Tuesday, February 12, 2013

Ungkapan biasa; hikmahnya tetap ada..



“Belajar rajin-rajin. Jangan putus asa.”
“Ngaji molek tuh. Usaha betul-betul. Buat yang terbaik.”

Antara ungkapan yang pernah hadir dalam hidup insan ini suatu ketika. Mungkin biasa kita dengar ungkapan ini atau seumpamanya. Biasa yang membiasakan jiwa. Hingga tawar dirasa kerana telah lali terbiasa. Sebenarnya pada insan ini, ungkapan begini merupakan kata-kata yang luar biasa. Besar pengaruhnya buat jiwa. Bukan mudah ianya hadir menyapa dalam hidup ini terutamanya daripada ibu bapa, saudara-mara mahupun teman-teman insan ini. Namun, bicara ini seringkali terungkap dari bibir seorang guru. Benar bukan?

Guru. Ya, mereka lebih memahami potensi diri kita. Mereka lebih tahu kemampuan dan kebolehan kita sekalipun kita sendiri masih belum atau tidak menyedarinya. Guru kita sering melihat kita dengan penuh harapan. Agar kita, insan yang mereka didik suatu hari nanti akan menjadi insan yang berjaya. Jika tidak pun, jadi insan yang berguna.

Seringkali pesanan atau nasihat begini dirasakan biasa. Namun di sebalik kebiasaannya, ia mampu menguatkan jiwa. Tatkala kita seringkali berputus asa. Rasa lemah tidak bermaya mengharungi perjuangan kita. Kadang-kadang hadirnya kembali menyuburkan semangat yang kian padam dan suram. Seakan masih ada yang berharap dan ingin melihat kita berjaya.

Insan ini belajar dari kata-kata yang dianggap ‘biasa’ ini. Sejak zaman persekolahan hingga ke detik ini, insan ini meneroka dan meneliti bicara ‘biasa’ ini. Ya, besar makna dan pengaruhnya pada diri ini. Meniti kejayaan demi kejayaan sering bertemankan kata-kata sebegini. Dari lisan para murabbi yang tidak jemu menyuntik kata-kata semangat. Begitulah ungkapan rasa berunsur pesanan yang penuh harapan daripada mereka. Sekalipun pada anak didiknya, ianya mungkin ungkapan biasa sahaja. Sesekali ianya hadir daripada ashab seperjuangan dan saudara-mara. Namun, gurulah yang paling banyak menuturkannya.

Insan ini ingin sekali menjadi seorang yang tidak jemu meluahkan bicara ini. Insan ini merasai kepentingannya buat diri dan buat sesiapa sahaja bergelar insan. Betapa besarnya kuasa kata-kata, sekalipun hanya biasa namun tetap amat berharga. Berharga buat hati dan berharga buat diri. Hingga dengannya mampu mengubah jiwa agar menjadi lebih bersemangat meneruskan perjuangan dalam hidup ini. Dari kata-kata itu, ada harapan yang menyentuh perasaan bagi mereka yang memerhati dengan hati.

Bagi yang tidak memerhati, ianya sekadar kata-kata biasa yang telah lali di halwa telinga. Dibiarkan berlalu sepi tanpa mengambil hikmah yang tersembunyi. Benar, hikmah kata-kata tidak mampu dilihat dengan mata, sekalipun ianya sering singgah di cuping telinga, tetapi ianya mampu dirasa oleh hati yang mengerti. Hati yang benar-benar ingin berusaha memperbaiki kelemahan diri dan hati yang berusaha mencungkil potensi diri.

Terima kasih cikgu. Juga terima kasih buat yang pernah menyuntik semangat perjuangan dalam diri ini. Seringkali semangat yang seakan luntur, kembali berseri mewarnai perjuangan ini bila mana hadirnya kata-kata 'biasa' begini. Hati rasa seakan berteman dan tidak keseorangan dalam menghadapi mehnah dan tribulasi perjuangan hidup ini. Masih ada yang menaruh harapan. Masih ada yang meletakkan kepercayaan pada diri. Sekalipun harapan tersebut tidak semuanya mampu dipenuhi. Adapun kepercayaan itu seringkali dimusnahi. Justeru, itu kelemahan diri yang perlu dimuhasabah sendiri.

Betapa insan ini menyedari, bernilainya kata-kata sebegini sekalipun ianya biasa. Mungkin bukan hanya insan ini. Anda juga mungkin menyedarinya. Sebagai pendidik jiwa, insan ini tidak mahu menjadi insan yang bakhil untuk merakam dan menuturkannya. Adapun dalam bentuk kalam bicara ataupun dalam bentuk kalam bertinta. Biarlah jika ianya hanya sekadar kata-kata biasa, asalkan penuh bermakna.

Hikmah kata-kata, biasa yang luar biasa!

No comments:

Post a Comment