Hati terasa sayu. Sebak mengusik jiwa. Mengenangkan perpisahan yang bakal terjadi. Pertemuan beberapa tahun yang lalu telah membibitkan ikatan ukhuwah yang cukup bermakna buat insan ini dengan teman-teman ketika jauh berkelana dan berjuang demi mencari rezeki di kepulauan Borneo ini. Namun apakan daya, begitulah suratan takdir Ilahi yang tertulis di Luh Mahfuz. Akhirnya, perpisahan bertamu jua.
Kita cuma mampu
merancang, Allah jualah yang menentukan segala-galanya. Hati tetap akan tabah
menghadapi perpisahan ini biarpun hakikatnya suasananya nanti akan berubah.
Sepanjang berjuang di bumi kenyalang ini, teman-teman datang silih berganti.
Ramai yang sudah berpindah. Ya, pulang kembali ke tanah semenanjung sana.
Jikalau dulu,
kemeriahan cukup dirasai. Tetapi kini, seakan semakin pudar. Mudah-mudahan
ianya tidak terus hilang sebaliknya kembali menyinar dan menerangi ikatan
ukhuwah di sini. Sejujurnya, terasa amat berat menerima hakikat perpisahan pada
kali ini, namun tetap percaya, pasti ada hikmah di sebaliknya.
Sudah tiba rezeki
mereka untuk pulang berkhidmat di tanah semenanjung. Sekurang-kurangnya dapat meringankan
bebanan rasa duka lara di jiwa mereka. Ya, insan ini cuma berduka cita.
Pastinya tidak sama dengan berduka lara. Hanya memerhati, tidak mampu memahami
dan mengerti perasaan duka lara bila belum lagi mengalaminya.
Rasa kasihan pada
mereka yang sudah berumah tangga terpaksa berjauhan dengan anak dan isteri.
Hati mana yang tidak bimbang tatkala diri tidak bersama dengan insan-insan
tersayang yang menjadi amanah kepada diri untuk melindungi mereka. Adakalanya,
anak-anak membesar tanpa ada si bapa di sisi yang hanya pulang pada musim cuti.
Anak-anak membesar jauh dari pandangan mata pasti mencengkam rindu di jiwa.
Lebih-lebih lagi, ada anak yang takut bila pulangnya si bapa kerana sekian lama
tidak berjumpa.
Begitulah nasib
sang penduka lara layaknya. Terus berusaha agar mampu segera kembali ke sisi
keluarga tercinta. Adakalanya berkali-kali mencuba, namun rezeki tidak kunjung
tiba sehingga kelihatan seakan sudah berputus asa. Semestinya, komitmen kerja
juga akan turut terjejas. Barangkali cuma jasad berada di sini, sedangkan jiwa
menghilang pergi. Terbayang-bayang anak dan isteri yang cukup dirindui.
Biarlah
perpisahan ini terjadi. Kerana lumrahnya setiap pertemuan itu akan ada
perpisahan. Insan ini percaya, lambat atau cepat, akan kembali juga ke tanah
semenanjung untuk menabur bakti di sana pula nanti. Insya-Allah. Doa-doakanlah
juga kami yang masih di sini. Biarpun selepas ini berjauhan, namun ikatan
ukhuwah yang terjalin ini, semoga berpanjangan. Jauh cuma di mata, di hati ada
cerita. Ya, kenangan yang pasti mengundang rindu di jiwa. Semoga kita berjumpa
lagi di lain ketika.
Terima kasih
teman atas segala pengorbanan. Terima kasih kerana saling menguatkan ikatan persahabatan
dan sudi bersama-sama mencipta kenangan. Cerita ukhuwah kita, akan terus tersemat
di jiwa. Walau di mana pun kita berada, ingatlah kita pernah bersama-sama. Semoga kita
semua tabah menghadapinya.
Perpisahan bukan
penamat cerita, tetapi permulaan rasa rindu di jiwa!