Sunday, September 26, 2010

Ku Tulis Ini...

Sudah lama tidak aku titipkan sesuatu dalam laman blog ini. Tiada kesempatan untuk menulis sesuatu yang baru untuk tatapan semua. Berlalu hari dan waktu. Banyak perkara yang terjadi. Kini aku bukan lagi seorang mahasiswa sebaliknya bergelar seorang alumni. Pada 9 Ogos yang lalu, aku telah menerima ijazah pertamaku. Sekian lama berjuang akhirnya dapat juga aku menyelesaikannya.

Sepastinya kerinduan akan sentiasa tersemat di hati ini pada kenangan-kenangan di perbukitan ilmu. Pada teman-teman di sana terutamanya teman-teman di rumah sewa dan teman-teman sekuliah. Terlalu banyak kenangan yang tercipta di sana. Suka duka, pahit manis kehidupan bergelar seorang mahasiswa. Biarpun hanya 3 tahun di sana. Masa yang tidak terlalu lama. Pejam celik pejam celik akhirnya ijazah pertama di genggaman.

Terasa masih terlalu awal bergelar graduan. Di saat sahabat-sahabat belum lagi menamatkan pengajian masing-masing di peringkat ijazah pertama. Sedangkan abang sendiri juga masih belum menamatkan pengajian di peringkat ijazahnya. Namun aku tetap bersyukur dengan keadaan ini kerana tidak semua orang yang melaluinya.

Tidak terlalu lama berada di universiti. Kerana kemasukanku terus ke peringkat ijazah sarjanamuda dengan menggunakan Sijil Tinggi Agama Malaysia. Tidak perlu mengikuti matrikulasi atau peringkat diploma. Kesabaran adalah kunci segala-galanya. Di peringkat SPM dahulu aku menerima tawaran pengajian peringkat matrikulasi UIAM. Tetapi aku menolaknya. Aku ingin menumpukan pengajian peringkat STAM terlebih dahulu. Alhamdulillah… Mumtaz STAM terus ke peringkat ijazah di bumi UKM selama 6 semesta.

Hari ini masih lagi di bulan Syawal. Bulan yang mana umat Islam menyambut hari lebaran selepas sebulan menjalani ibadah puasa Ramadhan. Tapi suasananya pada hari ini telah pun berkurangan. Ramai yang telah berangkat ke kota raya untuk meneruskan perjuangan. Di kesempatan ini, diri ini mengambil kesempatan ingin memohon kemaafan daripada semua di atas kesalahan yang pernah dilakukan oleh diri ini.

Sambutan hari raya tahun ini terasa juga meriahnya. Dengan kepulangan sahabat dari bumi Mesir setelah tiga tahun tidak bersua muka. Alhamdulillah.. Akhirnya dapat lagi beraya bersama-sama pada lebaran pada tahun ini. Biarpun hanya pada tahun ini tapi cukuplah sekadar untuk melepaskan kerinduan di hati ini. Entah bila lagi akan dapat merayakan lebaran bersama-sama dengan sahabat-sahabat semuanya. Jauh di sudut hati ini untuk melihat sahabat-sahabat semuanya pulang ke tanah air merayakan lebaran bersama-sama.

Tinta ukhuwah melakar kembali memori sekitar lebaran pada kali ini. Raya pertama bersama sahabat-sahabat di rumah Shahrizat. Berkumpul menikmati juadah yang dihidangkan. Gurau senda lawak jenaka menghiasi pertemuan hari raya ini. Di samping bersalam-salaman dan bermaaf-maafan sesama insan. Walaupun tidak semua berada di situ tapi kemeriahan tetap dirasai.

Majlis Ramah Mesra Eid Fitri Meheliah pada 5 Syawal yang lalu telah dianjurkan oleh pihak sekolah kepada warga alumni dan mantan pendidik Meheliah memberi peluang untuk aku dan sahabat-sahabat bertemu dengan warga Meheliah terutamanya warga pendidik Meheliah yang berkesempatan bersama-sama pada majlis tersebut. Alhamdulillah… Dapat juga bertemu warga yang banyak mencurah bakti kepada diri ini dan sahabat-sahabat sekalian di samping menjejak kaki di medan ilmu ini yang telah banyak berubah dari sudut infrastruktur dan kemudahannya. Sesungguhnya Meheliah meninggalkan kenangan manis yang teramat indah dan sukar dilupakan insan ini.

Perlawanan futsal pada sebelah malam 6 Syawal menambahkan lagi kemeriahan bersama-sama sahabat-sahabat seperjuangan. Aku tidak terlepas peluang untuk menyertai permainan futsal ini walaupun hakikatnya aku bukan kaki bola. Sekadar bermain secara berseronok dengan sahabat-sahabat sekalian. Hakikatnya sudah lama aku tidak bermain futsal, seingat aku last aku bermain juga bersama-sama sahabat-sahabat pada musim perayaan setahun yang lalu.

Raya ketujuh diadakan BBQ bersama-sama sahabat-sahabat di Pantai Sri Tujuh dengan bayaran RM5 seorang. Inilah kemuncak aktiviti reunion tahunan bersama-sama sahabat-sahabat seperjuangan. Menu yang lebih kurang sama dengan tahun lepas. Ayam bakar dan mee goreng. Semoga aktiviti sebegini akan terus dapat dianjurkan pada masa-masa yang akan datang bagi mengeratkan ikatan ukhuwah yang telah terbina sekian lama.

Hari ini, suasana di kampung kembali sepi. Sahabat-sahabat telah kembali ke medan perjuangan masing-masing. Meninggalkan kemeriahan hari lebaran di desa halaman. Buat sahabat-sahabat, semoga terus tabah mengharungi perjuangan dan berusaha dengan bersungguh-sungguh dalam menimba mutiara ilmu di medan ilmu. Diri ini akan terus mendoakan kejayaan buat semua, Salam perjuangan tinta ukhuwah…

No comments:

Post a Comment