Wednesday, October 19, 2011

Terima Kasih Semua!!!


Hampir empat bulan menimba pengalaman sebagai guru ganti di SMU (A) Meheliah Geting. Tiada siapa menduga, diri ini akan kembali ke Meheliah bagi menyumbang bakti kepada adik-adik pelajar di sana. Selepas beberapa tahun meninggalkan Meheliah bagi menyambung pengajian peringkat ijazah di bumi UKM. Kembali ke Meheliah menimba pengalaman yang amat berharga sebagai seorang pendidik.
            Berada dalam kelompok pendidik yang rata-rata dalam kalangan mereka adalah bekas guru sendiri semestinya diri ini sebenarnya berasa janggal dengan tugas ini. Namun begitu, amanah yang diberikan ini perlu digalas dengan sebaik mungkin. Hanya sekadar yang termampu dari insan yang tidak mempuyai pengalaman mendidik kerana bukan berasal dari bidang pendidikan. Alhamdulillah dengan sokongan teman-teman, guru-guru serta pelajar-pelajar dapatlah diri ini belajar menjadi seorang pendidik.
            Jika suatu ketika dulu. Diri ini belajar menjadi seorang pelajar, namun kini status itu berubah sebagai seorang pengajar. Sebenarnya diri ini terasa kekok dengan suasana di Meheliah apabila ramai dalam kalangan pelajar sendiri sedia mengenali diri ini. Mana tidaknya, mengajar di sekolah sendiri lebih-lebih lagi berada di kampung sendiri. Malahan perbezaan umur dengan pelajar-pelajar juga tidaklah terlalu jauh. Batch terakhir di Meheliah ketika ini adalah pelajar Tingkatan 1 semasa diri ini masih menjadi pelajar senior di Meheliah.
            Terasa amat bertuah kerana berpeluang menjadi pendidik kepada adik-adik di Meheliah. Sebenarnya berada di Meheliah membuatkan diri ini banyak mengimbau kenangan zaman persekolahan dahulu. Ianya amat indah untuk dikenang. Biarlah ianya menjadi sebuah memori yang terus segar diingatan. Memori sebuah perjuangan dan persahabatan. Di situlah diri ini berjuang siang dan malam menimba ilmu dan memburu kejayaan.
            Pengalaman dalam bilik darjah semasa mengajar semestinya tidak dapat dilupakan oleh diri ini. Pada permulaannya tidak dinafikan ada perasaan gugup dalam diri ini namun Alhamdulillah, lama-kelamaan perasaan itu hilang dengan sendirinya. Mungkin kerana ketidakbiasaan pada awalnya menyebabkan keadaan itu berlaku. Namun apabila sudah biasa menjadikan perkara itu biasa. Dengan berbekalkan ilmu yang ditimba selama ini, Alhamdulillah dapat dikongsi bersama adik-adik pelajar di sana. Biarpun hakikatnya masih banyak yang perlu dipelajari dan diperbaiki, namun diri ini teruja kerana diberi peluang mengajar di sekolah tercinta.
            Dua bulan pertama, mengajar subjek Tauhid & Mantiq, Pendidikan Islam Tingkatan 2 serta Pendidikan al-Quran dan al-Sunnah dan dua bulan berikutnya mengajar subjek Hadis wa Mustolah, Pendidikan Syariah Islamiah dan subjek sejarah Tingkatan 1. Sepastinya setiap satu mengundang pengalaman berbeza. Selain itu berkesempatan juga menyemak kertas peperiksaan percubaan STAM dan SPM. Itulah pengalaman menjadi seorang guru. Biarpun penat tapi tetap relax.
            Selain itu, pengalaman menyemak kertas Peperiksaan memang banyak menguji kesabaran diri ini. Tugas yang memang memenatkan dan juga memeningkan. Bayangkan ditugaskan menyemak kertas peperiksaan percubaan pelajar-pelajar STAM sebanyak 2 buah kelas lebih kurang seramai 60 orang pelajar. Manakala pelajar SPM sebanyak 4 buah kelas lebih kurang seramai 120 orang pelajar dan sejarah seramai 40 orang pelajar Tingkatan 1. Tugas yang amat memerlukan kesabaran dan fokus serta komitmen bagi menyiapkannya dalam tempoh yang ditetapkan. Lebih-lebih lagi apabila menyemak kertas 2 subjek Pendidikan Syariah Islamiah SPM dengan pelbagai jenis tulisan yang memeningkan.
            Selayaknya insan ini mengakui bahawa bukan mudah menjadi seorang pendidik. Dengan pelbagai karenah pelajar yang rata-rata semakin merosot nilai akhlaknya pada masa kini. Justeru, kesabaran, keikhlasan serta doa perlu seiring bagi memastikan kecemerlangan akademik dapat diselarikan dengan kemantapan akhlak yang mahmudah bagi melahirkan pelajar-pelajar yang bukan sahaja cemerlang akademiknya tetapi tinggi pula nilai akhlaknya.
            Diri ini berundur sekembalinya guru asalnya. Alhamdulillah.. Pengalaman itu amat berharga. Selebihnya ukhuwah dan persahabatan turut berputik. Antara diri ini dengan warga pendidik dan antara diri ini dengan adik-adik Meheliah.. Generasi pertama yang menemani sesi pengajaranku. Terima kasih semua atas sokongan dan kerjasama serta perhatian yang diberikan sepanjang diri ini belajar menjadi seorang pendidik. 
            Diri ini mendoakan agar pelajar-pelajar sekalian berjaya dalam peperiksaan masing-masing seterusnya berjaya dalam kehidupan di dunia dan di akhirat. Teruskanlah usaha kalian dalam menghadapi ujian hidup ini mudah-mudahan kalian menjadi insan gemilang yang akan mencurahkan bakti kepada agama, bangsa dan negara. Coretan ini menjadi saksi bahawa kita pernah bersama mengharungi perjalanan hidup ini biarpun hanya seketika tetapi ianya akan menjadi kenangan selama-lamanya.
Terima Kasih semua!!!
           

No comments:

Post a Comment