Monday, July 11, 2011

Meheliah: Aku Kembali Bersamamu..

Alhamdulillah… Sudah tiga minggu berada di SMU (A) Meheliah Geting sebagai guru ganti. Terima kasih diucapkan kepada al-Fadhil Mudir Madrasah, Ustaz Ariffain Bin Mis kerana memberi peluang kepada diri ini menimba pengalaman yang amat berharga sebagai guru ganti di Meheliah. Biarpun tidak mempunyai asas dalam bidang perguruan, namun bukanlah alasan untuk tidak mencuba.

Insan ini tidak menduga, kaki ini kembali memijak bumi Meheliah, jika sekitar tahun 2000 hingga 2006 berada di sini sebagai seorang pelajar tetapi hari ini diri ini kembali sebagai tenaga pengajar. Meheliah, nama yang tetap segar di ingatan. Sekolah yang banyak menyimpan selautan memoriku bersama sahabat-sahabat seperjuangan kerana Meheliah sudah sebati dalam kamus hidup ini. Meheliah seperti rumah kedua bagiku.

Dalam tiga minggu ini, insan ini masih terasa janggal bertugas sebagai guru. Mana tidaknya, berada pada status guru atau “ustaz”, yang mana boleh dikatakan sebahagian guru Meheliah yang sedang bertugas di sini adalah bekas guru sendiri. Manakala anak didik pula, ada yang terdiri daripada saudara terdekat dan adik-adik sahabat seperjuangan. Pendek kata, mengajar di Meheliah seperti mengajar anak-anak orang kampung sendiri yang sedia kenal siapa diri ini.

Di sini, aku ditugaskan untuk mengajar subjek Tauhid dan Mantiq tingkatan 6 Bawah dan Pendidikan al-Quran dan As-Sunnah bagi tingkatan 4 dan 5. Subjek Mantiq khususnya satu subjek yang sudah lama ditinggalkan. Ingat-ingat lupa. Terpaksalah kena study semula. Mengajar sambil belajar.

Aku akui bukan mudah menjadi guru. Letih bermain dengan karenah anak murid yang pelbagai ragam. Namun begitu, tugas mulia ini jika dipikul dengan ikhlas sepastinya akan mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah s.w.t. Bersabar dengan karenah mereka yang ‘nakal’. Mudah-mudahan Allah s.w.t membuka pintu hati mereka agar mereka menjadi insan yang berguna untuk agama, bangsa dan negara.

Apapun ini sebagai pengalaman aku menjadi guru ganti di Meheliah. Sekolah kebanggaanku, sekolah tercinta. Sekolah yang banyak menyimpan kenangan manis perjuanganku. Berada di sini mengingatkan aku pada sahabat-sahabat seperjuangan. Indahnya waktu itu. Pahit manis perjuangan diharungi bersama. Mencipta kejayaan memburu impian.

Adik-adik Meheliah, generasi pertama didikanku. Biarpun sekadar guru ganti. Mereka adalah sebahagian kamus hidupku. Terima kasih kerana banyak membantu, menceriakan kelas. Terus bersabar dengan karenah kalian. Dari guru yang tiada pengalaman ini, segala kekurangan mohon dimaafi. Kerana insan ini masih mencari pengalaman. Dan kalian adalah pengalaman pertama bagi diri ini.

Selepas ini, perjuangan akan diteruskan. Yakin pada ketentuan-Nya. Sesungguhnya rezeki itu milik Allah s.w.t. Dia menentukan segala-galanya. Kita hanya mampu berusaha dan merancang. Tetapi perancangan Allah adalah yang terbaik.

Wallahu a’lam…

No comments:

Post a Comment