Saturday, February 25, 2012

Ukhuwah bertaut kembali di medan kerjaya..


Sudah satu minggu lebih insan ini berada di tanah baru ini. Di kepulauan Borneo. Kepulauan yang biasanya tidak diimpikan oleh sebahagian besar rakyat semenanjung untuk menjejakkan kaki ke tanah ini bagi satu tempoh yang agak lama. Namun tiada siapa yang mampu menolak ketentuan takdir Ilahi yang tercatat sejak azali lagi. Alhamdulillah.. Insan ini merafakkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah s.w.t kerana diberi peluang untuk berkhidmat di bumi kenyalang ini.

Ya, tiada siapa menduga begitu hebat perancangan Allah s.w.t. Ukhuwah bertaut kembali di medan kerjaya dengan seorang sahabat. Seluas tanah di bumi kenyalang ini, Allah s.w.t. telah memilih insan ini untuk terus menjalinkan ikatan ukhuwah seerat mungkin dengan sahabat insan ini, Mohd Husnee Bin Awang. Sahabat zaman persekolahan setelah dipisahkan di peringkat pengajian tinggi buat seketika. Hari ini, kami disatukan di tanah asing bagi diri kami, di bumi kenyalang ini. Ya, di kepulauan ini kami dipertemukan kembali meniti ukhuwah di sini. Biarpun ditempatkan di sekolah berlainan, namun kami di sini tinggal sebumbung. Hari ini, dialah housemate dan roommate bagi insan ini.

Begitu indah aturan-Nya. Dia tidak membiarkan insan ini sendirian di tanah asing ini. Dia menghadirkan sahabat seperjuangan untuk menemani perjalanan hidup insan ini di kepulauan Matu Daro ini. Dialah sahabat yang akan menemani hari-hari insan ini di sini. Bertuah rasanya insan ini, memiliki teman yang telah lama berukhuwah dengan insan ini di sini. Begitulah perancangan Allah s.w.t yang tidak mampu kita duga. Dia berkuasa atas segala-galanya.

Seminggu di sini. Menempuh pengalaman berbeza. Jauh dari keluarga mungkin itu adalah perkara biasa. Jauh dari sahabat-sahabat itu juga telah terbiasa. Di sini, suasana persekitarannya mungkin jauh berbeza dengan suasana di tanah semenanjung sana. Namun di sinilah pilihan terbaik sang Pencipta buat insan ini bagi menabur bakti dan jasa. Siapalah kita untuk mempersoalkan kenapa dan mengapa kerana setiap ketentuan-Nya pasti ada hikmah buat setiap hamba-Nya. 

Terima dengan redha setiap ketentuan-Nya. Usah dihiraukan kata-kata sinis yang dilempar melata. Juga jangan peduli kisah-kisah mereka yang belum sendiri mengalaminya. Agar hati terus kuat untuk menghadapi setiap ketentuan-Nya. Mungkin untuk pertama kali akan terkesima. Antara percaya dan tidak. Namun hakikatnya ia tidak seteruk seperti yang dibayangkan di awanan minda. Bila mengalaminya sendiri, barulah insan ini mengerti. Khabar tidak seindah rupa. Di sini insan ini bahagia.

Jauh berkelana, ada tugas untuk dilaksana. Membimbing generasi ummah ini di tanah asing bagi insan ini. Antara teruja dan kasihan melihat masyarakat Islam di sini. Yang masih memerlukan banyak bimbingan agama dari insan bergelar da’ie. Di sinilah lapangan terbaik untuk berdakwah kepada masyarakat yang masih rendah tahap pengetahuan agama Islam. Sukar itu adalah lumrah dalam berdakwah. Adakah patut hanya sebab sedikit kesukaran menghalang untuk menjalankan kerja dakwah? Jika begitu, alangkah lemahnya diri kita jika kita terus beralasan untuk tidak sampai ke tempat seperti ini. Relakah kita memilih untuk bersenang-lenang sedangkan saudara seakidah kita masih banyak memerlukan bimbingan dan tunjuk ajar daripada kita?. Semuanya adalah pilihan kita. Tapi betapa ramai yang tetap menyatakan ketidaksanggupan lantaran hanya beralasan jauh dari keluarga, rasa tidak bahagia, takut dengan pelbagai cerita yang belum dialami sendiri dan pelbagai alasan lagi yang terus dicipta sendiri.

Menempuh suasana berbeza. Insan ini merasai situasinya. Perlahan-lahan mengikut rentak bagi menurunkan tahap pengajaran seminimum mungkin. Maklumlah sebelum ini, bersama adik-adik pelajar generasi pertama insan ini di tahap pertengahan. Kini situasinya amat berbeza. Mind-set perlu berada di tahap yang lebih rendah. Mengikut tahap pemikiran kanak-kanak. Semestinya, pengalaman bersama adik-adik pelajar generasi pertama tidak akan dilupakan insan ini. Mereka adalah yang pertama menghiasi diari status pelajar insan ini dan mereka bukti bermulanya tugas insan ini sebagai pendidik biarpun insan ini tidak lama bersama mereka mengharungi perjuangan di sekolah tercinta.

Begitu hebat perancangan-Nya, terasa kerdilnya hamba!!!

No comments:

Post a Comment