Monday, May 3, 2010

Kesunyian Terasa...


Begitu sepi sekali suasana rumah sewaku. Saat ini aku sendirian. Teman-teman semuanya bermula hari ini menjalani praktikum di sekolah pilihan masing-masing. Terasa amat boring sekali. Tiada lagi kelibat sahabat-sahabat rumah sewa di sebelah pagi.

Kini hanya tinggal beberapa orang sahaja di rumah sewa. Aku, Syuk, Awiff dan Kudin. Masih setia di sini. Ditambah pula dengan Nuruddin dan Fariz. Kami bertujuh di sini. Amin dan Amirul telah ke Negeri Sembilan bagi menjalani praktikum di sana. Manakala Ajwadi telah berlepas ke Negara Yaman bagi menjalani praktikum di sana bersama-sama Faiz.

Pagi ini, begitu bersemangat teman-teman rumah sewaku bersiap untuk ke sekolah. Maklumlah hari pertama katakan. Ada yang bangun seawal jam 5 pagi hari ini. Jarang biasanya keadaan di rumah sewa seawal itu bangkitnya. Tapi inilah realiti hari ini. Hari pertama menjadi guru praktikal di sekolah..

Apa-apa pun buat teman-teman dan sahabat-sahabat yang menjalani praktikum. Diri ini mengucapkan selamat berada di dunia baru, menimba sebanyak mungkin ilmu di sekolah masing-masing. Semoga berjaya dalam praktikum dalam semesta ini. Hmmm…

Terasa kesepian sekali saat ini. Sendirian meniti perjalanan ini. Mungkin inilah realiti yang terpaksa dilalui olehku sebagai mahasiswa tahun akhir. Perjalanan projek ilmiahku masih dalam pembikinan. Semoga dapat disiapkan secepat yang mungkin. Selepas ini berakhirlah perjuanganku di perbukitan ilmu ini.

Amat terasa bahang projek ilmiah saat ini. Entah bila dapat disiapkan dan dapat dijilid. Banyak lagi yang belum diselesaikan. Aku sedikit merasai tekanan di saat teman-teman seangkatan sudah menyiapkan projek mereka. Namun perjuangan aku belum selesai.

Mudah-mudahan dipermudahkan segala urusanku di sini. Dipermudahkan jalan untuk menyiapkan sisa-sisa akhir perjuanganku di medan ilmu ini sebelum bergelar graduan. Aku akan terus berusaha untuk menyiapkan projek akhirku. Sahabat-sahabatku, doa-doakanlah sahabatmu ini. Agar mencapai kejayaan di sini.

Buat sahabat-sahabat yang menjalani praktikum dan latihan amali industri ketika ini. Semoga bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu dan pengalaman dalam bidang pilihan masing-masing. Sahabatmu ini akan sentiasa mendoakan kejayaan buat kalian semua. Mudah-mudahan kalian diberikan kekuatan untuk menghadapi perjalanan semasa menjalani Latihan Amali Industri dan praktikum di tempat pilihan masing-masing.

Semoga berjaya!!! Good Luck!!!

No comments:

Post a Comment