang tempoh perjuangan. Semoga ada kemaafan buat insan ini. Mungkin ada garis luka yang mencalar lembutan hati teman-teman. Kerana insan ini bukannya sempurna. Penuh kekurangan dan kedhaifan.


Selamat menyambut hari lebaran Aidil Fitri yang mulia. Buat sahabat-sahabat tercinta. Walau di mana pun berada. Yang jauh mahupun dekat. Memohon kemaafan sepanjang pertemuan. Seandainya pernah merobek keindahan rasa. Selama meniti persahabatan ini. Jika luka semalam masih tersimpan. Sembuhkanlah dengan penawar kemaafan. Biarpun parutnya tetap ada. Semoga dengan kemaafan ini mampu meredakan gelora perasaan. Seandainya ada dendam. Maka padamkanlah dengan air keampunan. Dari roh keimanan dan keikhlasan.


Maaf atas segala kekurangan sahabat kalian ini. Seandainya hak sahabat-sahabat tidak terlaksana. Kerana diri ini insan biasa. Maaf sekiranya diri ini gagal berperanan sebagai sahabat. Dari aspek rohani, jasmani dan spiritual. Sekadar termampu dari insan ini. Hati ini mengerti. Diri ini bukannya yang terbaik dalam meniti ukhuwah dan persahabatan ini.


Saat meniti ukhuwah ini. Mungkin berbeza layanan insan ini. Maaf sekiranya ada yang terasa. Maaf juga sekiranya insan ini tidak mampu mengasihi teman-teman sebagaimana insan ini mengasihi diri sendiri. Betapa hinanya insan ini. Entah bila iman ini akan sempurna. Sekiranya insan ini tidak mampu mengasihi saudara yang dikenali. Sepastinya sukar insan ini mengasihi saudara yang lain. Moga yang dekat kita rapat-rapatkan.Yang jauh kita dekat-dekatkan. Agar ukhuwah yang dibina atas paksi keimanan ini berpanjangan. Asal ada yang mengerti. Bahawa hidup ini tidak pernah sepi dan insan ini bersyukur memiliki sahabat yang tidak pernah menyepi. Hadirnya kalian untuk dihargai insan ini.


Juga buat sahabat di perantauan. Selamat menyambut hari yang mulia. Salam dari sahabat di bumi kelahiran. Selautan kemaafan dipohon. Mudah-mudahan sahabat berbahagia di sana. Meraikan hari lebaran nanti. Salam ingatan berpanjangan. Jauh hanya di mata. Tapi di hati dekat sekali. Jua salam perjuangan. Semoga menemui sinar kejayaan.


Buat sahabat di tanah tumpah kelahiran. Diri ini mengharapkan ada pertemuan di hari lebaran. Menghulur tangan bersalaman. Saling bermaafan sesama insan. Selamat pulang sahabat-sahabat sekalian. Selamat pulang ke tapak warisan. Kembali ke tanah halaman. Semoga selamat sampai ke destinasi tujuan. Agar berbahagia di hari lebaran. Moga merasai kenikmatan. Jua memperoleh keberkatan.


Buat adik-adik tersayang. Wajah-wajah penyejuk mata dan penenang jiwa. Rinduku pada pertemuan. Moga diberi kesempatan masa. Bersama-sama di hari lebaran. Moga ukhuwah yang terbina ini. Mampu menceriakan taman kehidupan. Serta menguatkan lagi perjuangan. Mengenal erti kehidupan. Menghargai erti kasih sayang.


Ruangan tinta ini ku jadikan wadah. Sebagai warkah pengganti diri. Ditujukan pada yang sudi membacanya. Kerana pena ini tidak bersuara. Mudah-mudahan dengan izin Allah, yang membacanya akan mengetahui. Jua akan memahami dan mengerti. Insya-Allah.


Salam Aidil Fitri Minal Aidil Wal Faizin buat semua. Salam menyemai ukhuwah. Salam membajai maghfirah. Salam menyubur mahabbah.


Salam Ukhuwah Buat Semua!!! Jua Salam Kemaafan!!!




Sahabatmu,

14 Ogos 2009

No comments:

Post a Comment