Saturday, September 12, 2009

Rindu Penantian: Lambatnya Saat Itu...

Terasa begitu lama pula menanti tibanya hari untuk pulang ke kampung halaman. Beginilah saban tahun melalui hari-hari menjelang Syawal. Merasai semangat balik kampung itu sendiri. Mungkin kerana jarang pulang ketika di universiti ini. Tapi itulah tekad diri ini agar tidak kerap pulang ke kampung saat berjauhan ini. Kerana inilah peluang mencari pengalaman.


Teringat pesan ayah agar diri ini berjimat-cermat ketika di halaman orang. Maklumlah keadaan ekonomi keluarga yang tidak menentu menyebabkan diri ini perlu mengawal segala keinginan yang tidak terlalu penting. Biarlah bersabar dahulu. Mungkin belum tiba masanya lagi. Alhamdulillah, setakat ini duit pinjaman tidak pernah kering. Sentiasa berbaki biarpun di penghujung semester. Biarpun saat ini kebiasaannya ramai teman-teman yang sudah kehabisan wang perbelanjaan.


Sesekali bila difikir balik, hairan juga. Mengapa kewangan ini tidak putus-putus. Jika hendak dikatakan aku ini penjimat yang melampau pun tidak juga. Makan pun kenyang juga. Tapi alhamdulillah, dengan rezeki dari Allah s.w.t ini. Keadaan ini tidak pernah aku jangkakan. Mungkin nafsu ini kurang untuk memiliki sesuatu yang branded. Maklumlah diri ini sekadar simple2 sahaja pun sudah memadai. Tidak perlulah diri ini terlalu memikirkan masalah kewangan saat ini.


Ini mungkin kesan dari pentarbiahan diri ini sejak dulu lagi. Dari dulu lagi diri ini berusaha menyekat segala kehendak yang melampau. Lebih mengutamakan keperluan dahulu. Bukan kenapa, terselit rasa kasihan kepada ayahbonda. Betapa sukarnya mencari rezeki. Mungkin keadaan keluarga juga memainkan peranan dalam mendidik diri ini menempuhinya dengan penuh kesabaran.


Biasa berada dalam kesusahan banyak mengajar erti ketabahan. Kerana kesusahan itu mengajar diri ini erti kekuatan untuk mengawal nafsu ini. Bersyukur dengan apa yang ada. Sekadar mencukupi untuk saat ini. Jika apa yang diimpikan tidak tertunai hari ini. Mungkin lain kali pula rezeki untuk memilikinya. Biarpun masa itu lama sedikit. Tidak mengapa. Insya-Allah dapat memilikinya pada masa yang lain. Yakin!



Rindunya pada anak-anak buah di kampung. Lama sudah tidak melihat kelibat anak-anak buah terutamanya anak-anak Angah. Dua orang putera yang sering mencuit hati. Along Haikal dan Adik Hanif. Si Along yang banyak mulut sentiasa menceriakan hati ini. Tidak jemu bertanya itu dan ini. Biasanya letih melayan karenah anak saudaraku itu. Si Adik pula walaupun sedikit pendiam tapi garang. Sekali jika dia menjerit membingitkan telinga ini. Kadang-kadang Si Along pun takut padanya. Walau apa pun dua permata Angah ini banyak menceriakan suasana. Semoga Angah sekeluarga dapat pulang ke kampung pada hari lebaran nanti. Rindu pada permata-permata hatiku.


Itu baru yang Angah punya zuriat. Tidak lagi dicampur dengan anak Kak Chik. Riuh rendah dibuatnya. Dengan si Hakimi yang buas manakala adiknya si Eikal yang suka menangis. Namun gelak ketawa mereka selalu meriuhkan keadaan. Kehadiran puteri baru Kak Chik menghiasi rumah. Tidak banyak karenah menjaga anak kecil ini. Dengan sesiapapun boleh masuk. Senang menjaganya. Ditinggalkan tidak menangis. Dibawa berjalan seronoklah dia. Si puteri comel diberi nama Iman Syuhada. Mutiara hati.



Rindunya hati ini ya Allah! Rindu menanti. Lambatnya masa itu. Aku ingin segera pulang ke tanah kenangan itu. Menyambut hari raya bersama-sama keluarga tercinta. Saling bermaafan sesama keluarga. Raut wajah ayahbonda yang tenang menyejukkan jiwa ini. Menambahkan kekuatan dalam hati yang kegersangan dan ketandusan. Selautan rindu buat ayahbonda tercinta. Moga kalian berbahagia meniti hari-hari kehidupan ini.


Panjang pula bercerita. Bersimpang-siur. Mungkin semangat ini berkobar-kobar untuk pulang ke kampung. Menjejak tanah warisan. Agar berbahagia menyambut lebaran. Semoga hidup ini terus diberkati oleh Allah s.w.t.


1 comment:

  1. amboi2...syahdu la plop ju...
    nk blik gk!!!

    tp...

    mmg dk umh dh pon skg ni...
    ptg2 kekgi nk g tgnu blik...
    hbt ah mung...
    elaun daku hbs dh pon...
    waa....
    msuk mla duit k ank sdra ni gk klu duit lbh eh..plesss

    ReplyDelete