Thursday, October 20, 2011

Ana uhibbukum fillah...


Menyayangi dan mengasihi adalah lumrah kehidupan ini. Fitrah diciptakan insan dengan kurniaan perasaan kasih sayang dan cinta oleh Allah s.w.t. Perasaan yang begitu indah tetapi amat sukar untuk dilepas pergi.

Sekadar muqaddimah. Tersentak bila ditanya dari hati ke hati. Satu perasaan yang menimbul sebak di hati oleh seorang teman. Perasaan yang hadir menyelubungi jiwa. Singgah menerjah ke lubuk hati insan. Coretan ini bukanlah bertujuan untuk menjawab persoalan yang membungkam di sanubarinya saat ini tetapi sekadar tulisan untuk tatapan mata dan hati dari insan yang kerdil ini.

Hadirnya kerana kita memerlukannya. Akan timbul rasa sunyi, sepi dan tidak lengkap tanpa kehadirannya. Membuahkan satu keadaan yang penuh kenikmatan namun tidak berupaya diluahkan. Membenih harapan yang belum pasti di gengaman. Kita mengharapkan kesempurnaan tetapi bukan itu hakikatnya. Kita tidak mengharapkan balasan tetapi cukuplah secebis penghargaan dan kejujuran.

Pernahkah timbul perasaan ini kepada insan yang rapat dengan kita? Ya, mungkin pernah dan mungkin tidak. Contoh mudah yang diberikan, dalam ramainya teman atau kenalan mungkin akan ada yang sedikit istimewa berbanding yang lain. Istilah yang saya berikan More loving, More focus and More caring.” Bukan bermaksud menidakkan hak teman-teman yang lain tetapi keadaan dilihat tetap akan mempunyai perbezaan. Dalam athar ada menyebut: “Tidak ada kenikmatan seorang hamba yang lebih baik setelah nikmat Islam selain daripada kenikmatan memperoleh sahabat yang soleh; apabila lupa dia akan mengingatkan dan apabila ingat dia akan membantunya.” Inilah sebuah persahabatan. Saling mengingati, saling menasihati dan saling membantu.

Apabila kita melihat kepada sabda Nabi Muhammad s.a.w: “Tidak sempurna iman seseorang kamu sehingga dia mengasihi saudaranya sepertimana dia mengasihi dirinya sendiri.” Ini bermaksud bahawa sifat mengasihi sesama kita adalah satu tuntutan yang berkaitan dengan aspek keimanan. Justeru, ianya tidak menyalahi lunas-lunas agama selagi mana ianya bertepatan dengan tuntutan dan saranan syarak.

Aneh dan peliknya hati…

Sudah menjadi lumrah kehidupan. Perasaan hati mana pernah sama dan tetap. Ia pasti berbeza dan berubah-ubah. Ada turun dan naiknya. Ada suka dan dukanya. Ada sinar dan sirnanya. Ada pasang dan surutnya. Itulah hati. Tidak sama bahkan tidak pernah sama. Setiap orang mempunyai kualiti hati yang berbeza-beza mengikut tahap keimanannya.

Mengasihi dan menyayangi seseorang akan menyebabkan hati dan perasaan kita tertumpu kepadanya. Itulah hakikatnya, benarlah kata pepatah tak kenal maka tak cinta. Mengasihi seseorang pasti kita mengenalinya walaupun kita tidak pernah melihat dan bertemu dengannya.

Namun dalam situasi ini, kita mengasihi teman atau kenalan rapat kita membuatkan kita lebih menumpukan perhatian terhadapnya. Memang pelik hati dan perasaan anugerah Allah s.w.t ini. Tapi jika ia singgah dalam jiwa mungkin kita tidak dapat menafikannya. Indahnya ikatan yang terjalin ini akan membuatkan kita menghargainya.

Bukan mudah untuk berbicara tentang hati. Mungkin akan disalah anggap dan disalah tafsirkan. Perasaan yang tidak pernah sama. Hanya yang pernah melaluinya akan lebih memahami keadaan serta situasinya. Bila perasaan ini hadir dalam diri kita, kita akan merasakan satu kelainan dalam diri kita. Mungkin ianya persepsi kita sahaja atau mungkin itulah hakikatnya. Kita akan menjadikan teman tersebut lebih disenangi. Ingin sentiasa berada dalam pandangan mata dan akan terasa kehilangan apabila tiada di sisi kita. Rindu.

