Sunday, February 21, 2016

Perpisahan bertamu jua..


Hati terasa sayu. Sebak mengusik jiwa. Mengenangkan perpisahan yang bakal terjadi. Pertemuan beberapa tahun yang lalu telah membibitkan ikatan ukhuwah yang cukup bermakna buat insan ini dengan teman-teman ketika jauh berkelana dan berjuang demi mencari rezeki di kepulauan Borneo ini. Namun apakan daya, begitulah suratan takdir Ilahi yang tertulis di Luh Mahfuz. Akhirnya, perpisahan bertamu jua.

Kita cuma mampu merancang, Allah jualah yang menentukan segala-galanya. Hati tetap akan tabah menghadapi perpisahan ini biarpun hakikatnya suasananya nanti akan berubah. Sepanjang berjuang di bumi kenyalang ini, teman-teman datang silih berganti. Ramai yang sudah berpindah. Ya, pulang kembali ke tanah semenanjung sana.

Jikalau dulu, kemeriahan cukup dirasai. Tetapi kini, seakan semakin pudar. Mudah-mudahan ianya tidak terus hilang sebaliknya kembali menyinar dan menerangi ikatan ukhuwah di sini. Sejujurnya, terasa amat berat menerima hakikat perpisahan pada kali ini, namun tetap percaya, pasti ada hikmah di sebaliknya.

Sudah tiba rezeki mereka untuk pulang berkhidmat di tanah semenanjung. Sekurang-kurangnya dapat meringankan bebanan rasa duka lara di jiwa mereka. Ya, insan ini cuma berduka cita. Pastinya tidak sama dengan berduka lara. Hanya memerhati, tidak mampu memahami dan mengerti perasaan duka lara bila belum lagi mengalaminya.


Rasa kasihan pada mereka yang sudah berumah tangga terpaksa berjauhan dengan anak dan isteri. Hati mana yang tidak bimbang tatkala diri tidak bersama dengan insan-insan tersayang yang menjadi amanah kepada diri untuk melindungi mereka. Adakalanya, anak-anak membesar tanpa ada si bapa di sisi yang hanya pulang pada musim cuti. Anak-anak membesar jauh dari pandangan mata pasti mencengkam rindu di jiwa. Lebih-lebih lagi, ada anak yang takut bila pulangnya si bapa kerana sekian lama tidak berjumpa.

Begitulah nasib sang penduka lara layaknya. Terus berusaha agar mampu segera kembali ke sisi keluarga tercinta. Adakalanya berkali-kali mencuba, namun rezeki tidak kunjung tiba sehingga kelihatan seakan sudah berputus asa. Semestinya, komitmen kerja juga akan turut terjejas. Barangkali cuma jasad berada di sini, sedangkan jiwa menghilang pergi. Terbayang-bayang anak dan isteri yang cukup dirindui.


Biarlah perpisahan ini terjadi. Kerana lumrahnya setiap pertemuan itu akan ada perpisahan. Insan ini percaya, lambat atau cepat, akan kembali juga ke tanah semenanjung untuk menabur bakti di sana pula nanti. Insya-Allah. Doa-doakanlah juga kami yang masih di sini. Biarpun selepas ini berjauhan, namun ikatan ukhuwah yang terjalin ini, semoga berpanjangan. Jauh cuma di mata, di hati ada cerita. Ya, kenangan yang pasti mengundang rindu di jiwa. Semoga kita berjumpa lagi di lain ketika.

Terima kasih teman atas segala pengorbanan. Terima kasih kerana saling menguatkan ikatan persahabatan dan sudi bersama-sama mencipta kenangan. Cerita ukhuwah kita, akan terus tersemat di jiwa. Walau di mana pun kita berada, ingatlah kita pernah bersama-sama. Semoga kita semua tabah menghadapinya.

Perpisahan bukan penamat cerita, tetapi permulaan rasa rindu di jiwa!

No comments:

Post a Comment