Tuesday, June 30, 2009

Terima Kasih Semua!!!

Minggu ini adalah minggu terakhir kami berada di agensi Latihan Amali Industri (LAI). Rasanya seperti baru seminggu yang lalu kami berada di Unit Kawalan Al-Quran, Bahagian Kawalan Penerbitan Dan Teks Al-Quran, Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya walaupun hakikat perjalanan selama lapan minggu di sini amat lama dan meletihkan. Selepas tamatnya praktikal pada minggu ini langsung bermulanya kuliah pada minggu depan. Tiada langsung cuti untuk berehat kerana terus menyambung pengajian bagi semester kelima disamping menyiapkan laporan LAI dalam masa dua minggu perkuliahan.


Alhamdulillah, kerjasama dan tunjuk ajar daripada penyelia agensi dan staff-staff yang terlibat membantu urusan praktikal di sini. Banyak pengalaman yang dapat ditimba sepanjang dua bulan di agensi ini berkenaan dengan urusan penerbitan teks al-Quran di Malaysia yang mana pada hari ini semua teks al-Quran yang hendak diterbitkan di negara ini sama ada untuk dijual di pasaran tempatan ataupun luar negara mestilah mendapat kelulusan Kementerian Dalam Negeri dengan memenuhi syarat-syarat yang tertentu di bawah Akta 326:Akta Pencetakan Teks Al-Quran 1986 seperti penggunaan tulisan Rasm Uthmani, tidak terdapat sebarang kesalahan pada teks al-Quran dan sebagainya.



Pengalaman mengikuti Mesyuarat Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan Al-Quran (LPPPQ) Bil.58/2.2009 di Hotel Pan Pacific, KLIA pada 16 hingga 17 Jun 2009 antara aktiviti yang mengisi laporan LAI kami. Melibatkan diri secara langsung sebagai urusetia semasa mesyuarat Lembaga LPPPQ serta ditugaskan membantu kerja-kerja teknikal bagi melancarkan perjalanan mesyuarat yang melibatkan Ahli Lembaga yang terdiri daripada Ashabus Samahah Mufti-mufti kerajaan Malaysia. Selain itu, Lawatan kerja ke tempat pelupusan al-Quran di IRIS Corporation Sdn. Bhd. Bukit Jalil bagi melihat sendiri bahan-bahan rampasan dibakar dan dilupuskan di dalam mesin insinerator juga antara yang termuat dalam laporan LAI kami.



Itulah antara pengalaman dan kenangan sepanjang menjalani praktikal di sini. Di kesempatan ini, aku ingin mengambil kesempatan merakamkan ucapan terima kasih kepada teman-teman seperjuangan iaitu Muhammad As’ad dan Azizan yang banyak membantu dalam urusan praktikalku di sini.



Tidak dilupa juga kepada Ahmad Latifee di atas kerjasama yang diberikan serta pada mereka yang terlibat secara tidak langsung sepanjang latihan amali dan industri ini. Tanpa kalian rasanya sukar untuk diri ini menjalani praktikal di sini. Segala bantuan dan jasa baik teman-teman mudah-mudahan Allah membalas dengan kebaikan di sisi-Nya. Jazakallahu Khoiran Jazaa’...


Terima kasih juga kepada penyelia agensi dan staff-staff yang terlibat secara langsung atau tidak langsung selama berada di Unit Kawalan Teks Al-Quran ini. Tidak dilupa juga ucapan terima kasih kepada penyelia UKM dan pihak penyelaras Latihan Amali dan Industri Fakulti Pengajian Islam UKM.


Terima Kasih Semua!!!


No comments:

Post a Comment