Mengenali untuk berkasih sayang…

Dari sedikit bermula tapak pengenalan. Semakin lama semakin banyak yang diketahui tentang dirinya. Lebih tepat dikatakan di sini Kita ambil tahu dan kita ingin tahu. Kita ingin rapat dan dekat dengannya. Hingga satu saat kita merasakan dia seperti saudara kita sendiri. Biarpun hakikatnya darah yang mengalir itu tidak sama. Namun ingin seerat ikatan persaudaraan.

Rela berkorban masa dan tenaga bahkan kadang-kadang tidak berkira wang ringgit. Ingin membuatkan dirinya bahagia, senang dan aman. Jika ada masalah yang timbul maka dengan segera ada usaha untuk membantu. Sekalipun diri berada pada situasi yang tidak mengizinkan. Biarpun berjauhan pasti akan cuba membantu dengan apa cara sekalipun. Begitulah ketulusan yang tidak pernah minta dibalas. Cukuplah sekadar menghargai dan memahami.

Ada benarnya kata-kata Saidina Ali Karramallahuwajhah: “Cintailah kekasihmu sekadarnya, siapa tahu ia akan menjadi musuhmu suatu hari nanti. Dan bencilah musuhmu sekadarnya, siapa tahu ia akan menjadi kekasihmu suatu hari nanti.” Perjalanan masa akan menentukan segala-galanya. Biarpun pada asalnya perasaan kasih dan sayang berputik tetapi ianya mungkin berubah menjadi semakin tawar dan mungkin lebur jika ianya tidak terus disiram dan dibajai dengan nilai ukhuwah yang mahmudah. Sebaliknya, sesuatu yang pada asalnya jelik pada pandangan mata dan dipandang sepi pada pandangan mata hati akan berubah kepada minat dan cinta yang mendalam apabila kena caranya serta disusuli usaha dan sikap tidak berputus asa.

Dugaan si pemilik hati…

Pelbagai situasi berkemungkinan berlaku. Mungkin hanya kita merasakan ianya perlu. Sedangkan dirinya tidak. Bahkan wujud ketidakselesaan, rimas, dan jeluak dengan apa yang kita berikan. Namun ia dibiar sepi tanpa bicara. Jika sekadar itu tidak mengapa. Namun sekiranya perasaan itu diterjemah dalam bentuk tindakan tanpa sepatah kata ia pasti mengundang ketidaktenteraman hati kita. Lebih-lebih lagi jika perasaan itu diluahkan kepada insan lain tanpa pengetahuan kita. Ia pasti amat menyakitkan dan memeritkan kerana kita tidak mengetahui situasi yang sebenar.

Memberi yang manis, menelan yang pahit. Itulah ujian si pemilik hati ini. Usahanya sekadar memberi dan berkongsi perasaan kasih dan sayang. Kadang-kadang apa yang diterima bukan semuanya indah sehingga bergelumang dalam cemuhan dan penghinaan. Mungkin ada yang iri hati melihat keakraban yang terjalin dan cuba mengkhianatinya.

Sudah menjadi fitrah manusia untuk berkasih sayang antara satu sama lain. Lihatlah perasaan indah ini dalam skop yang luas. Bukan sekadar kasih sayang kepada kekasih. Justeru, memiliki perasaan cinta dan kasih sayang itu bukanlah satu kesalahan kerana ianya fitrah. Setiap manusia pasti memilikinya. Biar sekejam dan sejahat manapun manusia itu sepastinya perasaan ini tetap wujud dalam hati mereka. Sememangnya ianya anugerah daripada Allah s.w.t.

