Thursday, April 15, 2010

Terima Kasih Atas Kebencianmu...

Kebencian yang kau pamerkan biarpun dalam diammu jelas terlihat gelisah yang terpancar di wajahmu. Usah kau membohongi jiwa ini. Kerana aku mengenalimu. Terima kasih kerana membenciku. Mungkin ini balasan terhadap kelemahanku. Tidak layak aku berada di sisimu. Aku insan hina. Tidak layak untuk bersama insan sepertimu.

Airmataku mengalir lagi hari ini mungkin kerana kebencianmu. Terasa amat berat menanggung penghinaan ini. Terasa amat perit sekali. Terasa diri ini terbuang jauh dari kamar hidupmu. Aku renung kembali. Keindahan masa nan lalu. Ketika semuanya masih mekar di taman perhubungan ini.

Aku bagai tersepit dalam gelora amarahmu. Bagai ada dendam di dadamu. Memaksa aku berpaling redha. Membiarkanmu dengan amarahmu. Tidak perlu diusik saat ini. Membiarkan ianya berlalu sendiri. Aku bimbang gelora itu semakin parah membara. Kerana langkahku yang mungkin sedia silap. Menjadi semakin bertambah silap.

Seandainya kebencian itu terus membara. Usah kau kenangi diri ini. Bergeraklah kau bebas dalam duniamu. Insan ini mengerti. Kepahitan yang dilalui. Amarah yang kau rasai. Jiwa ini tidak layak dikenang. Diri ini tidak pantas di ingatanmu.

Aku membiarkan airmataku mengalir. Mengenangkan betapa hinanya diriku. Dari matamu yang pernah ku tatap sayu. Dari jiwamu yang pernah dekat denganku. Kerana aku tahu. Banyak perkara yang kau tidak tahu. Mungkin kerana kau tidak perlu tahu.

Dalam kesedihan ini. Ada kebimbangan di hatiku. Kerana kau tidak tahu dan kau tidak pernah tahu. Terlalu banyak rahsia perlu ku pendamkan. Aku menjaganya sebaik-baiknya. Bagiku itu amanah buatku. Tidak layak aku membukanya dan tidak pantas bagiku membicarakannya. Demi menjaga hak bersama. Biarpun berat bagiku untuk menanggungnya sendirian. Namun akan tetap aku gagahi. Demi kita bersama.

Juga aku bimbangkan jika dalam sepi kataku membicarakan segala-galanya. Kau terus menghukum diriku. Dengan kebencian demi kebencian. Mungkin bisa kau sembunyikan. Di sebalik raut wajahmu. Kau bisa membohongiku. Kerana aku tidak mengetahui apa yang tersirat dalam hatimu.

Agar kau tahu betapa aku menhormati keadaanmu. Mempertahankan hakmu padaku. Biarpun bisa aku membencimu lebih dari kebencianmu. Kerana kau tidak tahu. Namun aku cuba menghilangkannya. Dari lubuk hatiku. Biarlah aku mengalah. Demi kita bersama.

Biarpun apa pun yang terjadi selepas ini. Aku redha. Aku terima pendirianmu. Aku terima kebencianmu. Begitu sukar untuk aku menghargaimu. Aku jauh terlalu hina padamu. Namun aku cuba menilai kehadiranmu dalam ikatan ini.

Seandainya kau terus membenciku. Aku tidak mampu berbuat apa-apa. Cuma kemaafan aku pohonkan. Jika kau masih tetap membenciku. Kerana aku insan hina. Selayaknya aku memulakannya. Memohon kemaafan padamu atas kekhilafan itu. Agar kau tahu aku tidak pernah membencimu. Biarpun aku melukai hatimu dan menoreh jiwamu. Tapi aku tidak pernah membencimu.

Biarlah semuanya menjadi rahsia bagiku. Cukuplah aku yang melaluinya. Agar suatu ketika nanti, kau mengerti bahawa sehina-hina diriku. Aku tetap menjaga hakmu. Aku tetap menghargai perhubungan ini.

Satu pintaku. Jika kau tidak menerima satu silap atau salahku. Jangan kau tolak semuanya yang ada padaku. Kerana kau juga perlu adil. Biarpun bukan padaku tapi pada perhubungan ini. Juga kau perlu adil untuk hati dan perasaanmu.

Terima kasih atas kebencianmu!!!

No comments:

Post a Comment