Friday, June 26, 2009

Selamat Pulang Sahabatku!!!


Hampir dua tahun yang lalu, aku tidak sempat menghantarmu di lapangan terbang. Maafkanlah diriku kerana terlalu sibuk dengan urusan pengajianku di sini. Mungkin ada hikmah perpisahan yang terjadi. Menguji persahabatan ini. Aku redha dan pasrah. Pergimu berjuang di bumi anbiya’. Hanya iringan doaku mengiringi perjalananmu. Moga kau selamat ke sana dan dapat meneruskan pengajianmu dengan baik.



Jauh denganmu sahabatku, menggamit kerinduan di hati ini. Namun tidak pernah sepi khabarmu dari sana. Terima kasih atas ingatan pada sahabatmu ini. Biarpun jauh tidak pernah kau lupa bertanya khabar.


Semalam, kau kembali sahabatku. Biarpun hanya berdua. Meninggalkan kota ilmu dan sahabat yang setia di sana. Mungkin belum rezekinya untuk kembali ke tanah air tercinta. Namun aku terus sabar menanti pertemuan kembali dengannya. Insya-Allah.



Biarpun hari ini masih lagi sepi khabarmu. Mungkin kepenatan perjalanan yang jauh memerlukan masa yang secukupnya untuk berehat. Maklumlah aku tidak biasa dengan perjalanan yang terlalu jauh sepertimu. Tidak mengapa sahabatku. Aku mengerti.


Hati ini masih lagi dalam kerinduan. Selagi tidak bertemu mata dan bersua muka. Aku masih di sini. Di perbukitan ilmu. Kerana aku sedang menjalani praktikal. Sudah hampir tujuh bulan aku tidak menjejakkan kaki ke tanah kelahiranku. Terasa rindu pada ayahbonda dan sanak-saudara. Jua pada sahabat-sahabat yang sedang berseronok menikmati cuti di kampung halaman.


Namun apa yang penting tentulah pertemuan denganmu sahabatku yang aku impikan sekarang ini. Setelah sekian lama kita berpisah. Kini kau telah pun kembali. Biarpun lebih awal daripada tarikh yang kau khabarkan sebelum ini. Insya-Allah aku akan kembali sahabatku. Tapi aku tidak berjanji bilakah masanya. Aku masih sibuk di sini. Urusan praktikalku masih belum selesai lagi.


Apapun sahabatku, aku telah menantimu sekian lama. Sabarlah menanti kepulanganku tidak lama lagi. Insya-Allah kita akan bertemu lagi.




***Sahabatmu***

No comments:

Post a Comment