Berkasih sayang kerana Allah s.w.t…
        
Namun sebenar-benar cinta manusia adalah untuk Allah s.w.t. Bercinta dan berkasih sayanglah kerana Allah s.w.t. Cinta sesama manusia adalah satu wasilah mencintai Allah s.w.t dan ianya menjadi antara sebab untuk Allah s.w.t mencintai hamba-Nya. Rasulullah s.a.w bersabda dalam sebuah hadis Qudsi yang bermaksud: “Jika Allah mencintai seorang hamba, maka Allah akan berfirman: “Wahai Jibrail, Aku mencintai seorang hamba, maka cintailah dia.” Kemudian Jibrail memanggil penduduk langit dan berkata: “Sesungguhnya Allah mencintai si fulan, maka cintailah dia.”’

Berkongsilah perasaan kasih dan sayang dengan sesiapa sahaja selagi berdasarkan iman dan berlandaskan syarak. Bukan yang terbaik di kalangan manusia itu mereka yang memiliki rupa yang menarik, hidup dalam kemewahan, serta memiliki kedudukan dan kuasa yang tinggi tetapi yang terbaik adalah yang paling hebat perasaan taqwanya kepada Allah s.w.t sebagaimana firman Allah s.w.t dalam surah al-Hujurat ayat 13 yang bermaksud: “Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan, kemudian Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan berpuak-puak agar kamu saling mengenali (antara satu sama lain), sesungguhnya yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, Maha teliti.”
        
Kembalilah kepada sejarah yang dilakarkan oleh Al-Quran mahupun sejarah zaman kegemilangan Islam. Lihatlah pengajaran di sebalik kisah Firaun, Qarun dan sebagainya. Mereka memiliki segala-galanya kecuali taqwa. Mereka dihina dan terhina sepanjang zaman sama ada di dunia dan di akhirat. Lihatlah hikmah di sebalik sejarah Islam, kita lihat kisah Bilal bin Rabah. Seorang hamba yang tidak memiliki apa-apa tetapi memiliki iman dan taqwa. Ianya lebih bernilai di sisi Allah s.w.t dari segala isi langit dan bumi. Bukan pada banyaknya harta, bukan pada hebatnya kuasa dan pengaruh tapi pada izzahnya iman dan taqwa.
       
Iman dan taqwalah yang telah menyatukan kaum Muhajirin dan kaum Ansar. Islam menjadikan mereka bersatu padu dan berkasih sayang. Rela berkorban dan berkongsi harta duniawi semata-mata untuk mencapai keredhaan Allah s.w.t. Nilai ukhuwwah yang begitu hebat telah membina ketamadunan yang gemilang berlandaskan keimanan dan ketaqwaan kerana wujudnya sikap toleransi dan bertolak ansur demi kepentingan agama Islam.

Indahnya bila kita dikasihi…
        
Justeru, beruntunglah orang yang dikasihi. Tetapi percayalah, lebih beruntung mereka yang mengasihi. Rasulullah s.a.w ada bersabda: “Sesiapa yang tidak mengasihi, tidak akan dikasihi. Mengasihi menjadi sebab untuk dikasihi. Untuk menjadikan diri kita dikasihi sewajarnya diri kita terlebih dahulu perlu mengasihi. Bukan bererti kita mengasihi seseorang, kita akan dibalas dengan kasih sayang daripadanya tetapi berkemungkinan kita mengasihi seseorang kita akan dikasihi orang lain dan apa yang yang lebih penting daripada itu, kita akan dikasihi oleh Allah s.w.t.
       
Balaslah kasih sayang seseorang kepada kita dengan kasih sayang kita sekadar yang kita mampu. Hargailah mereka yang mengasihi diri kita sekiranya kita tahu kita tidak mampu mengasihinya seperti dia mengasihi kita. Ketahuilah bukan mudah untuk mengasihi seseorang lebih dari biasa kerana hati dan perasaan manusia tidak pernah sama. Bersyukurlah jika ada insan yang mengasihi kita kerana kita masih dikasihi dan diperlukan. Sememangnya perasaan kasih sayang itu sangat indah kerana ia membawa kepada kebahagiaan, keceriaan, ketenangan dan kedamaian.

Marilah kita saling berkasih sayang!!! Agar dengan kasih sayang itu akan dapat menyuburkan ukhuwah yang terbina dalam mencapai kemanisan iman.

Buat sahabat-sahabatku yang membaca entri ini.Ana uhibbukum fillah

No comments:

Post a Comment